Wednesday, December 01, 2021

Tel Aviv paling mahal? Ini sebenarnya...

 

Tel Aviv, Israel dipilih sebagai bandar raya termahal di dunia menurut kajian tahunan The Economist. - Foto fail AFP

LONDON: Tel Aviv dinamakan sebagai bandar raya paling mahal di dunia untuk didiami susulan inflasi yang makin melonjak naik sekali gus meningkatkan kos sara hidup, menurut satu tinjauan yang diterbitkan hari ini.

Bandar raya itu naik lima anak tangga untuk menduduki kedudukan teratas buat kali pertama kali dalam ranking yang disusun oleh Unit Perisikan Ekonomi (EIU).

Indeks Kos Sara Hidup Seluruh Dunia disusun dengan membandingkan harga dalam dolar Amerika Syarikat (AS$) untuk barangan dan perkhidmatan di 173 bandar raya.

Tel Aviv berada di kedudukan itu sebahagiannya disebabkan oleh kekuatan mata wang negaranya iaitu shekel, berbanding dolar, selain faktor kenaikan harga pengangkutan dan barangan runcit.

Paris dan Singapura berkongsi di tempat kedua, diikuti Zurich dan Hong Kong. Sementara New York berada di tempat keenam, dan Geneva di tempat ketujuh.

Turut berada dalam senarai 10 bandar raya paling mahal di dunia adalah Copenhagen yang berada di kedudukan kelapan, diikuti Los Angeles (kesembilan) dan Osaka (kesepuluh).

Untuk rekod, pada tahun lalu, tinjauan yang sama meletakkan Paris, Zurich dan Hong Kong berkongsi kedudukan di tempat pertama.

Data bagi tahun ini dikumpul pada Ogos dan September lalu, ketika harga barang dan komoditi meningkat dan menunjukkan secara purata harga meningkat 3.5 peratus dalam mata wang tempatan, iaitu kadar inflasi terpantas direkodkan dalam tempoh lima tahun lalu.

Ketua Sara Hidup Seluruh Dunia EIU, Upasana Dutt, berkata sekatan sosial akibat pandemik COVID-19 telah mengganggu bekalan barangan dan membawa kepada kekurangan (bekalan) dan harga yang lebih tinggi.

"Kita dapat melihat dengan jelas impak melalui indeks tahun ini dengan kenaikan ketara harga petrol," katanya yang turut menambah, bank pusat dijangka menaikkan kadar faedah secara berhati-hati bagi mengurangkan inflasi.

Sementara itu, ibu kota Syria, Damascus dinamakan sebagai bandar paling murah untuk didiami di seluruh dunia. -AFP

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Ini sebenarnya yang berlaku...

KUMPULAN negara yang terlibat dengan penubuhan negara haram Israel pada tahun 1948 yang lalu, kini bersekongkol bersama beberapa buah negara yang berperanan menjatuhkan kuasa dunia Islam yang pernah menjadi benteng pertahanan umat. 

Bahkan, kini wujud pula perancangan untuk melaksanakan agenda yang dinamakan normalisasi atau al-tatbi‘, bertujuan menghalalkan dan mengiktiraf kewujudan negara haram itu.

Negara haram tersebut ditegakkan selepas kejatuhan Khilafah ‘Uthmaniyyah yang mengalami kelemahan pada masa mutakhirnya. Sehingga kerajaan Islam itu digulingkan oleh kumpulan fanatik daripada kalangan nasionalis Turki yang dipimpin oleh Kamal Ataturk.

Bangsa Arab yang menjadikan nasionalisme sebagai pegangan menggantikan pendirian Islam pula berjaya diadudombakan bagi menghadapi Turki saudara seagama. Sehinggakan mereka bersama negara penjajah Barat yang bersekutu menghalau Turki ‘Uthmaniyyah yang mentadbir wilayah Arab termasuklah Palestin. Kononnya bangsa Arab akan menggantikan Turki memimpin dunia Islam menjadi Khalifah yang baharu.

Negara-negara Arab menjadikan hari kebangsaan negara masing-masing bersamaan dengan hari pengunduran Turki ‘Uthmaniyyah yang dianggap sebagai penjajah. Adapun negara Barat pula dianggap sebagai negara sahabat mereka.

Perkara tersebut sebenarnya membenarkan sabda Rasulullah SAW:

‌وَيْلَكُمْ ‌لَا ‌تَرْجِعُوا ‌بَعْدِي ‌كُفَّارًا، يَضْرِبُ بَعْضُكُمْ رِقَابَ بَعْضٍ.

“Binasalah kalian! Janganlah kalian menyeleweng (meninggalkan Islam) sesudahku (wafat) sehingga kalian membunuh sesama sendiri.” (Riwayat al-Bukhari 6166 dan Muslim 66) 

Malangnya, negara-negara Arab yang pernah menjadi sebahagian daripada wilayah Turki ‘Uthmaniyyah itu dibahagi-bahagikan berdasarkan Perjanjian Sykes-Picot pada tahun 1916 (The Sykes-Picot Agreement) laksana membahagi-bahagikan pusaka. 

Adapun Palestin yang menjadi bahagian kepada penjajah British pula dikambinghitamkan untuk dikorbankan bagi menunaikan Perjanjian Balfour pada tahun 1917 (Balfour Declaration). Tindakan itu adalah semata-mata untuk menegakkan negara haram Israel secara rompakan. 

Sekali gus memaksa penduduk asal Palestin keluar dari tanah air mereka, demi menempatkan kumpulan pendatang Yahudi untuk menegakkan negara impian Zionis atas nama bangsa Yahudi. Mereka mendakwa kononnya mereka ialah bangsa yang termulia di alam dunia ini. 

Almarhum Sultan Abdul Hamid yang mengambil alih kerajaan Turki ‘Uthmaniyyah yang sangat lemah, menolak tawaran Zionis sejumlah dana bernilai jutaan pound (pada masa itu) dengan mengekalkan takhtanya. Sambil menghalau pemimpin Zionis iaitu Theodor Herzl, baginda dengan tegas memberikan jawapan bertitah: 

“Aku tidak akan mengotorkan sejarah nenek moyangku iaitu para sultan yang ditulis dengan tinta emas kerana mempertahankan Islam.” 

Walaupun baginda wafat setelah dipecat dan berada dalam buangan, namun namanya tetap dikenang dalam sejarah kerana mempertahankan Islam dan tanah suci Palestin. 

Antara pemimpin negara yang paling awal mengiktiraf negara haram Israel itu ialah Kamal Ataturk, pemimpin Turki dan juga Shah Iran. Adapun mereka yang bernasib mendapat habuan berupa takhta negara Arab yang telah difaraidkan di bawah pengaruh penjajah itu pula, bertindak terhadap para mujahidin Arab yang mempertahankan Palestin walaupun kelompok tersebut telah hampir mengalahkan sebahagian daripada tentera Zionis. 

Ketika itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Majlis Keselamatan (United Nations Security Council) digunakan bagi memaksa gencatan senjata bagi menyelamatkan negara haram Israel dan memberikan peluang untuk dibekalkan senjata paling canggih sebanyak mungkin kepada Zionis. 

Negara Arab pula dibekalkan senjata yang tidak boleh mengatasi kekuatan persenjataan Israel dan sekadar untuk mencetuskan perang saudara sesama negara mereka. Adapun kekayaan hasil bumi Arab pula menjadi laksana susu yang diperah daripada lembu yang dicucuk hidung ataupun dikurung, tanpa mendatangkan manfaat kepada negara dan rakyat yang mempunyai jati diri. 

Kini, berlaku era kebangkitan semula umat Islam di seluruh dunia, walaupun dalam keadaan yang masih lemah. Munculnya kumpulan pejuang Palestin yang beraqidah Islam dan bermoral tinggi yang tidak menyerah kalah. 

Shah Iran pula telah digulingkan oleh Revolusi Islam yang digerakkan oleh rakyatnya. Manakala Turki pula mula menunjukkan kebebasan sedikit demi sedikit daripada fahaman sekular Kamal Ataturk. 

Perubahan kepada Islam dianggap menjadi ancaman kepada negara haram Israel. Maka, label penjajah Turki dan Syiah dibesar-besarkan supaya peranan kedua-dua negara itu ditolak oleh umat Islam dengan fatwa yang dibayangi perpecahan umat sebagaimana yang pernah ditayangkan dahulu oleh penjajah lama. 

