Wednesday, November 03, 2021

Tambah peruntukan penyelenggaraan perumahan

 

REACH mengucapkan tahniah kepada YB Menteri Kewangan yang telah mengumumkan peruntukan-peruntukan pada Bajet 2022 yang menunjukkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob bersungguh-sungguh mahu membantu rakyat memiliki kediaman mereka sendiri.

Selain dari itu, kerajaan juga telah memperuntukkan RM125 juta untuk Program Penyelenggaraan Perumahan dan Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia. Mereka yang tinggal di pembangunan berstrata terutama di pembangunan kos rendah sudah tentu akan menarik nafas lega.

Walau bagaimanapun REACH mencadangkan peruntukan ini ditambah kerana RM125 juta ini tidak mencukupi. Kebanyakan pembangunan berstrata terutamanya pembangunan kos rendah menghadapi masalah untuk dibaikpulih atau ditambahbaik kerana ia melibatkan kos yang tinggi. Di dalam keadaan ekonomi sekarang, penduduk tidak akan mampu menanggung kos yang tinggi tersebut dan bantuan dari kerajaan amat diperlukan.

Sebagai contoh, untuk tahun 2017 Kerajaan Negeri Selangor di bawah program Smartlife telah membelanjakan RM29.3 juta untuk membaikpulih dan mengganti lif di 59 blok pangsapuri kos rendah yang melibatkan 118 buah lif. Kos ini hanya untuk sebahagian sahaja pembangunan di Selangor. Ia tidak melibatkan keseluruhan pembangunan di negeri tersebut. Kos untuk membaikpulih, modenisasi atau menggantikan lif adalah di antara RM100,000 hingga RM500,000 bagi setiap blok.

Terdapat juga kerja-kerja lain yang memerlukan perhatian seperti membaikpulih atau mengganti bumbung, mengganti tangki air atau memasang sistem pendawaian elektrik baharu yang boleh melibatkan ratusan ribu ringgit bagi setiap blok pangsapuri. Contohnya kerja-kerja menukar bumbung termasuk kerangka boleh menelan belanja sehingga RM500,000 bagi setiap blok. Kerja-kerja seperti itu perlu disegerakan kerana ia boleh mengancam nyawa penduduk.

Selain dari itu, kerja-kerja mempertingkatkan keceriaan seperti mengecat semula juga penting untuk penduduk. Projek-projek mempertingkatkan keselamatan seperti pemasangan CCTV atau pagar juga diperlukan. Penyediaan kemudahan komuniti dengan memanfaatkan ruang-ruang terbiar bagi kegunaan penduduk boleh meningkatkan kualiti hidup penduduk.

Di Selangor sahaja terdapat lebih 700 skim pembangunan berstrata lebih dari 5-tingkat dan lebih 1,000 skim pembangunan berstrata 5-tingkat. Sekiranya 10 peratus darinya memerlukan bantuan kerajaan maka peruntukan RM125 juta ini tidak akan mencukupi. Justeru itu sudah tentu peruntukan ini tidak dapat menampung keperluan pembangunan berstrata di seluruh negara. 

Oleh yang demikian peruntukan RM125 juta ini perlu ditambah. Kami berpandangan program membaikpulih dan penyelenggaraan ini perlu menyeluruh. Adalah tidak adil jika terdapat pembangunan yang diberi perhatian tetapi terdapat pula yang ketinggalan.

DATO’ ISKANDAR A SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH) – HARAKAHDAILY 2/11/2021

Sumber Asal: https://m.facebook.com/100000270189106/posts/4831211633564462/

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails