Sunday, October 10, 2021

'Papa Rock' luah rasa dalam era pandemik COVID-19

 

Ramli memanfaatkan masa terluang dalam era pandemik COVID-19 untuk menyempurnakan projek album terbarunya. Foto Ihsan Ramli Sarip

HALAMAN HIBURAN

KUALA LUMPUR: Hampir tiga tahun projek terbantut akibat pandemik COVID-19 menyerang dunia, akhirnya album terbaru bintang rock legenda, Datuk Ramli Sarip berjudul Rasa, siap.

Berkongsi rasa teruja lahirnya bingkisan itu, Ramli, 69, memberi perumpamaan album itu seperti jambatan yang menghubungkan dua negara apabila proses pembikinannya dijayakan pemuzik dari Malaysia dan Singapura.

"Pembikinan dan penerbitan album Rasa yang memuatkan 10 lagu ini menjadi lebih unik apabila prosesnya bermula di Kuala Lumpur dan disiapkan sepenuhnya di Singapura.

"Ini terjadi apabila pandemik COVID-19 menyerang dunia pada 2020. Antara 2018 hingga 2019, lagu pertama saya rakam di Kuala Lumpur adalah lagu Srikandi diikuti Sentosa Di Kubah Hayat dan Surat Cinta Kuala Lumpur.

Ramli lebih cenderung menghasilkan album penuh daripada melancarkan single demi kepuasan peminat. Foto Ihsan Ramli Sarip

"Sepatutnya album ini disiapkan sepenuhnya di Kuala Lumpur. Namun, disebabkan pandemik makin teruk, saya memutuskan pulang ke Singapura dan menyelesaikan baki rakaman tujuh lagu di sana," katanya kepada BH Online.

Biarpun terperap di rumah, namun, kata penyanyi yang mendapat jolokan Papa Rock ini, tempoh itu dimanfaatkan untuk menyiapkan buah tangan terbarunya itu.

"Dari satu sisi, ini memberi kesempatan untuk saya mendapatkan lebih banyak ilham dalam menyiapkan album ini dan merakamkan tujuh lagu dengan menggunakan khidmat pemuzik berkaliber di Singapura dan Malaysia," katanya.

Ramli mengakui menyiapkan album ini dalam tempoh pandemik cukup mencabar kerana melahirkan karya ketika industri muzik dan hiburan tertekan dengan ketiadaan persembahan langsung.

"Pada waktu sama, kami perlu mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.

"Paling menarik apabila dapat kembali berkarya adalah apabila kita lupa hal-hal lain. Kita kembali bersemangat untuk membuat yang terbaik.

"Semua ilham terus keluar mengalir dan kita membiarkan diri berada pada puncak waktu itu.

"Malah, ketika di studio rakaman, ada pengalaman unik dilalui iaitu saat saya melontarkan suara. Perasaan ketika menyanyi sangat tenang merindui damai yang kita kecapi sebelum pandemik berlaku.

"Ia sangat seronok dan seolah-olah ada dorongan semangat baharu yang kuat untuk terus berkarya," katanya.

Penghibur legenda ini turut menyifatkan album Rasa memiliki resipi dan ramuan terbaik yang pernah disajikan dalam karyanya sebelum ini.

"Karya ini seakan-akan mengimbau era penerbitan album bersama Sweet Charity. Setiap album ada warna, karakter dan semangat tersendiri.

"Sebetulnya, saya bukanlah orang yang gemar menghasilkan single. Kebetulan saya memiliki material baharu yang cukup untuk merakamkan 10 lagu. Maka, terhasillah Rasa," kata penyanyi bervokal serak ini.

Untuk mencabar diri, Ramli memilih merakamkan semula untaian klasik, Ayah dan Ibu, ciptaan dan nyanyian asal, A Rahman.

"Lagu ini dipilih sebagai mengenang ayah dan ibu yang sudah lama meninggalkan kami, selain mencabar. Anda kena nilai sendiri versi saya," katanya.

(BH)

No comments:

Post a Comment