Wanita perlu ditemani saudara lelaki untuk perjalanan jauh - Taliban
KABUL: Pihak berkuasa Afghanistan hari ini mengatakan wanita yang ingin melakukan perjalanan selain jarak dekat tidak seharusnya ditawarkan pengangkutan kecuali mereka ditemani saudara lelaki terdekat.
Garis panduan itu dikeluarkan Kementerian Promosi Kebajikan dan Pencegahan Maksiat itu turut menggesa semua pemilik kenderaan supaya hanya menawarkan perjalanan kepada wanita yang memakai hijab.
"Golongan wanita yang melakukan perjalanan melebihi 72 kilometer tidak seharusnya ditawarkan menaiki pengangkutan sekiranya mereka tidak ditemani oleh saudara lelaki rapat," menurut jurucakap kementerian, Sadeq Akif Muhajir kepada AFP, sambil menyatakan penemannya mesti saudara lelaki rapat.
Garis panduan terbabit mula disebarkan secara meluas melalui rangkaian media sosial itu dikuatkuasakan beberapa minggu selepas kementerian sama meminta stesen televisyen Afghanistan supaya menghentikan tayangan drama yang menampilkan pelakon wanita.
Kementerian itu juga meminta wartawan televisyen wanita supaya memakai hijab ketika menyampaikan laporan.
Muhajir juga memaklumkan, hijab menjadi keperluan sekiranya golongan wanita ingin menaiki mana-mana pengangkutan, selain pemilik kenderaan tidak dibenarkan membuka muzik di dalam kenderaan.
Tafsiran Taliban mengenai hijab adalah sesuatu yang melitupi rambut dengan muka turut dilindungi daripada dilihat serta memakai pakaian menutup seluruh tubuh, bagaimanapun sesuatu tidak jelas berikutan kebanyakan wanita Afghanistan sudah bertudung.
Sejak mengambilalih kuasa pada Ogos, Taliban mengenakan pelbagai sekatan ke atas wanita dan kanak-kanak perempuan, walaupun mengikrarkan peraturan yang lebih lembut berbanding dengan tempoh pertama mereka berkuasa pada 1990-an.
Di beberapa wilayah, pihak berkuasa Taliban tempatan dipujuk untuk membuka semula sekolah, namun kebanyakan gadis tidak dapat meneruskan pendidikan menengah.
Awal bulan ini, Taliban mengeluarkan dekri atas nama pemimpin tertinggi mereka yang mana kerajaan diperintahkan menguatkuasakan hak wanita.
Bagaimanapun, dekri itu tidak menyebut akses kanak-kanak perempuan terhadap pendidikan.
Aktivis berharap perjuangan Taliban untuk mendapat pengiktirafan antarabangsa dan mendapatkan bantuan yang disalurkan kembali ke salah satu negara termiskin di dunia akan membawa kepada mereka membuat konsesi kepada wanita.
Penghormatan terhadap hak wanita berulang kali disebut oleh penderma global utama sebagai syarat untuk memulihkan bantuan.
Hak wanita disekat dengan teruk ketika Taliban memerintah sebelum ini.
Mereka kemudiannya dipaksa memakai burqa yang menutupi seluruh badan, hanya dibenarkan meninggalkan rumah dengan ditemani lelaki dan dilarang bekerja dan mendapatkan pendidikan. - AFP
Komen Weblog Ibnu Hasyim:
(i) Memang media anti Islam mencari peluang memburukkan Islam, maka kes politik Afghanistan kini menjadi sasarannya. Maka pencinta-pencinta kebenaran perlu berhati-hati jangan terkait menjadi 'barua' penyebar fitnah tersebut.
(ii) Terutama kepada parti politik anti Islam dan Melayu atau NGO-NGO di Malaysia, umat Islam perlu berhati-hati.
(iii) Maka di sini dijelaskan IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-454: HUKUM SOLO TRAVELLING BAGI MUSLIMAH oleh Pejabat Mufti Wilayah .. 13 MAC 2020
Soalan
Assalamualaikum W.B.T. Sejak kebelakangan ini, sudah menjadi satu trend di mana seorang wanita muslimah suka travel (melancong) secara solo ke luar negara dan juga di dalam negara. Bukan itu sahaja, bahkan mereka turut menguar-uarkan dalam media sosial. Soalan saya, bolehkah seorang Muslimah melancong secara solo? Bukankah perlu kepada peneman dan sebagainya? Terima kasih Datuk.
Jawapan
Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah atas segala limpahan nikmat dan kurniaNya. Selawat dan salam ke atas Rasul junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda S.A.W hingga ke Hari Akhirat.
Kami mulakan kalam ini dengan sabda Nabi Muhammad S.A.W:
لا تُسافِرِ المَرْأَةُ ثَلاثَةَ أيّامٍ إلّا مع ذِي مَحْرَمٍ
Maksudnya: Janganlah seseorang wanita itu bermusafir selama tiga hari melainkan bersama-sama dengan mahramnya.
Riwayat al-Bukhari (1086), Muslim (1338)
Atau dalam riwayat yang lain:
لا تسافر المرأة إلا مع ذي محرم
Maksudnya: “Janganlah seseorang wanita itu bermusafir melainkan bersama-sama dengan mahramnya.”
Riwayat al-Bukhari (1763)
Melalui hadith ini, telah jelas larangan Rasulullah S.A.W ke atas wanita muslimah untuk keluar bermusafir melainkan bersama-sama mahramnya[1]. Antara hikmah larangan ini adalah kerana bagi menjaga dan menjamin hak kepentingan golongan wanita daripada diganggu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab selain menutup lubang-lubang fitnah yang mungkin dilontarkan terhadap seseorang muslimah.
Namun, dikecualikan larangan ini pada wanita muslimah yang berhijrah dan juga tawanan. Para ulama’ telah bersepakat bahawa sekiranya seseorang wanita muslimah yang berada di negara kafir, maka dibolehkan ke atasnya untuk berpindah ke negara Islam tanpa perlunya kepada mahram. Begitu juga sekiranya seseorang wanita muslimah itu ditawan oleh orang kafir dan dia mempunyai kemampuan untuk melarikan diri dari mereka, maka dibolehkan juga untuk keluar tanpa perlu kepada mahram. Dan di sisi ulama’ mazhab Hanafi, mereka tidak menganggap keluarnya mereka ini (muslimah yang ditawan) sebagai suatu permusafiran. [Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah; 25/37-38].
Berbalik kepada persoalan yang diajukan, iaitu berkenaan hukum “solo travelling” bagi muslimah, maka terlebih dahulu, perlulah kita memahami apa yang dimaksudkan dengan solo travelling ini. Perkara yang menjadi persoalan pada artikel kali ini adalah berkenaan trend masa kini iaitu orang mula melancong ke luar negara atau tempat-tempat lain secara sendiri. Hal ini juga menjadi buah pertanyaan apabila ia mula menjadi pilihan ramai wanita muslimah di negara kita, seterusnya menerbitkan persoalan yang berkait dengan hukum bagi seorang muslimah untuk melancong secara sendiri ke luar negara atau mungkin juga ke tempat-tempat lain.
Kami juga ada membincangkan perkara yang lebih kurang sama dengan tajuk ini dalam satu artikel khas bertajuk AL-KAFI LI AL-FATAWI #530: WANITA MENYERTAI MISI BANTUAN TANPA MAHRAM. Dalam artikel tersebut juga, kami ada membincangkan berkenaan hukum bagi sebahagian wanita bersama-sama NGO dalam menyertai misi bantuan, ia dibolehkan namun perlu meraikan beberapa syarat.
Dalam hal ini, perlunya melihat kepada perbahasan ulama’ berkenaan haji. Ulama’ berbeza pendapat dalam hal ini kepada dua pendapat:
Pertama: Haram
Ulama’ mazhab Hanafi dan juga Hanbali tidak membenarkan ke atas wanita muslimah pergi menunaikan haji wajib melainkan dengan mahramnya.
Kedua: Harus
Ulama’ mazhab Maliki dan juga al-Syafie pula mengatakan harus bagi wanita muslimah yang tidak memiliki mahram untuk melakukan haji apabila dia telah memenuhi syarat wajib haji tetapi hendaklahh ditemani oleh sekumpulan wanita yang dipercayai. [Lihat: Mughni al-Muhtaj; 2/216-217, al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah; 25/38]
Namun, dalam hal permusafiran seorang wanita untuk umrah sunat, menziarahi ahli keluarga, menuntut ilmu, melancong dan sebagainya. Maka, ulama’ turut berbeza pandangan mengenainya:
- Jika jarak perjalanan tersebut dekat, maka ia diharuskan sebagaimana pandangan ulama mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan juga Hanbali.
- Namun jika ia melibatkan perjalanan yang jauh, maka terdapat dua pandangan di kalangan ulama:
- Diharuskan permusafiran wanita tanpa mahram jika dipastikan perjalanan tersebut adalah selamat. Ini merupakan sebahagian pandangan daripada mazhab maliki dan al-Syafie. Pandangan ini juga dikemukakan oleh Imam Nawawi, Abu Hamid al-Ghazali dan al-Mawardi.
- Tidak diharuskan permusafiran wanita tanpa mahramnya. Inilah merupakan pandangan jumhur ulama.
