Saturday, January 23, 2021

Ejek fizikal seseorang di media sosial, ini hukumnya...

 

Mangsa ‘body shaming’ boleh dakwa pelaku di mahkamah

KUALA LUMPUR: Body shaming atau perbuatan mengejek fizikal seseorang di media sosial bukanlah sesuatu yang baharu, namun nampaknya tiada apa yang boleh menghalang pembuli siber ini daripada meneruskan bentuk penderaan ini ke atas seseorang.

Baru-baru ini, seorang gadis berusia 21 tahun dibuli oleh pengguna aplikasi TikTok yang tidak bertanggungjawab semasa dia sedang melakukan video tutorial solekan secara langsung, mengatakan dia kelihatan hodoh dan harus memakai topi keledar.

Bagaimanapun, mangsa tidak mengendahkan komen yang menjelikkan itu dan tidak melaporkan penderaan tersebut kepada pihak berkuasa.

Seorang lagi mangsa, yang dikenali sebagai Sophia, 40, berkata dia menjadi mangsa body shaming apabila seseorang yang mendakwa sebagai jurulatih kecergasan memuat naik gambarnya di halaman Facebooknya dan mengutuknya mengatakan badannya geleber.

Ia berlaku tahun lalu dan Sophia baru-baru ini membuat laporan polis dan laporan berkenaan turut dihantar kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). Walau bagaimanapun, Sophia kesal kerana tiada apa-apa tindakan sehingga sekarang.

Kedua-dua insiden itu jelas menunjukkan sikap acuh tak acuh yang ditunjukkan oleh mangsa sendiri dan tindakan pihak berkuasa yang perlahan dalam mengambil tindakan ke atas pembuli siber apabila penderaan sedemikian boleh menyebabkan tekanan emosi dan boleh menyebabkan mangsa membunuh diri.

Untuk memastikan keadilan ditegakkan dan menghalang pelaku daripada terus melakukan penderaan, peguam Nor Zabetha Muhammad Nor berkata yang paling utama adalah penting bagi mangsa untuk membuat aduan kepada polis dan juga MCMC di laman web www.mcmc.gov.my.

“Dalam kes seperti ini, tangkap skrin atau screenshot mesej digital yang menjelikkan itu boleh berfungsi sebagai bukti. Mangsa perlu mengumpul bukti yang relevan, seperti latar belakang pendera dan komen mereka untuk tindakan selanjutnya.

“Pengulas mempunyai hak untuk memberi komen kerana ia adalah kebebasan bersuara yang dijamin oleh perlembagaan. Walau bagaimanapun, kebebasan itu juga mempunyai had. Anda tidak boleh mengatakan perkara yang boleh mencemarkan nama baik seseorang,” katanya sambil menambah bahawa pelaku boleh didakwa di bawah Akta Fitnah juga.

Beliau menegaskan bagi kesalahan itu, seseorang boleh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang menyatakan bahawa mana-mana orang yang membuat kandungan yang mengancam atau menyinggung dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, menggugut atau mengganggu orang lain adalah satu kesalahan.

“Jika didapati bersalah, seseorang yang melakukan kesalahan tersebut boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya,” kata beliau.

Seorang lagi peguam, Shahrul Fazli Kamarulzaman berkata pelaku juga boleh didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 499 akta yang sama bagi kesalahan itu.

“Seksyen 509 Kanun Keseksaan menyatakan bahawa barang siapa dengan maksud hendak mengaibkan kehormatan seseorang, menyebut apa-apa perkataan, membuat apa-apa bunyi atau isyarat atau mengganggu kesantunan seseorang itu, hendaklah dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika didapati bersalah di bawah seksyen itu.

“Sementara itu, Seksyen 499 Kanun Keseksaan menyatakan jika mana-mana individu ada membuat atau menerbitkan sebarang kenyataan tidak benar yang akan atau boleh merosakkan reputasi orang lain, serta ditulis atau disebarkan dengan niat jahat, adalah melakukan satu kesalahan jenayah fitnah,” katanya.

