Friday, October 22, 2021

Tabung Wakaf Masjid Teknologi Hijau dilancarkan hari ini..

 

Wakaf Masjid Hijau sumber pembiayaan alternatif projek teknologi hijau

PUTRAJAYA: Tabung Wakaf Masjid Hijau (Wakaf Masjid Hijau) dilancarkan hari ini sebagai sumber pembiayaan alternatif bagi membiayai projek teknologi hijau di masjid-masjid, kata Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata Wakaf Masjid Hijau yang berkonsepkan pengumpulan dana awam daripada individu, sektor kerajaan, korporat dan pertubuhan itu adalah insiatif Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) melalui Pusat Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Malaysia (MGTC) dengan kerjasama Yayasan Waqaf Malaysia (YWM).

Beliau berkata dana wakaf tersebut akan digunakan bagi membiayai projek penukaran lampu diod pancaran cahaya (LED), penukaran kepada kipas dan penyaman udara cekap tenaga, pemasangan Sistem Penuaian Air Hujan (SPAH) dan penukaran kepada pili cekap air di masjid.

“Wakaf Masjid Hijau akan mengurangkan pergantungan kepada perbelanjaan fiskal, malah memberi nilai kepada rakyat mendapatkan pulangan pahala yang berpanjangan,” katanya ketika berucap melancarkan Wakaf Masjid Hijau secara maya hari ini.

Turut hadir Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad.

Tuan Ibrahim berkata inisiatif itu akan memacu penglibatan komuniti dalam usaha mencapai bandar rendah karbon.

“Penglibatan komuniti setempat akan membantu pihak pengurusan masjid meningkatkan tahap kecekapan tenaga dan air, mengurus sisa dan seterusnya membantu mengurangkan kos operasi masjid,” katanya.

Sementara itu, Idris berkata YWM akan berperanan sebagai Pengurus Tabung Wakaf Masjid Hijau dan mengembangkan dana wakaf itu melalui pelaburan.

“Sebahagian dana wakaf terkumpul akan dilaburkan untuk manfaat jangka masa panjang dan hasil pulangan akan diagihkan dalam bentuk agihan manfaat pelaburan, manakala selebihnya bagi membiayai projek-projek yang telah disenaraikan layak dan menepati syarat penggunaan sumber dana wakaf ini,” katanya.

Idris yang juga pengerusi YWM berkata setiap permohonan dana oleh pihak masjid perlu melalui Majlis Agama Islam Negeri masing-masing.

“Pihak masjid perlu memberikan komitmen untuk melaksanakan inisiatif hijau ini dengan membuka tabung di masjid dan menggalakkan sumbangan ahli kariah kepada Tabung Wakaf Masjid Hijau.

Masyarakat juga tidak perlu bimbang terhadap penggunaan dana wakaf tersebut kerana ia akan ditadbir oleh dua jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Pemandu serta Jawatankuasa Teknikal Penilaian dan Agihan sebelum sesuatu agihan dibuat,” katanya. – BERNAMA

Siri Labur Dalam Mata Wang Kripto.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails