Saturday, December 11, 2021

Pengabaian ahli agama undang bencana rasuah

 


وَتَرَىٰ كَثِیرࣰا مِّنۡهُمۡ یُسَـٰرِعُونَ فِی ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَ ٰ⁠نِ وَأَكۡلِهِمُ ٱلسُّحۡتَۚ لَبِئۡسَ مَا كَانُوا۟ یَعۡمَلُونَ ۝  لَوۡلَا یَنۡهَىٰهُمُ ٱلرَّبَّـٰنِیُّونَ وَٱلۡأَحۡبَارُ عَن قَوۡلِهِمُ ٱلۡإِثۡمَ وَأَكۡلِهِمُ ٱلسُّحۡتَۚ لَبِئۡسَ مَا كَانُوا۟ یَصۡنَعُونَ

“Dan engkau lihat kebanyakan dari mereka berlumba-lumba pada melakukan dosa dan pencerobohan serta memakan yang haram. Demi sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah lakukan.”

“Alangkah baiknya kalau ketua-ketua ugama dan pendeta-pendeta mereka melarang mereka dari mengeluarkan perkataan-perkataan yang dusta dan dari memakan yang haram? Sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah kerjakan.” 
(al-Mā’idah: 62-63)

Maksud kalimah Laula
 
Laula di sini bermaksud galakan atau saranan untuk meneruskan aktiviti tak bermoral pada masa mendatang. Juga bermaksud kutukan buat para pendeta Yahudi yang tidak menghalang perbuatan jahat umat mereka. Ini bermaksud, perbuatan memakan harta dengan cara haram telah lama berlaku tetapi dibiarkan sahaja.

Siapakah Rabbaniyun dan Ahbariyun..

Kalimah Rabbaniyyun disebut sebanyak 3 kali di dalam al-Quran. Tiga kali dengan lafaz Rabbaniyyun (Ali Imran: 79, Al Maidah: 44 dan 63) dan sekali dengan lafaz Ribbiyyun (Ali-Imran: 146). 

Menurut Imam Ibnu Jarir, kalimah Rabbani Yahudi  kepada pemimpin dan ilmuan Yahudi yang mengatur urusan kehidupan umat. Manakala Ahbar bermaksud Pendeta dan Fuqaha`yang menguasai kandungan Taurat dan Injil. Menurut Imam Baghawi  Rabbaniyun  adalah Ilmuan Nasrani dan Ahbar Ilmuan Yahudi.

Maka, ayat ini menjelaskan akan sikap golongan  berautoriti dalam kalangan Yahudi yang tidak menegah perbuatan yang bercanggah dengan perintah Taurat dan Injil, begitu juga pemimpin mereka.

Memakan harta haram diampunkan tuhan.

As Suhtu sebagaimana yang dijelaskan dalam ayat terdahulu (ayat 42 Al-Maidah), bermaksud harta haram seperti riba dan rasuah. Disebut dengan  Suhtun kerana menghilangkan keberkatan dan ketaatan. Yahudi mendominasi aktiviti suhtun dan mempertahankannya dengan luar biasa. 

Mereka menunggangi agama dengan mendakwa, ia perbuatan yang pasti akan mendapat keampunan Tuhan:

فَخَلَفَ مِن بَعْدِهِمْ خَلْفٌ وَرِثُوا الْكِتَابَ يَأْخُذُونَ عَرَضَ هَٰذَا الْأَدْنَىٰ وَيَقُولُونَ سَيُغْفَرُ لَنَا وَإِن يَأْتِهِمْ عَرَضٌ مِّثْلُهُ يَأْخُذُوهُ ۚ أَلَمْ يُؤْخَذْ عَلَيْهِم مِّيثَاقُ الْكِتَابِ أَن لَّا يَقُولُوا عَلَى اللَّهِ إِلَّا الْحَقَّ وَدَرَسُوا مَا فِيهِ ۗ وَالدَّارُ الْآخِرَةُ خَيْرٌ لِّلَّذِينَ يَتَّقُونَ ۗ أَفَلَا تَعْقِلُونَ 169

“Maka mereka kemudiannya digantikan oleh keturunan-keturunan yang jahat yang mewarisi Kitab (Taurat). Mereka mengambil kebendaan yang hina di dunia ini sambil berkata: “Akan diampunkan kelak dosa kami” Padahal jika datang kepada mereka kebendaan yang hina seperti itu mereka akan mengambilnya lagi. Bukankah telah diambil perjanjian setia daripada mereka di dalam kitab Taurat bahawa mereka tidak memperkatakan terhadap Allah melainkan yang benar? Dan mereka pula telah mempelajari apa yang terkandung di dalamnya? Dan juga (mereka mengetahui bahawa) negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Tidakkah kamu mahu mengerti?”

(Al-‘A`rāf: 169)

Maksudnya, kalau kami buat dosa (iaitu makan harta dengan cara yang haram) mesti diampunkan. Kita pun kalau ada peluang, akan ambil juga, kata mereka.

Mengapa dosa ilmuan lebih besar?

Menurut Imam Razi, Sun`ah bermaksud kerja yang dibuat dengan kesungguhan dan kepakaran. Apabila golongan yang pakar dalam sesuatu urusan, tetapi hanya membiarkan sahaja kesilapan dibuat oleh orang lain, bahkan mereka turut membuat dosa yang sama. Maka sebab itulah dosa Agamawan Yahudi itu lebih besar di sisi Tuhan.

Menurut Ibnu Jarir, dikatakan ia ucapan Ibnu Abbas ‘Tidak ada ayat yang lebih keras hentamannya terhadap Ulamak kecuali ayat ini, dan ia peringatan yang sangat aku takuti’.

Kata Saidina Ali ‘Wahai sekalian manusia, sesungguhnya binasanya umat sebelum ini disebabkan larut dalam kancah kemaksiatan dan ilmuan mereka tidak menegahnya’.

Satu Hadis Riwayat Tirmizi menyebutkan yang bermaksud “Sesungguhnya manusia apabila melihat sesuatu kezaliman lalu tidak mencegahnya, dikhuatiri Allah akan menurunkan balasannya secara umum”.

Akhir kata, rasuah bukan pintu bagi rezeki, walaupun ia datang sebagai sedekah atau hadiah. 

Rujuk artikel lepas: Rasuah dan Keberkatan Rezeki: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10224302870099056&id=1222987424

USTAZ MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN
Penolong Rektor II (Hal Ehwal Pelajar)
Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) – HARAKAHDAILY 10/12/2021

No comments:

Post a Comment