Wednesday, December 15, 2021

Program atasi kemiskinan haid & pramugari Muslim bertudung

 

1. Program atasi Kemiskinan Haid tumpu remaja PPR

KUALA LUMPUR: Sebanyak 13.1 peratus daripada remaja yang menyertai program rintis Kemiskinan Haid oleh Pusat Remaja KafeTEEN Kuala Lumpur, menyatakan harga produk pengurusan haid di pasaran tidak berpatutan dan tidak mampu dimiliki.

Sebanyak 16.4 peratus pula menyatakan pernah mengalami kesulitan mendapatkan produk pengurusan haid pada tahun ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff, berkata Kemiskinan Haid merujuk kepada situasi individu perempuan yang tidak mendapat akses kepada produk kebersihan wanita seperti tuala wanita akibat kekangan kewangan.

Katanya, antara faktor yang mempengaruhi Kemiskinan Haid meliputi aspek kekangan mendapatkan bekalan tuala wanita, kebersihan atau fasiliti untuk wanita menukar tuala wanita, sokongan sosial kepada mengamalkan kebersihan haid dan pendidikan kesihatan reproduktif.

“Di negara ini, terdapat 3.2 juta remaja berumur antara 12 hingga 17 tahun dan daripada jumlah itu, 1.28 juta remaja daripada kumpulan pendapatan keluarga kurang daripada RM4,849 atau B40.

“Selain itu, hasil satu kajian di 30 buah negara di dunia mendapati 73 peratus responden mempunyai akses yang terhad kepada produk kebersihan haid, terutama ketika pandemik Covid-19,” katanya ketika menjawab soalan lisan Senator Dato’ Mohan Thangarasu di Dewan Negara, hari ini.

Siti Zailah berkata, ini yang menyebabkan kementerian melaksanakan program rintis Kemiskinan Haid oleh Pusat Remaja KafeTEEN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang melibatkan 13 komuniti Program Perumahan Rakyat (PPR).

Menurutnya, dua institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sekitar Kuala Lumpur turut terlibat dalam pelaksanaan projek rintis itu yang memberi manfaat kepada seramai 350 remaja berusia antara 13 hingga 24 tahun.

Katanya, kementerian berusaha untuk mengadakan pelbagai program kesedaran, selain Program Pemberian Bantuan Kit Pembersihan kepada 130,000 remaja.

“Kementerian juga mengadakan program Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEKERTI) untuk mendidik remaja mengenai pendidikan kesihatan dan mengetahui hak mereka,” katanya.

Beliau berkata, program itu juga membantu remaja meneruskan rutin kebersihan, kesihatan fizikal dan mental, terutama ketika pandemik serta membantu rentan supaya cakna dan memperkasakan diri dengan mendapatkan maklumat kebersihan diri yang tepat. – HARAKAHDAILY 15/12/21

2. Benarkan pramugari Muslim pakai tudung

KUALA LUMPUR: Sudah sampai masa kerajaan membenarkan pramugari Muslim, terutama yang berkhidmat dengan syarikat penerbangan nasional, MAS Airlines, memakai pakaian menutup aurat ketika bertugas.

Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff berkata, peraturan itu wajar dimulakan MAS Airlines memandangkan syarikat itu milik kerajaan.

“Adalah wajar memberi kebenaran kepada pramugari Muslim menunaikan hak-hak mereka sebagaimana disarankan agama Islam,” katanya ketika membahas Rang Undang-Undang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata, pengalaman itu dilaluinya ketika bertugas sebagai doktor di dewan bedah yang tidak membenarkan petugas memakai tudung sebelum ini.

Katanya, pada masa itu beliau memikirkan antara nyawa pesakit dan tuntutan agama yang mewajibkan wanita Muslim menutup aurat.

“Tetapi Alhamdulillah sekarang petugas di dewan bedah, termasuk doktor dan jururawat wanita Muslim dibenarkan memakaikan tudung,” katanya.

Sebelum itu isu tersebut sering dibangkit Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Bagaimanapun, hasrat itu belum lagi menjadi kenyataan sehingga sekarang. Malah ramai berharap pembaca berita wanita Muslim di Radio Televisyen Malaysia (RTM) disyaratkan memakai tudung bagi menggambarkan Malaysia sebagai sebuah negara umat Islam. – HARAKAHDAILY 13/12/21

Lihat sebelum ini..
Lim Guan Eng dimahkamah


 Bersambung..


No comments:

Post a Comment