PAS tetap bantah cabutan khas Judi
KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan akan memberikan kenyataan berhubung isu cabutan khas judi sebanyak 22 kali dalam tempoh terdekat.
Timbalan Menteri Kewangan, Mohd Shahar Abdullah, berharap Ahli Parlimen yang membangkitkan perkara itu di Dewan Rakyat dapat bersabar kerana kementerian akan memberikan kenyataan berhubung perkara itu.
“Walaupun 22 cabutan khas diluluskan, tidak semua dilakukan. Hanya 8 berjaya dilaksanakan. Tujuh terpaksa dibatalkan. Itu lah yang akan kita nyatakan dalam tempoh terdekat,” katanya ketika menggulung perbahasan Kementerian Kewangan bagi usul Rancangan Malaysia ke-12 di Dewan Rakyat, hari ini.
Sebelum itu, Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari dan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik, meminta penjelasannya berhubung isu.
Ahmad Fadhli ketika bangkit mencelah penggulungan Shahar, berharap dapat mendengar berita baik, iaitu bukan setakat cabutan khas judi dikurangkan, tetapi dibatalkan.
Mohd Shahar berkata, kementerian mengambil maklum dan meneliti cadangan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen dan dalam tempoh terdekat akan mengumumkan sama ada cabutan khas itu adalah hasil negara atau tidak.
Bagaimanapun, katanya kenyataan bahawa cabutan itu adalah hasil negara tidak begitu tepat kerana banyak lagi hasil negara yang bersumberkan tiga kelompok besar, iaitu hasil cukai, hasil bukan cukai dan perkara yang tidak melibatkan cukai.
Sementara itu, katanya isu lain berkaitan Kementerian Kewangan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang tidak sempat digulung akan dijawab secara bertulis.
Ahmad Fadhli ketika membahaskan usul Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, sebelum ini, meminta kerajaan membatalkan keizinan yang diberikan kepada syarikat judi untuk mengadakan 22 kali cabutan khas sepanjang tahun ini.
Katanya, ada banyak cara lain untuk kerajaan menaikkan pendapatan negara dan bukannya dengan menaikkan kekerapan cabutan khas itu.
“Saya berdiri di sini untuk menyatakan bahawa kerajaan wajib untuk menarik balik langkah ini sebelum berdepan dengan tentangan lebih hebat sama ada di dalam dewan ini atau di luar sana, kerana judi – dalam apa bentuk sekali pun akan menyebabkan kesan jangka pendek dan panjang terhadap keberkatan hidup rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/10/21
No comments:
Post a Comment