Saturday, January 16, 2021

Syabas Shahidan Kassim dari UMNO. Dari DAP bagaimana?

 

Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim, bersama anggota konvoi Bantuan Pasca Banjir Barisan Nasional/UMNO Perlis yang berlepas ke Pahang bagi membantu membersihkan rumah mangsa banjir di Pahang. - NSTP/DZIYAUL AFNAN ABDUL RAHMAN

'Relakan elaun dipotong untuk bantu rakyat'

ARAU: Ahli Parlimen wajar merelakan pemotongan emolumen iaitu gaji atau elaun masing-masing bagi membantu rakyat di kawasan menangani situasi tidak menentu ketika ini.

Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim, berkata walaupun pemotongan gaji atau elaun Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Negara sepanjang proklamasi darurat sukar dilaksanakan kerana Parlimen tidak bersidang, setiap Ahli Parlimen harus mempunyai kesedaran untuk berkorban demi kepentingan rakyat.

"Walaupun dalam keadaan darurat, rakyat perlu dijaga dan dibantu, maka saya mencadangkan gaji atau elaun Ahli Parlimen dipotong secara sukarela.

"Kalau nak potong begitu sahaja mungkin ada yang tak setuju, maka biar secara sukarela. Ada yang nak beri lima peratus, 10 atau 20 peratus.

Ada yang tak mahu (potong elaun) kerana tak cukup untuk kawasan mereka. Ada yang sanggup dan walaupun tak cukup, dia akan berusaha mencari peruntukan.

"Saya tidak ada masalah untuk gaji atau elaun dipotong kerana ia sekurang-kurangnya dapat membantu masyarakat di kawasan saya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Pelancaran Bantuan Pasca Banjir Barisan Nasional (BN)/UMNO Perlis di Pusat Khidmat Kubang Gajah, di sini hari ini.

Shahidan berkata, kesedaran perlu ada bagi Ahli Parlimen tanpa mengira parti diwakili untuk membantu rakyat, terutama dalam keadaan darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau mengakui sedia elaunnya dipotong 10 peratus untuk membantu masyarakat setempat.

Shahidan turut mengulas cadangan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, supaya Ahli Parlimen menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon perkenan membatalkan proklamasi darurat dan menitahkan sidang Parlimen diadakan secepat mungkin.

"Yang di-Pertuan Agong sudah buat keputusan, jadi tunggulah. Kita belum buat apa-apa lagi, tunggulah sebulan dua dan lihat kedaan.

"Ada yang kata darurat menjejaskan demokrasi tetapi paling penting, rakyat harus diberi pembelaan ketika ini," katanya.

Terdahulu, Shahidan melepaskan konvoi bantuan pasca banjir yang berada di Pahang selama dua minggu bagi membantu membersihkan kediaman penduduk yang terjejas akibat banjir besar, minggu lalu. (BH)

Komen Weblog Ibnu HasyimSyabas Shahidan Kassim dari UMNO. Dari DAP bagaimana?


IHtv

EU Kempen anti m/sawit.. Wajar M'sia mulakan tindakan undang-undang..

 

Erdoğan: ''Setakat Ini EU Belum Pernah Menepati Janjinya ke Turki''


Presiden Turki Recep Tayyip Erdoğan mengatakan bahawa setakat ini Kesatuan Eropah (EU) belum pernah menepati janjinya kepada Turki. Presiden Erdoğan membuat kenyataan kepada anggota akhbar di Istanbul.

Mengenai vaksin Covid-19 yang disuntikkan kepadanya semalam, Presiden Erdoğan memaklumkan bahawa tidak ada kesan sampingan yang berkaitan dengan vaksin itu, dan berkata bahawa beliau akan mendapat dos kedua 28 hari kemudian.


Presiden Erdoğan menyinggung hubungan Turki dengan Kesatuan Eropah (EU),

“Sejak tahun 1963, kami selalu berusaha untuk menjadikan hubungan kami dengan EU ke arah yang positif. Malangnya, EU tidak menepati janjinya setakat ini. Sekarang kita dalam proses baharu. Rundingan dua hala kami berlanjutan secara intensif. " Katanya.


Presiden Erdoğan mengevaluasi kegusaran Amerika Syarikat (AS) kerana Turki membeli sistem pertahanan udara S-400 dari Rusia,

"Tidak ada negara yang dapat menentukan langkah-langkah yang akan kami ambil ke arah industri pertahanan. Ini bergantung sepenuhnya kepada keputusan kami. Pakej pertama S400 dengan Rusia telah selesai. Pakej kedua berterusan. Kami akan mengadakan perbincangan dengan Rusia pada akhir bulan ini. Kami akan membincangkan banyak isu di sini. 


"Kami tidak tahu apa yang akan diperkatakan oleh pentadbiran Biden ketika ini. Kami mempunyai sesuatu untuk diperkatakan. Kami tidak mengambil langkah pertahanan dengan kebenaran dari suatu tempat. Sebagai negara NATO, kami tidak akan pernah menerima negara-negara yang ada di NATO bersama kami untuk membimbing kami. " Katanya.

Presiden Erdoğan juga membuat kenyataan mengenai jet tempur F-35 yang telah dibayar oleh Turki ke AS, 

"Ini adalah kesalahan besar yang dilakukan AS kepada kita sebagai negara sekutu. Saya harap Joe Biden akan mengambil langkah lebih positif selepas berunding. " Katanya.


Komen Weblog Ibnu HasyimEU kempen anti minyak sawit Maalaysia. Adalah wajar Malaysia mulakan tindakan undang-undang terhadap EU yang bertelatah begitu..


IHtv

Berikutan kempen anti minyak sawit.. -Dr Mohd Khairuddin

 

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali - Foto Aizuddin Saad

Malaysia mulakan tindakan undang-undang terhadap EU

KUALA LUMPUR: Malaysia hari ini memulakan tindakan undang-undang ke atas Kesatuan Eropah (EU) berikutan kempen anti minyak sawit, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Beliau berkata, kementeriannya dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) memulakan tindakan undang-undang terhadap EU serta negara anggotanya iaitu Perancis dan Lithuania dengan memfailkan suatu permohonan untuk konsultasi melalui Mekanisme Penyelesaian Pertikaian (DSM) di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

Katanya, tindakan undang-undang itu adalah susulan dari langkah yang dikenakan EU dan negara anggotanya itu berkaitan

pelaksanaan 'Delegated Regulation di bawah European Union Renewable Energy Directive 2018/2001 (EU RED II)' yang memberi kesan kepada industri sawit negara.

Jelasnya, Malaysia sudah melaksanakan pelbagai langkah termasuklah mengadakan Misi Ekonomi dan Teknikal ke Eropah selain memberikan maklum balas terhadap pelaksanaan EU RED II.

"Namun begitu, EU tetap meneruskan pelaksanaan EU RED II tanpa mengambil kira komitmen serta pandangan Malaysia. Pelaksanaan EU RED II ini telah mengklasifikasikan minyak sawit sebagai suatu produk yang mempunyai kadar risiko perubahan guna tanah secara tidak langsung (ILUC) yang tinggi.

"Hal ini akan menyebabkan penggunaan minyak sawit sebagai bahan api bio di EU tidak diambil kira dalam pengiraan sasaran tenaga boleh diperbaharui dan seterusnya mewujudkan sekatan perdagangan yang tidak wajar terhadap industri sawit negara," katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Khairuddin berkata, tindakan EU itu juga adalah bertentangan dengan prinsip amalan perdagangan bebas yang telah digariskan oleh WTO.

Beliau berkata, tindakan undang-undang itu menunjukkan keseriusan kerajaan dalam melindungi kepentingan industri sawit negara terhadap dasar yang dilaksanakan EU.

"Malaysia berharap supaya WTO melalui Badan Penyelesaian Pertikaian dapat meneliti dan memperhalusi hujah serta keterangan Malaysia secara adil dan saksama selaras dengan prinsip undang-undang WTO.

"Malaysia akan memberikan komitmen dan kerjasama sepenuhnya dalam proses ini khususnya dalam sesi konsultasi kelak dan seterusnya perbincangan bersama Panel WTO yang akan diadakan kelak," katanya.

Pada masa yang sama, Mohd Khairuddin berkata, Malaysia juga akan terus menjadi pihak ketiga bagi tindakan undang-undang yang telah difailkan oleh Indonesia melalui DSM di WTO.

