Sunday, October 03, 2021

PRU 15, BERSATU perlu bukan saja UMNO, tetapi juga PAS..

 

Pertembungan UMNO, BERSATU pada PRU-15 sukar dielak

KUALA LUMPUR : Pertembungan sesama sendiri antara BERSATU dan UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang seakan sukar dielakkan.

Penganalisis politik berpendapat, biarpun pintu rundingan masih terbuka, namun sejauh mana ia memberi kesan kepada kerjasama antara dua parti terutama pada peringkat akar umbi masih lagi samar, memandangkan persengketaan UMNO dan BERSATU bukan hanya bertumpu di atas, tetapi menjalar sehingga ke peringkat bawahan.

Pensyarah Kanan Politik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, berkata secara umumnya, BERSATU sebagai parti baharu akan berdepan masalah di semua kerusi ditandingi kerana kemenangan mereka pada PRU lalu dibantu kekuatan jentera dan sokongan Pakatan Harapan (PH).

"Jadi BERSATU memerlukan UMNO berbanding UMNO terhadap BERSATU untuk menang. Namun, kerjasama antara UMNO dan BERSATU tidak akan berjaya jika ahli akar umbi menentang dan melakukan sabotaj.

"Ini akan melemahkan kedua-dua parti berkenaan," katanya di sini, semalam.

Mohd Azizuddin mengulas kenyataan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yasin kelmarin, bahawa parti itu sedia bertembung dengan UMNO jika parti dipimpin Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu kekal menolak untuk bekerjasama dengan BERSATU pada PRU-15 akan datang.

Susulan itu, beliau berkata, BERSATU perlu memfokuskan untuk bertanding di kawasan yang mereka menang pada PRU lalu, selain berusaha menawan kerusi yang dimenangi PH khususnya PKR dan DAP sebelum ini.

"Hanya kerusi dimenangi UMNO, tetapi melompat kepada BERSATU akan ada masalah. BERSATU juga perlu bertanding di kerusi bandar dan separa bandar yang mana PH kuat di situ, tetapi BERSATU juga tetap menghadapi masalah," katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Azizuddin berkata, kesan pertembungan dua parti itu kelak menyebabkan undi Melayu daripada parti membentuk kerajaan ketika ini akan berpecah.

"Jika tidak bertembung pun, undi Melayu akan berpecah kerana ada PH dan lain-lain parti dan sabotaj dalaman yang menggugat kemenangan," katanya.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, pula berkata pertembungan antara mereka sukar dielak, malah UMNO sukar merintis kerjasama dengan BERSATU dalam keadaan sebahagian besar akar umbinya tidak bersedia untuk berdamai.

"Langkah mengelakkan pertembungan ini mungkin dengan mengadakan pemilihan parti dan jika pemimpin UMNO yang dilihat pro-BERSATU menguasai kepimpinan, mudah untuk kerjasama itu dibincang semula.

"Tetapi ini pun masih bergantung kepada penerimaan ahli akar umbi kerana kebnayakan mereka tidak mahu kerjasama ini dijalinkan. Jika diteruskan, perpecahan dalaman parti pula akan berlaku" katanya.

Beliau mengakui pertembungan antara UMNO dan BERSATU ketika ini lebih tertumpu kepada pembahagian kerusi dengan UMNO tidak mudah melepaskan kerusi yang mereka menangi pada PRU lalu untuk diberikan kepada BERSATU.

"BERSATU mengharapkan kerusi yang boleh menang atau kerusi selamat. Kebanyakan kerusi ini pula memerlukan sokongan bukan saja daripada UMNO, tetapi juga PAS, " katanya. (BH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails