Judi dan arak: DAP tunjukkan wajah sebenar.
KERAJAAN Negeri Kedah diharap tidak melayan politikus kurang akal yang sudah dijangka akan menentang usaha menamatkan operasi judi dan mengurangkan penjualan arak di negeri itu. Kemunculan segera pimpinan DAP membantah keputusan itu bagaikan timbulnya buaya di air tenang.
Bahkan seperti dijangka juga, mereka akan memanaskan isu ini dengan menjebaknya ke kancah perkauman dan politik sempit. Sedangkan tindakan kepimpinan YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor adalah usaha besar menyelesaikan kemelut, masalah dan penyakit sosial serta rantaian jenayah dalam kalangan manusia dan negara.
Kami percaya, bantahan beremosi para pemimpin DAP kerana senak otak dengan keputusan Kedah itu bukanlah kerana memperjuangkan hak seperti didakwa mereka kononnya. Adakah ini satu petunjuk bahawa DAP adalah sebahagian daripada dalang di sebalik banyak aktiviti, kegiatan dan industri dari judi dan arak?
Hasil lumayan dari industri dosa ini menjadi dana dan pembiayaan untuk survival politik pihak tertentu yang menjadi ‘pelindung’ kepada judi dan arak. Paling merbahaya, dari keduanya terdapat ‘lembaga’ lebih besar bermaharajalela pada ‘black economy’ yang menjahanamkan negara.
Kerajaan perlu sensitif dan memahami liciknya kedua unsur ini menjalar dalam masyarakat hingga menumbuhkan banyak masalah dan jenayah lain. Bukan sahaja kerosakan kesihatan individu dan keruntuhan institusi keluarga, tapi di sana juga berkembang biak dadah, pelacuran, kecurian, rompakan, pergaduhan, pembunuhan dan banyak jenayah lagi.
Setidak-tidaknya, di sebalik aktiviti judi dan arak yang dilesenkan, wujud lebih banyak perjudian dan arak secara haram dengan terselindung pelbagai masalah dan jenayah lain. Oleh itu, langkah Kerajaan Negeri Kedah adalah usaha mengekang dan membendung kebejatan telah sedia membarah.
Kami berharap segala tentangan dan kritikan dihadapkan dari keputusan ini tidak dirasakan Kedah bersendirian. Kami yakin majoriti rakyat Malaysia yang waras menyokong penuh keputusan tersebut demi melihat kehidupan rakyat lebih baik dan negara ini aman dari belenggu judi dan arak.
Kami juga berharap Kerajaan Persekutuan pimpinan YAB Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob memiliki keberanian dan keazaman politik untuk mengambil langkah serupa. Kantung pendapatan kerajaan mesti disucikan daripada sumber judi dan arak. Lesen berkaitan mesti ditamatkan dan dihapuskan.
Kami percaya, cita-cita murni mewujudkan Keluarga Malaysia, hanya akan dapat direalisasikan antaranya dengan menghapus punca penyebab kepada masalah-masalah masyarakat. Lebih banyak duri dibuang di jalanan, akan lebih laju kita semua dapat melangkah dan selamat.
“Islam Menyatukan Ummah”
“Memacu Perpaduan”
USTAZ MOHAMAD FAWWAZ MOHAMAD JAN
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang – HARAKAHDAILY 15/11/2021
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Ini wajah DAP sebenarnya..
Pemuda PAS senarai '15 hujah DAP anti-Islam'
1. Mufti Pahang, Dr Abdul Rahman Osman, sewaktu mempertahankan kandungan khutbah Aidiladha yang dikeluarkan Jabatan Mufti Pahang menyebut mengenai campur tangan DAP terhadap hal ehwal Islam seperti pelaksanaan hudud di Kelantan. Malah, tokoh DAP, Karpal Singh, cukup terkenal dengan kata-katanya, “an Islamic state over my dead body”
2. Perlembagaan DAP jelas menyebut dalam Perkara 2 matlamat-matlamat DAP ialah untuk “mengesahkan lagi dan memulihkan Perlembagaan Malaysia kepada rangka kerja sekular yang asal”.
3. Perkara 3(1) Perlembagaan Malaysia menyebut bahawa “Islam ialah agama bagi Persekutuan”. Namun, dalam Perlembagaan DAP pada Perkara 3 Matlamat-matlamat DAP hanya menyatakan “mengiktiraf kebebasan beragama sebagai hak asasi yang merangkumi kebebasan pelbagai agama”.
4. Sheikh Omar Ali, Pegawai Khas Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong, pada 8 September 2015 menulis: “Bagi DAP, urusan beragama adalah bersabit seorang hamba dengan Tuhannya”. Pegangan DAP yang membataskan urusan beragama kepada soal peribadi ini bercanggah dengan definisi Islam, iaitu satu cara hidup.
5. Penentangan DAP terhadap cadangan meminda Akta Mahkamah Syariah (RUU355) dengan pelbagai alasan. Sedangkan ia sekadar mahu meningkatkan kadar hukuman yang boleh dikenakan ke atas penganut Islam atas kesalahan syariah sahaja.
6. DAP juga memiliki rekod membentak dan ingkar kepada raja-raja Melayu. Antaranya mengenai isu pelantikan Menteri Besar Perak apabila Lim Kit Siang menyeru agar Adun DAP memboikot upacara mengangkat sumpah kerana tidak setuju perkenan Almarhum Sultan Azlan Shah yang melantik Adun PAS sebagai Menteri Besar pada 2008. DAP juga mengundang murka Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 2014 apabila enggan mengemukakan lebih daripada dua nama untuk calon Menteri Besar Selangor susulan Langkah Kajang. Ini tidak termasuk banyaknya lagi celupar pro-DAP terhadap institusi Istana.
7. Lim Kit Siang menuduh khutbah Jumaat disediakan Jakim sebagai menyebarkan kebencian dan mencabar usaha ke arah keharmonian. Pengerusi Wanita DAP, Chong Eng, pula mengkritik khutbah Jumaat berkait kewajiban wanita Muslim menutup aurat. Timbalan Setiausaha Agung DAP, Dr P Ramasamy, pula pernah menggelar pendakwah Islam, Dr Zakir Naik sebagai ‘syaitan’.
8. Dalam isu laungan azan dan bacaan ayat al-Quran, Dr Tan Seng Giaw telah mempersoalkan di Dewan Rakyat pada 27 Sept 2005 keperluan melaungkan azan dan bacaan ayat al-Quran melalui pembesar suara yang dikatakan mengganggu penganut bukan Islam, terutama pada waktu Subuh. Antara disebut beliau, “bahkan juga 1,500 tahun yang lampau mana ada pembesar suara?”
9. Dalam isu solat hajat, Teresa Kok mempersoalkan dalam Facebook beliau pada 22 Julai 2016 kewajaran Exco Hal Ehwal Agama Selangor dari PAS, Dr Ahmad Yunus Hairi, mengarahkan agar semua masjid di seluruh negeri mengadakan solat hajat untuk memohon ke hadrat Allah agar konsert Selena Gomez di Stadium Melawati, Shah Alam pada 25 Julai dibatalkan.
10. Dalam isu umrah di Makkah, pemimpin DAP Melaka, Damian Yeo Shen Li, mempersoalkan sama ada dosa penganut Islam terhapus bila menjejakkan kaki ke Makkah. Sindiran sama juga telah disuarakan oleh pemimpin DAP Johor, Suppiah Ramakrishnan, dalam muka buku beliau pada Mac 2016 walaupun ia kemudiannya dipadamkan.
11. Dalam isu aurat, Nga Kor Ming menyindir purdah yang dipakai sebahagian wanita Islam sambil menyifatkan seorang pemimpin Umno Pulau Pinang, Ahmad Darus, yang mencadangkan dalam Perhimpunan Agung Umno 2015 supaya pramugari MAS memakai pakaian yang menutup aurat sebagai "pemimpin Melayu otak cacat".
12. Dalam isu murtad, Ngeh Koo Ham mengeluarkan kenyataan pada 7 Jun 2014, yang diikuti ucapan sama di Dewan Rakyat pada 11 Jun 2014, supaya umat Islam diberikan kebebasan untuk keluar dari Islam. Kata beliau, umat Islam mestilah menerima hakikat bahawa jika seseorang Islam atas kehendaknya sendiri mahu keluar dari Islam dia mestilah dibenarkan berbuat demikian.
13. Pemisahan DAP dari semua pakatan politik yang pernah disertainya, iaitu Gagasan Rakyat pada Jan 1995, Barisan Alternatif pada Sept 2001 dan Pakatan Rakyat pada Jun 2015 kesemuanya berpunca dari ketidaksetujuannya terhadap perjuangan Islam PAS.
14. Deklarasi Setapak DAP menyatakan, “kesamarataan etnik harus menjadi prinsip paling penting, dan di atas prinsip inilah pengasingan rakyat ke dalam dua kelompok bumiputera dan bukan bumiputera ditentang”.
15. Kuat menyuarakan supaya Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) diratifikasi.
Ini merupakan sebahagian daripada banyaknya lagi hujah dan fakta serta senarai panjang mengenai DAP dalam isu ini.
Sekian.
1 comment:
Islam adalah agama persekutuan. Tidak ada salahnya jika orang Islam mengamalkan Islam di tanah airnya. Ruu355 yg tiada kena mengena dgn org bukan islam pun dap bantah. Inikan pula isu arak.
Tiada jadi kesalahan jika undang2 Islam diamalkan, memandangkan Islam adalah agama persekutuan.
Post a Comment