Sedangkan PAS, Bersatu dan Umno (BN) menongkat kerajaan sekarang. Ada orang sebut kerajaan Perikatan Nasional (PN). Ada juga kata kerajaan Keluarga Malaysia.
Bagi Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Tajuddin Abdul Rahman, disebutnya BBC Kerajaan Malaysia. Bukan lagi BBC PN.
Namun di Melaka sekarang, PN dan BN bersaing. Masing-masing mahu berebut undi rakyat. Kelibat menteri juga kelihatan turun padang. Mereka membantu team masing-masing
Pada penamaan calon Isnin lepas ada juga menteri turun padang. Namun belum kelihatan kelibat perdana menteri. Ismail Sabri Yaakob agak sukar untuk turun padang dalam situasi sekarang.
Langkah selamat lebih baik perdana menteri, hindari sentimen PRN Melaka.
Sekiranya perdana menteri turun padang, elak berkunjung ke Bilik Gerakan Umno sahaja.
Perdana Menteri tidak boleh mengajak rakyat tolak PN. Nanti terguris hati ahli parlimen yang mendukung kerajaan sekarang. Risikonya sangat besar. Kata orang kampung cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar.
Jalan selamat, biarlah Timbalan Presiden Umno Mohammad Hassan membuat percaturan. Biarpun sebelum ini Mohamad dan Ismail Sabri diberi mandat untuk mencatur jentera Umno/BN di Melaka.
Jangan rempuh gelombang
Sekiranya situasi itu menjadi kenyataan, Ismail Sabri setidak-tidaknya boleh menyelamatkan kerajaan Persekutuan seketika. Kalau rempuh juga gelombang itu sejarah baru negara mungkin tercatat lagi.
Mengambil situasi sekarang, pengaruh BN, PN dan PH masih lagi samar.
Pengarah Pusat Kajian Strategik Negeri Kelantan Dr Wan Nik Wan Yussof berkata, kekuatan antara parti masih setara.
Kata beliau tidak boleh mana-mana parti mendakwa mereka kuat. Biarpun ramai cuba ungkit alasan sejarah, Melaka kubu Umno, namun alasan itu semakin ketinggalan.
Tengok apa yang berlaku pada Pilihan Raya Umum (PRU) 14. Johor dan Melaka bertukar kerajaan pada PRU lepas. Johor bumi tempat kelahiran Umno pada 1946. Begitu juga Melaka sebagai negeri Hang Tuah.
Namun PRU lepas lagenda Hang Tuah disisih. Sekarang muncul Hang Jebat yang sedia derhaka. Pilihan rakyat Melaka sekarang kata Dr Wan Nik, mengintai mana-mana parti yang integriti tinggi.
Rakyat Melaka juga kenal sangat pemimpin Umno yang menerajui kerajaan sebelum ini. Krisis angkara projek dikatakan mencetus polemik berpanjangan. Akhirnya ada wakil rakyat Umno menolak Ketua Menteri dari Umno.
“Krisis dalaman Umnolah yang menjadi punca tumbangnya kerajaan Melaka. Rakyat Melaka tahu perkembangan itu,” kata Timbalan Pengerusi Assabiqun Kelantan Drs Zainuddin Awang Hamat.
Calon kitar semula
Ketika pengaruh Umno masih samar, PH juga dilanda kemelut. Kehadiran semula Idris Haron dan Nor Azman Hassan yang terbabit menumbangkan kerajaan Melaka menjadi tanda tanya. Idris bertanding di Dun Asahan.
Pemimpin DAP Melaka bertanya adakah dia menjadi aset atau liabiliti PH. Kehadiran Idris disertui PKR. Begitu juga Nor Azman direstui Amanah. Dia mewakilli Amanah di Pantai Kundor.
Isu itu ternyata membengkak krisis PH Melaka. Banyak kenyataan media DAP menentang keras kehadiran calon terbabit.
“Keputusan mencalonkan Idris dan Azman mewakili PKR dan Amanah satu liabiliti dan dibimbangi akan menyebabkan kekalahan PH,” kata pemimpin akar umbi DAP.
Begitu langkah ‘berani mati’ PKR mencalonkan mahasiswi UiTM Farzana Hayani Mohd Nasir di Dun Sungai Rambai. Farzana merupakan Ketua Srikandi PKR Melaka dan masih belajar.
Ramai menganggap PKR ketandusan calon berwibawa. Percaturan itu mengundang tentangan senyap akar umbi PKR di Sungai Rambai.
Isu tersebut ternyata membelit BN dan PH. Teori awal memperlihatkan silap percaturan berlaku di kem BN dan PH. Setidak-tidaknya PN masih bersih dan segar lagi ketika ini.
Mengambil kira kebimbangan itu tiba-tiba Mohamad Hasan membuat tawaran awal, bersedia bekerjasama semula dengan PN.
Kata beliau ketika sidang media mengumumkan manifesto BN, kemenangan besar BN pada PRN Melaka semakin pasti. Namun ujarnya lebih baik sekiranya kemenangan itu dikongsi bersama rakan-rakan parti peringkat kerajaan pusat.
Ramai penganalisis melihat pendirian Tok Mad jauh bertentangan berbanding sebelum ini.
Bertitik tolak perkembangan itu Prof Madya Dr Rusdi Omar merumuskan, jika parti yang menang tidak dapat membentuk kerajaan, kemungkinan Umno, Bersatu dan PAS akan kembali berkerjasama membentuk kerajaan. – HARAKAHDAILY 11/11/2021
1 comment:
Alhamdullillah. Yg penting bersih. Agong pun dah iktiraf. Beri tan sri. Semoga pas kekal bersih. Istiqamah motto utama. Istiqamah pertahan politik bersih.
Post a Comment