1. Banjir: Seruan solat hajat dan bacaan Yaasin
KUALA LUMPUR: Seluruh masyarakat diseru untuk melaksanakan solat hajat dan membaca surah Yaasin bagi memohon keselamatan dan kesejahteraan buat negara dan rakyat susulan situasi semasa banjir yang melanda di beberapa buah negeri.
Sehubungan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad telah meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk mengadakan solat hajat dan bacaan Yaasin selepas solat Maghrib pada malam ini di tiga buah masjid utama di bawah seliaan JAKIM iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.
Beliau juga memohon kerjasama pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan untuk mengadakan solat hajat dan bacaan Yaasin di masjid dan surau di Wilayah Persekutuan.
Pada malam ini, katanya beliau dan anggota agensi hal ehwal Islam akan bersama-sama para jemaah di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini.
“Adalah juga dipohon kerjasama dan jasa baik majlis dan Jabatan Agama Islam negeri-negeri untuk turut sama mengadakan solat hajat dan bacaan Yaasin di masjid dan surau di seluruh negeri-negeri untuk memohon keselamatan dan kesejahteraan,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau mendoakan agar mangsa-mangsa banjir dan seluruh keluarga, anggota keselamatan, petugas barisan hadapan, sukarelawan dan semua pihak diberikan keselamatan dan dipermudahkan segala urusan sepanjang melaksanakan misi bantuan. – HARAKAHDAILY 23/12/2021
2. Amalkan doa ini selepas setiap kali kita solat
Kami memohon agar diangkat wabak Covid-19 yang melanda negara ini, ya Allah. Juga diangkat musibah banjir yang melanda saudara-saudara kami.
قُل لَّن يُصِيبَنَآ إِلَّا مَا كَتَبَ ٱللَّهُ لَنَا هُوَ مَوۡلَىٰنَاۚ وَعَلَى ٱللَّهِ فَلۡيَتَوَكَّلِ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ
Katakanlah (wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal”. (At-Taubah: 51)
Saya percaya pelbagai hikmah yang Allah SWT sediakan kepada hamba-Nya di sebalik musibah yang melanda. Dan sebagai tanda Allah sayang kepada kita.
Allahuakbar!
Allah mahu kita kembali berpaut kepada-Nya.
Allah nak tingkatkan darjat dan keimanan hamba-Nya.
Allah ingin melahirkan rasa syukur dengan segala nikmat-Nya kepada kita.
وَإِن تَعُدُّواْ نِعۡمَةَ ٱللَّهِ لَا تُحۡصُوهَآۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَغَفُورٞ رَّحِيمٞ
“Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (An-Nahl: 18)
Saya mengajak kita semua untuk terus bermunajat agar diberikan kecekalan dan kesejahteraan kepada negara kita.
Amalkan doa ini selepas setiap kali kita solat
بِسْمِ اللَّهِ الذي لَا يَضُرُّ مع اسْمِهِ شَيْءٌ في الأرض ولا في السَّمَاءِ وهو السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
“Dengan nama Allah yang tidak memberi mudharat akan sesuatu yang dibumi dan yang di langit (selagi) bersama dengan nama-Nya dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
Kepada-Mu kami berserah. – HARAKAHDAILY 24/12/2021
No comments:
Post a Comment