'Selama tempoh hampir setengah abad perjanjian ditangani tidak ada pun bayaran tunai dibayar kepada kerajaan negeri Kelantan..'
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan melahirkan perasaan terkejut terhadap kenyataan Menteri Kewangan, di mana Petronas tidak akan membuat bayaran royalti tunai kepada mana-mana negeri di Semenanjung.
Tinbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, kenyataan Tengku Dato’ Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz itu cukup mengejutkan.
“Saya secara peribadi terkejut dengan kenyataan terbabit memandangkan kerajaan negeri mengharapkan bayaran royalti petroleum daripada kerajaan Persekutuan.
“Kita amat mengharapkan kerajaan Pusat memberi royalti petroleum kepada Kelantan selari dengan perjanjian 1975,” katanya ketika ditemui media selepas menyampaikan Kuliah Jumaat di Pejabat Perhubungan PAS Negeri di sini hari ini.
Pada jawapan di Parlimen pada 24 November lepas Tengku Zafrul berkata, tiada bayaran tunai (royalti) dibuat oleh Petronas, khususnya bagi pengeluaran petroleum kepada mana-mana negeri di Semenanjung Malaysia termasuk Kelantan.
Menurutnya keadaan itu disebabkan kedudukan medan pengeluaran petroleum yang beroperasi di luar perairan negeri Kelantan.
“Memandangkan lokasi medan petroleum berdekatan dengan perairan Kelantan, maka Kerajaan Persekutuan membuat pembayaran dalam bentuk wang ihsan,” katanya.
Sementara itu Presiden Pertubuhan R Kelantan (Royalti) Nazri Deraman berkata, seluruh rakyat Kelantan amat terkejut, marah dan kecewa dengan kenyataan tersebut.
Katanya atas dasar kepercayaan dan harapan terhadap Kerajaan Persekutuan perjanjian yang dinamakan Perjanjian Royalti ditandatangani pada 9 Mei 1975.
“Kelantan bersama seluruh negeri di Malaysia bersetuju menyerahkan hak pembangunan petroleum kepada Petronas dan sebagai balasan perjanjian tersebut memperuntukkan bayaran sebanyak 5 peratus daripada jumlah pengeluaran petroleum kepada Kelantan.
“Selama tempoh hampir setengah abad perjanjian ditangani tidak ada pun bayaran tunai dibayar kepada kerajaan negeri Kelantan.
“Petronas dan Kerajaan Persekutuan wajib menghormati perjanjian tersebut, katanya di ini.
Menurutnya juga pelbagai usaha dilakukan rakyat dan kerajaan Kelantan, namun hasilnya masih tidak ada berikutan sikap tidak profesional Kerajaan Persekutuan. – HARAKAHDAILY 26/11/2021
No comments:
Post a Comment