Sunday, November 07, 2021

Usrah kini dilaksana di peringkat k'jaan. Al-hamdulillah, berkat melimpah..

 

Agenda usrah kini dilaksana di peringkat kerajaan.

KUALA NERUS: Agenda-agenda yang selama ini hanya diutarakan melalui usrah, ceramah, kuliah dan program-program dalaman parti sekarang boleh dilaksanakan di peringkat kerajaan.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan Persekutuan yang bertunjangkan kekuatan Melayu-Islam membuka ruang kepada PAS mengisinya.

Katanya, pengalaman dan pendedahan praktikal berkerajaan di Persekutuan menambahkan keyakinan tentang besarnya tanggungjawab yang boleh dilaksanakan untuk kesejahteraan rakyat.

“Kerajaan yang dibentuk hari ini cukup prihatin dan meletak kesejahteraan rakyat sebagai agenda utama dalam keadaan menghadapi krisis ketika ini.

“Selama 20 bulan kita dapat merasai keharmonian hubungan Persekutuan dengan negeri-negeri kita yang sering terpinggir sebelum ini kerana perbezaan politik.

“Tetapi sekarang pembangunan dan kemajuan berskala besar sudah mulai dilaksanakan di negeri-negeri tersebut.

“Kita juga menyaksikan beberapa tindakan kerajaan Pusat yang pada awalnya menyentuh sensitiviti umat Islam berjaya ditangani dengan baik disebabkan pegangan serta ketegasan PAS sebagai sebahagian daripada komponen parti yang memerintah,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan sempena Muktamar Tahunan PAS kali ke-67 di Duyong Marina Resort, di sini hari ini.

Turut hadir sama, Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Mengulas perkembangan sama beliau berkata, perkara itu juga membuktikan besar manfaat PAS berada dalam pemerintahan persekutuan demi kesejahteraan dan kebajikan rakyat.

“Kemenangan yang sedang uruskan sekarang wajib dipertahan dan diisi sebaik-baiknya supaya adil di sisi Allah SWT dan juga di sisi rakyat,” ujarnya. HARAKAHDAILY 6/11/2021

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Agenda usrah kini dilaksana di peringkat kerajaan. Al-hamdulillah. 

Inilah yang kita cita-citakan, agar negara berada dalam penuh keberkatan, ketenangan dan keharmonian yang membawa kepada kebahagiaan hidup.

Kita pinjamkan lima ungkapan mutiara kata daripada tokoh barat ini menjadikan kita terpana dan perlu berfikir semula untuk mengislahkan kehidupan kita ke arah yang lebih baik:

  • B Colbert berkata: “Kebesaran suatu negara, tidak diukur dengan luas daerahnya tetapi diukur daripada watak masyarakatnya.”
  • Robespierre berkata: “Negara yang merdeka adalah negara yang mana hak-hak manusia dihormati dan semua undang-undang bersifat adil.”
  • Plato berkata: “Manusia tidak lahir bagi dirinya sendiri, tetapi bagi negaranya.”
  • Albert Camus berkata: “Saya perlu mencintai negara saya dan keadilan.”
  • R Bulwer Lython berkata: “Setiap orang perlu mencintai dan bangga pada negaranya sendiri, kerana dia dilahirkan di negara itu.”

Semoga Allah SWT kurniakan negara kita Malaysia sentiasa dalam aman damai, makmur, teguh ekonomi dan politiknya serta bahagia rakyat dan penduduknya.

Ingat Firman Allah SWT:

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَـٰكِن كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

MaksudnyaDan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan. Surah al-A’raf (96)

No comments:

Post a Comment