Siasat mengapa tarik balik rayuan tuntutan Pulau Batu Puteh
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan isu penarikan rayuan Malaysia terhadap tuntutan Pulau Batu Puteh di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) perlu disiasat.
Bekas Perdana Menteri berkata, negara memperoleh sekurang-kurangnya tiga penemuan baharu berhubung kawasan berkenaan, sekali gus menyebabkan Kabinet ketika itu membuat keputusan rayuan Pulau Batu Puteh dilakukan.
"Saya amat terkilan mengapa Perdana Menteri ketujuh membatalkan rayuan kita ke ICJ, kononnya kita kena terima keputusan ICJ secara muktamad tetapi ada klausa dalam Statut ICJ iaitu kalau ada fakta baharu atau 'new evidence', kita boleh buat rayuan.
"Yang menjadi pelik seribu kali pelik, dua minggu sebelum rayuan ICJ, kabinet semasa Perdana Menteri ketujuh pengerusikan tarik balik rayuan ke ICJ. Kita dah kalah, apa salahnya kita teruskan, boleh jadi kita menang, siapa tahu?
"Singapura pun terkejut kita buat keputusan itu, kita pun tak faham dan jawapannya kita mesti tahu," katanya pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) di Dewan Rakyat, hari ini.
Najib berkata, isu kedaulatan negara tidak boleh dikompromi, justeru sekiranya kemenangan berpihak kepada Malaysia akan membela kedaulatan negara.
Pada 3 Februari 2017, kerajaan Malaysia memfailkan permohonan bagi semakan terhadap keputusan ICJ pada 23 Mei 2008 yang memutuskan Singapura mempunyai hak kedaulatan terhadap Pulau Batu Puteh, manakala Malaysia mempunyai hak kedaulatan terhadap Terumbu Karang Tengah.
Malaysia memfailkan permohonan semakan itu bersandarkan tiga dokumen didedahkan oleh United Kingdom.
Dokumen terbabit adalah surat-menyurat dalaman pihak berkuasa tanah jajahan Singapura pada 1958, laporan insiden difailkan pada 1958 oleh pegawai tentera laut British dan peta berserta catatan mengenai operasi tentera laut dari tahun 1960-an.
Pada 16 Februari 2017, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, Peguam Negara ketika itu berkata beliau akan mengetuai pasukan pakar yang mengendalikan semakan itu di ICJ, di Hague, Belanda.
Bagaimanapun pada tahun 2018, kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah kepimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menarik balik permohonan semakan itu sebelum kes itu dijadual didengar pada 11 Jun 2018 di ICJ.
Pada 9 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pasukan petugas khas akan diwujudkan bagi membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan opsyen-opsyen bersesuaian dengan mendapatkan pandangan pakar undang-undang antarabangsa bagi membuat semakan semula undang-undang berkenaan kes Pedra Branca/Pulau Batu Puteh.
Katanya, pasukan petugas khas itu bertujuan menyemak semula undang-undang berkenaan permohonan semakan dan tafsiran kes Pulau Batu Puteh itu. – BERNAMA
ini lah padah nya bila ultra dah jadi barua DAP@LeeKwnYew..
ReplyDeleteCara terbaik kasi ajar barua barua DAP@LeeKwanYew ini ialah serang anak barua ini BOBOI sampai melingkup...
Melingkup BOBOI melingkup lah Parti PejWang...
#baruasial