Sudah terang lagi bersuluh, betapa kegelabahan Zionis dan negara-negara sekutunya menunjukkan berlakunya langkah-langkah untuk menyelamatkan Israel. Kesemua negara Arab yang dianggap membantu Palestin telah diganggu dan sengaja dicetuskan huru-hara, dengan menyalakan masalah dalaman masing-masing tanpa mengira sama ada melibatkan kelompok haluan kiri mahupun haluan kanan. 

Khususnya yang berlaku terhadap barisan depan yang mempertahankan Palestin seperti negara Mesir, Jordan, Syria, Lubnan, Yaman, Sudan, Libya, Iraq dan lain-lain. Negara-negara tersebut diadudombakan antara satu sama lain. 

Sehingga menyebabkan berlakunya kekacauan ataupun perang saudara antara sesama mereka. Semua itu dicetuskan oleh pelbagai sebab seperti perbezaan agama penduduk, berlainan mazhab, krisis sempadan, termasuklah kalangan yang jahil menjadi pelampau agama dan golongan yang meremehkan agama. 

Sebahagiannya pula melaksanakan agenda normalisasi yang telah diaturkan oleh negara-negara besar yang melindungi negara haram itu secara terbuka. Sehingga mereka beratur untuk menunggu giliran bagi mengadakan hubungan dengan negara haram itu.

 Malah, ada dalam kalangan mereka yang memberanikan diri secara terbuka dan ada juga dalam keadaan teragak-agak kerana takutkan kemarahan rakyat yang tidak bersama-sama mendukung mereka. Adapun kerajaannya pula telah melupakan kewajipan jihad bagi membebaskan Palestin daripada cengkaman setiap penjajah yang datang, sedangkan mereka yang berjihad untuk kebebasan tanah suci pula dikira sebagai pengganas. 

Tidak sepatutnya negara-negara Arab yang kaya-raya dengan kurniaan Allah SWT melaksanakan normalisasi terhadap Israel dan bergantung kepada kerjasama ekonomi dengan Israel yang kerdil. Bahkan, juga tidak sepatutnya negara-negara Arab yang ramai tenaga manusianya itu bergantung kepada segelintir tenaga manusia Yahudi Zionis. 

Normalisasi diadakan adalah untuk mengesahkan negara yang haram dan ternyata keganasannya. Sebaliknya para pejuang Palestin yang mempertahankan agama dan tanah suci itu pula yang dilabelkan sebagai pengganas. Perkara ini merupakan satu hukuman yang paling zalim terhadap mereka yang menjadi mangsa kezaliman makhluk paling dimurkai Allah kerana kezaliman yang dilakukan oleh mereka. 

Sebenarnya, normalisasi yang dilakukan negara-negara Arab itu bermakna mereka menyerah kalah di hadapan musuh yang nyata paling dimurkai Allah SWT kerana memusuhi Islam. Hal ini sebagaimana firman-Nya: 

وَضُرِبَتْ عَلَيْهِمُ الذِّلَّةُ وَالْمَسْكَنَةُ وَبَاءُوا بِغَضَبٍ مِنَ اللَّهِ ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ كَانُوا يَكْفُرُونَ بِآيَاتِ اللَّهِ وَيَقْتُلُونَ النَّبِيِّينَ بِغَيْرِ الْحَقِّ ذَلِكَ بِمَا عَصَوْا وَكَانُوا يَعْتَدُونَ٦١ 

“…Dan mereka ditimpakan dengan kehinaan dan kepapaan, dan sepatutnya mereka mendapat kemurkaan daripada Allah. Hal yang demikian itu, disebabkan mereka kufur (mengingkari) terhadap ayat-ayat Allah (perintah-perintah dan mukjizat-mukjizat yang membuktikan kebesaran-Nya); dan mereka pula membunuh para nabi tanpa sebarang alasan yang benar. Oleh yang demikian, perkara itu berlaku kerana mereka menderhakai Allah dan mereka pula sentiasa melampaui batas.” (Surah al-Baqarah: 61) 

Dan juga firman Allah SWT: 

لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ النَّاسِ عَدَاوَةً لِلَّذِينَ آمَنُوا الْيَهُودَ…٨٢ 

“Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi…” (Surah al-Ma’idah: 82) 

Allah SWT juga menyifatkan mereka itu sebagai bangsa pengecut melalui firman-Nya: 

لَا يُقَاتِلُونَكُمْ جَمِيعًا إِلَّا فِي قُرًى مُحَصَّنَةٍ أَوْ مِنْ وَرَاءِ جُدُرٍ بَأْسُهُمْ بَيْنَهُمْ شَدِيدٌ تَحْسَبُهُمْ جَمِيعًا وَقُلُوبُهُمْ شَتَّى  ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ قَوْمٌ لَا يَعْقِلُونَ١٤ 

“(Orang-orang Yahudi dan orang-orang munafiq) dengan keadaan bersatu padu sekalipun tidak akan berani memerangi kalian, kecuali dalam kampung-kampung yang mempunyai benteng kukuh atau dari sebalik tembok. Permusuhan antara sesama mereka sendiri adalah sangat hebat. Kalian menyangka mereka itu bersatu padu, sedang hati mereka berpecah belah. Hal yang demikian itu kerana sesungguhnya mereka ialah kaum yang tidak mengerti.” (Surah al-Hasyr: 14) 

Maka, adalah suatu tindakan yang paling memalukan apabila negara Arab menyerah kalah kepada bangsa yang paling pengecut. 

Percayalah bahawa mereka yang termasuk dalam agenda normalisasi pasti akan gagal menyelamatkan negara haram Israel itu. Hal ini demikian kerana, janji Allah SWT wujudnya dalam kalangan umat Islam kumpulan yang tidak boleh dikalahkan, tidak bakhil dan tidak pengecut dalam mempertahankan Islam dan menghadapi musuhnya. 

Allah SWT memberikan amaran kepada mereka yang mengecewakan Islam, sebagaimana firman-Nya: 

هَا أَنْتُمْ هَؤُلَاءِ تُدْعَوْنَ لِتُنْفِقُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَمِنْكُمْ مَنْ يَبْخَلُ وَمَنْ يَبْخَلْ فَإِنَّمَا يَبْخَلُ عَنْ نَفْسِهِ وَاللَّهُ الْغَنِيُّ وَأَنْتُمُ الْفُقَرَاءُ وَإِنْ تَتَوَلَّوْا يَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ ثُمَّ لَا يَكُونُوا أَمْثَالَكُمْ٣٨ 

“(Ingatlah)! Kalian ialah orang-orang yang diajak supaya menafkahkan sedikit daripada harta benda kalian pada jalan Allah. Maka, ada antara kalian yang berlaku bakhil, padahal sesiapa yang berlaku bakhil maka sesungguhnya dia hanyalah berlaku bakhil terhadap dirinya sendiri. Dan (ingatlah) Allah Maha Kaya (tidak berhajat kepada sesuatu apa pun), sedang kalian semua orang-orang miskin (yang sentiasa berhajat kepada-Nya dalam segala hal); dan jika kalian berpaling, Dia akan menggantikan kalian dengan kaum yang lain; dan setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kalian ini.” (Surah Muhammad: 38) 

Allah SWT juga menegaskan bahawa segala perancangan dan tipu daya untuk menentang Islam juga pasti akan menemui kegagalan, sebagaimana firman-Nya: 

وَقَدْ مَكَرُوا مَكْرَهُمْ وَعِنْدَ اللَّهِ مَكْرُهُمْ وَإِنْ كَانَ مَكْرُهُمْ لِتَزُولَ مِنْهُ الْجِبَالُ٤٦ فَلَا تَحْسَبَنَّ اللَّهَ مُخْلِفَ وَعْدِهِ رُسُلَهُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ ذُو انْتِقَامٍ٤٧ 

“Dan sesungguhnya mereka telah menjalankan rancangan jahat mereka (untuk menentang Islam), sedangkan di sisi Allah ada balasan bagi rancangan jahat mereka. Walau rancangan jahat mereka itu, dapat melenyapkan gunung-ganang sekalipun. (46); Oleh itu, janganlah kamu menyangka bahawa Allah memungkiri janji-Nya kepada para rasul-Nya; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Sedia Membalas (orang-orang yang menderhaka kepada-Nya).” (Surah Ibrahim: 46-47) 

Percayalah, bahawa negara haram Israel akan tenggelam bersama-sama mereka yang mengadakan normalisasi terhadap negara itu. Hal ini adalah berdasarkan kepercayaan Islam, termasuklah kalangan Yahudi bermazhab Ortodoks Neturei Karta. Mereka yang menjelajah berkempen mengenai normalisasi juga pasti akan menemui kegagalannya. 

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 25 Rabi‘ul Akhir 1443 / 30 November 2021 – HARAKAHDAILY 30/11/2021

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails