Monday, December 27, 2021

Serangan terbaru terhadap ekonomi Turki, Kejatuhan nilai Lira.

 

TAHUN 2021 adalah tahun yang cukup sukar buat Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan apabila beliau berdepan dengan kritikan hebat terutamanya berkaitan kaedah dan cara beliau dan kerajaan pimpinannya menguruskan sektor ekonomi Turki.

Matawang Turki iaitu Lira berdepan dengan kejatuhan teruk iaitu sebanyak 60 peratus berbanding Dollar Amerika Syarikat sepanjang tahun ini. Walaupun sektor perindustrian, pelancongan dan eksport Turki melonjak tinggi berbanding negara-negara G20 yang lain, kejatuhan Lira memberi impak yang cukup besar kepada majoriti warga Turki.

Kritikan terhadap Erdogan menjadi lebih hebat apabila beliau mengumumkan pembinaan “Istanbul Canal“ yang menelan belanja sebanyak USD15 bilion yang dianggap membazir dan tidak langsung memberi manfaat serta limpahan ekonomi kepada Turki dan penduduknya.

Pemimpin parti pembangkang Turki dan juga sebilangan ahli korporat serta golongan elit Turki mengkritik tindakan Presiden Turki itu dengan menyatakan tindakan beliau meneruskan pembinaan “Istanbul Canal“ sebagai tidak masuk akal dan membazir kerana Selat Bosphorus masih mampu menampung jumlah kapal yang melaluinya serta akan mengubah persekitaran Istanbul kepada tidak kondusif.

Serangan ke atas Erdogan bertambah lagi apabila beliau mengumumkan akan memperkenalkan polisi kewangan baharu dengan tindakan pertamanya ialah memotong kadar faedah yang tinggi. Pemimpin parti pembangkang Turki dan kebanyakkan ahli ekonomi Turki termasuk bekas Timbalan Gabenor Bank Pusat Turki mengkritik hebat polisi terbaharu itu.

Sejurus selepas pengumuman tersebut, bermula pada September lalu hingga yang terbaharu pada bulan ini, Bank Pusat Turki telah memotong kadar faedah selama empat bulan berturut-turut sebanyak lima peratus menjadi 14 peratus di mana sebelum bermula tindakan pemotongan kadar faedah, ia berada di paras 19 peratus.

Tindakan tersebut menyebabkan kejatuhan mendadak Lira berbanding matawang utama dunia yang menyebabkan Erdogan menerima kecaman hebat, bukan sahaja dari dalam Turki malah daripada kebanyakan pemimpin dan ahli kewangan dunia yang menyifatkan polisi ekonomi Erdogan sebagai terkebelakang dan akan memusnahkan ekonomi Turki.

Rata-rata menyifatkan model ekonomi baharu yang dilakukan Erdogan yang tertumpu kepada menurunkan kadar faedah untuk menstabilkan Lira, mengurangkan inflasi, menjana pertumbuhan ekonomi domestik dan import adalah tidak munasabah dan hanya akan menyebabkan keadaan ekonomi Turki bertambah buruk.

Saat itu, kebanyakkan rakyat Turki juga ragu-ragu dengan polisi kewangan baharu ini yang menyebabkan mereka meningkatkan jumlah simpanan dan transaksi kewangan dalam matawang Dollar Amerika Syarikat yang turut menyumbang kepada kejatuhan nilai matawang Lira ke tahap yang paling rendah.

Namun semuanya berubah pada Selasa lalu apabila Erdogan mengumumkan polisi kewangan baharunya kepada umum pada lewat Isnin lalu. Hari berikutnya, Lira melonjak lebih 40 peratus berbanding Dollar Amerika Syarikat dan lebih $1 bilion matawang asing ditukarkan kepada Lira serta menjadi sejarah sebagai transaksi matawang paling aktif di Turki.

Rata-rata rakyat Turki menyambut baik berita tersebut malah terdapat juga ahli ekonomi yang menentang polisi ekonomi Erdogan menyokong kembali polisi ekonomi baharunya setelah mendengar dengan lanjut penjelasannya walaupun sebilangan besar masih skeptikal dengan wajah baharu ekonomi Turki ini.

Walau bagaimanapun, ada di kalangan warga Turki masih tidak yakin polisi kewangan baharu ini akan berjaya walaupun telah berlaku kenaikan kepada matawang Lira dan pembaharuan-pembaharuan yang diperkenalkan dalam polisi ekonomi tersebut seperti jaminan Kerajaan Turki terhadap simpanan dalam matawang Lira.

Ketidakyakinan tersebut juga bersandarkan kepada asas bahawa ianya amat bertentangan dengan kaedah kewangan dan teori ekonomi konvensional iaitu dengan merendahkan kadar faedah akan meningkatkan lagi kadar inflasi di mana ia akan turut sama menyebabkan penurunan nilai matawang.

Hakikatnya bukan mudah untuk menukar amalan dan polisi kewangan yang berlawanan daripada amalan polisi kewangan dan teori ekonomi konvensional yang diamalkan di seluruh dunia sejak sekian lama yang mana ia bersandarkan kepada kadar faedah untuk menjana imbuhan kewangan serta mengukur keberadaan dan kesejahteraan ekonomi sesebuah negara.

Tambahan pula polisi baharu ekonomi ini akan menyebabkan kurangnya kebergantungan Turki kepada matawang Dollar Amerika Syarikat di mana ia juga adalah bertentangan dengan amalan biasa perdagangan dan ekonomi dunia yang majoritinya bergantung kepada Dollar Amerika Syarikat. Tindakan ini sebenarnya selari dengan idea almarhum Prof. Necmettin Erbakan yang menjadi mursyid kepada Presiden Turki ini.

Namun begitu, ia bukanlah satu perkara yang mustahil untuk dijayakan. Contoh terbaik dan terdekat ialah negara kita sendiri iaitu Malaysia ketika berhadapan dengan krisis kegawatan ekonomi dunia pada tahun 1997 yang melanda Asia terutamanya negara-negara Asia Timur yang menyebabkan kejatuhan matawang, pasaran saham dan ekonomi dengan begitu teruk sekali.

Malaysia dan banyak negara-negara Asia seperti Thailand dan Korea Selatan berdepan dengan cabaran untuk memulihkan kembali ekonomi yang memerlukan fresh capital flow injection untuk merangsangkan kembali ekonomi terutamanya di peringkat domestik yang lesu akibat daripada kegawatan ekonomi tersebut.

Boleh dikatakan banyak daripada negara-negara Asia yang terkesan akibat kegawatan ekonomi tersebut meminjam daripada International Monetary Fund (IMF) yang mengenakan kadar faedah yang tinggi di samping jadual pembayaran yang agak panjang di mana ia dilihat sebagai tidak adil kepada negara-negara yang terkesan teruk akibat kegawatan ekonomi ketika itu.

Malaysia ketika itu di bawah pentadbiran Tun Dr. Mahatir Mohammad enggan meminjam daripada IMF. Beliau berpendapat bahawa dengan meminjam daripada IMF, ia akan menghancurkan ekonomi dan mampu membuatkan sesebuah negara jatuh bankrap.

Tambahan pula syarat-syarat IMF ketika itu untuk meminjam seperti perlu membuka ekonomi kepada pelabur asing adalah tidak munasabah kerana sesebuah negara berhak menentukan masa depan dan polisi kewangannya dengan tidak menerima campurtangan mana-mana pihak.

Ketika itu, Tun Dr. Mahathir dikritik hebat oleh ahli ekonomi dan pemimpin-pemimpin dunia kerana enggan menerima pinjaman IMF. Bahkan disebabkan kritikannya terhadap IMF, ada yang menyifatkannya bersikap radikal dan polisi kewangannya bertentangan dengan norma-norma kebiasaan ekonomi konvensional dunia.

Namun akhirnya, Malaysia tanpa bantuan IMF berjaya mengharungi kegawatan ekonomi yang berlaku dengan begitu baik sekali, berbanding dengan negara-negara lain yang terpaksa berhempas pulas mengharunginya dengan terpaksa membayar harga yang mahal seperti kadar faedah yang begitu tinggi dan terpaksa membuka ekonomi negara mereka seperti yang ditetapkan IMF.

Oleh itu, tidak mustahil polisi ekonomi baharu Turki ini akan  mampu serta berjaya dilaksanakan. Mungkin Turki berhadapan dengan jalan yang sukar untuk melaksanakannya berikutan berlawanan arus dengan asas dan teori ekonomi konvensional semasa tetapi kejayaan pasti dicapai jika terus beristiqamah dengannya.

Tambahan pula “fundamental“ ekonomi Turki agak baik dan stabil, eksport dan pertumbuhan ekonomi semasa Turki berada dalam keadaan kukuh, kedua terbaik di kalangan negara-negara G20 selepas China. Perindustrian berteknologi tinggi dan sektor pembuatan mencatat pertumbuhan paling tinggi di samping sektor pelancongannya agak kukuh di kala negara lain berhadapan dengan kesukaran.

Namun di sebalik semua ini, ramai yang begitu cemburu dengan kejayaan Turki di bawah Edrogan, baik di dalam Turki mahupun luar negara. Jika Turki berjaya serta mampu bangkit menjadi kuasa utama ekonomi dunia dalam beberapa tahun lagi, banyak negara khuatir Turki mampu mencetuskan kembali kebangkitan Islam di dunia terutamanya di Eropah.

Mungkin disebabkan itu, ada perancangan di sebalik tabir untuk melemahkan Turki dengan menyasarkan struktur ekonominya yang berkembang baik walaupun berhadapan dengan penularan wabak pandemik Covid 19 yang hampir melumpuhkan ekosistem ekonomi dunia namun saat ini, Turki berjaya mengharunginya.

Sama-sama kita mendoakan kesejahteraan dan kejayaan buat Turki, warganya dan Presiden Recep Tayyip Erdogan. Semoga dirahmati dan diberkati Allah SWT.

Islam Memperkukuh Perpaduan

YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat
ADUN Batu Buruk – HARAKAHDAILY 26/12/2021

No comments:

Post a Comment