Jika didapati bersalah tertuduh boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Shahrul mengingatkan pembuli siber bahawa mereka tidak akan terlepas daripada hukuman.

“Jadi setiap kali sebelum mengklik butang ‘hantar’, seseorang perlu tahu bahawa komen dan kenyataan yang boleh mengganggu, mendera, mengancam atau menganiaya orang lain boleh mendedahkan dirinya kepada kesalahan jenayah,” tegasnya. – BERNAMA

Komen Weblog Ibnu HasymSemua ciptaan Allah ada kelebihan serta hikmahnya. Ia tidak sepatutnya dicela dan dihina. 

Allah SWT berfirman dalam Surah at-Tin, ayat 4 yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami menciptakan manusia itu sebaik-baik kejadian.”

Pada zaman Rasulullah SAW, ada seorang sahabat bernama Abdullah bin Mas’ud RA.

Beliau memiliki betis yang kecil. Ketika beliau mengambil ranting untuk dijadikan siwak, angin berhembus dan menyingkap betisnya yang kecil itu lalu sahabat Nabi tertawa kerana melihat betis Ibnu Mas’ud yang kecil itu.

Maka Baginda menegur perbuatan sahabat dengan bersabda yang bermaksud: “Apa yang membuat kamu ketawa?” Mereka berkata, “Wahai Nabi Allah kerana kedua-dua betisnya yang kurus.” Maka Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Demi Dzat yang jiwaku berada di tangannya sungguh kedua-dua betis itu lebih berat di timbangan daripada Gunung Uhud.”

Hadis itu menunjukkan, menghina fizikal seseorang adalah haram. Jika kita perhatikan, sahabat tidak mengeluarkan kata-kata hinaan namun hanya ketawa saja. Ia adalah haram dan mereka ditegur oleh Rasulullah SAW.

Allah SWT melarang kita merendah-rendahkan serta menghina orang lain.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah suatu kaum menghina kaum yang lain, (kerana) boleh jadi mereka (yang dihina itu) lebih baik daripada mereka (yang menghina), dan jangan pula wanita-wanita (merendah-rendahkan) wanita lain (kerana) boleh jadi wanita-wanita (yang dihina itu) lebih baik daripada wanita (yang menghina) dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri dan janganlah kamu panggil- memanggil dengan gelaran yang buruk. Seburuk-buruk panggilan ialah (panggilan) yang buruk sesudah beriman dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (Surah al-Hujurat, ayat 11)

Sekian.

T/kasih &Syabas kepada pemandu lori, bantu polis..

 

Gambar fail, tinjauan di sekatan jalanraya berhampiran Plaza Tol Gombak. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Polis tangkap 2 lelaki samun wanita berhenti di sekatan jalan

GOMBAK: Dua penjenayah yang melakukan samun ke atas sebuah kenderaan sedang berbaris di sekatan jalan raya di Plaza Tol Gombak arah ke Bentong di sini, semalam, berjaya ditangkap.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.10 pagi itu, dua suspek yang menaiki sebuah motosikal pada mulanya memecahkan cermin bahagian tempat penumpang hadapan sebuah kenderaan dipandu seorang wanita berusia 32 tahun dan melarikan beg tangan mangsa.

Kejadian itu disedari pemandu lori di sebelah kenderaan mangsa yang kemudian membunyikan hon sebelum beberapa pemandu lain turut membunyikan hon masing-masing.

Suspek dipercayai panik dan cuba melarikan diri, namun seorang pemandu lori lain yang menyedari perkara itu bertindak pantas membuka pintu lorinya menyebabkan motosikal suspek terlanggar pintu lori itu dan terjatuh.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata pemandu lori terbabit dengan dibantu beberapa orang awam akhirnya berjaya menangkap kedua-dua suspek.

"Kedua-dua suspek berusia 24 dan 28 tahun itu kemudian diserahkan kepada anggota polis yang bertugas di sekatan jalan raya sebelum polis membuat tangkapan semula ke atas mereka.

"Pemeriksaan mendapati suspek melarikan beg tangan mangsa mengandungi pelbagai dokumen peribadi dan wang tunai RM90 dalam kejadian yang berlaku kira-kira 100 meter dari Plaza Tol Gombak," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, ketika kejadian, mangsa sedang menunggu giliran dalam kesesakan untuk menghampiri sekatan jalan raya Plaza Tol Gombak.

"Semakan mendapati motosikal jenis SYM digunakan suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu dan ia dilaporkan hilang di Taman Melawati.

"Kita turut menemui dua beg tangan mengandungi dua kad pengenalan wanita milik dua mangsa samun dalam dua kejadian berasingan di Sentul dan Brickfields, yang turut berlaku semalam.

"Dua kejadian itu dilaporkan berlaku pada pada jam 7.50 pagi dan 8.15 pagi," katanya.

Arifai berkata, suspek menggunakan modus operandi hampir sama iaitu memecahkan cermin kereta sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat sebelum melarikan beg tangan mangsa.

"Seorang suspek ada rekod dikehendaki polis kerana kes dadah, selain rekod lampau berkaitan jenayah.

"Kedua-dua suspek direman lima hari mulai hari ini hingga Rabu ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau berkata, polis berjaya menyelesaikan empat kes samun di daerah Gombak dan Kuala Lumpur dengan penangkapan dua suspek berkenaan. (BH)

Komen Weblog Ibnu HasymTerima kasih dan syabas kepada pemandu-pemandu lori tersebut. Ada upah ke, walau sekalung ucapan terima kasih?


IHtv

X Beradap, DAP Perak Kaittkan Ustaz Ebit Lew Dalam Fitnah..

 

DAP Perak terus main politik, keruhkan keadaan

KETIKA negara sedang berdepan dengan pandemik COVID-19 yang semakin teruk dan meruncing, masih lagi ada pihak yang mengambil kesempatan cuba untuk memburuk-burukkan keadaan. 

Perkara ini dapat dilihat secara jelas apabila DAP Perak cuba mencetuskan kontroversi dan provokasi dengan mengaitkan persepsi buruk kepada Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

DAP Perak dengan penuh tidak bertanggungjawab telah memainkan naratif bahawa Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengeluarkan dalil saban hari untuk menyesatkan rakyat.

Dalam hal ini, kenyataan DAP Perak sangat tidak beradab dan menimbulkan tanggapan yang salah kerana telah menimbulkan fitnah kepada Presiden PAS.

Malah, DAP Perak juga dilihat seolah-olah terdesak apabila cuba mengaitkan Ustaz Ebit Lew dalam isu ini demi meraih perhatian daripada rakyat dan berkemungkinan besar bakal memberikan impak yang buruk.

Adakah DAP Perak masih lagi ingin bermain politik ketika negara sedang berhadapan dengan saat genting apabila angka peningkatan kes akibat COVID- 19 semakin meningkat?

Adakah DAP Perak masih tidak mengambil pengajaran apabila ramai dalam kalangan wakil rakyat termasuklah menteri turut dijangkiti COVID-19? Sudah-sudahlah DAP. Usah lagi menjadi batu api yang cuba memburuk-burukkan Presiden PAS dengan membandingkan beliau bersama Ustaz Ebit Lew.

Hakikatnya, Ustaz Ebit Lew sendiri menghormati dan menyanjungi Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai seorang ulamak besar. Lantas, DAP pula yang lebih sudu daripada kuah untuk cuba menjadi pihak yang melaga-lagakan antara umat Islam? 

Oleh itu, PAS Perak akan mengambil tindakan laporan polis di seluruh 24 kawasan Parlimen di Negeri Perak terhadap FB Page DAP yang biadab ini supaya DAP Perak diambil tindakan tegas oleh pihak berkuasa atas kenyataan fitnah dan tidak bertanggungjawab ini.

USTAZ HAFEZ SABRI
Ketua Penerangan
PAS Negeri Perak – HARAKAHDAILY 21/1/2021

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Itulah wajah DAP sebenarnya, pemfitnah.. Teruskan ambil tindakan terhadap FB Page DAP yang biadab itu..

IHtv

Formula satukan parti poltik &RUU 355 ditangguhkan.

 


‘Nampak saya pemain utama, seorang tidak boleh’  -Pesiden PAS

KUALA LUMPUR: PAS memilih pendirian untuk memastikan kedua-dua gabungan, Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) bersatu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, menerusi kajian yang dilakukan, tiada parti yang boleh menang untuk membentuk kerajaan pada pilihan raya akan datang sekiranya bersendirian.

“Kita (PAS) mahu memastikan kedua-dua gabungan ini (MN dan PN) bersatu. Dalam kajian kita, tiada parti yang boleh menang untuk memerintah sendirian pada pilihan raya akan datang, mesti bergabung dengan parti lain.
“Dengan sebab itu, kita utamakan gabungan orang Melayu Islam dahulu supaya kepimpinan Islam dapat diwujudkan dengan kuat.
“Sebab itu kita, mendesak supaya MN dan PN sama-sama. Bagi kita, perlunya kuatkan MN, perkasakan PN supaya kepimpinan Melayu Islam dapat bersatu, dalam masa yang sama, melibatkan sekali masyarakat majmuk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pendekatan PAS menjelang PRU15 sama ada memilih MN atau PN dalam Bicara Negarawan bersama Presiden PAS bertajuk ‘Masa Depan Malaysia: Ke Mana Kita?’ yang disiarkan secara langsung di Facebook Majlis Profesor Negara, semalam.

Mengulas lanjut, katanya yang bimbang sekiranya orang Melayu Islam di negara ini berpecah kembali akan menyebabkan berlaku sekali lagi suasana orang bukan Islam yang mendominasi.
Menurutnya, yang demikian itu tidak selaras dengan penduduk Malaysia yang didominasi oleh orang Melayu Islam.

“Kalau orang Melayu berpecah akan menyebabkan berlaku sekali lagi suasana didominasi orang bukan Islam, yang tidak selaras dengan penduduk (Malaysia) yang didominasi orang Islam dan akan berlaku kecelaruan.
“Islam mensyaratkan kepimpinan Islam mesti daripada kaum yang mendominasi penduduk. Ini syarat dalam kita fiqh Islam,” jelasnya.

Formula menyatukan parti politik

Menurut Tuan Guru Abdul Hadi yang optimis pertembungan antara Umno dan BERSATU dapat diselesaikan menjelang PRU15.
Katanya, antara perkara yang dihadapi adalah sedia maklum Umno sebelum ini pernah memerintah, malahan perasaan untuk kembali memerintah masih ada.

“Kita telah berjaya mewujudkan piagam MN melibatkan parti PAS dan Umno dengan BERSETUJU untuk memperkasakan kepimpinan Melayu Islam termasuk mengajak parti-parti politik lain dan NGO untuk sertai MN. Ini yang kita bersetuju.
“Malangnya apabila kita nak ajak terdapat pertembungan politik antara Umno dan BERSATU. Walau bagaimanapun, majoriti kepimpinan Umno positif (terima), cuma bagaimana kita nak selesai yang negatif ini. Insya-Allah menjelang PRU15, akan diatasi masalah ini,” katanya.

Tuan Guru Abdul Hadi peneraju penyatuan

Ketika ditanya apabila ramai yang menyifatkan beliau sebagai peneraju kepada penyatuan Umno dan BERSATU, dengan rendah diri katanya beliau bukan bergerak berseorangan.

“Sebenarnya saya bukan pemain utama. Kita bermain berpasukan. Kalau saya seorang bawa bola letih tak sampai ke gol. Sebab itu mesti passing passing. Walaupun orang nampak saya pemain utama, seorang tidak boleh, mesti berpasukan.
“Dalam Umno ada pasukan kita, dalam BERSATU ada pasukan kita. Jadi kita manfaatkan pasukan ini, mungkin dalam masa terdekat kalau ada yang tidak boleh menjalankan tugas kita tukar pemain itu. Terpulang kepada parti masing-masing untuk tukar pemain mereka,” ujarnya tenang.

RUU 355 ditangguhkan

Menurut Tuan Guru Abdul Hadi, Rang Undang-Undang 355 (RUU355) terpaksa ditangguhkan dan akan fokus kepada menyelesaikan masalah darurat yang dilaksanakan susulan peningkatan kes jangkitan wabak pandemik Covid-19.
Jelasnya, RUU355 pada peringkat awal adalah kerjasama PAS dan Umno ketika Umno menjadi kerajaan, namun setelah dibincangkan supaya memperkenalkan undang-undang yang mendidik dalam masalah takzir sahaja.

“Di mana hukuman takzir ini adalah hukuman sebat mendidik bukan sebat mendera iaitu sebatan sebanyak 40, 80 kali. Sebat dalam Islam tidak boleh mengoyak dan mencacatkan sekadar mendidik dan memalukan bagi gantikan hukuman penjara,” katanya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Malangnya, dalam Umno tidak cukup sokongan kerana tidak semua yang menyokong, termasuk pihak Pakatan Harapan (PH) pada masa itu, menyebabkan usul RUU355 sekadar dapat dikemukakan untuk bacaan kali kedua sahaja di Dewan Rakyat, tidak diundi lagi.

“Namun, untuk undian terpaksa bawa usul sekali lagi dan perlu mengikut peraturan-peraturan yang ditetapkan kerana ia bukan usul kerajaan dan mesti memenuhi syarat yang terlalu banyak.
“Justeru, kita terpaksa tangguhkan dan selesaikan masalah darurat dahulu. Ini sangat penting bagi kita. Bahkan dalam sejarah Islam undang-undang yang keras pun ditangguhkan bila berlaku darurat,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 20/1/2021

IHtv

Covid-19: Para ulamak, institusi fatwa dunia sepakat harus, wajib.

 

KUALA LUMPUR: Hukum penggunaan vaksin COVID-19 dalam kalangan umat Islam dalam negara, adalah selaras dengan pandangan tokoh-tokoh ilmuwan Islam dan institusi-institusi fatwa dunia.

Bahkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, beliau turut mengambil inisiatif menulis surat kepada tokoh ilmuwan Islam dunia, bagi mendapatkan pandangan peribadi mereka dalam hal berkenaan.

Ini katanya termasuk kepada Syeikh al-Azhar Syeikh Dr Ahmad al-Tayyib; Pengerusi Majlis Fatwa Kerajaan Emiriah Arab Bersatu Syeikh Abdullah Ben Bayyah; dan anggota Majma’ Fuqaha’ al-Shari’ah Amerika Syarikat Syeikh Dr Muhammad al-Zuhaily.

“Semuanya menjurus kepada perlunya vaksin dan pendapat ini juga saya terima dari MUI (Majlis Ulamak Indonesia),” katanya dalam khutbah Jumaatnya di Surau Ar Rahman, Ibu Pejabat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri di sini, yang disiarkan secara langsung melalui akaun Facebook rasminya.

Pada 23 Disember, Zulkifli mengumumkan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam, telah mengambil ketetapan bahawa hukum penggunaan vaksin COVID-19 adalah harus dan ia wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan kerajaan.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata pihaknya akan berterusan memberi kefahaman dan pencerahan sebaiknya kepada umat Islam dalam negara, berkenaan isu vaksin itu.

Tegasnya juga, sesuatu hukum yang  diputuskan tidak ada kena mengena untuk kepentingan peribadi, tetapi ia lebih bagi menyelesaikan permasalahan umum.

Dalam pada itu nasihatnya, pesakit COVID-19 diingatkan agar sentiasa berfikiran optimistik, tidak berasa tersisih dan tertekan sepanjang menerima rawatan.

Beliau yang juga pernah menjalani rawatan wabak tersebut di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban selepas disahkan positif 4 Oktober tahun lepas turut menasihatkan pesakit agar sentiasa bersangka baik dan memenuhi masa lapang sebaik mungkin dengan mendekatkan diri kepada Allah SWT dan membaca.

“Ujian yang paling besar kita apabila kita ditimpa musibah seperti ini, perkara pertama sebagai seorang Islam kita sentiasa menginsafi dan meninggikan kesabaran kepada Allah,” katanya.

Menerusi hantaran itu, Zulkifli berkongsi video bertemu dan memberi kata-kata motivasi kepada pesakit dan petugas barisan hadapan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang dengan dipisahkan dinding kaca.

Dalam kunjungan itu, beliau menyerahkan buku bertajuk ‘Hari-hari Tarbiah Dalam  Hidupku’ yang mengandungi panduan dan perkongsian pengalaman ditulisnya semasa menjadi pesakit COVID-19 selain sumbangan makanan daripada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia kepada pesakit.

Zulkifli juga mezahirkan perasaan sebak dan sayu ketika melihat raut wajah pesakit dan petugas yang jelas keletihan ‘berperang’ dengan pandemik tersebut.

“Saya faham perasaan mereka kerana pernah berada dalam situasi mereka. Banyakkan berdoa moga Allah S.W.T terus memelihara Malaysia,” katanya. – BERNAMA

IHtv

Serbu! Buka kedai judi ketika PKP, polis tahan 12 kaki judi

 

Anggota polis memeriksa mereka yang berada dalam premis yang dijadikan pusat judi dalam talian dalam serbuan di Pandan Jaya - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim

AMPANG: Polis menyerbu sebuah sebuah premis yang menjalankan aktiviti perjudian dalam talian 24 jam sehari, di Pandan Jaya, di sini, malam ini.

Ketika serbuan polis Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ampang pada jam 8 malam itu, seramai 12 kaki judi terdiri dari 10 warga tempatan dan dua rakyat asing sedang membuat pertaruhan.

Turut ditahan, lima wanita dan seorang lelaki warga Indonesia yang dipercayai menjaga premis berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata siasatan awal mendapati premis itu beroperasi sejak dua minggu lalu 24 jam sehari dan mensasarkan pelanggan yang dikenali.

"Ketua Polis Negara dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sering kali mengarahkan supaya menggempur dan membanteras semua elemen perjudian namun masih ada lagi sindiket yang berani mewujudkan premis seperti ini ditambah dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Justeru Polis Daerah Ampang Jaya, akan mengambil langkah proaktif untuk mengesan kewujudan tempat seperti ini yang boleh merosakkan masyarakat di daerah Ampang secara amnya," katanya yang meninjau lokasi serbuan, di sini, hari ini.

Polis memeriksa peralatan digunakan untuk judi dalam talian ketika serbuan di Pandan Jaya - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim

Katanya ketika serbuan sama, ada sebahagian pemain melarikan diri ke tingkat atas premis berkenaan yang dipercayai turut dimiliki pemilik premis judi terbabit namun dapat ditahan.

Mohamad Farouk berkata Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang, turut mengalu-alukan maklumat daripada penduduk setempat yang mengetahui tentang sebarang cubaan untuk 'menghidupkan' kembali premis perjudian dalam daerahnya.

Beliau berkata siasatan kes berkenaan dilakukan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 untuk penjaga, Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen terhadap penjaga dan pemain yang tidak memiliki dokumen selain kompaun kerana ingkar Prosedur Operasi Standard (SOP) PKP.

Turut dirampas adalah tablet yang digunakan untuk kegiatan perjudian, router, modem dan sejumlah wang tunai. (BH)