Menteri Pertahanan Kanada, Anita Anand. - Foto AGENSI
Kanada mohon maaf salah laku seksual dalam tentera
OTTAWA: Menteri Pertahanan dan Ketua Staf Pertahanan Kanada memohon maaf pada Isnin berhubung salah laku seksual yang berlaku secara meluas dalam pasukan tentera serta menyatakan Ottawa gagal melindungi anggota tenteranya.
"Saya memohon maaf kepada anda bagi pihak kerajaan Kanada," kata Menteri Pertahanan, Anita Anand, dalam satu program yang disiarkan secara langsung di media sosial.
"Kita perlu mengakui kesakitan dan trauma yang ditanggung ramai orang kerana institusi yang dipertanggungjawabkan untuk melindungi serta mempertahankan negara kita tidak selalu melindungi serta mempertahankan anggotanya sendiri," katanya
Permohonan maaf itu adalah sebahagian daripada penyelesaian melalui tuntutan yang difailkan terhadap kerajaan oleh hampir 19,000 anggota tentera yang berkhidmat dan bersara, serta pekerja pertahanan awam.
Ia berlaku selepas beberapa pegawai kanan berdepan siasatan salah laku seksual, termasuk bekas Ketua Staf Pertahanan, Jonathan Vance, yang didakwa menghalang keadilan dalam siasatan itu.
Ketua Staf Pertahanan, Jeneral Wayne Eyre, dalam ucapannya berkata, dalam kalangan tentera, "kepercayaan boleh bermaksud perbezaan antara hidup dan mati... dan kami mengkhianati kepercayaan itu."
Ottawa sebelum ini menugaskan bekas pendakwa Tribunal Jenayah Antarabangsa (ICT), Louise Arbour, untuk membantu membersihkan budaya dalam tentera yang disifatkan Perdana Menteri, Justin Trudeau sebagai tidak "difahami" dari segi serangan dan gangguan seksual.
Bulan lalu, Anand menerima saranan Arbour supaya penyiasatan dan pendakwaan ke atas salah laku seksual dalam tentera diserahkan kepada pihak berkuasa awam kerana "ketidakpercayaan yang serius terhadap sistem keadilan tentera.
"Penelitian oleh Arbour itu dibuat lima tahun selepas satu lagi pasukan petugas mendapati tentera mempunyai "persekitaran yang memusuhi wanita... dan kondusif untuk insiden gangguan serta serangan seksual yang lebih serius."
April lalu, tentera melaporkan kepada Dewan Rakyat mengenai 581 serangan seksual dan 221 insiden gangguan seksual berlaku sejak 2015. - AFP
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Salah Laku Seksual itu, ada kaitan dengan perlakuan najis zina.
Mari kita lihat 'AL-KAFI #812 : KESAN BURUK ZINA', yang dilarang Allah SWT seperti yang disiarkan oleh laman web rasmi pejabat Mufti W/Persekutuan.
Soalan
Apakah kesan buruk daripada zina berdasarkan kepada nas al-Quran?
Jawapan
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Allah SWT berfirman:
وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَىٰ ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا
Maksudnya: Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan). (Surah al-Isra’: 32)
Ibn Kathir berkata: Allah SWT melarang para hambaNya daripada perbuatan zina dan menegah daripada mendekatinya. Begitu juga setiap yang membawa kepada zina seperti faktor-faktor dan aspek-aspek yang membawa kepadanya. Firman-Nya: (وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَىٰ ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً) “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji”, yakni suatu perbuatan dosa besar. Firman-Nya: (وَسَاءَ سَبِيلًا) “dan satu jalan yang jahat,” yakni merupakan seburuk-buruk jalan dan tingkah laku.
Lihat Tafsir al-Quran al-Azim (5/72)
Syeikh al-Maraghi berkata: Sesungguhnya berzina itu nyata keburukannya, bahkan mengandungi pelbagai kerosakan. Antara yang terpenting ialah:
-Percampuran dan keturunan yang porak-peranda. Apabila seseorang lelaki berasa ragu-ragu mengenai anak yang dilahirkan oleh seorang pelacur perempuan, apakah bayi itu anaknya atau anak orang lain, maka lelaki tidak akan mendidiknya, bahkan seterusnya tidak mahu mengurusnya. Hal itu akan menyebabkan keturunan manusia menjadi sia-sia dan dunia akan hancur.
-Perzinaan sebenarnya membuka pintu huru-hara dan kegoncangan dalam kalangan sesama manusia kerana manusia tetap mempertahankan kehormatan. Berapa banyak peristiwa pembunuhan yang timbul kerana keinginan berzina, sehingga sewaktu kita mendengar sesuatu peristiwa pembunuhan, maka orang akan terus mengatakan, “Periksalah dahulu latar belakang perempuan yang terlibat!”
-Wanita yang sudah terkenal dan masyhur sebagai pelacur akan dipandang kotor oleh setiap lelaki yang waras sehingga tidak akan berlaku kemesraan antara perempuan seperti itu dengan suaminya. Dengan demikian, ketenteraman dan keserasian yang dijadikan oleh Allah SWT sebagai kasih dan sayang antara sesama manusia tidak akan tercapai.
-Tujuan kaum perempuan dicipta bukan sekadar pelampias syahwat semata-mata. Akan tetapi, ia dijadikan sebagai sekutu bagi kaum lelaki dalam mengatur urusan rumah tangga dan mempersiapkan tugas-tugasnya seperti makanan, minuman dan pakaian. Kaum perempuan juga menjadi penjaga dan pengurus anak-anak dan sekaligus menjadi pembantu suami. Tugas ini tidak akan dilaksanakan dengan sempurna kecuali apabila wanita itu menjadi rakan (pasangan) yang khusus bagi seorang lelaki sahaja, bukan untuk lelaki-lelaki yang lain.
Dalam erti kala yang lain, perzinaan merupakan suatu yang sangat keji, kerana ia adalah punca-punca, nasab (keturunan) menjadi kacau-bilau dan manusia saling bunuh-membunuh, sembelih-menyembelih, kerana mempertahankan kehormatan. Perzinaan juga merupakan cara yang buruk jika ditinjau dari segi menyamakan antara manusia dan binatang, iaitu tidak menjodohkan antara yang betina dengan yang jantan secara khusus.
Lihat Tafsir al-Maraghi(8/3941-3942)
Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi berkata: Jika kita lihat semua agama Samawi bersepakat atas pengharaman zina dan menentangnya dengan keras. Dan agama yang terakhir ialah Islam, yang melarang keras perzinaan kerana perbuatan itu akan merosakkan keturunan keluarga, berlakunya kes pembuangan janin dan anak, menjatuhkan nama baik kaum kerabat, memecah-belahkan hubungan silaturahim, tersebarnya penyakit yang kronik[1], nafsu bermaharajalela dan merendahkan moral seseorang insan.
Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam(267-268)
Syed Qutb berkata: Perlakuan zina mengandungi aspek pembunuhan dari pelbagai sudut. Zina merupakan perbuatan membunuh sejak dari awal lagi kerana zina itu menumpahkan benih hayat pada bukan tempatnya yang sebenar. Ia kemudian diikuti pula oleh keinginan mahu menghindarkan diri daripada kesan-kesannya dengan membunuh janin sama ada sebelum atau selepas ia membentuk rupa dan sama ada sebelum ia dilahirkan atau selepas. Andai kata janin itu dibiarkan hidup sekalipun, ia biasanya akan dibiarkan hidup dalam satu kehidupan yang gelap atau kehidupan yang hina.
Dari sudut yang lain, zina merupakan satu pembunuhan kepada masyarakat kerana kemudahan memuaskan nafsu syahwat melalui zina menjadikan kehidupan secara suami isteri merupakan perkara sekunder, bukannya perkara yang perlu. Ia juga menjadikan keluarga sebagai suatu tanggungjawab yang tidak mustahak, sedangkan keluarga merupakan tapak semaian yang baik bagi anak-anak yang kecil, di mana fitrah dan didikan mereka tidak akan sihat dan betul melainkan apabila mereka dibelakan di sana. Tiada satu umat pun yang mana kejahatan zina dalam kalangan mereka tersebar luas melainkan umat itu tetap akan menuju ke arah keruntuhan dan kehancuran. Inilah yang berlaku sejak zaman purbakala hingga ke zaman moden.
Lihat Fi Zilal al-Quran( 10/189)
Marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah supaya Allah menjauhkan kita daripada kancah perzinaan seterusnya menjadikan kita begitu hampir dan dekat dengan-Nya untuk mentaati segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Ameen.
[1] Rujukan medik terkemuka, Merck cetakan 3/1977 menyebut: “Penyakit-penyakit yang disebabkan oleh aktiviti seks (zina) dan hubungan seksual yang menyimpang merupakan penyakit yang paling banyak tersebar di seluruh dunia pada ketika ini. Jumlah penderita penyakit ini terus bertambah setiap tahun. Kejadian ini berlaku lebih kurang 20 tahun yang lalu. Badan Kesihatan Dunia (WHO) mengira, dalam setiap tahun lebih dari 250 juta menderita penyakit kencing bernanah (gonorhea).
Selain itu, setiap tahun mencatatkan 50 juta orang diserang penyakit Syphilis yang lebih terkenal di negara-negara Arab dengan nama “Penyakit Eropah”. Pusat Pemusnahan Penyakit Kronik di Atlanta, wilayah Georgia, AS mengira terdapat 3 juta orang di Amerika yang menderita penyakit kencing bernanah (gonorhea) setiap tahun.
Sedangkan jumlah penghidap Syphilis mencapai 400 ribu orang dalam waktu yang sama pada tahun 1976. Jurnal Doctor Graduate, edisi Mei 1983 dan jurnal Time, edisi 4 Julai 1983 menyatakan laporan bahawa 20 juta orang di Amerika menderita penyakit gangguan reproduksi herbes, bahkan setiap tahun ada setengah juta angka baru pada penyakit yang sama. Sementara di Inggeris pula mencatatkan sebanyak 15 ribu kes yang baru pada tahun 1982.
Sekian Wallahu 'aklam.
No comments:
Post a Comment