Beliau berkata, pembabitan Malaysia itu adalah penting sebagai tanda sokongan dan solidariti terhadap negara pengeluar sawit.

"Kerajaan Malaysia melalui KPPK akan terus memberikan komitmen yang tinggi dalam mempertahankan kepentingan industri sawit negara yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara," katanya.

IHtv

Tan Sri Muhyiddin hanya dapat sokongan 110 orang dari 220 anggota Dewan?

 



UMMAH cadang kerajaan sementara kepada Agong

MERUJUK kepada pengumuman yang dibuat oleh Ahli Parlimen Machang semalam, Tan Sri Muhyiddin Yassin kini hanya mendapat sokongan 110 orang daripada 220 orang keseluruhan anggota Dewan Rakyat.

Krisis politik yang berlaku kini hakikatnya memberikan kesan yang sangat buruk kepada rakyat yang sedang berhadapan dengan bencana banjir besar, wabak Covid-19 dan keresahan ekonomi yang semakin menekan.

Selain itu, Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) juga melahirkan kekecewaan di atas polemik yang berlaku dan berpendirian bahawa sekiranya kerajaan yang didominasi oleh parti politik Melayu yang ada pada hari ini gagal disebabkan pertelagahan dan kepentingan individu sesama pemimpin Melayu sendiri, maka rakyat khususnya kaum Melayu Islam akan hilang kepercayaan kepada pemimpin parti-parti Melayu ini dalam PRU15 akan datang.

Menurut Perlembagaan Persekutuan, Perkara 43(4) menyebut, ‘jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.’

UMMAH dengan ini menyembah maklum kepercayaan dan keyakinan sepenuhnya kepada kebijaksanan Yang di-Pertuan Agung (YDPA) untuk membuat keputusan yang terbaik terhadap kemelut politik negara pada hari ini.

Memandangkan pandemik Covid-19 yang semakin meningkat, bencana banjir yang melanda negara, UMMAH mencadangkan agar YDPA menubuhkan sebuah Kerajaan Sementara (mengekalkan status quo Tan Sri Munyiddin sebagai Perdana Menteri Sementara), dan tempoh yang dicadangkan adalah selama satu tahun.

UMMAH juga mencadangkan agar YDPA menubuhkan satu jawatankuasa khas yang terdiri daripada ahli-ahli pakar untuk mengkaji tarikh yang paling sesuai bagi negara Malaysia mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 selepas daripada tempoh satu tahun kerajaan sementara tersebut.

UMMAH menegaskan bahawa PRU15 tidak wajar untuk diadakan pada waktu ini bagi memberi ruang kepada kerajaan memberikan khidmat dan fokus kepada misi membantu rakyat yang telah menghadapi bencana banjir besar dan pandemik Covid-19.

Sekian

MOHD ZAI MUSTAFA
Pengerusi,
Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) – HARAKAHDAILY 10/1/2021

IHtv

InsyaAllah Turkish Airlines akan terus terbang tinggi..

 

Turkish Airlines Melakukan Penerbangan Terbanyak di Eropah

Turkish Airlines (THY) menjadi syarikat penerbangan dengan penerbangan terbanyak di Eropah pada 13 Januari.

Menurut data yang diterbitkan oleh Pertubuhan Keselamatan Navigasi Udara Eropah (EUROCONTROL), Turkish Airlines, syarikat penerbangan pembawa bendera, berada di puncak Eropah dengan 543 penerbangan pada hari Rabu.

Pengurus Besar Turkish Airlines membuat kenyataan menerusi Twitter,

"Kami terbang untuk anda. Masa ini adalah masa sukar. Tetapi kami masih membuat penerbangan terbanyak di Eropah. Kami masih terbang ke paling banyak negara (102) di dunia. Dengan Pembersihan, Topeng, Jarak + Vaksin, InsyaAllah Turkish Airlines akan terus terbang tinggi lagi pada tahun 2021." Katanya.

(IH)

Hibur Hibur Sikit. Pilihan..
Album 4

  • H2S Pilihan: 31 -Lagu P Ramlee Menusuk Kalbu
  • H2S Pilihan: 32 -Nasheed Mesir..
  • H2S Pilihan: 33 -Lagu Patriotik Malaysia.
  • H2S Pilihan: 34 -Libya Nasheed
  • H2S Pilihan: 35 -Pungguk, Bulan Dalam Lagu Melayu.
  • H2S Pilihan: 36 -Sudanese Nasheed
  • H2S Pilihan: 37 -Nasyid Singapore &Ikan Todak
  • H2S Pilihan: 38 -Lagu/Nasyid Kinabalu, Sabah
  • H2S Pilihan: 39 -Nyanyian Alam.. India, Switzerlan...
  • H2S Pilihan: 40 -Nyanyian Alam, Kashmir &Nasheed.
  • Kerajaan Belanda terbubar macam PH di M'sia?

     

    Rutte yang menunggang basikal tiba di Istana Huis ten Bosch, hari ini. - Foto AFP

    Ibu bapa didakwa secara salah oleh pihak berkuasa..

    THE HAGUE: Kerajaan Belanda diterajui Perdana Menteri, Mark Rutte hari ini, meletak jawatan susulan skandal kebajikan kanak-kanak yang membawa ancaman kepada ketidakstabilan politik, ketika negara itu berdepan wabak COVID-19.

    Ribuan ibu bapa didakwa secara salah oleh pihak berkuasa Belanda kerana tidak sengaja menuntut elaun anak, dengan kebanyakan mereka terpaksa membayar balik sejumlah besar wang yang akhirnya memusnahkan kewangan mereka.

    Sebahagian ibu bapa menjadi sasaran penyiasatan pegawai cukai kerana mempunyai dua kewarganegaraan, juga mengundang kritikan berterusan mengenai isu perkauman di Belanda.

    Rutte, seorang pemimpin paling lama berkhidmat di Eropah, berkuasa sejak 2010, berkata Kabinetnya akan berperanan sebagai kerajaan sementara bagi memantau pemulihan COVID-19 hingga pilihan raya pada pertengahan Mac.

    "Bebanan tugas berakhir di sini. Kami berpandangan hanya tanggungjawab bersama perlu dipertahan, jika keseluruhan sistem gagal.

    "Ini membawa kepada kesimpulan bahawa saya baru saja menasihatkan raja supaya seluruh Kabinet meletakkan jawatan.

    "Kedaulatan undang-undang perlu melindungi rakyatnya daripada kerajaan sangat berkuasa, dan di sinilah kesilapan paling besar," katanya pada sidang media selepas mesyuarat krisis Kabinet gabungan empat parti di The Hague.

    Rutte mempertahan keputusan peletakan jawatan ketika Belanda berusaha membanteras pandemik COVID-19, selain negara itu berdepan lonjakan kes varian baharu pertama kali ditemui di Britain.

    "Perjuangan melawan COVID-19 masih diteruskan," kata Rutte sambil menjelaskan Kabinet sementara akan melaksanakan tindakan perlu demi kepentingan negara.

    Undian mendapati Parti Kebebasan dan Demokrasi mungkin mendahului pada pilihan raya berikutnya, mencalonkan Rutte bagi penggal keempat, sejak 2010. - AFP

    Komen Weblog Ibnu HasyimKerajaan Belanda terbubar macam PH di Malaysia?

    IHtv



    Friday, January 15, 2021

    Teruskan santuni rakyat dalam kesusahan -Naib Presiden PAS,

     

    KUALA LUMPUR: Semua wakil rakyat dan ahli PAS digesa terus bekerja menyantuni dan membantu rakyat yang dalam kesusahan walaupun dalam tempoh darurat.

    Naib Presiden PAS, Senator Ustaz Idris Ahmad berkata, ramai rakyat di bawah yang berada dalam kesusahan berikutan pelaksanaan kembali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk PKP- Bersyarat dan PKP- Pemulihan serta yang ditimpa musibah banjir di beberapa negeri.

    “Walaupun darurat, semua ahli PAS terutama wakil rakyat mesti terus bekerja untuk santuni rakyat. Bantu mereka ditimpa musibah banjir sama ada tenaga atau wang.

    “Santuni orang susah di tempat masing-masing. Biar kita yang ziarah mereka, jangan biarkan mereka mencari kita. Ini sudah menyusahkan mereka. Kerana mereka terpaksa meninggalkan urusan harian mereka,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

    Menurut Idris, semua ahli PAS, Ahli Majlis dan Ahli Jawatankuasa Kampung mesti menjadi pelapor kepada pihak berkuasa mengenai masalah yang berkaitan rakyat untuk diambil tindakan.

    “Permudahkan urusan rakyat yang memerlukan bantuan yang disediakan oleh kerajaan seperti cara mengisi borang dalam talian

    “Manakala, bagi kawasan yang tidak ada wakil rakyat, diharap pusat khidmat PAS Kawasan mesti diaktifkan,” katanya.

    Jelasnya, pelaksanaan darurat bukan penghalang untuk terus bekerja dan berbakti kepada rakyat, namun perlu penjagaan diri dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

    Beliau turut memetik sabdaan Nabi SAW yang bermaksud; “Barang siapa yang melepaskan satu kesusahan seorang Mukmin, pasti Allah akan melepaskan darinya satu kesusahan pada hari kiamat. Barang siapa yang menutupi aib seorang Muslim, pasti Allah akan menutupi aibnya di dunia dan di akhirat. Dan siapa yang memberi kelapangan akan saudaranya, maka Allah akan melapangkannya“. – HARAKAHDAILY 15/1/2021


    Hibur Hibur Sikit. Pilihan..
    Album 4

  • H2S Pilihan: 31 -Lagu P Ramlee Menusuk Kalbu
  • H2S Pilihan: 32 -Nasheed Mesir..
  • H2S Pilihan: 33 -Lagu Patriotik Malaysia.
  • H2S Pilihan: 34 -Libya Nasheed
  • H2S Pilihan: 35 -Pungguk, Bulan Dalam Lagu Melayu.
  • H2S Pilihan: 36 -Sudanese Nasheed
  • H2S Pilihan: 37 -Nasyid Singapore &Ikan Todak
  • H2S Pilihan: 38 -Lagu/Nasyid Kinabalu, Sabah
  • H2S Pilihan: 39 -Nyanyian Alam.. India, Switzerlan...
  • H2S Pilihan: 40 -Nyanyian Alam, Kashmir &Nasheed.
  • Jaga, bagaimana wang simpann anda boleh lesap?

     

    Wang simpanan RM100,000 lesap

    KUALA LUMPUR: Seorang kerani akaun wanita kerugian RM112,000 selepas mendedahkan maklumat akaun bank kepada pihak yang mengaku dari Bank Negara.

    Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, berkata dalam kejadian pada Januari lalu, mangsa berusia berusia lingkungan 40-an itu menerima panggilan daripada seorang lelaki yang mengaku sebagai pegawai bank.

    "Lelaki itu memaklumkan mengenai penggunaan kad kredit yang didaftarkan atas nama mangsa, namun mangsa menafikan ada membuat sebarang traksaksi seperti yang didakwa oleh lelaki terbabit.

    "Panggilan itu kemudian (kononnya) disambungkan kepada seorang pegawai di Bank Negara dan mangsa diyakinkan bahawa berlaku penyalahgunaan namanya dalam urusan kad kredit berkenaan.

    "Mangsa yang percaya dengan perkara itu kemudian mendedahkan segala maklumat akaun bank dan jumlah wang kepada 'pegawai' berkenaan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini, hari ini.

    Katanya sehari selepas kejadian itu, mangsa menyedari menjadi mangsa penipuan selepas semakan ke atas akaun bank miliknya mendapati wang simpanannya berjumlah RM112,000 dipindahkan ke akaun ketiga.

    Mengulas lanjut, Eng Lai berkata bagi tempoh sepanjang tahun lalu, pihaknya menerima 193 aduan berhubung kes penipuan menggunakan modus operandi panggilan palsu atau Macau Scam membabitkan kerugian mencecah RM6.01 juta.

    Katanya daripada keseluruhan jumlah aduan yang diterima itu, sebanyak 30 peratus kes berjaya diselesaikan, manakala kes-kes lain masih dalam tindakan dan siasatan.

    "Orang ramai dinasihatkan berhati-hati dengan sebarang panggilan telefon yang diterima termasuk yang mengaku daripada pihak bank atau polis.

    "Jangan mudah percaya. Buat semakan terlebih dahulu agar tidak menjadi mangsa penipuan," katanya.

    Sebagai langkah pencegahan, orang ramai dinasihatkan untuk membuat semakan dengan melayari laman sesawang https://ccid.rmp.gov.my/semakmule bagi membuat semakan akaun yang terlibat dalam sebarang kes penipuan.

    Polis turut meminta orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan jenayah dengan cara menghubungi Hotline Polis Sentul di talian 03-40482222 atau mana-mana balai polis berhampiran. (BH)

    IHtv

    Covid-19 cabar peniaga tembusi pasaran digital

     

    Penyertaan e-dagang dalam kalangan PKS meningkat sebanyak tiga peratus antara Mac dan Oktober 2020. — Foto AFP

    KUALA LUMPUR, 15 Jan — Meskipun ia bukanlah rahsia lagi bagi sektor Perusahaan  Kecil dan Sederhana (PKS) terkesan akibat pandemik Covid-19 dan disusuli Perintah Kawalan  Pergerakan (PKP) sejak Mac lepas, namun banyak PKS berjaya bertahan dengan mengendalikan perniagaan mereka dalam talian.

    Malahan dalam tempoh sebulan selepas PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac tahun lepas, aktiviti perniagaan dalam talian meningkat 28.9 peratus, demikian menurut laporan berita.

    Banyak PKS termasuk restoran, kedai runcit, pasar raya dan peniaga menawarkan pelbagai jenis barangan dan perkhidmatan kepada pengguna, yang boleh diperoleh menerusi dalam talian yang membolehkan mereka akses kepada pasaran yang lebih besar dan luas.

    Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan PKS Malaysia, Rizal Nainy berkata, penyertaan e-dagang dalam kalangan PKS meningkat sebanyak tiga peratus antara Mac dan Oktober 2020 berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

    Manakala antara 1 Mac hingga 31 Oktober tahun lepas, sebanyak 373,213 entiti mendaftarkan perniagaan mereka di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia bagi kategori dalam talian.

    Sementara itu, Presiden Persatuan Pengendali Restoran Muslim Malaysia, Datuk Jawahar Ali memberitahu Bernama, lebih 2,500 restoran — atau 65 peratus daripada jumlah 4,250 ahli seluruh negara — kini turut menjalani perniagaan dalam talian, dan menambah kata pandemik Covid-19 sebagai ‘dorongan’  bagi mereka untuk membawa perniagaan mereka ke platform digital.

    Merekayasa semula perniagaan

      Rizal menggesa para pengusaha dan peniaga untuk maju dan serius mempertimbangkan bagi  menyesuaikan teknologi maklumat dan komunikasi kerana ia memainkan peranan penting dalam mendorong pertumbuhan sektor PKS tidak hanya dari segi meningkatkan produktiviti dan kecekapan tetapi juga dalam memperluas jangkauan pasaran mereka.

    Bagi menyesuaikan diri dengan ekonomi digital secara keseluruhan, PKS perlu merekayasa semula model perniagaan mereka untuk memastikan mereka mempunyai strategi, proses dan infrastruktur perniagaan yang betul untuk menyokong transformasi digital, katanya.

    “Ini menjadi semakin penting sekarang ini memandangkan pandemik yang masih dialami  mempengaruhi banyak perniagaan, terutama mereka yang belum menyesuaikan digitalisasi dan belum menceburkan diri dalam e-dagang,” katanya kepada Bernama.

    Sementara itu, Prof Madya Dr Anuar Shah Bali Mahomed, dari Pusat Pengajian Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia, memuji langkah para peniaga mendigitalkan operasi mereka dengan menyatakan bahawa langkah itu bukan sahaja akan menghasilkan pendapatan berpotensi lebih tinggi tetapi juga sejajar dengan aspirasi Revolusi Industri 4.0 negara ini.

    Memetik penjualan satu hari yang luar biasa oleh pemain e-dagang Ali Baba dan JD.com pada 11.11.2020 (festival membeli-belah global), beliau berkata, jumlah penjualan gabungan mereka lebih tinggi daripada peruntukan Belanjawan 2021 Malaysia iaitu RM322.5 bilion.

    Untuk rekod, Ali Baba mencatatkan jualan bernilai RM230.89 bilion dan JD.com RM165 bilion pada 11.11.2020, yang meningkat sehingga RM395.89 bilion.   

    Oleh itu, pengusaha melaksanakan langkah tepat dalam memindahkan operasi mereka ke ekosistem digital untuk memanfaatkan pasaran dalam talian yang menguntungkan, katanya.

    Rahmat di sebaliknya

    Anuar Shah Bali juga berkata, peralihan progresif e-dagang boleh memberi kesan besar kepada pembangunan ekonomi negara dan memungkinkannya untuk menghadapi cabaran ekonomi global.

    “Jika lebih banyak PKS beralih kepada perniagaan dalam talian, mereka akan boleh meningkatkan sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Pada 2019, PKS menyumbang 38.9 peratus KDNK dan 66 peratus pekerjaan dalam negara,” katanya.

    Beliau berkata, pertumbuhan perniagaan dalam talian tahun ini dijangka meningkatkan pertumbuhan KDNK, yang akan memastikan ekonomi Malaysia berada di landasan yang betul untuk berkembang sebanyak 6.5 peratus hingga 7.5 peratus seperti yang disasarkan di bawah Belanjawan 2021.

    Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Malam Bumiputera Shah Alam dan Klang, Kamarul Nizam Razak, menyifatkan wabak Covid-19 sebagai satu rahmat di sebaliknya dan berkata ia telah memaksa peniaga untuk lebih berdaya tahan, berani dan kreatif dalam menyesuaikan diri dengan suasana perniagaan semasa.

    “Ramai peniaga menjalankan perniagaan menerusi dalam talian bagi meningkatkan hasil jualan masing-masing dan meningkatkan pertumbuhan perniagaan. 

    “Walaupun platform digital telah memberi aliran pendapatan kepada peniaga, ia juga membantu syarikat perkapalan dan penghantaran untuk menawarkan peluang pekerjaan kepada mereka yang kehilangan pekerjaan,” katanya.

    Kamarul Nizam berkata, beliau sendiri terpaksa melakukannya dalam talian pada tahun lepas selepas PKP dikuatkuasakan dan pada mulanya beliau mendapati ia agak sukar untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baru.

    “Cuba bayangkan, selama 20 tahun saya mengendalikan gerai menjual produk minuman di pasar malam di Shah Alam. Kemudian, tiba-tiba saya terpaksa menukar arah dan beralih menggunakan platform dalam talian seperti Facebook dan WhatsApp untuk mempromosi produk saya.

    “Meskipun margin keuntungan harian hanyalah kira-kira 20-30 peratus daripada yang saya peroleh sebelum ini, tetapi masih sebagai peniaga kami perlu mengambil risiko yang kami tidak pernah jangka sebelum ini,” tambahnya lagi.

    Strategi pemasaran kreatif

    Seorang pensyarah Fakulti Pengkomputeran di Universiti Malaysia Pahang, Dr Rahmah Mokhtar, pula menggesa peniaga agar melaksanakan strategi pemasaran kreatif untuk menarik lebih ramai pelanggan kerana persaingan sengit dalam kalangan pemain e-dagang.

    “Bagi perniagaan dalam talian, produk itu sendiri memerlukan visualisasi dan foto yang boleh menarik pelanggan untuk ke laman web berkenaan. Contohnya, peniaga yang menjual murtabak semasa bulan Ramadan perlu memuat naik gambar makanan yang lazat itu untuk menarik pelanggan.

    “Mengubah sudut foto produk anda juga suatu tindakan baik untuk menjadikan iklan itu kelihatan lebih menarik. Jika anda tidak pandai dalam mengedit foto, anda boleh sahaja mengupah orang yang mahir untuk melakukannya agar foto itu cantik dan memikat pelanggan,” katanya.

    Beliau berkata, penggunaan hashtags atau # dalam laman media sosial juga penting untuk membolehkan perniagaan seseorang menjangkau pelanggan yang disasarkan.

    “Pengguna media sosial akan berhubung dengan perniagaan anda setiap kali mereka menaip nama produk yang anda jual di kotak carian. Contohnya, jika anda menjual murtabak, anda boleh menggunakan hashtags seperti #murtabak, #murtabakpekan atau #murtabaksedap,” katanya. -Bernama

    IHtv