Saturday, January 09, 2021

Bakal jadi hab pemasangan kenderaan teknologi hijau &pertahanan utama di A/Tenggara

 

Kedah dijangka dapat sedia 8,000 peluang kerja baharu

KUALA LUMPUR: Kedah bakal menjadi hab pemasangan kenderaan teknologi hijau dan industri pertahanan yang utama di Asia Tenggara, demikian kata Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

Menurutnya, pelaburan projek berimpak tinggi bernilai RM1.5 bilion tersebut dijangka dapat menyediakan lebih 8,000 peluang pekerjaan baharu, di samping membawa masuk pemain industri automotif dan pertahanan terkemuka dunia.

Terang beliau, projek ini akan dikendalikan dua syarikat besar iaitu Go Auto Group yang juga telah memiliki operasi kilang automotif di Gurun sejak 2015 dan Flumen Holdings Sdn Bhd, di mana keduanya turut mempunyai rangkaian perniagaan di luar negara.

“Kedua-dua syarikat ini merupakan pemain utama dalam industri kenderaan cekap tenaga dan teknologi hijau serta terlibat dalam pembekalan peralatan pertahanan dan teknologi informasi,” ujarnya dilapor Bernama.

Sanusi memberitahu perkara itu selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Penghuni Perumahan Generasi Baharu FELDA (PGBF) yang juga dihadiri Pengerusi FELDA, Dato’ Seri Idris Jusoh di FELDA Laka Selatan, Bukit Kayu Hitam semalam.

Syarikat tersebut jelas beliau, sudah mengeluarkan kenderaan cekap tenaga jenama Haval dan Borgward dari China, juga van komersial dengan teknologi Higer, serta bas elektrik dengan jenama sendiri, Go Auto.

Dalam pada itu, beliau memberitahu kedua-dua syarikat berkenaan juga akan bergabung untuk memiliki 80 peratus saham dalam Darulaman FC Sdn Bhd (DFC) secara konsesi (5+5 tahun) tertakluk kepada perjanjian.

“Pemilihan syarikat ini berdasarkan rekod dan potensi kewangan, perancangan pembangunan perniagaan bola sepak yang mandiri serta membawa nilai dan aktiviti pelaburan berimpak tinggi kepada Kedah,” maklumnya DFC akan menubuhkan syarikat tujuan khas (SPV) yang akan dimeterai kelak bagi memiliki saham berkenaan.

Dato’ Seri Idris dalam pada itu memaklumkan bahawa FELDA sedang menunggu kelulusan daripada kerajaan negeri bagi membolehkan generasi kedua atau ketiga tanah rancangan itu membina rumah tambahan di lot peneroka asal.

Jelas beliau, inisiatif itu adalah bagi membolehkan golongan berkenaan membina rumah baharu di lot sedia ada berhampiran kediaman ibu bapa mereka, sekali gus dapat menyelesaikan isu perumahan dalam kalangan warga FELDA.

“FELDA sudah membuat polisi untuk membenarkan (generasi kedua/ketiga) membina rumah baharu di lot ibu bapa mereka, tapi kena dapat kelulusan daripada kerajaan negeri dahulu.

“Kita dah arahkan semua Pengurus Besar Wilayah FELDA berjumpa dengan setiap kerajaan negeri, in sya Allah bulan depan akan dapat maklum balas, setakat ini respon kerajaan negeri nampak positif,” katanya.
 
Menurut Idris, setakat ini terdapat lebih 112,000 lot rumah FELDA di seluruh negara dan jika cadangan itu diluluskan, generasi baharu FELDA dibenarkan membina rumah baharu tetapi dengan pembiayaan sendiri.

“Pembinaan rumah itu pula tertakluk kepada majlis kerajaan tempatan dan prosedur kerajaan negeri,” katanya pada majlis turut dihadiri ADUN Bukit Kayu Hitam, Halimaton Shaadiah Saad.

Muhammad Sanusi yang terdahulu berucap dalam majlis tersebut berkata, kerajaan negeri memberi jaminan akan sentiasa menyokong dan bekerjasama erat dengan FELDA di mana di Kedah terdapat 10 tanah rancangan dengan jumlah 3,185 keluarga peneroka.

Pada majlis sama, beliau turut melancarkan Program Pembangunan Peneroka (PPP) Wilayah Alor Setar dalam usaha meningkatkan taraf ekonomi warga FELDA, antara projek ‘Smart Fertigation Box‘ bagi tanaman cili dengan kos RM2,000 ditanggung FELDA kepada peneroka terpilih. – HARAKAHDAILY 7/1/2021

IHtv


Created by InShot:https://inshotapp.com/share/youtube.html http://www.ibnuhasyim.com/?m=1.
New

Istilah 'janda' promosi perniagaan undang implikasi negatif

 

Pengerusi Persatuan Wanita dan Ibu Tunggal Nur Iman Kuala Lumpur dan Selangor (Witus), Shiella Tukimin ketika ditemui di di rumahnya. - Foto NSTP/Hafiz Sohaimi

KUALA LUMPUR: Tindakan sesetengah pihak menggunakan istilah 'janda' sebagai umpan atau pelaris perniagaan tanpa mengambil kira sensitiviti wanita khususnya ibu tunggal berusaha keras bangkit dan berdikari bukan sahaja perbuatan mengaibkan tetapi turut mengundang pelbagai implikasi negatif terhadap kesihatan mental.

Lebih menyedihkan, ada pengusaha perniagaan yang tidak canggung meletakkan slogan atau tagline berunsur lucah.

Presiden Persatuan Wanita dan Ibu Tunggal Nur Iman Kuala Lumpur dan Selangor (Witus), Shiella Tukimin, berkata masyarakat perlu lebih cakna kerana tidak semua ibu tunggal berfikiran terbuka, kebanyakan mereka terkesan apabila istilah 'janda' sering dijadikan bahan mainan, gurauan dan dipersendakan.

"Perkara ini dianggap memalukan wanita dan kami sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) banyak menerima rungutan daripada ibu tunggal yang mempersoalkan mengapa perkataan janda digunakan untuk menggambarkan perkara negatif.

"Mungkin ramai tidak tahu ada kalangan ibu tunggal berdepan pelbagai masalah, umpamanya baru bercerai, kematian suami atau sedang bergelut untuk bangkit semula.

"Apabila segelintir pihak mengaitkan status mereka dengan perkara negatif, ada di antara ibu tunggal ini berdepan kemurungan kerana seolah-olah lebih banyak yang mengecam daripada membina," katanya ketika dihubungi BH.

Shiella berkata, bagi peniaga mungkin melihat ia sekadar satu daripada strategi pemasaran, bagaimanapun mereka sepatutnya melihat perkara itu dalam konteks yang lebih luas apatah lagi ada istilah yang lebih sopan dan mesra untuk digunakan.

"Jika difikirkan secara logik, penggunaan perkataan 'janda' untuk mempromosikan produk, ia mungkin berkesan, tetapi bagaimana pula peranan kita sebagai anggota masyarakat untuk menjaga sensitiviti mereka?

"Mengapa tidak menaikkan martabat wanita dengan menggunakan perkataan ibu tunggal atau wanita berdikari yang lebih memperlihatkan sisi positif mereka," katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) memantau proses pendaftaran perniagaan bagi mengelakkan manipulasi atau eksploitasi istilah yang cenderung menterjemahkan konotasi negatif.

"Kami menggesa kerajaan melalui SSM memantau pendaftaran syarikat supaya dapat mengawal penggunaan istilah yang tidak wajar seperti perkataan janda.

"Jika boleh, pengusaha perniagaan carilah nama yang lebih positif dan tidak mengundang kontroversi atau mengaibkan pihak lain," katanya.

Sementara itu, Felo Utama Bersama, Institut Kajian Etnik (KITA) dan Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong, berkata perkataan 'janda' sudah sekian lama difahami dengan makna yang negatif.

"Tidak berapa baik untuk menggunakan perkataan janda, apatah lagi istilah itu digantikan dengan ibu tunggal.

"Daripada situ, kita dapat lihat bahawa masyarakat tidak menyenangi menggunakan perkataan berkenaan," katanya.

Kok Seong berkata, perkataan janda tidak sepatutnya digunakan secara meluas, termasuk bagi melariskan perniagaan kerana ia lebih banyak dikaitkan dengan kiasan yang negatif.

"Misalnya, apabila ada janda yang melaram cantik, mereka dituduh sengaja menggoda dan tergila-gilakan lelaki.

"Sepatutnya perlu ada unsur kasihan bagi perkataan janda kerana mereka ini sama ada telah kematian suami atau diceraikan.

"Disebabkan itu ia ditukarkan kepada istilah ibu tunggal kerana ia lebih bersifat meraih simpati, selari dengan kehidupan mereka yang hidup sendiri dan cuba mencari nafkah untuk menanggung kehidupan diri dan anak," katanya.

Beliau turut menegaskan penggunaan istilah 'janda' adalah sebagai tidak sopan dan bertentangan dengan prinsip kelima Rukun Negara yang menitikberatkan aspek kesopanan.

"Perilaku sopan ini bukan sahaja perlu diaplikasikan untuk diri sendiri, tetapi setiap daripada kita mempunyai peranan untuk menegakkan kesopanan awam.

"Jika perkataan 'janda' terus digunakan untuk kepentingan sendiri misalnya untuk melariskan perniagaan, maka ia dilihat sebagai tidak sopan.

"Nilai kesopanan ini ada kaitan dengan akhlak dan keperibadian kita, jadi tonjolkan perilaku serta jadilah masyarakat yang saling hormat menghormati," katanya.

Beliau turut berkata, semua pihak perlu bekerjasama untuk terus memupuk kesedaran awam mengenai isu ini kerana berkemungkinan ada anggota masyarakat berasakan perkara ini bukanlah satu perkara sensitif. (BH)

Sudah terbit..

E-Buku IH-126: Kampung Janda Di Dunia..

 Bab 1
Bab 2
Bab 3
    Ikuti selanjutnya.

      Ekonomi Turki Berkembang &Covid-19, Tahniah WHO ke Turki.

       

      1. Bank Dunia Ramalkan Ekonomi Turki akan Berkembang Sebanyak 0.5 Peratus

      Bank Dunia meramalkan bahawa ekonomi Turki akan berkembang sebanyak 0.5 peratus pada tahun 2020.

      Bank Dunia telah menerbitkan Laporan Prospek Ekonomi Global terbitan Januari 2021.

      Dalam laporan itu, diperhatikan bahawa ekonomi global diperkirakan menguncup 4,3 peratus pada tahun 2020, 4 peratus pada tahun 2021 dan 3,8 peratus pada tahun 2022 kerana wabak coronavirus (Covid-19).

      Laporan itu meramalkan penguncupan ekonomi banyak negara pada tahun 2020, sedangkan Turki, China, Mesir dan Bangladesh adalah negara-negara yang dijangka akan menunjukkan prestasi pertumbuhan.

      Dalam laporan itu, jangkaan pertumbuhan ekonomi Turki ditetapkan 0,5 peratus untuk tahun 2020, 4,5 peratus untuk tahun 2021 dan 5 peratus untuk tahun 2022.


      2. Covid-19, WHO Ucapkan Tahniah ke Turki

      Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) wilayah Eropah, Hans Kluge, mengucapkan tahniah kepada Turki ...

      Kementerian Kesihatan membuat kenyataan bertulis yang menyampaikan bahawa Menteri Kesihatan Turki, Fahrettin Koca, bertemu dengan Pengarah WHO untuk Wilayah Eropah, Hans Kluge, melalui sidang video.

      Dalam pertemuan itu, peningkatan kes Covid-19 di Eropah, mutasi, keadaan semasa dan kajian vaksin di Turki telah dibincangkan.

      Hans Kluge, mengucapkan terima kasih kepada Turki yang telah mengikuti saranan WHO dalam memerangi wabak Covid-19,

      "Aktiviti dan kepemimpinan Presiden Recep Tayyip Erdoğan dihargai oleh semua negara. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada anda atas sistem penyampaian data dan maklumat yang kuat. Pada masa yang sama, saya juga mengucapkan tahniah atas kajian vaksin, kajian kit diagnostik yang pantas dan kajian mengenai penjujukan genom virus yang dijalankan di Turki.'' Katanya.

      (IH)

      Hibur Hibur Sikit. Pilihan..
      Album 4

      MTC Mendepani Cabaran Membangunkan Industri Kayu-Kayan

       

      HARAKAH: Boleh Tuan jelaskan peranan Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) dan Tuan selaku CEO di MTC ini?

      MUHTAR SUHAILI: Terima kasih kepada pihak Harakah di atas kesudian untuk hadir ke pejabat MTC dan kami mengharapkan hubungan antara MTC dan media akan terus bertambah baik dari semasa ke semasa.

      MTC ditubuhkan pada tahun 1992 atas inisiatif daripada pemain industri sendiri dengan wujudnya lima persatuan yang menubuhkan MTC ini terdiri daripada Persatuan Perindustrian Kayu-Kayan Malaysia (MWIA); Persatuan Pekilang Panel Malaysia (MPMA); Majlis Kayu Kumai dan Tanggam Malaysia (MWMJC); Majlis Perabot Malaysia (MFC) dan Persatuan Pengeksport Kayu Malaysia (TEAM). Wakil kelima-lima persatuan ini dan juga Persatuan Pengusaha Kayu-Kayan dan Perabot Bumiputra Malaysia (PEKA) dilantik sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah MTC.

      Selaku CEO, saya telah membuat satu ‘roadmap’ atau plan tindakan untuk tahun hadapan khususnya apa yang kami ingin capai. Kami mempunyai plan lima tahun 2019 hingga 2023, cumanya untuk tahun hadapan terdapat tujuh sasaran yang kami ingin sasarkan. Antaranya transformasi perniagaan untuk melihat industri kayu-kayan ini terus relevan.

      Keduanya, meningkatkan sumber bahan mentah. Selama ini kita banyak bergantung kepada sumber hutan asli, jadi perlu difikirkan bagaimana supaya tidak terus bergantung kepada sumber hutan asli sebaliknya perlu ada sumber bahan mentah alternatif. Antaranya yang telah dibincangkan berkaitan perladangan hutan, guna semula batang pokok kepala sawit untuk dijadikan produk kayu-kayan termasuk perabot.

      Ketiganya, memupuk akses pasaran untuk dikembangkan ke pasaran luar negara. Sekarang ini, MTC mempunyai lima pejabat wilayah antaranya di Amerika Syarikat, Belanda (untuk fokus pasaran Eropah), Dubai (Timur Tengah), India (Asia Selatan) dan China (Asia Timur).

      Keempat, mengendalikan program reka bentuk dan penjenamaan dengan tujuan untuk menghasilkan produk yang berkualiti dan mempunyai nilai tambah kepada produk perkayuan.

      Kelima, meningkatkan automasi proses perniagaan. Sekarang ini masih terdapat pengilang dan pemproses kayu yang bergantung kepada tenaga kerja di dalam operasi mereka. Jadi, kami ingin membantu agar mereka dapat meningkatkan produktiviti melalui automasi dan pendigitalan serta mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja.

      Keenam, menerapkan inisiatif hijau (green technology) antaranya menggalakkan setiap kilang menggunakan panel solar.

      Ketujuh, mengeratkan hubungan dengan pemegang taruh bagi memastikan mereka dapat bekerjasama baik dengan MTC.

      Pada tahun 2019, industri perkayuan telah menyumbang sekitar RM22.5 bilion nilai eksport bersamaan 1.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Dari sudut pelaburan, industri ini berjaya menarik sekitar RM707.8 juta pelaburan pada tahun 2019 dan pasaran domestik agak besar sekitar RM20.8 bilion. Selain itu, industri ini turut menyediakan peluang pekerjaan kepada 50,000 pekerja tempatan.

      Kedudukan dari sudut pasaran antarabangsa, tahun lepas Malaysia adalah pengeksport keempat terbesar untuk kayu papan lapis; keenam terbesar bagi perabot kayu dan kayu bingkai; kelapan terbesar untuk kayu kumai dan kesepuluh terbesar untuk kayu gergaji.
      Di sini dapat dilihat bahawa, Malaysia antara negara pengeksport produk kayu yang signifikan di peringkat antarabangsa.

      Apakah antara cabaran yang dihadapi oleh pihak MTC dalam krisis Covid-19 yang dihadapi hampir seluruh dunia?

      Sepanjang Covid-19 ini, industri perkayuan turut terkesan seperti industri lain antaranya nilai eksport pada tahun ini sehingga bulan September menurun sekitar 4.3 peratus berbanding tahun lepas.

      Walau bagaimanapun, nilai eksport di beberapa negara utama masih lagi memberangsangkan. Sebagai contoh negara pengimport utama iaitu Amerika Syarikat sebanyak RM5.1 bilion daripada Januari hingga September tahun ini dengan peningkatan 53.5 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas, Jepun (RM2 bilion), China (RM1.6 bilion), Eropah (RM1.5 bilion), Australia (RM633 juta), Singapura (RM574 juta), India (RM526 juta), Korea Selatan (RM521 juta).

      Dijangkakan jumlah keseluruhan eksport sehingga hujung tahun ini masih berada pada paras RM20 bilion, meskipun terdapat penurunan berbanding tahun lepas. MTC diberi mandat oleh Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) pada tahun 1998 untuk mempromosikan perdagangan kayu dan membangunkan pasaran produk kayu Malaysia di peringkat global.

      Akibat dari kesan pandemik Covid-19, MTC telah mengambil pendekatan untuk menyusun semula langkah-langkah serta pelan strategik sejajar dengan keperluan industri. MTC telah merangka dan mengkaji rancangan lima tahun (2019-2023) yang terdiri daripada empat Teras Utama dan 14 Bidang Tumpuan berikut:

      a) Meningkatkan bantuan untuk menambah bekalan bahan mentah berasaskan kayu.
      b) Memperhebatkan usaha ke arah mengguna pakai pendigitalan dan automasi sebagai permulaan kepada Revolusi Industri 4.0.
      c) Meningkatkan bilangan pekerja berpengetahuan terutamanya mengenai kejuruteraan dan reka bentuk produk dan perabot.
      d) Meningkatkan pangkalan data MTC dan keupayaan menganalisis untuk menghasilkan data mengenai status, peluang dan ancaman yang dihadapi industri perkayuan.
      e) Memanfaatkan platform digital untuk mempromosikan program MTC kepada sasaran kumpulan yang lebih luas.
      f) Menaik taraf infrastruktur ICT bagi meningkatkan keupayaan MTC untuk menjalankan program pemasaran dan komunikasi digital.
      g) Meningkatkan kemahiran kakitangan untuk menjalankan tugas dengan cekap.
      h) Mendorong syarikat-syarikat perkayuan bagi menjalankan transformasi perniagaan untuk penyesuaian dalam persekitaran norma baharu perniagaan, selaras dengan keperluan semasa dan masa hadapan negara dan industri.
      i) Menggalakkan industri dalam penghasilan produk kayu-kayan yang bernilai tambah tinggi dan berinovasi.
      j) Membantu menyediakan persekitaran perdagangan yang kondusif kepada industri dengan
      penglibatan dalam isu-isu berkaitan dasar, standard dan peraturan.
      k) Meningkatkan penembusan pasaran baru dan sedia ada menerusi pendekatan promosi yang strategik.
      l) Mempertingkatkan penjenamaan produk kayu-kayan Malaysia dengan menggalakkan penjenamaan syarikat-syarikat secara spesifik.
      m) Meningkatkan kesedaran dan penggunaan kayu-kayan dalam sektor binaan.
      n) Menambah baik persepsi dan tanggapan masyarakat awam terhadap produk dan industri kayu-kayan.

      Apakah perancangan Tuan selaku CEO untuk mempromosikan produk ini ke pasaran baharu sama ada industri tempatan dan luar?

      Merujuk kepada rekod, Malaysia telah mengeksport produk kayu-kayan ini ke lebih daripada 160 buah negara di seluruh dunia. Namun setakat ini terdapat beberapa negara yang difokuskan dan akan dikembangkan lagi.

      Antaranya Turki, Afrika dan Denmark yang masih kurang dari segi eksport produk kayu-kayan ini. Seterusnya, pada tahun hadapan MTC akan terlibat dengan ekspo-ekspo antarabangsa bagi mempamerkan produk kayu-kayan negara.

      Dengan cara ini kita dapat mengembangkan lagi produk ini ke pasaran luar negara. Dalam pada itu, terdapat banyak perancangan yang sedang dan akan dilaksanakan. Sekarang ini, setiap bahagian di MTC mempunyai projek tersendiri bagaimana untuk mengembangkan dan memasarkan produk kayu-kayan ini untuk pasaran domestik mahupun antarabangsa.

      Bagaimana MTC akan memastikan industri ini kekal mampan di masa hadapan? Apakah antara inisiatif yang telah dan akan dilaksanakan?

      Apa yang menjadi keutamaan MTC adalah membantu mengembangkan industri kayu-kayan negara ini ke peringkat lebih baik melalui program yang telah disusun bagi membantu industri dari sudut inisiatif contohnya seperti digitalisasi, automasi dan mekanisasi.

      MTC juga sedang melaksanakan Program Insentif Kewangan Pembelian Mesin (FIPM). Insentif ini bertujuan membantu pihak industri membeli peralatan mesin untuk bergerak secara automasi.

      Seterusnya, Program Bantuan Import (IAP) bagi membantu penambahan bahan mentah untuk menghasilkan produk tambah nilai. Di sini pihak MTC membantu industri untuk mengimport bahan mentah daripada luar dengan memberi insentif. Secara tidak langsung ia membantu industri untuk berkembang.

      Dalam masa yang sama, MTC juga giat menjalankan kempen kepada dunia bahawa industri kayu-kayan Malaysia membekalkan produk kayu yang diperolehi daripada sumber hutan yang diuruskan secara

      mampan. MTC dengan kerjasama Majlis Persijilan Kayu Malaysia (MTCC) turut mempromosikan penghasilan produk secara mampan melalui Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS).

      Oleh itu, MTC perlu memainkan peranan untuk menjaga reputasi dan imej industri kayu-kayan negara supaya eksport dapat diteruskan khususnya kepada pasaran yang sensitif seperti Eropah dan Amerika Syarikat. Justeru, MTC komited untuk memastikan produk kayu-kayan negara dapat dihasilkan secara mampan.

      Sementara itu, pihak MTC juga sedang gerakkan kerjasama dengan pemain industri di Sabah dan Sarawak supaya dapat dikembangkan lagi dengan gerak kerja yang berkaitan.
      Malah, dalam Belanjawan 2021 kerajaan telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM500 juta untuk projek perladangan hutan. Jadi, MTC akan bekerjasama dengan semua pemain industri supaya memanfaatkan inisiatif yang diumumkan oleh kerajaan untuk terus memajukan industri kayu-kayan ini.

      Manakala, dari sudut transformasi untuk gerak kerja di MTC sendiri, saya telah menubuhkan satu Jawatankuasa Integriti dan Urus Tadbir yang berperanan untuk memantau segala gerak kerja dan urus tadbir di MTC agar dilaksanakan secara telus dan jujur.

      Apakah inspirasi Tuan selaku CEO MTC untuk perancangan masa depan bagi industri ini?
      “Let’s Power Progress Together” itu tema yang saya gunakan. Inspirasi saya ialah bagaimana saya mahu mengajak semua tenaga kerja di MTC ini bersama-sama saya untuk membangunkan MTC dan membantu melaksanakan inisiatif kerajaan dan memastikan Malaysia terus dikenali sebagai pengeluar dan pengeksport utama produk kayu. Secara ringkasnya begitu.

      Sudah semestinya MTC ini ada kaitan dengan pembalakan, jadi bagaimana Tuan mahu meletak jauh persepsi awam bahawa pembalakan ini bukanlah tidak elok untuk semua, dan apa tindakan Tuan untuk mengelakkan MTC terpalit daripada persepsi negatif terhadap pembalakan?

      Kita di MTC, mahu memastikan bahawa semua yang dilakukan secara mampan (sustainable). Bahkan sekarang ini kalau dilihat perhutanan ini adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan bukan di bawah Kerajaan Persekutuan. Macam kerajaan negeri sekarang, saya lihat mereka tidak mudah membenarkan penebangan balak, kalau dahulu mungkin boleh buat mudah, tetapi sekarang zaman media sosial kalau tebang hutan, orang ambil gambar boleh jadi isu.

      Jadi saya rasa setiap kerajaan negeri mengambil berat tentang perkara ini. Saya lihat ada perkembangan positif contohnya konsensi pembalakan. Sebelum diluluskan sesuatu konsensi, mereka akan pastikan syarikat tersebut adalah bertanggungjawab terhadap pembalakan yang mereka akan laksanakan.

      Dengan penguatkuasaan dan pematuhan peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan negeri dan sebagainya, saya yakin kita boleh menghapuskan persepsi negatif ini.

      Sebenarnya imej ini selalu tertanam, dan sebelum sertai MTC saya pun fikirkan perkara yang sama tetapi apabila saya sertai MTC saya nampak banyak perkara yang dilakukan oleh MTC, MTIB (Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia), kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri untuk memastikan perkara ini tidak berlaku.

      Bahkan Malaysia sendiri telah komited terhadap perjanjian Rio Earth Summit 1992, pada ketika itu Malaysia beri komitmen bahawa apa sekalipun yang berlaku, kerajaan Malaysia akan pastikan jumlah keluasan tanah di Malaysia ini kekal diliputi kawasan berhutan melebihi daripada 50 peratus.

      Sekarang ini jumlah hutan di Malaysia 55.3 peratus daripada keseluruhan tanah negara. Jadi kita masih lagi memenuhi komitmen tersebut dan saya rasa apa juga tindakan kerajaan selepas ini memang kita sudah komited untuk pastikan jumlah hutan di dalam negara ini lebih daripada 50 peratus dan itu adalah komitmen kita untuk kita mengubah persepsi negatif ini yang tidak benar ini.

      Bagaimana Tuan melihat isu pembalakan hutan ini kerana perkara ini bukan rakyat sendiri yang rasa, tetapi bila NGO sendiri datang dan sampaikan kepada rakyat tentang isu ini?

      Sebab itulah kita ada beberapa projek untuk beri penerangan seperti membuat dokumentari untuk ditayangkan di saluran media seperti National Geographic untuk beri penerangan tentang pengurusan hutan and pengeluaran produk kayu-kayan secara mampan.

      Kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri berusaha semampu mungkin untuk memastikan pengurusan hutan dan juga industri kayu-kayan beroperasi dengan mematuhi peraturan yang ditetapkan dan dilakukan secara mampan serta memastikan penguatkuasaan dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Jadi tiga perkara ini kalau kita boleh buat saya fikir persepsi (negatif) yang memburukkan keadaan dapat diatasi.

      MTC sebenarnya tidak ada kuasa untuk melaksanakan penguatkuasaan tetapi kita terlibat dalam memberi penerangan (untuk membetulkan persepsi). Sebab itu kita ‘engage’ dengan agensi-agensi media selain MTC sendiri membuat penerangan dengan menggunakan sosial media, kita ada Facebook, Youtube, Pinterest, LinkedIn, Instagram dan Twitter.

      Semua ini kita gunakan untuk memaklumkan tentang peranan MTC dan industri kayu-kayan. Kita terbuka untuk menerima cadangan untuk penambahbaikan bahkan semua yang terlibat dengan industri ini kita akan cuba buat libat urus yang mana kalau ada isu kita selesaikan secara bersama.

      IHtv

      Semut Merah: Beri khidmat tanpa upah atau melihat warna parti..

       

      Semut merah yang membumi baktinya

      NEGARA dilanda musibah banjir yang agak besar. Berbagai NGO dan individu prihatin turun menyantuni rakyat yang kesusahan. Kebanyakan mereka memilih menjadi wira tak didendang. Tidak kurang juga orang politik yang tiba-tiba muncul dengan penuh kamera mengikuti.

      Saya masih ingat kisah seorang pemimpin parti didikan DAP yang kantoi kononnya berendam separas dada sedangkan rakannya setakat paha. Di sudut lain ada juga orang politik yang terus menerus mencatur kuasa. Tak peduli banjir atau COVID. Hanya memikirkan keselamatan diri dan kemaruk kuasa.

      Bagi PAS, kita miliki pasukan siap siaga yang ikhlas berkhidmat sejak dulu. Dikenali semut merah yang tidak langsung dibatasi sempadan negeri atau pangkat jawatan. Di dalamnya ada pegawai kerajaan dan tokoh yang miliki PhD hingga amilin yang tidak berpendidikan namun berakhlak tinggi. Bekas pegawai pencen yang mengabadikan diri tanpa dikenali. 

      Mereka muncul memberi khidmat tanpa upah atau melihat warna parti. Khidmat mereka diakui. Kehadiran mereka sentiasa dinanti. Mangsa banjir, hilang di hutan atau sungai, kebakaran atau ribut dan banjir. Pendek kata, semua musibah mereka muncul, bila-bila dan di mana-mana.

      Setiap program PAS mereka pasti ada. Ukhuwah mereka sangat indah. Arahan ditaati dalam hujan ribut atau panas terik. Semut merah kini sangat dikenali dan dinanti. Mereka tidak pernah menagih simpati. Saya menyaksikan sejak dulu ketulusan khidmat bakti yang mereka beri.

      Sesekali saya diminta bersama berkongsi nasihat, terasa kerdil diri ini dengan keikhlasan yang mereka miliki. Bertuahnya PAS miliki ‘tentera merah’ sebagai sukarelawan di medan perjuangan. Saya meyakini, sebahagian dari kemenangan yang dimiliki PAS kini adalah hasil pengorbanan golongan tak dikenali ini. Malah sesetengah pemimpin perlu belajar erti ikhlas dari golongan yang dipandang kecil ini. Teruskan beramal Jabatan Amal. Amal kerana Allah… 

      FAIRUZ HAFIIZH OTHMAN
      Setiausaha Politik
      Pesuruhjaya PAS Perak – HARAKAHDAILY 8/1/2021

      LinkWithin

      Related Posts with Thumbnails