Monday, November 08, 2021

Dr Kamarul Zamn: DAP-PH tetap pertikai Belanjawan 2022.

 

 ‘jurang pendapatan penengah antara Bumiputera dan kaum Cina semakin melebar, iaitu empat kali ganda pada tahun 2019 berbanding pada tahun 1989’ -Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob

SEPERTI yang dimaklumkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Dato’ Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Bajet 2022 yang dibentangkan di Parlimen pada 29 Oktober lalu terhasil dari siri turun padang dan jelajah negeri, perbincangan dengan lebih 30 sesi kumpulan fokus dan 80 sesi sumbang saran bersama Ahli-ahli Parlimen merentasi doktrin politik.

Lebih jauh lagi, selaras dengan Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai pihak kerajaan bersama Pakatan Harapan (PH) pada 13 September lalu yang menghendaki proses penyediaan Bajet 2022 dirundingi dan dipersetujui secara bersama pada dasarnya, tiga siri Rundingan Bajet 2022 dengan pihak PH telah diadakan.

Malah, Setiausaha Publisiti DAP merangkap Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua Kiam Wee, sendiri telah, pada 29 Oktober lalu, memberikan pujian kepada Tengku Dato’ Seri Zafrul kerana bersetuju menerima pakai beberapa langkah kritikal yang dikemukakan oleh pihak PH melalui sesi-sesi sumbang-saran yang diperuntukkan oleh Memorandum Persefahaman.

Satu cadangan pihak PH yang diterima pakai dalam Bajet 2022 ialah supaya diperuntukkan dana RM30 bilion bagi membantu golongan usahawan yang terjejas ekoran COVID-19, di mana Bajet 2022 telah memperuntukkan dana RM40 bilion di bawah Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia (atau SemarakNiaga) untuk memanfaatkan setiap golongan usahawan.

Satu lagi cadangan pihak PH yang diterima pakai ialah supaya perlindungan sosial negara di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) diluaskan liputannya, di mana Bajet 2022 telah meluaskan manfaatnya kepada 9 kategori pekerja sendiri baharu antaranya petani, nelayan, penjaja, artis, ejen pelancongan dan petugas Pemulihan Dalam Komuniti (PDK).

Beberapa pengumuman lain di dalam Bajet 2022 yang selaras dengan kehendak pihak PH ialah seperti jaminan penyediaan 600,000 peluang pekerjaan dengan peruntukan RM4.8 bilion di bawah inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia (atau JaminKerja); perluasan skim insurans perubatan khas untuk B40 mySalam; serta penyediaan dana khas pelaburan strategik sehingga RM2 bilion bagi menarik pelaburan asing strategik dalam kalangan syarikat multinasional.

Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong, pula memuji pengumuman Tengku Dato’ Seri Zafrul bahawa kerajaan berhasrat untuk memperkenalkan Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) dengan tujuan meningkatkan tadbir urus, akauntabiliti dan ketelusan dalam pengurusan fiskal negara bagi memastikan kemampanan fiskal dan menyokong kestabilan ekonomi makro.

Disebabkan akomodasi besar pihak kerajaan kepada pihak PH, yang diakui sendiri oleh sebahagian pemimpin PH, maka amatlah janggal sekali bila ada pemimpin-pemimpin PH lain, termasuk daripada DAP, yang masih lagi mempertikaikan kandungan Bajet 2022 ini, apatah lagi bila ada antara mereka yang menyebut mengenai keperluan untuk Bajet 2022 ditolak.

Jauh lebih janggal lagi bila kritikan yang dibuat adalah didasarkan kepada sentimen perkauman dan keagamaan seperti ia kononnya adalah bajet berat-sebelah (lop-sided) yang mengutamakan golongan Bumiputera Melayu Islam dan mengkesampingkan golongan bukan-Bumiputera Melayu Islam sedangkan fakta-fakta yang ada membuktikan kritikan ini adalah tidak berasas.

Bila Bajet 2022 memastikan agenda pemerkasaan Bumiputera terus diberi keutamaan dalam usaha untuk merapatkan jurang antara kaum di negara ini dengan menyediakan peruntukan RM11.4 bilion bagi melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah payung pembangunan Bumiputera, maka ia bukanlah bajet berat-sebelah malah bertepatan dengan realiti semasa.

Majoriti terbesar penduduk negara ini adalah golongan Bumiputera yang masih jauh ketinggalan di mana sewaktu membentangkan Usul Mengenai Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), 2021-2025, Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, sendiri mendedahkan bahawa ‘jurang pendapatan penengah antara Bumiputera dan kaum Cina semakin melebar, iaitu empat kali ganda pada tahun 2019 berbanding pada tahun 1989’.

Begitu juga dengan pemilikan ekuiti korporat Bumiputera yang masih belum mencapai sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus di mana status pemilikan ekuiti sektor korporat berasaskan nilai pasaran tahun 2019 adalah seperti berikut: Pegangan Bumiputera hanya mencapai 17.2 peratus; Bukan Bumiputera 25.0 peratus; Pegangan Asing 45.5 peratus; dan Nomini 12.3 peratus.

Sebab itulah bila Dato’ Sri Ismail Sabri memberi jaminan bahawa agenda Bumiputera akan terus diperkasa dalam RMKe-12 untuk mencapai pembangunan sosioekonomi yang lebih adil, saksama dan inklusif selaras dengan semangat Keluarga Malaysia dan dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan maka ia diterima dan RMKe-12 telah diluluskan oleh Parlimen.

Malah, Lim Guan Eng selaku Menteri Kewangan sewaktu pihak PH memerintah negara selama 22 bulan dahulu pun tidak berani untuk mengusik struktur asas negara ini di mana beliau juga turut memperuntukkan sejumlah dana yang besar, iaitu RM7.6 bilion dan RM8 bilion, untuk agenda membantu institusi dan usahawan Bumiputera dalam Bajet 2019 dan Bajet 2020.

Begitu juga dengan peruntukan RM1.5 bilion bagi pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam Bajet 2022 yang selari dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan tidak berbeza dengan peruntukan RM1.2 bilion dan RM1.3 bilion yang diberi oleh Lim Guan Eng dalam Bajet 2019 dan Bajet 2020.

Bajet 2022 juga bukan setakat mengekalkan program khusus untuk kaum Cina dan India yang terkandung di dalam Bajet Lim Guan Eng, malah menambah jumlahnya menjadi sebanyak RM200 juta untuk melaksanakan program memperkasa sosioekonomi komuniti Cina dan RM145 juta untuk melaksanakan program memperkasa sosioekonomi komuniti India.

Oleh itu, selaras dengan konsep Keluarga Malaysia dan dengan Memorandum Persefahaman, semua pihak hendaklah segera berhenti dari terus memainkan sentimen politik murahan, termasuk untuk mensensasikan kandungan Bajet 2022 yang tidak mengandungi apa-apa isu besar pun dari segi dasarnya, dan sebaliknya perlulah fokus kepada usaha pemulihan negara.

DR KAMARUL ZAMAN YUSOFF
Timbalan Presiden Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR) – HARAKAHDAILY 8/11/2021

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails