KUALA LUMPUR: Amalan berjudi tidak hanya diharamkan oleh Islam sahaja, bahkan ia turut dilarang di dalam semua agama, demikian dinyatakan Ketua Penerangan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP), Dr Balachandran Gopal Krishnan.
Menurut beliau, berjudi bukan amalan mana-mana agama, bahkan hakikatnya kalangan mereka yang mempertahankan perjudian adalah manusia penyembah ego sendiri dan tidak yakin dengan kebesaran Tuhan.
Beliau mengimbau sewaktu bekas Al-Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Aziz Nik Mat menjadi Menteri Besar Kelantan di mana ketika bertindak mengharamkan judi, keputusan tersebut diterima oleh semua Ketua Agama di negeri itu.
“Pemimpin yang mempertahan judi adalah pemimpin yang tidak mengambil kira perhitungan dosa dan pahala. Pemimpin sedemikian perlu tanya isteri mereka adalah mereka suka sekiranya suami mereka terlibat dengan judi?
“Rakyat perlu menolak pemimpin sedemikian agar negara dan rakyat kita selamat. Pemimpin kena tegas dalam melaksanakan kebaikan. Kerana benda yang baik lazimnya mendapat tentangan dari golongan yang bencikan kebaikan,” ujar beliau.
Dr Balachandran turut menegaskan bahawa tindakan menghalang perjudian adalah suatu usaha yang baik walaupun sering diperlekehkan.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan pemimpin DAP, Dr Ramasamy Punusamy yang mendakwa keputusan Kerajaan Negeri Kedah menamatkan operasi premis perjudian sebagai tidak menghormati hak orang bukan Islam.
“Kenyataan itu tidak benar. Bahkan Kerajaan Kedah menghormati semua manusia. Tindakannya mengharamkan judi adalah untuk menyelamatkan kemanusiaan sejagat.
“Kemudaratan angkara perjudian bukan sahaja merosakkan orang Islam. Bahkan ia merosakkan kemanusiaan semua bangsa dan penganut apa sahaja agama,” ujar beliau.
Katanya, pemimpin dan kerajaan yang bertanggungjawab akan memastikan rakyat dididik untuk menjadi rakyat yang bertanggungjawab terhadap diri, keluarga dan negara.
Menurutnya, DHPP senantiasa bersama pemimpin yang berani membuat perubahan demi mempertahankan kebaikan demi kesejahteraan rakyat.
Berhubung dakwaan pengharaman judi akan mengundang masalah ekonomi dan kemerosotan pendapatan negara, beliau berkata, pemimpin negara perlu yakin bahawa yang memberi rezeki ialah Tuhan dan bukan syarikat judi.
Dalam hal ini beliau memetik kata-kata hukamak, “Bagaimana aku takut kepada kemiskinan sedangkan aku adalah hamba kepada Tuhan yang Maha Kaya!”. – HARAKAHDAILY 16/11/2021
2. Arak dan judi hak bukan-Islam, benarkah?
Tahniah MB Kedah, atas keberanian anda. Rakyat Kedah berbangga dan bertuah mendapat negarawan seperti anda. Jangan layan sangat ultra kiasu, sepantas kilat ultra kiasu berhujah, itu hak orang bukan-Islam.
Bila bercakap soal hak agama bukan-Islam, kamulah jaguh mempertahankan hak-hak agamanya. Hairannya, bila tiba kepada amalan, agama mana yang membenarkan judi dan arak ini? Hina sungguh, manusia seperti ini, mempermainkan agama sendiri.
Semua orang tahu, tidak satu agama atau kepercayaan yang menggalakkan judi dan arak. Kenapa tiba-tiba ultra kiasu katakan ia hak.
Mana perginya persatuan agama-agama bukan-Islam begitu lantang bercakap soal hak, kenapa tidak pertahankan larangan agama kamu? Kenapa kamu tidak sokong kenyataan MB Kedah.
Sepatutnya kamu memuji tindakan MB Kedah kerana mahu menyelamatkan bangsa dan agama kamu. Berapa ramai yang telah menjadi korban judi dan arak. Buktinya kamu lihat dengan mata kepala kamu sendiri. Berapa banyak kerosakan yang berlaku akibat arak judi ini.
Bagaimana kamu boleh memperkatakan ia hak bukan-Islam. Sedangkan agama bukan turut melarang keras judi dan arak. Lagi pun MB hanya tidak benarkan dalam konteks Negeri Kedah. Kamu boleh pergi ke Pulau Pinang untuk judi dan mandi arak.
Sepatutnya ultra kiasu Pulau Pinang gembira kerana sudah tentu ia menguntungkan peniaga-peniaga judi dan arak negeri mereka apabila bukan-Islam Kedah berpusu-pusu ke sana. Bagaimana kamu boleh kata menghalang hak bukan-Islam. Tak halang apapun.
Justeru, daripada mana datangnya tuduhan bahawa MB Kedah mahukan publisiti murahan. Yang murahan itu kamu, ultra kiasu, bukan MB Kedah.
MB Kedah mahu bertindak sebagai negarawan. Paling sedih, apabila tengok pemimpin parti politik Melayu dan NGO Islam senyap seribu bahasa.
Dalam agama Hindu, judi ternyata dilarang sama sekali. Kitab suci Manawa Dharmasastra buku IX (Atha Nawano dhyayah) skola 221, 222, 223,224, 225, 226, 227 dan 228 jelas menyebut larangan tersebut.
Kaki judi dan kaki minum arak digolongkan sebagai orang ‘sramana kota’ (sloka 225). Disebut sebagai pencuri-pencuri (226) yang mengganggu ketenteraman hidup orang baik-baik. Judi menimbulkan pencurian (sloka 222) dan permusuhan (sloka 227) dan kejahatan (sloka 228).
Walaupun ada sesetengah mazhab seperti Shaktas tidak melarang penggunaan arak adalah sebahagian daripada ritual mereka. Ada pandangan menyatakan itu hanya untuk penyembahan bukan untuk diminum. (Wendy Doniger: The Hindus)
Dalam agama Buddha pun sama. Digha Nikaya (kumpulan Digha) di kitab Sutta Pitaka dengan jelas melarang judi dan arak.
Judi disebut antaranya, pemenang memperoleh kebencian dari yang kalah, yang kalah bersedih kerana kekalahannya, kehilangan kekayaan.
Kata-kata pelaku judi tidak boleh dipercayai oleh mahkamah, dipandang rendah oleh saudara dan masyarakat, tidak dipercayai untuk terikat dalam perkahwinan.
Perwakilan Buddha Indonesia, Walubi, menukilkan, judi dan arak boleh membawa kepada pembunuhan, kecurian, hubungan kelamin yang salah dan ucapan yang salah. Ia juga boleh mendorong kepada kejahatan, kebencian, ketakutan dan kebodohan.
Buddha turut berpandangan antara perkara yang boleh menghabiskan kekayaan adalah arak dan judi.
Dalam Pancasila (lima sila) ajaran Buddha, sila yang terakhir menjelaskan akan perlunya menghindari bahan yang memabukkan. Sebutan di dalam bahasa Siam (Hinayana/Theravada) Suk-ra Mey-rak-yak mat-cak Pak-ma-that-tha-na Wey-Rak-Ma-Ni ‘menahan diri daripada meminum minuman memabukkan’.
Dalam Kristian pula, baca, Imamat bab 10 : 9, Bilangan bab 6 : 3, Ulangan bab 29 : 6, Hakim-Hakim bab 13 : 4, Efesus bab 5 : 18, Samuel bab 1 : 15, Yesaya bab 5: 11, Mikha bab 2 : 11, dan Lukas bab 1: 15.
Dalam agama Sikh pula, catatan Guru Gobind Singh (guru ke 10), Dasam Granth buku terakhir, dalam kitab Guru Granth Sahib, menyenaraikan lima larangan asas Sikh iaitu tidak boleh potong rambut, tidak boleh berkelakuan buruk, tidak boleh merokok, tidak boleh makan daging yang disembelih dan tidak boleh minum minuman beralkohol.
Sudah terang, lagi bersuluh. Jika dari segi mana sekali pun, moral dan sivik juga arak dan judi tidak ada yang boleh menjustifikasikan ianya dibenarkan. Berapa ramai yang menjadi korban arak judi ini.
Dalam kata lain, kamu ultra kiasu percaya kepada agama atau tidak. Bila sentuh sikit agama kamu, kamu melompat bukan main, tetapi kamu sendiri tidak jaga agama kamu. Justeru, kembalilah kepada agama asal kamu, jika kamu tidak mahu menghina atau memperlekeh agama kamu.
Lagipun judi (nombor ekor) dan arak boleh dibeli secara online. Jadi, apa relevannya lagi membuka kedai nombor ekor di negeri majoriti orang Melayu, jika bukan mahu mencabar.
Saya harap MB Kedah tetap dengan pendirian. Jangan mudah goyang dikecam dan dikritik ultra kiasu kira kanan depan belakang. Itu sudah memang kerja mereka. Mengaku beragama, tetapi menghina agama sendiri.
Sementara ada kuasa ini, buatlah yang terbaik wahai MB Kedah. Tahniah, moga Allah memberkati kehidupanmu dunia akhirat.
PROF DR MOHD RIDHUAN TEE ABDULLAH – HARAKAHDAILY 16/11/2021 Sumber Asal: https://www.facebook.com/ridhuantee
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Ini sikit cerita sembang-sembang lawak.
"Aci, maaf, pinjam duit sikit. Aku tersalah tadi, tumpang sekaki main judi dengan kawan-kawan. Habis duit ku, rugi." Kata suami pada isterinya.
Isterinya sugul melihat suaminya sugul, cuba cari-cari kelebek balik wang simpanannya, terkumpullah RM90. Banyak tu bagi yang tiada. Diberikan pada suaminya sambil berkata, "Pinjam tau, kena bayar balik!".
Sampai waktu bayar, suaminya membayar wang pinjaman dalam sampul surat. Apabila dibuka, isterinya terpernjaat, "Mengapa pinjam RM90 tapi bayar RM60?"
Rupanya, si suami minum todi. Mabuk, angka '9' nampak terbalik jadi angka '6', penyebab hutang tak langsai.
Begitulah contoh bahaya arak dan judi, yang agama Islam melarangnya. Parti Islam istiqmah tegah, mungkin Parti DAP suka ahlinya begitu??
Maaf, senbang-sembang lawak!!
No comments:
Post a Comment