Friday, October 29, 2021

Royalti pajakan wajar, KM PP tak perlu campur tangan.

 

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor (kanan) dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow. - Foto NSTP

1. Kon Yeow tidak perlu campur tangan urusan tuntutan pajakan.

ALOR SETAR: Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow tidak perlu campur tangan urusan permohonan Kedah untuk mendapatkan royalti pajakan Pulau Pinang sebanyak RM100 juta setahun berikutan ia dibuat kepada Kerajaan Persekutuan.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata tuntutan berkenaan bukan urusan Kon Yeow kerana ia tidak dibuat kepada Kerajaan Pulau Pinang.

"Saya tak perlu komen banyak berkenaan kenyataan Kon Yeow. Permohonan Kedah ini bukan urusan dia.

"Selama ini bayaran royalti RM10,000 dan sumbangan khas berjumlah RM10 juta setahun kepada Kedah sejak 2018 itu pun kerajaan Persekutuan yang bayar," katanya kepada BH, di sini, hari ini.

Rabu lalu, media melaporkan Kedah menuntut bayaran royalti pajakan Pulau Pinang sebanyak RM100 juta setahun daripada Kerajaan Persekutuan selepas mendapati ia tidak pernah dinilai semula sejak 1786.

Muhammad Sanusi berkata, tuntutan itu menjadi antara permohonan kerajaan negeri menerusi Belanjawan 2022 yang dibentangkan hari ini.

Berikutan itu, Kon Yeow dalam reaksinya berhubung tuntutan itu, memaklumkan Kerajaan Pulau Pinang tetap dengan pendirian tidak akan membuat sebarang bayaran pajakan kepada Kedah.

Malah, beliau berkata, Kerajaan Persekutuan juga tidak perlu melayan apa-apa tuntutan luar daripada perjanjian dan persetujuan sedia ada. (BH)

2. Isu royalti pajakan P.Pinang: Tuntutan Kedah wajar -Dato’ Ir Iskandar Abdul Samad

KUALA LUMPUR: Tuntutan kerajaan negeri Kedah agar Kerajaan Persekutuan menaikkan bayaran royalti pajakan Pulau Pinang dan Seberang Perai dari RM10 juta setahun kepada RM100 juta adalah sesuatu yang sangat wajar, sesuai dengan peredaran masa.


Bendahari PAS Pusat, Dato’ Ir Iskandar Abdul Samad berkata, bayaran khas sebanyak RM10 juta setahun yang diterima kerajaan Kedah ketika ini sejak tahun 2018 dan royalti pajakan sebanyak RM10,000 setahun adalah tidak masuk akal.

“Ini kerana nilai pajakan yang ditetapkan adalah berdasarkan kadar sejak 1786 dan selepas lebih 200 tahun, sudah tentu nilainya  sudah bertambah berkali-kali ganda,” ujarnya.

Menurut  beliau, Pulau Pinang diserahkan oleh Kedah pada tahun 1786 yang mana ketika itu ia merupakan sebuah pulau yang belum dibangunkan. 

“Sekarang ini Pulau Pinang pesat membangun sebagai sebuah bandar raya, maka sudah tentu nilai pajakannya adalah lebih tinggi  RM10,000 sebulan. Ia sepatutnya berdasarkan nilai hartanah yang sudah tentu jauh lebih tinggi dari RM10 juta setahun.

“Kes Pulau Pinang ini adalah di antara  ‘jenayah-jenayah’ penjajah di negara kita. Selain dari pembayaran pajakan yang lebih adil kepada kerajaan negeri Kedah, satu siasatan perlu dijalankan untuk mendedahkan kelicikan penjajah menipu dan menekan pemimpin-pemimpin anak negeri di dalam usaha untuk menguasai negara ini. Kita perlu mendedahkan sejarah yang sebenar kepada generasi hari ini,” tegasnya ketika dihubungi HarakahDaily.

Katanya, British telah mungkir janji dan mereka gagal melindungi Kedah apabila negeri itu diserang oleh Siam. 

“Itu adalah antara syarat-syarat pemajakan Pulau Pinang. Maka pada  tahun 1791, Kedah telah menyerang Pulau Pinang tetapi telah dikalahkan,” jelas beliau.

Tambah Iskandar, terdapat pakar sejarah yang berpandangan bahawa kerajaan negeri Kedah perlu menuntut semula Pulau Pinang dan Seberang Perai melalui mahkamah. 

“Sudah tentu adalah lebih mudah untuk kerajaan negeri Kedah dibayar RM100 juta kerana sekiranya mahkamah menyebelahi tuntutan kerajaan Kedah, maka kerajaan negeri Pulau Pinang akan lenyap dari muka bumi ini,” ujarnya.

Beliau berkata lagi, perspektif baharu dalam sejarah ini bukan sesuatu yang asing dalam dunia hari ini.

“Sebagai contohnya di Amerika Syarikat  (AS) sebelum ini, mereka menyanjung Chistopher Columbus dan menyambut Columbus Day (Hari Columbus) menjelang setiap hari Isnin kedua bulan Oktober pada setiap tahun. Columbus ialah individu yang dikatakan menjumpai Dunia Baharu Amerika.

“Tetapi hari ini ramai melihat Columbus sebagai seorang penjenayah yang menyebabkan begitu ramai kematian penduduk pribumi serta merampas tanah mereka. Ada yang menyambut Indigenous Peoples’ Day (Hari Penduduk Pribumi ) dan bukan Columbus Day. Beberapa negeri dan bandar raya di AS telah menjadikan Indigenous Peoples’ Day sebagai hari cuti umum,” tegasnya.

Sehubungan itu kata beliau, Malaysia juga patut melihat sejarah negara ini  dari perspektif baharu dan ‘jenayah-jenayah’ penjajah patut didedah dan dikecam.

Terdahulu, kerajaan negeri Kedah menuntut bayaran royalti pajakan Pulau Pinang sebanyak RM100 juta setahun daripada Kerajaan Persekutuan selepas mendapati ia tidak pernah dinilai semula sejak 1786.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tuntutan itu menjadi antara permohonan kerajaan negeri menerusi Belanjawan 2022 yang akan dibentangkan pada hari ini.

Menurut beliau, ketika ini kerajaan negeri hanya menerima bayaran khas sebanyak RM10 juta setahun sejak 2018 dan royalti pajakan sebanyak RM10,000 setahun. – HARAKAHDAILY 29/10/2021

No comments:

Post a Comment