Perintah takwa dalam melayari kehidupan
SEMALAM usrah mingguan diadakan seperti biasa bersama para pegawai Pejabat YBTM KPWKM. Walaupun dalam perjalanan ke Parlimen, saya tetap dapat mengikutinya secara atas talian. Alhamdulillah.
Kali ini kami mendalami Surah At-Talaq, ayat 2-3, yang lebih dikenali dengan Ayat Seribu Dinar yang mengajar kita konsep takwa dalam melayari bahtera kehidupan.
Firman Allah S.W.T:
وَمَن يَتَّقِ اللَّـهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا ﴿٢﴾ وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّـهِ فَهُوَ حَسْبُهُ ۚ إِنَّ اللَّـهَ بَالِغُ أَمْرِهِ ۚ قَدْ جَعَلَ اللَّـهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا ﴿٣﴾
“Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.”
(at-Talaq: 2-3)
Antara sebab kita diperintahkan agar bertakwa kepada Allah S.W.T ialah:
1. Merealisasikan konsep kehambaan kepada Allah S.W.T.
Kepatuhan kita kepada Tuhan yang menguasai segalanya amat penting bagi mengukuhkan pegangan kita dalam mentauhidkan Allah. Selain itu, ia juga dapat memantapkan keyakinan bahawa Allah akan membuka jalan keluar bagi setiap masalah yang dihadapi.
2. Mengingatkan kita agar menjauhi laranganNya.
Takwa penting bagi mengelakkan kita terjerumus melakukan maksiat dan kejahatan. Ia juga mendidik kita supaya tidak menyalahgunakan nikmat yang dikurniakan sebaliknya mensyukuri dan menggunakannya ke jalan kebaikan.
3. Mengajar manusia supaya sabar berusaha bagi mendapatkan kehidupan yang lebih baik.
Dengan adanya konsep takwa dan tawakal dalam diri manusia, ia mendidik hati kita supaya berserah diri kepada Allah setelah berusaha. Keyakinan terhadap Allah dan kesabaran yang berterusan menjadikan kita manusia yang kuat dalam menongkah arus kehidupan.
Justeru, bagi menjayakan nilai-nilai Keluarga Malaysia yang sejahtera, marilah kita meningkatkan keyakinan diri serta memberi sokongan kepada orang lain menerusi konsep takwa kepada Allah agar kita menjadi satu komuniti yang berwawasan dan kehadapan. Insya-Allah.
YB DATO’ HAJAH SITI ZAILAH MOHD YUSOFF
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat – HARAKAHDAILY 28/10/2021
Sumber Asal: https://www.facebook.com/1333302954/posts/10226648969553753/
No comments:
Post a Comment