Ribuan polis dan tentera berkawal dan mengadakan rondaan di jalanan memastikan orang ramai berada dalam rumah berikutan pertempuran antara penduduk dan pasukan keselamatan di Srinagar semalam.
Polis melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan penunjuk perasaan yang melempar batu tetapi tiada kecederaan dilaporkan.
Anak lelaki Geelani menuduh polis membawa jenazah bapanya untuk dikebumikan pada tengah malam, beberapa jam selepas kematiannya.
Keluarga itu berkata, tidak ada saudara-mara yang dibenarkan hadir pengebumian itu tetapi polis menolak tuduhan itu sebagai propaganda palsu.
Sebuah video yang dikongsi di media sosial menunjukkan polis bergelut dengan saudara-mara Geelani sebelum mengambil jenazahnya yang dibungkus dengan bendera Pakistan.
Geelani, yang menghabiskan lebih lima dekad terakhir di penjara atau di bawah tahanan rumah, menimbulkan kemarahan kerajaan India dengan pendirian pro-Pakistan dan tuntutan untuk memilih kerajaan sendiri.
Pakistan memperingati hari berkabung untuk Syed Ali semalam.
India mengenakan sekatan internet yang serupa penutupan serta sekatan lain selama hampir setahun selepas melucutkan taraf wilayah separa autonomi pada tahun 2019.
Pemberontakan terhadap kerajaan India meletus pada 1989 dan menyebabkan puluhan ribu orang terkorban.
Pasukan keselamatan masih bertempur setiap hari dengan militan pemisah. - AFP
Komen Weblog Ibnu Hasyim:Krisis di India 2019 dan 2020.
LATAR belakang
(1) Hari ini isu di India semakin panas. Dari segi sejarah panjangnya mungkin boleh baca tulisan saya sebelum ini [1]. Boleh fahami kisah Barat mengerat Pakistan-India.
Proses mengerat itu dilakukan pada 1947, dan ditentang oleh pimpinan India ketika itu. Seperti yang dijangka, bermula di saat itu, Pakistan dan India berterusan berperang.
(2) Dari segi sejarahnya juga, selain daripada Kashmir, India sendiri masih ada Umat Islam walaupun bukan majoriti. Majoriti terbesar di India ialah 79.8 peratus beragama Hindu.
Manakala orang Islam di negara itu merupakan majoriti kedua, iaitu seramai 14.2 peratus. Rantau itu dikerat menjadi dua Pakistan dan India pada 1947 mengikut pengasingan agama.
Iaitu Pakistan adalah negara majoriti Umat Islam, manakala India adalah majoriti beragama Hindu. Namun, setelah pembahagian itu, masih lagi ada orang Hindu di Pakistan, dan orang Islam di India.
(3) Dalam sejarah panjang ini kita perlu faham bahawa ia sememangnya rancangan Barat untuk memastikan rantau ini terus berkonflik, apatah lagi kemunculan Bagladesh pada 1971.
(4) Di sana wujudnya kumpulan pengganas, yang dikenali Jeish e-Mohammed yang ditubuhkan pada tahun 2000 dan didapati sehingga kini mengadakan hubungan rapat dengan al-Qaeda, membawa agenda keganasan yang ditempel atas nama Islam. [3]
Dalam satu buku yang dikarang oleh Ahmed Rashid, yang bertajuk: Descent into Chaos pada 2012 mengatakan bahawa JeM ditubuhkan oleh Inter-Services Intelligence (ISI) yang berada di bawah Pakistan.
JeM dan al-Qaeda
(1) Kajian Ahmed Rashid menyatakan bahawa asalnya memang ditubuhkan oleh Pakistan, untuk beberapa operasi ketenteraan, namun diharamkan dua tahun kemudian (2002).
Walaupun diharamkan, ia masih beroperasi atas nama baru. Gerakan ini banyak melakukan aktiviti keganasan khususnya pada 2016 yang lebih mengeruhkan keadaan.
(2) Pada Februari 2019, ketegangan di rantau yang tak pernah kendur itu, menjadi semakin menghangat apabila kumpulan yang dikenali sebagai Jaish e-Mohammed ini bertindak ‘mencari pasal’.
Kejadian yang berlaku pada 14 Februari 2019 apabila konvoi kenderaan yang membawa anggota keselamatan di Lebuh raya Nasional Jammu Srinagar diserang oleh pengebom bunuh diri.
Lokasinya di Lethpora, daerah Pulwama, di Jammu-Kashmir. Serangan itu mengakibatkan kematian 46 anggota Central Reserve Police Force (CRPF)
(4) Akhbar The Times Of India pada tarikh 15 Februari 2019 menyatakan bahawa kumpulan Jaish e-Mohammed mengaku bertanggungjawab terhadap serangan tersebut. [2]
WaLlahuaklam. Tak pasti sejauh mana kebenarannya. Cuma secara kasarnya Jaish e-Mohammed (JeM) memang ada kaitan dengan al-Qaeda [3]. Al-Qaeda pula dikaitkan Amerika secara belakang tabir. [4]
(5) Dalam konteks ini ada kemungkinan juga Pakistan sendiri ada rundingan ‘belakang tabir’ dengan JeM sekalipun JeM diisytiharkan pengganas oleh Pakistan.
Serangan 14 Februari 2019
(1) Serangan 14 Februari 2019 tadi telah mendapat respons seluruh dunia, khususnya Amerika dan PBB. Masing-masing menyalahkan Pakistan [5] sekalipun negara ini menafikannya.
(a) Samaa TV bertarikh 16 Februari 2019 menyiarkan kenyataan Fawad Chaudhry, Menteri Penerangan Persekutuan Pakistan, yang memberi jaminan kepada India bahawa Kerajaan Pakistan akan mengambil tindakan terhadap Jaish-e-Muhammad (JeM). [6]
(b) Dawn.com bertarikh 16 Februari 2019 menyatakan bahawa Pakistan mengutuk serangan tersebut dan menafikan penglibatan mereka dalam serangan itu. [7]
(2) Namun, akhbar The Nation, sebuah akhbar Pakistan memburukkan keadaan apabila memuji penyerang itu sebagai ‘pejuang kebebasan’ yang menghapuskan anggota ‘pasukan penjajahan’. [8]
Hal ini menyebabkan suasana semakin runcing. Tambahan pula BBC menambah perencah [9] yang cuba menimbulkan semula kaitan JeM dengan ISI di bawah Pakistan.
Perencah BBC ini diterima secara meluas sehinggalah India membatalkan autonomi khas buat Kashmir yang merupakan majoritinya orang Islam pada Ogos 2019.
(4) Washington Post bertarikh 15 Februari 2019, Jabatan Negara AS, yang menyatakan bahawa Jaish-e-Mohammed berpusat di Pakistan [8] dan menganggap Pakistan ‘membela’ mereka.
Amerika menyeru semua negara untuk menegakkan tanggungjawab masing-masing untuk mengecam tempat selamat dan sokongan kepada pengganas itu, iaitu Pakistan.
Tindak balas memangsakan Islam
(1) Sebagai tindak balas peristiwa 14 Februari tadi, Tentera Udara India pada 26 Februari melanggar Barisan Kawalan (LOC) di Kashmir-buat kali pertama sejak Perang Indo-Pakistan tahun 1971.
India mendakwa tindakan tersebut bagi bagi membendung kumpulan militan yang dikatakan berlindung di Kashmir. Tindakan tersebut mendapat bantahan daripada Pakistan.
(2) Akibat daripada perselisihan ini, berlakulah suasana yang lebih dahsyat antara India dan Pakistan. Apatah lagi pimpinan India Narendra Modi merupakan individu yang berfahaman nasionalis Hindu.
(3) Narendra Damodardas Modi naik sebagai Perdana Menteri India pada 2014. Beliau seorang yang mempunyai hubungan peribadi dengan Netanyahu Israel. [10]
Bukan sekadar itu, Narendra Modi juga merupakan pimpinan Parti Nasionalis Hindu (Hindutva) yang mempunyai dasar perjuangan yang hampir sama dengan Zionis. [10]
(4) Hindutva adalah satu ideologi politik Nasionalism Hindu yang ekstrem, muncul pada 1923. Ia juga sebuah ideologi yang bertujuan untuk membentuk hegemoni Hindu dan cara hidup Hindu. [11]
Dasar perjuangan Hindutva yang seakan-akan versi Zionis di India. Ditambah pula dengan hubungan Narendra Modi dan Netanyahu, maka bertambah teruklah nasib Umat Islam.
Realiti ini menyebabkan Kashmir yang telah dibatalkan autonomi khas pada Ogos 2019 [12]. Hal ini menyebabkan hak-hak Umat Islam mula dikikis sedikit demi sedikit.
Pindaan Akta CAA 2019
(1) Kemuncak pengikisan hak Umat Islam ini berlaku pada Disember 2019. Parti Bharatiya Janata (Nasionalis Hindu) yang memerintah Kerajaan India telah meminda akta Citizenship Amendment Act (CAA) dalam Sidang Parlimen [13]
CAA pindaan 2019 ini jelas mendiskriminasi Umat Islam. Ia turut disifatkan sebagai anti-Islam serta bertentangan dengan Perlembagaan Negara itu sendiri.
(2) Akta itu mencetuskan kontroversi kerana undang-undang berkenaan membolehkan kerakyatan diberikan kepada bukan-Islam dari Afghanistan, Bangladesh dan Pakistan kecuali mereka yang beragama Islam.
Hal ini menyebabkan 200 juta orang Islam di negara itu yang mendakwa bahawa ia adalah usaha untuk meminggirkan Umat Islam di negara itu sendiri.
(3) Tindakan puak Nasionalis Hindu di negara tersebut dilihat secara perlahan-lahan ingin mengikis hak Umat Islam di rantau tersebut. Menyebabkan berlakunya bantahan dengan mendirikan khemah-khemah.
Bantahan oleh rakyat India sendiri terhadap pindaan tersebut dengan turun berkampung di jalanan secara aman pada 19 Disember 2019 di bandar-bandar seluruh India. [13]
Manakala Kumpulan Nasionalis Hindu yang mempertahankan pindaan (Pro CAA) itu mula bertindak menyerang khemah-khemah demonstran menyebabkan krisis semakin memburuk. [14]
Sehingga saat ini, 30 orang terkorban dan dalam serangan Nasionalis Hindu yang Pro CAA terhadap Demonstran Anti-CAA yang berkhemah secara aman. Bukan setakat itu masjid di New Delhi turut dibakar.
Tambahan pula pihak polis yang turut menggunakan kekerasan terhadap para demonstran apatah lagi kerajaan yang sedang dikuasai oleh Parti Bharatiya Janata (Nasionalis Hindu).
[3] Kajian Milos Popovic yang bertajuk: The Perils Of Weak Organization pada 2015
[11] Kamus Oxford 2011
Oleh: MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 28/2/2020