Sunday, December 12, 2021

Penduduk Beting Maro mahu kemudahan internet

 

'..banyak masalah rakyat yang belum selesai meskipun ada janji-janji manis setiap kali pilihan raya.'

BATANG LUPAR: Capaian internet yang sangat teruk di beberapa buah kampung termasuk Kampung Tembak dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro, wajar diatasi dengan segera.

Tinjauan Harakahdaily, menemui penduduk di perkampungan berkenaan bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai masalah yang dihadapi itu sejak sekian lama.

Seorang suri rumah, Puan Nor Kiah Shafei, 57, dari Kampung Tambak berkata, masih banyak masalah rakyat yang belum selesai meskipun ada janji-janji manis setiap kali pilihan raya.

Antara masalah itu, kata beliau mengenai capaian talian internet yang sangat lemah di setengah tempat dan sebahagian tempat tiada liputan yang sepatutnya.

“Kamek (aaya) penduduk di sini menghadapi masalah bekalan air paip bersih yang perlahan, sistem perparitan, pembentongan tersumbat dan kemudahan asas lain termasuk jaringan internet.

“Internet sangat bermasalah kerana menjadi keperluan kepada anak-anak pelajar yang bersekolah ketika berhadapan dengan pandemik Covid-19 tahun lalu,” ujarnya.

Beliau yang bersuamikan status Orang Kelainan Upaya (OKU) masalah pendengaran, Alim Seman sangat berharap agar mempunyai wakil rakyat yang prihatin dan mesra pengundi.

Menurutnya, selain itu masalah ketiadaan stesen minyak petrol dan diesel amat menyulitkan kerana bahan bakar itu hanya terdapat di daerah Betong, Saratok dan Sarikei yang sangat jauh kecuali dijual di kedai-kedai kampung secara botol.

Jirannya, Puan Joyah Naim, 62, turut mengadu mengenai masalah internet kerana para pelajar tidak dapat untuk menggunakan kemudahan itu bagi mengikuti sistem Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Jaringan internet di sini sangat teruk, langsung tiada liputan. Bagaimana anak-anak kami hendak belajar secara atas talian jika internet tiada, tak boleh guna alat peranti.

“Di kampung ini, ada 15 orang anak-anak sekolah yang sangat memerlukan kemudahan itu jika pembelajaran secara talian diperkenalkan di sekolah,” jelasnya.

Menurut beliau, berharap agar pihak berwajib mengambil perhatian dan kesungguhan bagi mengatasi beberapa masalah kemudahan yang diperlukan itu.

Sehubungan itu, Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee menjelaskan, kerana masalah talian internetlah kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di DUN Beting Maro dibenarkan secara bersemuka dengan pengundinya.

“Sebab itu, Benting Maro ini diberikan kebenaran berkempen secara bersemuka, boleh jumpa pengundi. Jika kawasan bandar ada capaian internet yang kuat, mereka boleh menggunakan media sosial.

“Ini peluang kita (bersemuka) sebenarnya, sebab penduduk kampung lebih suka kita (PAS) berjumpa secara langsung dengan pengundi dan calon. Saya yakin, penduduk ini jika kita betul-betul beri perkhidmatan kepada mereka dan mereka pula yakin yang kita boleh bantu mereka,” ujarnya. 

Menurutnya, di kampung ini isu-isu setempat lebih mencuri tumpuan seperti isu perparitan yang tersumbat, bekalan air paip bersih masih lemah dan bekalan elektrik hingga ada tempat-tempat yang masih belum masuk bekalan elektrik.

Pada PRN Sarawak Ke-12, PAS meletakkan calonnya di Beting Maro, seorang pimpinan muda profesional, Mohamad Arifziarul Paijo atau lebih dikenali ‘Arif Paijo’ yang sangat mesra dengan pengundinya serta sering kali terlibat dengan kerja-kerja kebajikan kepada rakyat. – HARAKAHDAILY 11/12/2021

No comments:

Post a Comment