Selain itu, Dar al-Ifta’ al-Misriyyah juga berkongsi pandangan dan juga pendapat mengenai isu ini. Kata mereka:
يجوز للمرأة أن تسافر بدون مَحرَم بشرط اطمئنانها على الأمان في دينها ونفسها في سفرها وإقامتها وعودتها، وعدم تعرضها لمضايقاتٍ في شخصها أو دِينها.
Maksudnya: Dibenarkan ke atas seseorang wanita untuk bermusafir tanpa mahram namun dengan syarat mestilah aman pada agamanya, pada dirinya dalam permusafirannya, ketika dia di destinasi dan juga dalam kepulangannya, dan tidak menghalangnya atau bertembung dengannya sebarang gangguan terhadap dirinya dan agamanya.
Hal ini boleh diambil dari salah satu athar:
قَالَ عَدِيٌّ فَرَأَيْتُ الظَّعِينَةَ تَرْتَحِلُ مِنْ الْحِيرَةِ حَتَّى تَطُوفَ بِالْكَعْبَةِ لَا تَخَافُ إِلَّا اللَّهَ
Maksudnya: ‘Adiyy berkata: " aku melihat seorang wanita mengendarai kenderaan berjalan dari Al Hirah hingga melakukan tawaf di Ka'bah tanpa takut kecuali kepada Allah S.W.T.
Riwayat al-Bukhari (3595)
Maka, daripada hadith ini, ulama’ mengambilnya sebagai salah satu dalil yang mengharuskan permusafiran seorang wanita sekiranya aman. Dar al-Ifta’ al-Misriyyah menambah lagi:
ومما سبق يتبين لنا أن توفر الأمن هو المعول عليه عند الفقهاء في الإقدام على السفر والامتناع منه. والذي عليه الفتوى أن سفر المرأة وحدها عبر وسائل السفر المأمونة وطرقه المأهولة ومنافذه العامرة؛ من موانئ ومطارات ووسائل مواصلات عامَّة، جائز شرعًا ولا حرج عليها فيه؛ سواء أكان سفرًا واجبًا أم مندوبًا أم مباحًا، وأنَّ الأحاديث التي تنهى المرأة عن السفر من غير محرم محمولة على حالة انعدام الأمن، فإذا تَوَفَّرَ الأمن لم يشملها النهي عن السفر أصلًا. والله سبحانه وتعالى أعلم
Maksudnya: Dan berdasarkan keterangan ini, dapatlah difahami bahawa keamanan merupakan ‘illah di sisi fuqaha’ dalam mengharuskan dan juga menghalang permusafiran. Disebabkan itu, kami datangkan ke atasnya satu fatwa bahawa permusafiran wanita secara bersendirian menggunakan apa-apa cara musafir yang aman, laluan yang menjadi tumpuan orang ramai, kawasan yang tidak sunyi, sama ada di pelabuhan, lapangan terbang dan jalan perhubungan awam yang lain, maka ia dibenarkan secara syarak dan tiada kesusahan ke atasnya padanya (untuk bermusafir) sama ada permusafiran yang wajib, sunat atau harus, dan sesungguhnya hadith-hadith yang melarang wanita dari musafir tanpa mahram adalah kerana digantungkan pada keadaan ketiadaan aman, maka sekiranya wujud keamanan tidak terangkum pengharaman ke atas permusafiran secara asalnya.
Penutup
Kesimpulannya, kami menyatakan bahawa hukum solo travelling bagi wanita adalah harus, namun mestilah berdasarkan beberapa dawabith dan juga syarat seperti berikut:
1. Mestilah keadaan aman terhadap dirinya, agamanya, maruahnya, di masa permusafirannya sama ada dalam perjalanan, ketika di destinasi dan juga ketika pulang.
2. Perlu mendapatkan keizinan daripada mahram dan juga wali yang terdekat.
3. Bukanlah musafir ke tempat-tempat yang boleh membawa kepada fitnah atau memberikan mudarat terhadap dirinya.
Maka, dalam hal ini, kami nasihatkan adalah sebaiknya permusafiran ditemani oleh sekumpulan wanita yang dipercayai atau ahli keluarga lain bersama-samanya. Kami juga menasihatkan agar golongan wanita sentiasa menjaga maruah dan adab-adab Islam agar mereka terpelihara daripada sebarang panahan fitnah dan tomahan serta menjamin kelangsungan kehidupan bersyariat. Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman kepada kita dalam memahami agamanya, menetapkan keimanan kita, serta memberkati segala amal perbuatan kita.
Wallahua’lam.
[1] Orang (lelaki ataupun perempuan) yang haram dinikahi (mengikut hukum Islam) kerana hubungan kekeluargaan yang rapat, hubungan susuan dsb (seperti ibu, anak susuan, adik beradik dsb). (Kamus Dewan Edisi Keempat).
No comments:
Post a Comment