Saturday, February 13, 2021

Walau tiada kerusi di Parlimen, tetapi mewakili masyarakat Cina..

 

Gerakan sertai PN, raikan kepelbagaian parti

KOTA BHARU: PAS menyambut baik hasrat Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) untuk menyertai Perikatan Nasional (PN).

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, pihaknya mengalu-alukan penyertaan parti itu dan mana-mana pihak untuk bersama PN.

Katanya, dalam politik perlu mengurangkan musuh, sebaliknya meramaikan kawan.

Menurutnya, mungkin ada yang menganggap parti berkenaan kecil, tetapi yang lebih penting adalah penyertaan dan kebersamaan itu.

"Pandangan kita mana-mana pihak yang boleh terima perjuangan dan hasrat kita, boleh sertai kita (PN).

“Banyak parti lain telah sertai PN dan kita meraikan kepelbagaian itu, bukan hanya Gerakan,” ujarnya yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan pada majlis penyampaian cenderahati kepada 50 orang masyarakat Cina di Kampung Sering, sempena Tahun Baru Cina, dekat sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Ahmad Marzuk Shaary dan isteri Datin Pg Siti Radziah Pg Abdullah.

Katanya, walaupun parti itu tidak mempunyai sebarang kerusi di Parlimen, tetapi ia mewakili masyarakat Cina di negara ini.

Menurutnya, di Malaysia terdapat parti DAP, MCA dan Gerakan yang mewakili parti masyarakat Cina di negara ini.

Tambahnya, penyertaan Gerakan untuk bersama PN dari satu sudut melambangkan penerimaan masyarakat atas gagasan nasional. – HARAKAHDAILY 13/2/2021

Wanita dakwa ditanya polis pakai pakaian dalam atau tidak. Bagaimana?

 

PDRM siasat anggotanya soal wanita tak pakai coli di SJR

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat dua kes yang dialami dua wanita yang mendakwa diganggu anggota polis yang menjalankan tugas Sekatan Jalan Raya (SJR), termasuk satu gangguan seksual.

Dalam kes di Jalan Duta, di sini, seorang wanita mendakwa ditanya oleh anggota polis sama ada dia memakai pakaian dalam atau tidak, selain memberi jaminan tidak akan mengeluarkan saman jika dia menunjukkan sama ada dia memakai pakaian dalam atau tidak.

Dalam satu lagi kejadian di Pulau Pinang, seorang anggota polis menghubungi wanita yang baru diperiksanya ketika melalui SJR dengan tujuan ingin berkenalan.

Pengarah Jabatan Integriti Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya, berkata pada masa ini pihaknya sedang menjalankan siasatan kedua-dua dakwaan berkenaan.

"Siasatan pada masa ini adalah untuk mengenal pasti kedua-dua anggota terbabit berdasarkan keterangan dan maklumat yang ada.

"Pada masa sama, Bukit Aman sudah menghubungi kedua-dua wanita itu bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai anggota yang didakwa mengganggu mereka bagi membantu siasatan JIPS," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Zamri berkata, JIPS akan mengambil tindakan tatatertib yang sewajarnya ke atas mereka yang terbabit.

"Kesalahan seperti dinyatakan itu adalah kesalahan tatakelakuan yang serius kerana ia boleh mencemarkan imej PDRM.

"Saya juga ingin mengingatkan bahawa pegawai dan anggota polis yang sedang bertugas perlu bersikap profesional dan tidak membuat sesuatu perkara atau melakukan percakapan yang tidak berkaitan tugas rasmi yang sedang dijalankan," katanya.

Kedua-dua wanita itu dikesan memuat naik situasi yang dialami ketika melalui SJR menerusi akuan sosial Twitter dan Instagram milik mereka.

Wanita yang hanya dikenali sebagai Sabiyusof, memaklumkan ditahan selepas tidak membawa lesen memandu ketika melalui SJR di Jalan Duta, di sini, ketika dalam perjalanan pulang ke Shah Alam selepas mengambil barang di Wangsa Maju, di sini.

Dia juga turut diminta mengemukakan surat kebenaran untuk pergerakan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun menunjukkan kebenaran itu dalam sistem menerusi dalam talian dalam telefon bimbit miliknya.

Bagaimanapun, ketika pemeriksaan, seorang daripada dua anggota polis yang memeriksanya bertanya soalan sama ada dia memakai pakaian dalam atau tidak, selain turut menawarkan pelepasannya sekiranya dia menunjukkan sama ada dia memakai pakaian dalam atau tidak.

Wanita itu kemudian enggan menuruti permintaan itu dan meminta anggota polis terbabit mengeluarkan saman.(BH)

Permainan cari suami dengan hidu bau haram

 

Soalan:

Assalamualaikum, ustaz. Saya ada soalan yang ingin diajukan. Sekarang tular tentang satu permainan di mana seorang isteri perlu mengenal pasti suami dengan cara ditutup matanya dan hanya dibenarkan untuk menggunakan hidung bagi mengenal pasti bau suaminya tanpa menggunakan suara. Saya lihat dalam video itu, si isteri sampai mencium badan lelaki lain sambil dilihat oleh suaminya sendiri. Apa pandangan ustaz mengenai permainan ini? Mohon pencerahan ustaz.

Ringkasan jawapan:

Trend permainan mencium bau baju lelaki lain dengan tujuan untuk mengenal pasti bau suaminya adalah satu perbuatan haram dan bertentangan dengan hukum syarak. Islam mengajarkan agar para isteri menjaga maruah dirinya dan suaminya. Para suami pula tidak boleh membiarkan para isteri melakukan perkara yang dilarang. Apatah lagi berlakunya persentuhan isteri dengan lelaki lain dan ini termasuk dalam iktilat (percampuran) yang tidak dibenarkan. Permainan tersebut perlu dijauhkan. Jika ini diteruskan, maka tidak mustahil satu hari nanti kita akan melihat keruntuhan institusi kekeluargaan.

Semoga Allah memandu kita semua dengan hidayah dan taufiq-Nya. Wallahu’alam.

Huraian jawapan:

Dalam alam perkahwinan, suami dan isteri mempunyai hak yang perlu saling dijaga di antara satu sama lain. Bagi seorang isteri, antara tanggungjawab yang perlu dia jalankan adalah menjaga maruah dirinya dan suaminya khususnya ketika ketiadaan suami. Ini berdasarkan firman Allah:

فَالصَّالِحَاتُ قَانِتَاتٌ حَافِظَاتٌ لِّلْغَيْبِ بِمَا حَفِظَ اللَّـهُ

Maksudnya: “…Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolongan-Nya…”[1]

Imam Al-Qurtubi ketika menafsirkan ayat tersebut, beliau menyatakan:

هَذَا كُلُّهُ خَبَرٌ، وَمَقْصُودُهُ الْأَمْرُ بِطَاعَةِ الزَّوْجِ وَالْقِيَامُ بِحَقِّهِ فِي مَالِهِ وَفِي نَفْسِهَا فِي حَالِ غَيْبَةِ الزَّوْجِ.

“Ini semua adalah pengkhabaran. Yang dimaksudkan dengan ayat tersebut adalah perintah agar taat kepada suami dan menunaikan hak suami pada hartanya serta (menjaga) dirinya ketika ketiadaan suaminya.”[2]

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Nabi SAW pernah ditanya:

أَيُّ النِّسَاءِ خَيْرٌ؟ قَالَ: ” الَّذِي تَسُرُّهُ إِذَا نَظَرَ، وَتُطِيعُهُ إِذَا أَمَرَ، وَلَا تُخَالِفُهُ فِيمَا يَكْرَهُ فِي نَفْسِهَا وَمَالِهِ

Maksudnya: “Siapakah wanita yang terbaik?. Baginda SAW bersabda: Yang mana dia menggembirakan suaminya jika dia melihatnya, dia taat kepadanya jika dia perintah dan tidak melakukan perkara yang bersalahan dengan apa yang dia tidak suka sama ada pada maruah dirinya atau harta suaminya.”[3]

Dalam sebuah riwayat yang lain yang diriwayatkan daripada Abu Umamah Al-Bahili, Nabi ﷺ bersabda:

مَا اسْتَفَادَ الْمُؤْمِنُ بَعْدَ تَقْوَى اللَّهِ خَيْرًا لَهُ مِنْ زَوْجَةٍ صَالِحَةٍ، إِنْ أَمَرَهَا أَطَاعَتْهُ، وَإِنْ نَظَرَ إِلَيْهَا سَرَّتْهُ، وَإِنْ أَقْسَمَ عَلَيْهَا أَبَرَّتْهُ، وَإِنْ غَابَ عَنْهَا نَصَحَتْهُ فِي نَفْسِهَا وَمَالِهِ

Maksudnya: “Seorang mukmin tidak akan mendapat faedah yang lebih baik daripada isteri yang solehah selepas bertakwa kepada Allah. Jika suaminya memerintahkannya, dia akan taat. Jika suaminya melihatnya, dia akan menggembirakan suaminya. Jika suaminya bersumpah, dia akan melepaskan sumpah suaminya. Jika suaminya tiada, dia akan menjaga maruah dirinya dan harta suaminya.”[4]

Jika dilihat pada firman Allah dan hadis-hadis tersebut, seorang wanita atau isteri perlu untuk menjaga dirinya ketika ketiadaan suaminya. Jika keadaan seperti itu sudah diwajibkan untuk menjaga diri dan maruah, apatah lagi jika berada di hadapan suaminya. Aib suami perlu dijaga dan nama baik suami perlu dipelihara.

Tanggungjawab ini bukan sahaja dipikul oleh isteri bahkan suami juga mempunyai tanggungjawab yang lebih besar. Firman Allah SWT:

الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللَّـهُ بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ

Maksudnya: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan…”[5]

Imam Al-Baidhawi menafsirkan ayat ini:

يقومون عليهن قيام الولاة على الرعية،

“Para lelaki mempunyai tanggungjawab ke atas para wanita seperti mana tanggungjawab pemimpin terhadap rakyat.”[6]

Ini bermakna tanggungjawab para suami bukan hanya memberikan nafkah bahkan lebih daripada itu. Antara tanggungjawab suami yang perlu dijalankan terhadap isterinya adalah mendidiknya. Perkara ini merujuk kepada firman Allah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَّا يَعْصُونَ اللَّـهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.”[7]

Ibn Kathir menukilkan pandangan Qatadah, seorang tokoh ahli tafsir terhadap ayat tersebut. Beliau berkata:

تأمرهم بطاعة الله وتنهاهم عن معصية الله وأن تقوم عليهم بأمر الله وتأمرهم به وتساعدهم عليه فإذا رأيت لله معصية ردعتهم عَنْهَا وَزَجَرْتَهُمْ عَنْهَا،

“Kamu memerintahkan mereka untuk taat kepada Allah dan melarang mereka daripada melakukan maksiat kepada Allah. Kamu perlu jalankan tanggungjawab terhadap mereka berdasarkan perintah Allah dan membantu mereka untuk menjalankan perintah Allah. Jika kamu lihat mereka melakukan maksiat kepada Allah, maka halang dan cegah mereka daripadanya.”[8]

Inilah tanggungjawab yang perlu dipikul oleh suami. Dia tidak boleh membiarkan isteri dan ahli keluarganya hanyut tanpa panduan. Lebih teruk lagi membiarkan isterinya melakukan sesuatu yang dilarang oleh agama. Jika ini berlaku maka suaminya itu adalah seorang suami yang dayus.

Kembali kepada persoalan utama yang dikemukakan, kami melihat bahawa permainan tersebut adalah permainan yang tidak ada manfaat sama sekali bahkan ia telah melanggar ketetapan yang telah ditetapkan oleh Islam. Seorang Muslim sepatutnya meninggalkan apa sahaja perkara yang tidak mendatangkan manfaat dan yang boleh menjatuhkan maruah. Lebih-lebih lagi jika permainan itu mengandungi perkara yang dilarang oleh agama. Nabi ﷺ bersabda:

إِنَّ مِنْ حُسْنِ إِسْلَامِ المَرْءِ تَرْكَهُ مَا لَا يَعْنِيهِ

Maksudnya: “Antara (tanda) baiknya islam seseorang adalah meninggalkan apa yang tidak penting untuknya.”[9]

Allah SWT berfirman tentang adab apabila berbicara dengan para isteri Nabi SAW:

وَإِذَا سَأَلْتُمُوهُنَّ مَتَاعًا فَاسْأَلُوهُنَّ مِن وَرَاءِ حِجَابٍ ۚ ذَٰلِكُمْ أَطْهَرُ لِقُلُوبِكُمْ وَقُلُوبِهِنَّ

Maksudnya: “Dan apabila kamu meminta sesuatu yang harus diminta dari isteri-isteri Nabi maka mintalah kepada mereka dari sebalik tabir. Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka.”[10]

Imam Al-Qurtubi menyebut:

يُرِيدُ مِنَ الْخَوَاطِرِ الَّتِي تَعْرِضُ لِلرِّجَالِ فِي أَمْرِ النِّسَاءِ، وَلِلنِّسَاءِ فِي أَمْرِ الرِّجَالِ، أَيْ ذَلِكَ أَنْفَى لِلرِّيبَةِ وَأَبْعَدُ لِلتُّهْمَةِ وَأَقْوَى فِي الْحِمَايَةِ. وَهَذَا يَدُلُّ عَلَى أَنَّهُ لَا يَنْبَغِي لِأَحَدٍ أَنْ يَثِقَ بِنَفْسِهِ فِي الْخَلْوَةِ مَعَ مَنْ لَا تَحِلُّ لَهُ فَإِنَّ مُجَانَبَةَ ذَلِكَ أَحْسَنُ لِحَالِهِ وأحصن لنفسه وأتم لعصمته

“Apa yang dimaksudkan adalah lintasan yang ada pada lelaki tentang wanita dan juga lintasan yang terdetik pada wanita tentang lelaki. Iaitu adalah satu penafian bagi keraguan, menjauhkan diri dari tohmahan dan memelihara diri. Ini menunjukkan bahawa tidak patut bagi seseorang untuk bersendirian bersama siapa yang bukan mahramnya. Menjauhkan diri daripada perkara tersebut adalah yang terbaik untuk dirinya dan memelihara maruahnya.”[11]

Selain daripada itu, permainan seperti ini juga melibatkan ikhtilat iaitu percampuran antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram di mana ianya adalah satu perbuatan yang tidak dibenarkan. Perkara ini merujuk kepada hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Nabi ﷺ bersabda:

خَيْرُ صُفُوفِ الرِّجَالِ أَوَّلُهَا، وَشَرُّهَا آخِرُهَا، وَخَيْرُ صُفُوفِ النِّسَاءِ آخِرُهَا، وَشَرُّهَا أَوَّلُهَا

Maksudnya: “Sebaik-baik saf bagi para lelaki adalah yang di hadapan dan yang paling buruk yang di belakang. Sebaik-baik saf wanita adalah di belakang dan yang paling buruk di hadapan.”[12]

Imam Al-Nawawi menyebut:

وَإِنَّمَا فَضَّلَ آخِرَ صُفُوفِ النِّسَاءِ الْحَاضِرَاتِ مَعَ الرِّجَالِ لِبُعْدِهِنَّ مِنْ مُخَالَطَةِ الرِّجَالِ وَرُؤْيَتِهِمْ وَتَعَلُّقِ الْقَلْبِ بِهِمْ عِنْدَ رُؤْيَةِ حَرَكَاتِهِمْ وَسَمَاعِ كَلَامِهِمْ وَنَحْوِ ذَلِكَ

Sebenarnya Nabi ﷺ menyatakat bahawa yang terbaik bagi saf wanita di belakang sekali yang mana mereka hadir (solat) bersama para lelaki adalah untuk menjauhkan mereka daripada bercampur dengan lelaki, melihat mereka dan tidak tertarik hati ketika melihat pergerakan dan ketika mendengar percakapan mereka.”[13]

Jika berkhalwat pun tidak dibenarkan dan dianggap sebagai ikhtilat iaitu percampuran antara lelaki dan perempuan apatah lagi jika bermain permainan yang melibatkan persentuhan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram.

Jika dalam masjid yang merupakan tempat ibadah yang suci sudah diingatkan agar tidak bercampur lelaki dan perempuan, maka selain daripada itu adalah perkara yang lebih utama untuk dielakkan berlakunya percampuran antara lelaki dan perempuan tanpa keperluan. Apatah lagi, jika ada persentuhan antara mereka.

Dalam riwayat lain menyebut bahawa ketika Nabi ﷺ keluar, Nabi melihat berlakunya percampuran antara lelaki dan perempuan di jalan. Lalu Nabi ﷺ bersabda:

اسْتَأْخِرْنَ، فَإِنَّهُ لَيْسَ لَكُنَّ أَنْ تَحْقُقْنَ الطَّرِيقَ عَلَيْكُنَّ بِحَافَّاتِ الطَّرِيقِ

Maksudnya: “Jalan ke belakang (jangan bercampur). Kalian tidak patut berjalan di tengah-tengah jalan. Berjalanlah di tepi-tepi jalan.”[14]

Kesimpulannya, trend permainan mencium bau baju lelaki lain dengan tujuan untuk mengenal pasti bau suaminya adalah satu perbuatan haram dan bertentangan dengan hukum syarak.Ianya tidak pernah diajarkan dalam Islam. Islam mengajarkan agar para isteri menjaga maruah dirinya dan suaminya. Para suami pula tidak boleh membiarkan para isteri melakukan perkara yang haram. Apatah lagi berlakunya persentuhan isteri dengan lelaki lain dan termasuk dalam ikhtilat (percampuran) yang tidak dibenarkan tanpa ada keperluan.

Semoga Allah memandu kita semua. Wallahua’lam– HARAKAHDAILY 13/2/2021

Nota hujung:
[1] Surah Al-Nisa’: 34
[2] Al-Qurtubi, Muhammad Bin Ahmad Bin Abu Bakar, Al-Jami’ Li Ahkam Al-Quran, Dar Al-Kutub Al-Misriyah, Kaherah, Mesir, j.5 h.168.
[3] Riwayat Ahmad no 7421 dalam Al-Musnad
[4] Riwayat Ibn Majah no 1857.
[5] Surah Al-Nisa’: 34
[6] Nasiruddin Al-Baidhawi, Abdullah Bin Umar, Anwar Al-Tanzil Wa Asrar Al-Ta’wil, Tahkik: Muhammad Abdurrahman Al-Mara’syili, Dar Ihya’ Turath Al-‘Arabi, Beirut, j.2 h.72.
[7] Surah Al-Tahrim 6
[8] Ibn Kathir, Ismail Bin Umar, Tafsir Al-Quran Al-‘Azim, Dar Al-Kutub Al-Ilmiyah, Beirut, j.8 h.188.
[9] Riwayat Al-Tirmizi no 2317
[10] Surah Al-Ahzab: 53
[11] Al-Qurtubi, Muhammad Bin Ahmad, Al-Jami’ Li Ahkam Al-Quran, Dar Al-Kutub Al-Misriyah, j.14 h.228
[12] Riwayat Muslim no 440
[13] Abu Zakariya Al-Nawawi, Yahya Bin Syarf, Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, Dar Ihya’ Turath Al-‘Arabi, Beirut, j.4 h.160.
[14] Riwayat Abu Daud no. 5272

(Artikel ini diambil daripada laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di ruangan Irsyad Fatwa Umum yang diterbitkan pada 9 Februari 2021.)

Kisah seorang lelaki Turki Berkahwin seorang wanita Aceh.. Al-hamdulillah.

 

KISAH seorang lelaki Turki menikahi seorang wanita Aceh, mengatakan bahawa orang Turki menganggap Aceh sebagai saudara dekat

Lelaki Turki ini bernama Huseyin Ozturk (28), seorang pemuda dari Denizli, Aegean, Turki. Dia berkahwin dengan pujaannya, Putri Murdhani, pada 15 Januari 2019.

Kepada Serambinews.com, Khamis (11/2/2021) Huseyin, mengatakan ketika dia datang ke Aceh, dia tidak mengenal siapa pun. Namun, kerana perasaan "orang Aceh adalah saudara" dia tidak takut, walaupun dia harus terbang 15 jam dari Turki ke Aceh.

Huseyin berkata, orang Turki sangat mementingkan sejarah. Setiap anak Turki wajib mengetahui sejarah. Dengan mengetahui dan memahami sejarah, generasi Turki akan lebih yakin dalam menjalani kehidupan.

Itu, mereka mempunyai sejarah sebagai bangsa yang hebat, dan tidak mustahil untuk mengulangi sejarah itu. Pelajaran sejarah inilah yang membuat hampir semua anak-anak Turki mengetahui tentang Aceh, yang sekarang menjadi bagian dari Negara Indonesia.

Di masa lalu, Aceh telah meminta untuk bergabung dengan Khilafah Usmaniyah (Uthmaniyyah).Tetapi kerana lokasinya yang sangat jauh dan terpisah dari laut, pada akhirnya Turki hanya mengirim pelatih ketenteraan untuk memperkuat tentera Kerajaan Aceh sehingga mampu menghadapi serangan dari luar, terutama penjajah barat.

Sejarah dan perasaan bahawa Aceh adalah saudara jauh Turki, menjadikan Huseyin semakin jatuh cinta dengan Aceh. Ketika pertama kali menjejakkan kaki di Bandara Internasional Sultan Iskandar Muda (SIM), Blangbintang, Aceh Besar, dia merasa seperti berada di kampung halamannya.

Huseyin telah mengembara dunia, dia telah mengunjungi 48 negara tepatnya, hanya Aceh yang membuatnya merasa seperti berada di kampung halamannya. Selama dua tahun di Aceh, Huseyin telah mengunjungi hampir semua pelosok Aceh, terutama yang memiliki sejarah dengan Turki.

Namun, untuk arah Barat Daya, Huseyin hanya tiba di Meulaboh. Dia mengatakan, sejarah Turki masih ada di Aceh, seperti militer dan dunia sufi Turki, yang masih kuat di Aceh. Menurutnya, pada masa Khalifah Turki, sejarahnya selalu berkaitan dengan Aceh.

Dari segi bantuan, kedekatan dengan berbagai hal dengan Aceh, Turki masih memiliki hubungan erat. Jika bukan kerana jarak laut yang sangat panjang, Aceh dapat memasuki wilayah Kerajaan Uthmaniyyah.

Namun, kerana berbagai pertimbangan, Aceh tidak memasuki wilayah Ustmani, kerana jika perang meletus di Aceh dan Aceh kalah, maka kekalahan tersebut akan berdampak pada Turki secara keseluruhan. Jadi, untuk alasan itu, dia mengatakan Turki Uthmaniyyah tidak memasukkan Aceh sebagai wilayahnya, walaupun kedekatannya sangat dekat antara keduanya.

Huseyin berkongsi pelbagai perkara mengenai pengetahuannya mengenai sejarah Turki dan Aceh. Dia juga mengatakan, walaupun Aceh tidak berada di bawah pemerintahan Turki Uthmaniyyah, hati khalifah Turki selalu terkait dengan Aceh.

Jadi, ada kedekatan dan hubungan erat antara Aceh dan Turki. Huseyin Ozturk mengatakan, orang Turki sangat mementingkan sejarah, sehingga dengan pengetahuan tentang sejarah, membangkitkan kenangan, memiliki hubungan dengan Aceh.

Huseyin telah tinggal di Aceh selama dua tahun dan dua bulan, setelah menikah pada tahun 2019 di Masjid Baiturrahman di Banda Aceh. Dia memilih untuk terbang ke Aceh untuk menjemput jodohnya, setelah bertemu wanita yang menjadi isterinya di Malaysia pada akhir tahun 2017.

Setelah bertemu, mereka berpisah selama dua tahun dan menjalin komunikasi jarak jauh. Setelah saling percaya, Huseyin Ozturk akhirnya mengambil keputusan dengan terbang ke Aceh, mengusulkan pujaannya dari Pidie Jaya. 

Begitulah, adanya.

Turki: Mendarat di Bulan 2023, Sempena Ulang Tahun Ke-100

 

Presiden Recep Tayyip Erdoğan menambah pendaratan di Bulan di antara sasaran ulang tahun ke-100 Republik.

Promosi Program Luar Angkasa Nasional Turki, diadakan di Pusat Kongres dan Kebudayaan Bangsa Presiden dengan penyertaan Presiden Erdoğan.

"Kami membuka pintu perjalanan peradaban kami yang telah mempelopori keadilan, moraliti dan kedamaian di bumi selama berabad-abad.'' Kata Presiden Erdoğan dalam ucapannya di sini.

Presiden Erdoğan mengatakan bahawa tujuan utama dan paling penting dalam Program Luar Angkasa Nasional adalah menginjakkan kaki pertama di Bulan pada ulang tahun Republik ke-100 (2023),

"Pada akhir 2023, kita akan melakukan pendaratan yang sukar dengan mencapai Bulan dengan roket hibrid nasional dan unik milik kita sendiri, yang akan kita jalankan di orbit bumi berhampiran." Katanya.

"Kita akan membuat bangsa kita merasa bangga mengirim bulan sabit, yang juga merupakan simbol geografi peradaban kita, ke bulan dengan bendera merah kita." Kata Presiden Erdoğan sambil menekankan bahawa tujuan akhir Program Luar Angkasa Nasional adalah untuk menghantar warganegara Turki ke angkasa lepas.

"Kami merancang ini bukan sebagai perjalanan pelancongan, tetapi sebagai misi sains untuk membimbing generasi akan datang." Tambahnya.

(IH)

Agong berkenan kurnia rumah kepada mangsa banjir

 

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menolak kerusi roda seorang penduduk Orang Kelainan Upaya Robiani Bakar, 58, ketika berangkat melihat proses pembinaan rumah baru kepada mangsa banjir di Kampung Tanjung Pulai hari ini. - Foto BERNAMA

PEKAN: Prihatin dengan nasib mangsa banjir yang mengalami kemusnahan harta benda, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan bantuan bagi membina rumah baharu kepada yang terjejas.

Baginda berangkat melawat tapak pembinaan dua rumah baharu masing-masing di di Kampung Sungai Gangchong, Acheh dan Kampung Tanjung Pulai, di sini hari ini.

Yang di-Pertuan Agong tiba di tapak rumah pertama di Kampung Tanjung Pulai kira-kira jam 4 petang disambut Pegawai Daerah Pekan, Datuk Zaliza Zulkipli.

Baginda diiringi empat anakanda, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah dan Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu'adzam Shah.

Dalam lawatan berkenaan, baginda turut berkenan mendengar taklimat daripada wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) mengenai pembinaan rumah milik Mohd Khanafiah Abu Bakar, 52, itu.

Rumah setingkat yang dibina dengan kos RM100,000 itu dijangka siap dalam tempoh 16 minggu dan akan dibina dengan tiang setinggi 2.4 meter dari aras tanah supaya terhindar daripada banjir.

Sebelum ini rumah milik Mohd Khanafiah di kawasan berdekatan tapak pembinaan rosak teruk akibat arus kuat yang melanda kampung awal bulan lalu.

Yang di-Pertuan Agong kemudian berangkat ke tapak rumah kedua di Kampung Sungai Ganchong, Acheh milik ibu tunggal, Norhasnah Mat Yunos, 60.

Baginda turut meminta kontraktor yang dilantik supaya menyiapkan rumah berkenaan mengikut masa dan spesifikasi yang ditetapkan. (BH)


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails