Friday, November 12, 2021

Menteri KASA buka lembaran baharu di peringkat antarabangsa

 

Foto daripada Facebook Dato' Sri Tuan Ibrahim bin Tuan Man.

“Negara kita tanggungjawab kita. Bahasa kita tanggungjawab kita.” -Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan

KUALA LUMPUR: Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan mengucapkan tahniah dan syabas kepada pemimpin yang mengangkat bahasa negara di forum antarabangsa, selaras dengan semangat mendukung maruah dan kedaulatan negara.

Menurut Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu, perihal pemimpin negara berucap dalam bahasa negara masing-masing telah lama diamalkan oleh pemimpin negara lain seperti Republik Rakyat China, Jerman, Rusia, Perancis, Indonesia dan yang lain.

Katanya, beliau mengikuti ucapan dalam bahasa Melayu sebagai bahasa negara Malaysia oleh Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man pada Persidangan Perubahan Iklim Bangsa Bersatu 2021.

Beliau yang juga dan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menambah, ucapan Menteri KASA itu membuka lembaran baharu dalam perkembangan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa dan wajar dilaksanakan oleh pemimpin lain juga.

Menurutnya lagi, dengan modal yang kecil untuk membayar khidmat terjemahan, negara sebenarnya memperoleh faedah yang amat besar.

Selain soal imej negara, ujarnya akan ada lonjakan lain daripada usaha mengangkat bahasa negara di peringkat dunia, seperti pelancongan, perdagangan dan pendidikan.

Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan

“Sebagai contoh, pengalaman saya sebagai Penyandang Kursi Pengajian Melayu di negara China atas nama Kementerian Pendidikan Tinggi dengan Jabatan Pendidikan Malaysia di Beijing telah berjaya mengembangkan bahasa Melayu di negara itu,” jelasnya.

Katanya, kini 15 buah universiti di China menawarkan program Ijazah Bahasa Melayu selama empat tahun dan program Diploma Bahasa Melayu selama tiga tahun dan jumlah itu akan bertambah secara berterusan.

Tambahnya, DBP dalam Sasaran Kerja Utama sejak lebih 20 tahun lalu telah meletakkan sasaran menjadikan bahasa Melayu bahasa rasmi ASEAN dan bahasa di Pertubuhan Bangsa Bersatu.

Usaha itu, ujar beliau belum tercapai kerana banyak bergantung pada keputusan dan pelaksanaan oleh kerajaan.

“Dengan perkembangan kini, saya positif bahawa bahasa Melayu dapat ditingkatkan di peringkat Antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Menteri Luar Negara, Dato’ Saifuddin Abdullah, dalam kunjungan ke DBP pada 6 Oktober lalu telah mengisytiharkan Program Diplomasi Kebudayaan yang antara lain menggerakkan bahasa, persuratan dan kebudayaan negara di peringkat dunia melalui peranan kedutaan-kedutaan utama Malaysia di dunia, dengan kerjasama DBP.

“Negara kita tanggungjawab kita. Bahasa kita tanggungjawab kita,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 11/11/2021

1 comment:

PJ BLOGSPOT said...

Setuju. Menggunakan bahasa malaysia lebih menampakkan jatidiri. Apa gunanya cakap bahasa inggeris tapi orang tak faham.😂

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails