Thursday, December 30, 2021

'Usrah dan tamrin ‘underground’ PAS di Jepun?

 

Skirt Malaysia, tarbiyah Jepun

SAYA ambil SPM pada tahun 1996. Sementara menunggu keputusan, saya memohon kerja sebagai juruwang di sebuah pasaraya The Store, Jalan Kampar, Ipoh.

Semasa membaca surat tawaran bekerja, ada disebut terma dan syarat mengenai etika pemakaian di tempat bekerja. 

Antara yang menarik perhatian saya hingga menyebabkan saya masih mengingatinya walaupun selepas 25 tahun, adalah dinyatakan pekerja wanita perlu memakai alat solek dan digalakkan berkasut tumit tinggi. 

Kemudian ditunjukkan pula gambar lakaran pakaian seorang pekerja yang berbaju lengan pendek dan memakai skirt. Saya masih ingat lakaran itu. 

Sebagai budak yang baru habis zaman sekolah, itu terma dan syarat yang sangat bercanggah dengan ‘amalan’ di sekolah. 

Etika di sekolah, pelajar dilarang memakai kasut tumit tinggi. Kalau solek berlipstik merah menyala ke kelas, tentu akan didenda guru disiplin. Apatah lagi pakai skirt!

Saya rasa itulah titik permulaan saya sedar ada yang tidak kena pada ‘masyarakat’ ini. Namun, saya tidak mampu lihat apa yang tidak kena itu. 

Waktu itu, saya belum jumpa lagi istilah ‘Sekularisme’, ‘Liberalisme’ dan ‘Dualisme pendidikan’. Saya tidak tahu yang ia ada kaitan dengan pentadbiran, pemerintahan dan politik.

Saya tidak tahu ada pemikiran-pemikiran lain, atau ideologi-ideologi lain yang sedang bergolak dan merebut pengaruh dalam masyarakat. Saya tidak tahu mengenai istilah ‘hak asasi manusia’, apatah lagi ‘hak asasi Muslim’. 

Malah saya tidak dapat mendefinasikan apakah ideologi atau pemikiran yang saya sedang anuti waktu itu. Maka saya terima sahaja terma dan syarat di tempat kerja itu. 

Saya lihat para pekerja pun seperti akur tanpa ada yang membantah. Ia menjadi arus ‘normal dalam abnormaliti’ yang begitu deras sehingga saya turut hanyut bersamanya. 

Saya mula tersedar apabila muncul semangat mendalami semula Islam semasa tahun pertama pengajian di Jepun, iaitu pada tahun 1999. Saya menganggap tahun 1999 adalah tahun ‘turning point’ dalam hidup saya. 

Al-Quran terjemahan Bahasa Melayu yang saya bawa ke Jepun itu saya baca dari kulit ke kulit. Khatam berkali-kali. Dari situ, saya mula berjinak dengan kuliah-kuliah agama, ‘keluar 3 hari di jalan Allah’ bersama kumpulan Tabligh, dan termasuklah mengikuti usrah dan tamrin ‘underground’ PAS di Jepun. 

Dari situ saya sedar rupa-rupanya pertembungan hak dan batil yang dinyatakan dalam al-Quran yang berusia 1,400 tahun itu benar-benar wujud hingga hari ini.

Rupa-rupanya terma dan syarat bersolek dan berkasut tumit tinggi di tempat kerja itu hanyalah ‘tip of the iceberg’ kepada pertembungan dan pergolakan antara hak dan batil yang begitu panjang, sengit dan perit. 

Pertembungan yang paling sengit yang saya pernah saksikan adalah di Parlimen yang mana medannya adalah Pilihan Raya! 

Satu pihak memperjuangkan Islam, pihak lain memperjuangkan kebebasan nafsu yang dilapik dengan nama hak asasi manusia dan ‘isme-isme’ yang sarat dengan kebatilan. 

Setelah belajar, berfikir dan mengkaji, barulah saya faham bahawa selama ini, walaupun dilahirkan Muslim, masih banyak pemikiran, kefahaman dan kesungguhan saya yang tidak selari dengan Islam. 

Seolah-olah Islam di satu tempat, saya pula hanyut di tempat lain, memburu sesuatu yang bakal menjadi penyesalan di akhirat kelak. 

Adakah hari ini saya sudah sedar dan insaf atau masih hanyut? Adakah fikrah saya sudah selari dengan kemahuan agama? Adakah solat, ibadat, hidup dan mati saya sudah benar-benar untuk Tuhan sekalian alam? Mampukah saya istiqamah? 

Saya tidak ada jawapannya sekarang. Selepas mati nanti barulah saya dapat menemui jawapannya yang pasti.

BASRI DIN KAMAR
Penulis merupakan Ketua Penerangan PAS Kawasan Labis Johor – HARAKAHDAILY 29/12/2021

Sumber: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=5029102897108320&id=100000259785486

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails