Sukarelawan Kelantan turut bersih rumah kaum Tionghua
TEMERLOH: Skuad sukarelawan Gaal Cakna Kebajikan menyantuni anak-anak perantau Kelantan di Temerloh yang terjejas akibat banjir semalam.
Adun Gaal Mohd Rodzi Jaafar berkata, petang semalam sukarelawan dari Gaal berjaya mencuci empat rumah, termasuk kediaman Pengerusi Persatuan Perantau Kelantan Malaysia (PERAKAN) Cawangan Temerloh Ustaz Samsuri.
Selain itu katanya sebuah kediaman dimiliki kaum Tionghua turut dibersih pada gotong royong tersebut.
“Perumahan di belakang kuaters TNB Temerloh merupakan kawasan paling teruk terjejas di mana menurut penduduk tempatan paras air sedalam 7 kaki dalam rumah,” katanya pada catatan di laman sosialnya.
Rombongan sukarelawan dari Kelantan seramai 1,500 orang bertolak ke Pahang pagi semalam bagi menyertai misi membersih kesan-kesan banjir di beberapa daerah di Pahang.
Pelepasan rombongan tersebut dilakukan Menteri Besar Ustaz Dato Bentara Kanan Ahmad Yakub di Kota Darulnaim. Rombongan dari setiap Dun diketuai wakil rakyat tempatan.
Mohd Rodzi juga berkata, hari ini sukarelawan dari Gaal menyertai gotong royong di kawasan banjir yang baru surut iaitu di Kamoung Gajah Mati Temerloh.
“Doakan supaya team kami sihat dan dapat melalaksanakan tugas dengan sebaik mungkin,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 25/12/2021
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Ini adalah amanat Presiden PAS mengenai banjir...
Syabas barisan hadapan hadapi banjir
RIUH kedengaran suara-suara yang mengkritik kumpulan barisan hadapan dalam menangani bencana banjir yang melanda. Barangkali lebih ramai yang bercakap hanyalah sekadar berada di dalam bilik berdepan dengan meja, walaupun ramai juga yang mungkin boleh berenang untuk membantu mangsa pun tidak mampu melakukannya.
Mereka hanya sekadar membuat kenyataan untuk melepaskan geram. Walau bagaimanapun, sikap sebahagian daripada mereka itu bagus kerana menunjukkan simpati terhadap mangsa banjir.
Banjir yang berlaku ialah bencana yang tidak diduga besar dan kecilnya. Tambahan lagi, untuk melalui kawasan yang dilanda banjir tidak semudah memandu kereta di lebuh raya.
Maka, perlulah dinilai terlebih dahulu kederasan arus yang berbahaya, pusaran air yang menakutkan, kedalaman air yang menggerunkan dan lain-lain. Termasuklah risiko yang boleh berlaku seperti kemungkinan dihempap tanah, bangunan runtuh dan tanah hanyut, kawasan yang sempit penuh bahaya, binatang berbisa dan berbahaya serta pelbagai lagi cabaran lain.
Hanya mereka yang kuat, tabah, sabar dan gagah berani sahaja boleh melakukan usaha menyelamat dan membantu dengan cara menyabung nyawa sendiri, bukan nyawa mereka yang hendak diselamatkan itu sahaja.
Oleh itu, bukan masanya isu banjir hendak dijadikan isu politik ataupun isu untuk mempopularkan diri. Bahkan, bukan juga isu sekadar untuk melariskan berita yang sedap dibaca, tanpa memahami beratnya bebanan mereka yang memikul tanggungjawab untuk menyelamatkan mangsa banjir dalam keadaan membahayakan diri sendiri.
Bencana yang datang bukannya boleh diketahui lebih awal tahap bahaya dan peralatan yang diperlukan di sesuatu kawasan. Malah, ramalan kaji cuaca bukan semuanya berlaku sepertimana yang dibaca dan dijangka.
Terdapat sebahagian kawasan yang mencukupi peralatannya dan ada juga kawasan yang berlebihan peralatannya. Dalam pada itu, ada juga yang menghadapi banyak kekurangan tanpa diketahui lebih awal peralatan yang mencukupi. Ada juga kawasan yang jauh dan jalan yang berliku-liku bagi meredah banjir dalam perjalanannya.
Justeru, perlulah difahami untuk membahagi-bahagikan tugas, peralatan dan penghantarannya terpaksa mengejar masa dan jarak yang jauh. Sehinggakan perlu meredah bahaya dan lain-lain keadaan yang tidak memungkinkan misi bantuan dapat dipandu laju sepertimana biasa.
Semua keadaan tersebut perlu diketahui oleh semua pihak supaya masing-masing tidak mudah hanya sekadar mengkritik dengan lidah yang tidak bertulang dan melalui dakwat cair yang mudah dialirkan.
Kepada Allah SWT jualah kita semua berdoa supaya diberikan kekuatan jasad dan roh serta kesabaran kepada barisan hadapan. Termasuklah didoakan agar dikurniakan pahala amal pengorbanan dan pahala percuma kepada mereka akibat dimaki dan dikritik dengan mudah sehingga menyentuh perasaan. Begitu juga, dosa percuma kepada pihak yang memaki hamun.
Fadilat besar kepada para sukarelawan serta penyumbang harta dan tenaga percuma yang mendapat kelebihan daripada janji Rasulullah SAW kepada sesiapa yang membantu bagi melepaskan kesusahan saudaranya. Nescaya Allah SWT akan menolongnya dalam menghadapi kesusahan pada Hari Kiamat kelak. Sabda Nabi SAW:
مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا، نَفَّسَ اللهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ.
“Sesiapa yang melepaskan satu kesusahan seorang Mukmin, pasti Allah akan melepaskan daripadanya satu kesusahan pada Hari Kiamat.” (Riwayat Muslim 2699)
Buat mereka yang meninggal dunia, didoakan agar dikurniakan pahala syahid akhirat yang diselamatkan daripada menghadapi fitnah kubur. Kepada ahli keluarga dan semua mangsa banjir, semoga mendapat pahala bersabar dan pahala tenaga berikhtiar.
Kepada semua ingatkan diri masing-masing dengan firman Allah SWT:
وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنْفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ١٥٥ الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُمْ مُصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ١٥٦ أُولَئِكَ عَلَيْهِمْ صَلَوَاتٌ مِنْ رَبِّهِمْ وَرَحْمَةٌ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُهْتَدُونَ١٥٧
“Demi sesungguhnya Kami akan menguji kalian dengan sedikit ketakutan dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan harta benda dan jiwa serta buah-buahan (hasil tanaman). Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. (155); (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa musibah, mereka berkata: ‘Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami akan kembali.’ (156); Mereka itulah orang-orang yang beroleh keberkatan yang sempurna daripada Tuhan mereka berserta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya. (157)” (Surah al-Baqarah: 155-157) -Presiden PAS
No comments:
Post a Comment