Saturday, September 18, 2021

Dunia Islam perlu bersatu ketika Barat sedang lemah

 


KETIKA ini, Amerika Syarikat dan sekutunya di kalangan negara-negara Eropah sedang berada dalam krisis kelemahan kuasa dan pengaruh geopolitiknya di seluruh pelusuk dunia. Jika diperhatikan segala tindak- tanduknya ketika ini hanyalah untuk melawan arus yang menentangnya dan mempertahankan kuasa imperialisme yang ada.

Masyarakat dunia terutamanya di Amerika Syarikat dan Eropah telah mula sedar akan ketidakadilan dan kezaliman yang berlaku sebelum ini. Isu Palestin yang sebelum ini tepu di dunia Barat telah mula mendapat perhatian dan diperjuangkan secara besar-besaran malah telah berlaku desakan dan tekanan terhadap kerajaan dunia Barat untuk mengambil tindakan terhadap regim zionis Israel.

Pengunduran tentera Amerika Syarikat dan sekutunya dari Afghanistan baru-baru ini telah mula ‘melondehkan’ apa yang sebenarnya berlaku selama 20 apabila Amerika Syarikat dan sekutunya ‘menjajah’ Afghanistan, tidak seperti apa yang dipaparkan oleh media antarabangsa yang cenderung mempertahankan tindakan Amerika Syarikat dan sekutunya.

Tindakan tersebut juga turut mendedahkan apa yang sebenarnya berlaku di sepanjang kempen war on terrorism yang telah mengakibatkan kematian di antara 897,000 – 929,00 orang, termasuk orang awam yang tidak berdosa samaada diserang tentera bersekutu pimpinan Amerika Syarikat di sepanjang kempen tersebut atau akibat secara tidak langsung daripada kempen ganas tersebut.

Ini tidak termasuk negara-negara Dunia Islam yang musnah teruk samaada dari sudut ekonomi, infrastuktur dan ketamadunan di sepanjang kempen war on terrorism seperti di Iraq, Syria, Libya dan Afghanistan di samping kecenderungan operasi menukar kepimpinan negara-negara tersebut dan Asia Barat oleh operatif licik dunia Barat agar cenderung kepada mereka.

Akibat dari kempen ganas war on terrorism ini juga turut mendedahkan bahawa terdapat lebih 39 juta pelarian yang telah lari meninggalkan kampung halaman mahupun negara asal mereka. Malah ada yang turut menganggarkan bahawa angka tersebut lebih besar hingga mencecah hampir 59 juta orang yang bertebaran majoritinya di kem-kem pelarian di sekitar negara-negara Eropah termasuk juga di Turki dan negara-negara membangun seperti di Malaysia.

Kemasukan pelarian-pelarian akibat perang war on terrorism ini terutamanya di negara-negara Eropah juga turut mengakibatkan pertembungan agama dan budaya yang menjadi salah satu sebab utama berlakunya Islamofobia di samping kempen dan berita-berita yang menggambarkan Islam dan umatnya sebagai pengganas.

Karikatur-karikatur yang menghina Rasulullah SAW, kempen membakar Al Quran, manipulasi ayat-ayat Al Quran dan Hadis Rasullah SAW dan gambaran salah definasi sebenar jihad menurut Islam dijadikan propaganda atas nama kebebasan bersuara untuk menjadikan Islam dan umatnya ‘kambing hitam’ samaada untuk meningkatkan kebencian masyarakat dunia terhadap Islam dan umatnya terutamanya sebagai pengganas mahupun untuk mengabsahkan kempen perang war on terrorism.

Sama ada secara sengaja atau tidak, pengunduran tentera Amerika Syarikat dari Afghanistan dijadikan hampir kepada tarikh peristiwa 9/11 walaupun sebenarnya Amerika Syarikat mahupun sekutunya boleh berundur dan meninggalkan Afghanistan lebih awal daripada itu. Namun jika diperhatikan naratif sambutan peristiwa 9/11 baru-baru ini oleh media-media barat, kita akan dapati ia mempunyai satu maksud iaitu menutup kegagalan Amerika Syarikat dan sekutunya dalam kempen perang war on terrorism dan mengaburi punca sebenar berlakunya peristiwa 9/11.

Namun ia tidak menjadi seperti yang diharapkan, telah mula desakan dan tekanan kuat terhadap Amerika Syarikat dan Joe Biden untuk mendedahkan ‘laporan sulit’ tentang apa sebenarnya yang berlaku hingga terjadinya peristiwa 9/11. Walaupun tunduk terhadap tekanan dan telah menyahsulitkan satu bahagian daripada laporan sulit tersebut, masih ramai ragu-ragu dan tidak yakin dengan jawapan Amerika Syarikat mahupun laporan tersebut.

Tiada satupun senjata berbahaya atau weapon of mass destruction dijumpai samada di Iraq, Afghanistan mahupun Libya. Malah ramai pakar-pakar ketenteraan dan geopolitik antarabangsa meragui punca sebenar peristiwa serangan 9/11 dan mengapa ia dijadikan alasan kukuh untuk memulakan kempen perang war on terrorism oleh Amerika Syarikat dan sekutunya.

Pengunduran tentera Amerika Syarikat dan sekutunya dari Afghanistan, Arab Saudi, Syria, Libya dan tidak lama lagi Iraq turut menjelaskan bahawa penumpuan utama Amerika Syarikat dan sekutunya terhadap Asia Barat bakal atau sudah berakhir terutamanya sejak parti Demokrat dan Joe Biden memenangi pilihan raya Presiden Amerika Syarikat hujung tahun lalu.

Normalisasi negara-negara Asia Barat dengan negara haram Israel yang menjadi tumpuan utama Amerika Syarikat ketika diterajui Donald Trump sudah mula dilupai dengan sekelip mata. Ketika ini negara haram Israel seperti mula dibiarkan bertarung sendiri untuk mempertahankan kewujudannya malah ahli-ahli politik Amerika Syarikat sendiri mula menjauhkan diri dari regim zionis Israel.

Regim zionis Israel saat ini dilihat cuba berbaik-baik dan lebih rapat dengan sekutunya di kalangan negara-negara Asia Barat terutamanya negara-negara yang mengadakan hubungan normalisasi dengannya samaada dari segi politik, ekonomi dan hubungan dua hala. Semua ini berlaku kerana telah mula kelihatan Amerika Syarikat sudah mula beralih penumpuannya ke Asia Pasifik untuk mempertahankan kewujudannya sendiri.

Tidak hanya sekitar Asia Barat, regim zionis Israel telah memulakan operasi diplomasinya di kalangan negara-negara Afrika termasuk Kesatuan Afrika dan memperluaskannya di kalangan negara-negara Asia Pasifik termasuk China. Semuanya bertujuan untuk mempertahankan kewujudan dan keselamatannya akibat ditinggalkan mahupun dipinggirkan oleh Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah.

Jelas kelihatan regim zionis Israel agak gusar dengan lompongan yang ditinggalkan Amerika Syarikat dan kelihatan tergesa-gesa melakukan anjakan diplomasinya di seluruh dunia. Tambahan pula sedang berlakunya rundingan untuk mengaktifkan kembali Perjanjian Nuklear Iran 2015 di antara Iran, PBB dan negara-negara kuasa besar dunia, regim zionis Israel tentunya antara yang lantang menentangnya dan paling khuatir jika ia berjaya diaktifkan semula.

Regim zionis Israel tidak hanya khuatir dengan kuasa kententeraan Iran tetapi turut khuatir jika perjanjian tersebut berjaya diaktifkan semula, sektor ekonomi Iran akan turut dilonggarkan sekatan atau ditarik sepenuhnya sekatan yang akan mengakibatkan Iran kembali mampu mendapat menjana pendapatan dan mampu memperkukuhkan kekuatan ketenteraannya yang menjadi ancaman regim zionis Israel.

Baik regim zionis Israel mahupun Amerika Syarikat dan sekutunya, mereka tidak mampu menggoncang kuasa politik mahupun ketenteraan Iran. Satu-satunya kaedah ialah mengenakan pelbagai sekatan terutamanya ekonomi di mana ia mampu mencetus kebangkitan rakyat Iran menentang pemimpinnya seterusnya menggoncang kuasa politik Iran.

Lihat sahaja apa yang berlaku di sekeliling negara haram Israel, setiap negara yang berjiran dengannya mempunyai masalah yang hampir sama, ketidakstabilan ekonomi dan politik, kebangkitan rakyat menentang kepimpinan negara dan keselesuan kuasa ketenteraan dimana kesemua elemen tersebut menyelamatkan negara haram Islam seterusnya mempertahankan kewujudannya.

Kesemua negara-negara tersebut mempunyai satu agenda yang sama, menentang kewujudan negara haram Israel dan menyokong perjuangan Palestin. Hanya Qatar yang boleh dikatakan agak selamat dari ancaman regim zionis Israel tetapi negara-negara yang mempunyai hubungan atau “ normalisasi dengan regim zionis Israel boleh dikatakan maju dan aman tanpa sebarang konflik dalaman.

Namun ketika ini semuanya hampir berubah apabila Amerika Syarikat dan sekutunya mengalihkan penumpuan ke Asia Pasifik terutamanya terhadap China dan Rusia. Sudah nampak tanda-tanda awal keadaaan gawat di kalangan negara-negara Asia Barat mula kelihatan semakin reda dan telah ada rundingan-rundingan untuk memulihkan hubungan antara negara-negara Asia Barat termasuk juga Turki dan Iran. Adakah ini tanda awal akan wujud perdamaian dan kesatuan antara negara-negara Dunia Islam di seluruh dunia di kala barat berdepan dengan krisis kelemahan?

Kelihatan ketika ini baik Arab Saudi, UAE, Qatar, Mesir, Syria, Turki dan Iran telah memulakan rundingan untuk memulihkan kembali hubungan dua hala yang sejak sekian lama tegang. Berkemungkinan jika berhasil, Dunia Islam akan kembali kuat dan berkemungkinan keamanan mampu di capai di Asia Barat serta mampu membebaskan Palestin.

Negara Dunia Islam ketika ini sebenarnya kuat dan lebih daripada mampu untuk menangani sebarang permasalah berbangkit jika bersatu padu dan berkerjasama. Kuat dari segenap sudut baik dari segi ekonomi, ketenteraan dan kekuasaan geopolitik, malah lebih kuat dari mana-mana pertubuhan dan kesatuan di dunia ini. Kelemahan ketara ketika ini hanyalah tidak bersatu padu dan bercakaran sesama sendiri.

Di saat barat lemah ketika ini, wajarlah negara-negara Dunia Islam menilai kembali sejarah kejatuhan Islam sejak 100 tahun lalu dan kebangkitan terakhir hampir 48 tahun lalu. Adakah wajar Dunia Islam terus berada dalam kelemahan atau sudah sampai masanya Dunia Islam bangkit kembali mencapai kegemilangan sebagaimana umat-umat terdahulu.

Jawapannya, Dunia Islam perlu bangkit, bersatu padu dan berkerjasama menebus kembali hak, maruah dan jatidiri yang telah tercalar. Dunia Islam sebenarnya telah kuat, lebih kuat dari sebelumnya jika kembali bertaut atas nama Islam yang sebenar. Sudah sampai masanya Islam kembali ke kemuncak seterusnya memartabatkan kembali sebagai umat teragung di dunia.

Semoga Allah SWT memakbulkan doa kita semua dan menyatukan kembali umat Islam di seluruh dunia insyallah.

Islam Memperkukuh Perpaduan.

YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.
ADUN Batu Buruk. – HARAKAHDAILY 18/9/2021

Doktor di Mesir paksa jururawat ‘sembah’ anjing. Zalim..

 


Doktor di Mesir paksa jururawat ‘sembah’ anjing ditangkap

KAHERAH, 8 Safar 1443H, Rabu – Pihak berkuasa Mesir menangkap doktor yang memaksa seorang jururawat menyembah anjingnya, selepas video berdurasi 2 minit 19 saat tular di media sosial.

Menurut laporan media yang dikendalikan kerajaan, Ketua Jabatan Ortopedik di Hospital Universiti Ain Shams, Doktor Amr Khairy dan seorang lagi pekerja di hospital itu telah ditahan sementara menunggu siasatan, selepas orang ramai berang dengan kejadian buli itu.

“Doktor Amr Khairy didakwa mengeksploitasi agama dalam mempromosikan idea ekstremis dengan tujuan memprovokasi hasutan, menghina agama, melanggar prinsip keluarga dan nilai masyarakat Mesir. 

“Lebih malang dia memuat naik klip video awam yang melanggar privasi mangsa,” lapor Egypt Independent.

Pengguna media sosial mengecam doktor tersebut kerana meminta jururawat lelaki yang sudah berusia itu sujud dan berdoa kepada anjingnya, yang kemudian ditolak oleh jururawat itu.

“Kamu kena sujud dua kali di hadapan anjing. Berdoa kepada anjing itu, berdoalah kepada anjing itu, dan katakan bahawa Tuhan itu hebat,” kata doktor itu kepada jururawat bernama Adel Salem.

Adel bagaimanapun dengan sopan menolak dan berkata, ”Tidak, tidak boleh. Ini berdosa untuk kita berdua,” jawab jururawat itu.

“Aku akan menanggung dosa-dosamu,” balas doktor tersebut.

“Tidak, saya hanya akan tabik kepadaNya,” jawab Adel.

Doktor itu turut memaksa Adel untuk melompat dengan tali skip, sementara seorang lagi doktor yang dapat dilihat dalam video mencuba menyuruh Adel melakukan aksi tarian gelek.

“Saya tidak akan menari, cukuplah penghinaan ini,” katanya kepada mereka.

Doktor itu mendakwa bahawa itu adalah gurauan antara rakan lama, kejadian di antara mereka dibuat-buat dan Adel telah menjadi ‘subjek’ buli mereka selama lebih dari dua bulan. – Agensi

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Imbas kezaliman di Mesir, mahkamah kekalkan hukuman mati 12 anggota Ikhwanul Muslimin. Jun 14,2021.

KAHERAH: Mahkamah Mesir hari ini mengekalkan hukuman mati terhadap 12 anggota Ikhwanul Muslimin, termasuk dua pemimpin kanan gerakan yang diharamkan itu, kata pegawai mahkamah.

Mahkamah Agung Mesir itu turut mengurangkan hukuman terhadap 31 anggota Ikhwanul Muslimin kepada penjara seumur hidup, dalam perbicaraan berkaitan pembunuhan beramai-ramai oleh pasukan keselamatan pada 2013.

Individu yang dihukum mati bersabit kesalahan 'menyediakan senjata kepada kumpulan jenayah yang menyerang penduduk dan melawan polis serta memiliki senjata api dan peluru dan bahan menghasilkan bom'.

Mahkamah dalam penghakimannya turut menyenaraikan pertuduhan lain termasuk membunuh anggota polis, melawan pihak berkuasa dan menceroboh serta memusnahkan harta awam.

Menurut sumber mahkamah, keputusan itu adalah muktamad dan tidak boleh dirayu lagi.

Bekas Presiden Mesir yang juga ketua sayap politik Ikhwanul Muslimin, Mohamed Morsi, memegang jawatan itu selama setahun sebelum digulingkan tentera pada 2013.

Pihak berkuasa Mesir kemudian mengharamkan kumpulan Islam itu pada 2013 dan melakukan tangkapan dan memenjarakan ribuan pengikut gerakan itu.

Pertuduhan asal pada 2013 membabitkan lebih 600 defendan dan kes itu dikenali sebagai 'kes pembersihan Rabaa', merujuk pada Dataran Rabaa Al-Adawiya di timur Kaherah.

Ia menjadi lokasi protes besar-besaran bagi menuntut jawatan Presiden Mesir dikembalikan kepada Morsi selepas beliau digulingkan.

Pasukan keselamatan menyerbu dan membunuh ratusan penduduk dalam sehari pada Ogos 2013, beberapa minggu selepas penyingkiran Morsi.

Pada 2018, mahkamah Mesir menjatuhkan hukuman mati terhadap 75 individu, manakala selebihnya dikenakan penjara, termasuk anak Morsi, Osama, yang dikenakan hukuman penjara selama 10 tahun.

Pihak berkuasa mendakwa anggota Ikhwanul Muslimin ketika itu dilengkapi senjata dan tindakan penyuraian secara paksa itu dibuat sebagai langkah menentang keganasan. - AFP


Imbas rampaskuasa zalim di Mesir.

1. Pada 3 Julai 2013 adalah tarikh Almarhum Dr. Mohamed Morsi, bekas Presiden Mesir yang telah dipilih secara demokrasi digulingkan dari jawatannya dalam satu rampasan kuasa oleh tentera Mesir yang diketuai oleh Presiden Mesir ketika ini, Abdel Fattah Al Sisi.

2. Pasca Revolusi Mesir 2011: Selepas tumbangnya regim Hosni Mubarak, Mesir telah ditadbir oleh “Military Council“ yang diterajui oleh tentera Mesir di mana Abdel Fattah Al Sisi adalah salah seorang dari anggota “Military Council“ tersebut.

3. Jun 2012: “Military Council“ atau Majlis Suruhanjaya Tentera Mesir mentadbir Mesir sehingga pilihanraya baru diadakan selepas membubarkan Parlimen Mesir.

4. 30 Jun 2012: Almarhum Dr. Mohamed Morsi, calon Parti Kebebasan dan Keadilan yang merupakan sekutu kepada Ukhwanul Muslimin memenangi piliharaya Presiden Mesir yang pertama kali dijalankan secara demokrasi.

Pilihanraya tersebut dipantau oleh jawatankuasa bebas yang terdiri dari negara kuasa-kuasa besar dunia turut mengakui bahawa pilihanraya tersebut dijalankan dengan telus dan adil.

5.12 Ogos 2012: Abdel Fattah Al Sisi telah dilantik sebagai Menteri Pertahanan Mesir oleh Dr. Mohamed Morsi. Beliau juga telah dilantik menjadi Ketua Turus Angkatan Tentera Mesir di mana beliau mengetuai keseluruhan angkatan tentera Mesir.

6. Ogos 2012: Perdana Menteri Mesir Hashem Qandil telah diserang oleh sekumpulan rakyat Mesir ketika menghadiri pengkebumian 16 anggota tentera Mesir yang terbunuh di Sinai.

Abdel Fattah Al Sisi kemudiannya meminta Dr. Mohamed Morsi supaya menuntut Hamas menyerahkan anggotanya yang terlibat dalam insiden tembakan yang menyebabkan 16 anggota tentera Mesir terbunuh di Sinai.

Dr. Mohamed Morsi enggan berbuat demikian dan meminta Abdel Fattah Al Sisi supaya menemui pemimpin Hamas untuk berunding namun Abdel Fattah Al Sisi tidak berbuat demikian.

7. November 2012: Abdel Fattah Al Sisi menggesa pemimpin parti-parti politik dan juga orang-orang kenamaan di Mesir membincangkan tentang perlembagaan baharu Mesir yang diumumkan oleh Dr. Mohamed Morsi di mana ia telah membangkit demonstrasi di seluruh Mesir.

Dalam masa yang sama, Dr. Mohamed Morsi juga telah mengarahkan Abdel Fattah Al Sisi agar menamatkan operasi ketenteraan di Sinai.

8. Dalam satu temuramah dengan BBC Radio selepas berlakunya rampasan kuasa, Mejar Jeneral (B) Ayman Salama mendedahkan bahawa pertikaian antara Dr. Mohamed Morsi dan Abdel Fattah Al Sisi yang memuncak beberapa bulan sebelum berlakunya rampasan kuasa adalah disebabkan keengganan Dr. Mohamed Morsi untuk menutup terowong yang menghubungkan Semenanjung Gaza dan Sinai.

9. 3 Julai 2013: Dr. Mohamed Morsi digulingkan sebagai Presiden Mesir. Penyokong Abdel Fattah Al Sisi menyatakan rampasan kuasa tersebut sebagai revolusi dan Dr. Mohamed Morsi kemudiannya dipenjarakan.

Selepas berlakunya rampasan kuasa, Abdel Fattah Al Sisi menyatakan bahawa pengawai kanan tentera Mesir telah meragui banyak dasar dan polisi-polisi ketika Dr. Mohamed Morsi menjadi Presiden.

10. Mengapa Tentera Mesir Merasakan Bahawa Menggulingkan Dr. Mohamed Morsi Perlu Dilakukan.

Tentera Mesir sejak sekian lama telah menguasai Kerajaan Mesir, satu legasi sejak rampasan kuasa pada tahun 1952.

Pegawai-pegawai kanan tentera Mesir telah menguasai hampir seluruh Mesir dengan mendapat banyak faedah ekonomi daripadanya.

Menurut laporan yang diterbitkan Washington Post, hampir 60% peratus ekonomi Mesir dikuasai oleh tentera Mesir, di mana pihak tentera mempunyai peruntukan rahsia dan pengecualian cukai daripada keuntungan yang tidak dinyatakan daripada perniagaannya.

Negara-negara Teluk menyokong rampasan kuasa Abdel Fattah Al Sisi dengan pembiayaan berbillion dollar kerana merasakan bahawa kejayaan Ikhwanul Muslimin adalah ancaman kepada kedudukan mereka.

Ia adalah satu harga kecil yang perlu dibayar demi untuk mengekalkan kekuasaan mereka dan mereka juga telah mula melancarkan kontra-revolusi di seluruh negara-negara Arab.

11. Pada November 2012, Dr. Mohamed Morsi menyatakan sokongan dan solidariti terhadap Semenanjung Gaza apabila diserang regim zionis Israel.

Perhatian:

Sebenarnya, masalah-masalah begini adalah masalah umat manusia sedunia. Maka elok kita paparkan dan 'islah', terutama di kalangan negara umat Islam yang sepatutnya tidak terbatas hanya dalam kelompok dan sempadan negara mereka sahaja. Kerana Jslam adalah mendunia..

Rentas Mendunia.

Tubuh NGO, perkasakan masyarakat? -Dato' Iskandar Abd Samad.

 

Kenapa ramai yang tubuhkan NGO? 

HARI ini terdapat beratus-ratus pertubuhan bukan kerajaan (NGO) malah beribu-ribu di negara kita. Ada yang memiliki ahli yang ramai sehingga berpuluh-puluh ribu dan ada yang hanya dianggotai oleh beberapa individu sahaja. 

Ada yang meliputi seluruh negara, ada yang bergerak di peringkat negeri dan ada juga yang aktif di peringkat yang lebih kecil seperti di taman-taman perumahan dan kampung-kampung. Tetapi ada juga yang bergerak di peringkat Antarabangsa.

Fokus NGO-NGO ini pula berbeza-beza. Ada yang memberi tumpuan kepada pelbagai isu dan memiliki pelbagai matlamat. Ada juga yang hanya memberi tumpuan kepada satu atau dua isu atau matlamat. Ada yang memberi tumpuan kepada kebajikan sama ada ahli-ahli mereka, penduduk setempat atau masyarakat yang lebih luas. 

Ada yang memperjuangkan hak-hak ahli mereka atau anggota masyarakat. Ada yang terlibat dengan aktiviti sosial dan rekreasi. Ada juga yang terlibat dengan pendidikan dan berusaha mendalami serta membangunkan bidang ilmu yang menjadi pengkhususan mereka untuk dimanfaatkan oleh masyarakat. Mustahil untuk menyenaraikan kesemua matlamat-matlamat tersebut kerana masyarakat kita sentiasa kreatif.

Hayat NGO-NGO ini juga berbeza. Ada yang kekal berpanjangan, ada yang diwujudkan untuk memberi tumpuan kepada isu-isu khusus dan akan lenyap apabila matlamat mereka tercapai. Contohnya ada yang ditubuhkan untuk menentang sesuatu pembangunan di kejiranan mereka tetapi akan lenyap atau dibubarkan setelah pembangunan itu berjaya dibatalkan.

Tetapi kenapa perlu tubuhkan NGO? Tidakkah memadai dengan wujudkan parti-parti politik sahaja? Bukankah tugas-tugas tersebut boleh laksanakan oleh parti-parti politik? Bukankah isu-isu tersebut lebih berkesan diperjuangkan oleh parti-parti politik?

NGO-NGO yang besar dan berpengaruh telah juga wujud tetapi kenapa perlu ditubuhkan lebih banyak NGO-NGO? Kadang-kala matlamat mereka hampir serupa. Kadang-kala NGO-NGO baharu ini memiliki bilangan ahli yang kecil. Bukankah lebih baik menyertai NGO-NGO yang sedia ada?

Berikut adalah di antara alasan-alasan NGO-NGO ini ditubuhkan. Mungkin kita tidak bersetuju dengan mereka tetapi ia adalah pandangan mereka dan mereka bergerak di dalam masyarakat.

1. Lebih fokus dari segi gerak kerja dan aktiviti.

Ada di antara aktivis masyarakat yang hanya berminat dengan satu-satu tugas sahaja. Mereka hanya boleh memberi tumpuan kepada satu tugas sahaja. Sama ada untuk membantu masyarakat atau memperjuangkan isu-isu khusus. Mereka hanya berminat kepada satu gerak kerja dan tidak mahu disibukkan dengan gerak kerja lain yang akan mengganggu tumpuan mereka.

2. Lebih fokus dari segi isu dan pengkhususan.

Ada individu yang berminat dengan satu-satu isu atau satu-satu pengkhususan. Contohnya mereka yang hanya berminat dengan isu-isu atau pengkhususan tertentu dan mendalaminya untuk dimanfaatkan untuk masyarakat. Mungkin isu-isu alam sekitar, isu-isu pengguna, isu-isu perumahan dan isu-isu lain yang tidak mendapat tempat di hati-hati aktivis akar umbi kerana kurang nilai sensasinya.

3. Lebih mudah di dalam membuat keputusan.

NGO yang kecil lebih mudah untuk membuat sebarang keputusan kerana bilangan ahli mereka yang kecil. Ini berbeza dari sebuah organisasi yang memiliki beratus-ratus atau beribu-ribu ahli yang sudah tentu tidak mudah untuk membuat keputusan jika terdapat bangkangan dari ahli-ahli yang terdiri dari pelbagai ragam itu. Terdapat mereka yang malas hendak bergaduh dan hanya berminat untuk bekerja. Justeru itu NGO yang kecil lebih mudah untuk menggerakkan masyarakat.

4. Tidak dibebankan dengan birokrasi.

Birokrasi yang mengurangkan keberkesanan mungkin berlaku pada NGO yang memiliki cawangan-cawangan atau rangkaian di seluruh negara. Keputusan yang dibuat oleh cawangan-cawangan mungkin terpaksa mendapat kelulusan atau pengesahan dari pimpinan induk. Birokrasi ini akan melambatkan gerak kerja dan amat mengecewakan serta membosankan bagi mereka yang biasa bergerak dengan pantas.

5. Bebas dan berkecuali.

Ada NGO yang ditaja oleh kerajaan, ada NGO yang ditaja oleh parti-parti politik dan ada NGO yang tidak terikat dengan mana-mana pihak sekalipun. NGO yang tidak terikat, bebas untuk mengadakan hubungan dengan mana-mana pihak. Mereka juga bebas mengkritik atau memberi pandangan tanpa perlu menjaga hati dan perasaan mana-mana pihak. Ia penting sebagai semak dan imbang (check and balance) bagi kerajaan atau mana-mana organisasi.

6. Mudah untuk mendekati masyarakat.

Lazimnya NGO-NGO lebih mudah menarik orang ramai dari parti-parti politik. Masih terdapat anggota masyarakat yang memiliki prejudis terhadap parti-parti politik dan orang-orang politik. Jika NGO tersebut dikenali sebagai bebas dan berkecuali ia akan berupaya menarik seluruh anggota masyarakat tanpa mengira warna politik mereka. Ia akan berupaya memecahkan tembok-tembok politik yang terbina di dalam masyarakat.

Memperkasakan masyarakat

Sumbangan NGO-NGO ini walaupun NGO yang kecil adalah besar. Sama ada untuk membantu  masyarakat ketika kesusahan, memberi perkhidmatan kepada masyarakat, memberi kesedaran kepada masyarakat atau memperjuangkan hak-hak mereka.

Mereka dapat memperkasakan masyarakat dengan melahirkan pimpinan-pimpinan akar umbi. Mereka yang berpotensi ini mungkin akan tenggelam dan bakat mereka tidak akan terserlah jika menyertai organisasi yang besar. 

Ada yang mahu mengawal NGO-NGO ini tetapi mereka lupa terdapat NGO-NGO yang wujud kerana terdapat mereka yang tidak mahu dikawal oleh sesiapa. Setiap dari kita menyumbang dengan cara masing-masing. Kita perlu lengkap melengkapi di antara satu sama lain. Kita bukan saingan tetapi satu pasukan yang bekerja untuk kebaikan masyarakat.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH) – HARAKAHDAILY 17/9/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100000270189106/posts/4680277245324569/

Al-hamdulillah! Draf RUU355 sedang disediakan. – PM

 

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang menyediakan draf Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2021 atau RUU355, beritahu Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut beliau, selepas ia dimuktamadkan, RUU tersebut akan dibentangkan kepada negeri-negeri dalam Persidangan Penyelarasan Undang-Undang Syarak dan Sivil nanti.

Sepanjang 2020 dan 2021, kerajaan melalui Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil ditubuhkan oleh Majlis Raja-raja di bawah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) mengadakan beberapa siri mesyuarat bagi membincangkan RUU 355.

“Ia bagi melihat pelbagai aspek khususnya Perlembagaan, undang-undang dan hukum syarak agar RUU 355 tersebut lebih komprehensif dan seterusnya dapat memperkasa bidang kuasa jenayah mahkamah syariah,” katanya dilapor Utusan Online

Penyataan tersebut merupakan jawapan bertulis yang dimuat naik di laman sesawang Parlimen Malaysia.

Terdahulu, Khalid Abdul Samad (PH-Shah Alam) meminta Perdana Menteri menyatakan perancangan strategik bagi memperkasakan mahkamah syariah menerusi pindaan Akta 355 bagi tahun ini.- HARAKAHDAILY 15/9/2021

Rentas Mendunia.

Friday, September 17, 2021

‘Keluarga M'sia'. Orang kaya wajar bayar cukai lebih? Lihat zakat Islam.

 

Komen rakyat dalam blog ini..

Mengisi konsep ‘keluarga M'sia’. ‘Orang kaya wajar kena cukai lebih tinggi’.

Anonymous said...

Bajet 2022: Mengisi konsep ‘keluarga Malaysia’. ‘Orang kaya wajar kena cukai lebih tinggi’. Kerajaan digesa kaji balik umur persaraan wajib pekerja kepada 55 tahun.

Fokus utama yang perlu diberikan perhatian oleh kerajaan adalah untuk membantu rakyat dan syarikat-syarikat kecil dan golongan bawahan pekerja swasta dan penjawat awam.

‘Orang kaya wajar kena cukai lebih tinggi’. Kerajaan perlu mempertimbangkan cadangan untuk mewujudkan cukai ‘durian runtuh’ kepada golongan kaya atau T20 dalam Belanjawan 2022 yang akan dibentangkan tidak lama lagi.

Pada 9 September 2021, Akademi Profesor Malaysia (APM) sekali lagi menganjurkan sidang meja bulat (RTD) tertutup yang dihadiri oleh 30 orang profesor pelbagai bidang untuk berbicara tentang beberapa soal penting negara sebagai masukan bagi Bajet 2022.

Sebagai salah seorang pembicara dalam panel enam orang pakar untuk RTD itu menumpukan perhatian terhadap beberapa aspek penting dalam masyarakat khususnya masalah dan cabaran yang dihadapi oleh keluarga dan golongan-golongan lain yang menerima dampak serius pandemik Covid-19 dan krisis ekonomi.

Kesan Pendemik Covid 19 kesemua sektor ekonomi terjejas teruk. Pengangguran bertambah, peluang kerja terjejas terutama golongan muda, ekonomi menguncup dan pendapatan negara terjejas teruk.

Ini lah masa kerajaan mengkaji semula tempoh persaraan wajib dari 60 tahun ke 55 tahun. Memberi peluang pada tenaga muda yg lebih inovatif untuk mengisi jawatan terutama sektor awam.

Tahap kesihatan rakyat semakin merudum dan rakyat terdedah dengan tekanan dan stres menjadi faktor utama golongan muda pun maut akibat serangan jantung apa lagi golongan sudah berumur.

Pengamal perubatan am, Dr Zubaidi Ahmad berkata, serangan sakit jantung bukan hanya dipengaruhi oleh faktor kesihatan seperti tekanan darah tinggi, diabetes dan obesiti, bahkan stres telah dibuktikan berdasarkan penemuan baharu oleh pakar perubatan.

Dalam masa yang sama golongan muda adalah golongan celik IT. Golongan muda terdedah pada ilmu teknologi maklumat dan gabungan ketiga-tiga komponen komputer, komunikasi dan tahu-guna celik IT.

Bagi golongan vateran dan sudah berusia sekitar 50 hingga 55 golongan dibiarkan bertugas keadaan stress dan berpenyakit akan menjejaskan produktiviti perkhidmatan awam.

Kita tengok ada keluarga terpaksa hantar kakitangan awam yang sudah berusia ini dari jauh, ada yang naik kerusi roda datang pejabat, muka dalam keadaan tertekan dan stress.

Ini lah masa golongan muda celik IT kreatif dan boleh menganalisis data menjadi maklumat berguna dan bermakna. Situasi 'work from home' banyak kelebihan pada golongan muda dalam era global IT.

Era Teknologi Maklumat dan komunikasi digital ini membolehkan individu atau kelompok individu bertukar data dan maklumat dalam ruang waktu dan tempat yang tidak terbatas, dengan cepat.

Dari data KKM Seramai 45,684 orang daripada 32.4 juta rakyat negara ini menderita penyakit jantung koronari sehingga kini rakyat negara ini turut mencatat menghidap penyakit kardiovaskular pada usia yang jauh lebih muda.

Lebih membimbangkan, bilangan kematian akibat penyakit berkenaan meningkat hampir 100 peratus iaitu 18,267 kes direkodkan tahun lalu berbanding 9,371 pada 2010.

Perlu diketahui bahawa penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, darah tinggi, obesiti, hiperkolesterolemia tanpa kawalan dan gaya hidup yang tidak sihat adalah penyumbang utama peningkatan penyakit kardiovaskular.

Oleh itu adalah lebih baik umur persaraan di kaji balik sehingga 55 tahun oleh kerajaan semasa pembentangan bajet tahun 2022 nanti. Beri peluang generasi muda mengisi jawatan sektor aaam dan swasta. Pada golongan umur 55 ke atas sektor awam dan swasta inilah masa untuk buat pengorbanan pada negara.

HANYA SATU JE AKU PELIK

Komen Rakyat dalam blog ini..

2 comments:

Anonymous said..

HANYA SATU JE AKU PELIK


Dividen TH terendah masa Mujahit , aku tak pelik.
Dividen ASB rendah masa Lim Guan Eng jadi Menteri Kewangan , aku tak pelik.
AES makin bertambah, aku tak pelik.
Tol masih kena byr, aku tak pelik.
Minyak masih mahal, aku tak pelik.
SST ganti GST, aku tak pelik.
RM 50 tak penuh troli, aku tak pelik.
Kos sara hidup meningkat, aku tak pelik.
Harga barang naik, aku tak pelik.

Cukai makin naik , aku tak pelik.
Bil air n letrik naik, aku tak pelik.
PTPTN kena byr, aku tak pelik,
BR1M dapat rm 100 je, aku tak pelik...
Bonus tak dapat, aku tak pelik.
Hutang negara makin bertambah, aku tak pelik....
Pelabur lari, aku tak pelik..
Ringgit makin jatuh, aku tak pelik.
Kerajaan PH jual aset negara, aku tak pelik.
Bantuan rakyat di hentikan masa PH, aku tak pelik..

Lynas di teruskan, aku tak pelik..
Ramai hilang pekerjaan, aku tak pelik..
Kerajaan potong sana sini, aku tak pelik.
Menteri banyak u-turn, aku tak pelik..
Menteri PH ada ijazah palsu, aku tak pelik.
Menteri tak pandai buat kerja, aku tak pelik..
Rakyat di suruh ikat perut, aku tak pelik..
Semua agensi govt di swastakan, aku tak pelik...
Lantik kroni2 dlm agensi kerajaan, aku tak pelik..
GLC lantikan politik, aku tak pelik...

Kroni2 menteri dpt tender berjuta2, aku tak pelik..
Perlembagaan negara di hakis, aku tak pelik...
Tanah2 kg org2 melayu diroboh namun kuil2 tanah haram x diroboh,aku x pelik...
Covid19 meningkat kerajaan gagal aku tak pelik
Datuk Kenny tokey along dan judi online lesap aku tak pelik
Kes Zety tak siap siap lagi aku tak pelik
Justo lesap depan lubang hidung Tun aku tak pelik
Jho Low lesap bertukar jadi beruang aku tak pelik

Yang aku pelik dan hairan bin ajaib ni, masih ada orang Melayu @ macai @ rba melayu yg percaya dgn PAKATAN HARAPAN

Yang satu ni aku betul2 pelik
Anonymous said...

Percaya kat eng guan yg tak bersunat pun pelik juga.

Saya telah wakafkan diri saya untuk penyatuan umat. -Nik Abduh.

 

Karangan belahan hati

SAYA telah wakafkan diri saya untuk penyatuan umat. Saya ahli PAS. Tetapi diri saya bukan hanya untuk kesatuan ahli PAS, bahkan untuk penyatuan umat seluruhnya. Sebagaimana saya bertekad untuk istiqamah dengan perjuangan PAS, saya juga telah memperkasakannya dengan tekad melebarkan penyatuan umat seluruhnya.

Kesatuan umat bermaksud umat yang berpegang dengan tali Allah. Tali Allah bermaksud agama Islam, satu-satunya agama yang diredhai Allah. Berpegang dengan tali Allah adalah salah satu tiang atau tunjang utama ke arah kejayaan umat Islam menyempurnakan tugas khilafah mereka di muka bumi.

Umat Islam adalah umat yang satu. Bersatu hati dengan tauhid dan ibadah kepada Allah. Satu umat bererti satu agama dengan satu arah tuju. Ia hakikatnya asal manusia, sebelum manusia berpecah belah selepas itu dengan syirik dan menyembah tuhan-tuhan selain Allah.

Maka umat Islam mesti kekal satu umat. Apabila mereka bersatu, maka mereka berada dalam keadaan sihat dan haq, lalu bergerak gagah menuju matlamat. Apabila pula mereka berpecah, mereka sebenarnya dalam keadaan sakit dan batil, lalu merencatkan pergerakan dan pasti menggagalkan impian dan matlamat.

Sakit dan penyakit, demi sebuah kejayaan yang ingin dicapai, mesti diubati dan dibuang. Membiarkannya terus sakit bukanlah pilihan. Ia malah kesalahan yang besar. Di negara kita Malaysia, berlaku perpecahan umat. Perpecahan pula pelbagai sektor dan faktor. Yang paling ketara adalah perpecahan akibat politik. Perpecahan politik inilah menjadi punca besar kegagalan dan kekecewaan umat dalam negara.

Ia memberi isyarat jelas bahawa umat berada dalam sakit dan berpenyakit. Segagah mana kita berjalan, ia akan terus mengganggu perjalanan dan akhirnya menggendalakannya. Umat akan tersadai dan hanya mampu menanti tibanya pertolongan.

Umno dan PAS adalah sebab perpecahan politik umat. Kedua-duanya adalah kekuatan. Tiada kumpulan umat sekuat kedua-duanya. Bekalan kedua-duanya amat banyak dan pahlawan mereka amat ramai. Tiada kumpulan lain seumpama mereka berdua.

PAS kalah berkali-kali, tetapi kuatnya semakin berkali-kali juga. Umno untuk pertama kali jatuh besar pada PRU14 lepas, tetapi mampu kembali berkuasa hanya selepas 3 tahun. Ia contoh mudah kekuatan besar yang dimiliki kedua-duanya. Tiada seperti kedua-duanya.

Malangnya, kedua-duanya saling beradu kekuatan, bukan menyatukan kekuatan. Maka akibat buruknya adalah besar. Ia adalah perpecahan umat yang besar. Ia telah membantutkan projek besar umat yang dimestikan untuk berjaya.

Umat yang satu adalah umat yang sihat dan haq. Isinya adalah tauhid, ilmu, ikhlas, amal soleh dan jihad. Manakala umat yang berpecah adalah umat yang sakit dan batil. Ia lompang yang diracuni syirik, jahil, nifaq, fasad dan cinta dunia.

Sesuatu mesti dilakukan. Penawar mesti diusahakan untuknya. Keruh mesti dibuang. Jernih mesti dikembalikan. Tali Allah mesti dihulurkan. Racun-racun syaitani pula mesti dinyahkan. Ia sebuah kerja besar. Ia jihad besar. Ia sebuah perjalanan memakan masa dan tenaga. Ia perlukan kejelasan, keyakinan, keikhlasan, kesabaran dan pengorbanan.

Walau apa alasan Umno dan PAS, alasan untuk kekal berpecah dan berbalah adalah seburuk-buruk jawapan kepada penyelesaian. Penyakit diubati dengan ubatnya. Degil atau putus asa adalah racun ditambah racun.

Projek penyatuan umat yang besar ini hakikatnya menuntut kehadiran pahlawan daripada Umno dan PAS. Saya ulang, pahlawan daripada Umno dan PAS. Mereka ialah barisan yang memiliki kejelasan, keyakinan, keikhlasan, kesabaran dan pengorbanan. Tanpa pahlawan yang hadir daripada kedua-dua pihak, usaha menjadi perlahan dan ditakuti kegendalaannya.

Saya telah wakafkan diri saya untuk projek kesatuan Umno dan PAS. Bukan menjadi satu parti. Bukan. Tetapi menjadi satu kekuatan. Bukan menjadi sama kuat. Bukan. Tetapi saling kuat menguat di antara kedua-duanya. Itu sudah amat mencukupi. Ia sudah menepati maksud kesatuan umat yang didambakan.

Sudah pasti saya kerdil. Tetapi saya sudah berbelas tahun memulakannya. Saya bermula dengan keyakinan yang kecil dan ketakutan yang besar. Tetapi lama kelamaan, ia bertukar menjadi keyakinan yang besar dan ketakutan yang kecil.

Saya berjumpa dan berbincang. Jumpa pemimpin PAS dan pemimpin Umno. Jumpa para mufti dan tok-tok guru. Jumpa cendekiawan dan profesional. Mula-mula sebagai kenalan. Akhirnya menjadi rakan. Begitulah usaha berbekalkan masa yang membekalkan kesabaran.

Saya dimarahi dan dicemuh. Ombak di muka kuala amatlah garang. Tetapi saya mengecapi rasa keterpujian daripada dalam diri. Ia satu perasaan yang hebat. Begitulah masa memberikan saya keyakinan dan kekuatan. Masa itu senjata yang ajaib sekali.

PAS dan Umno amat lama berkelahi. Mengajak kepada perdamaian semacam mengajak kepada perkelahian ke sekian kalinya. Kelahi bertambah lagi kelahinya. Begitulah mata memandang serong dan tajam.

Ya, saya rasa kerdil pada awalnya. Tetapi sebaik melangkah beberapa langkah, saya dapati ramai sebenarnya yang telah berada di jalan ini. Ramai juga yang telah pun mendahului saya. Justeru rasa kerdil hilang tiba-tiba. Paras keyakinan bertambah-tambah. Para pahlawan penyatuan umat semakin hadir.

Saya menulis bukan memuji. Pujian milik Allah sepenuhnya. Saya menulis adalah untuk mengajak dan menyeru. Saya menulis untuk memanggil pahlawan-pahlawan agar hadir sentiasa di jalan ini. Bersama menanam dan memugar projek mega ini. Ia adalah jihad besar.

Muafakat Nasional adalah belahan hati saya. Saya karangnya semenjak belasan tahun dalam bengis saya pada Umno dan lembut saya juga pada Umno. Karangan bukan sebarang karangan. Ia bungaan di hati yang penuh rasa cinta.

PAS adalah pangkalan saya. Di sini saya membina kekuatan dan apabila saya keletihan dan kehabisan, saya akan segera kembali kepada PAS untuk menambah bekalan. PAS penuh dengan para pahlawan di jalan Allah.

Di seberang sana ada juga pangkalan. Rakan-rakan saya bergagah di pangkalan Umno. Jambatan ini dalam pembinaan. Janganlah diruntuhkan oleh angin lalu. Selamat ulang tahun kedua Muafakat Nasional.

USTAZ NIK MOHAMAD ABDUH 
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 17/9/2021

Rentas Mendunia.

Perang poster makin hangat (ABPBH). Wajarkah?

 

Strategi Siti Nordiana FC bersandarkan kepada kekuatan dan semangat penyokong yang sentiasa gigih berusaha demi memastikan undian buat Siti Nordiana.

HALAMAN HIBURAN

Perang poster makin hangat Anugerah Bintang Popular ..

KUALA LUMPUR: Sebaik pusingan pertama undian Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 dibuka minggu lalu, perang poster digital antara individu dan kelab peminat melalui media sosial, makin rancak.

Sejak proses undian calon kategori utama dan online ABPBH dilaksanakan 100 peratus atas talian pada 2017, penggunaan platform digital terutama media sosial dalam kempen meraih undi calon dan mempromosikan acara anugerah ini, meningkat setiap tahun.

Kali kedua dianjurkan pada era pandemik COVID-19, penyokong termasuk ahli kelab peminat atau 'FC' dilihat sudah membiasakan diri mempromosi dan melobi calon ABPBH 34 melalui penerapan norma baharu termasuk pergantungan kepada media sosial sebagai kaedah paling selamat mendekati kumpulan sasaran.

Tidak hairanlah, sejak 10 September lalu, sebaik undian peringkat pertama ABPBH 34 dibuka, perang poster calon awal acara anugerah ini mula dilihat dengan masing-masing melakukan gerak gempur memastikan artis pujaan mara ke peringkat Top 5.

Bukan sekadar poster kreatif, kreativiti peminat diserlahkan lagi dengan perkongsian video atau foto yang diiringi lagu latar, tanda pagar #ABPBH34 dan tema #KITABERSAMA yang diangkat pada edisi ke-34 acara anugerah pilihan peminat paling lama bertahan di Malaysia ini.

BH mendapatkan reaksi beberapa kelab peminat yang tidak putus-putus berkempen memastikan artis pujaan mereka mara ke peringkat Top 5, sekali gus melakar kejayaan pada malam kemuncak ABPBH 34 yang bakal diadakan pada 13 November depan.

Bagi kelab peminat artis serba boleh, Sherry Alhadad, strategi sama diatur kali ini bagi memastikan artis kesayangan mereka bolos Top 5.

Presiden dan Pengurus Sherrylicious Fan Club (FC), Wan Rohaya Wan Azmi, berkata selain berkempen, ahli kelab memastikan undian dilakukan konsisten.

"Strategi kami masih sama seperti tahun lalu. Kami ada pasukan yang fokus kepada undian harian dan akan sentiasa mencari jalan untuk menambahbaik proses itu.

"Selain itu, kami berkempen dan mengajak peminat Sherry sama-sama mengundinya. Dalam menyediakan poster digital, kami bagaimanapun tidaklah selalu di hadapan.

"Namun, kami masih melakukannya untuk menyemarakkan ABPBH 34. Ini juga bukti sokongan tidak berbelah bahagi kami kepada Sherry," katanya.

Selain berkempen, ahli Sherrylicious Fan Club memastikan undian dilakukan konsisten.

Pada ABPBH 34, Sherry tersenarai sebagai calon awal lima kategori iaitu Pelakon Filem Popular, Pengacara TV Popular, Artis Versatil Popular, Artis Komedi Popular dan Gandingan Serasi Filem Popular bersama Azhan Rani menerusi filem Bikin Filem.

Pada ABPBH 33, Sherry menang kategori Pengacara TV Popular dan Artis Komedi Popular.

Wan Rohaya berkata, kelab akan berusaha sebaik mungkin untuk memastikan Sherry berada pada kedudukan selesa dan mara sebagai finalis ABPBH 34.

"Soal kemampuan Sherry mengekalkan dua trofi dimenangi tahun lalu, kami berserah. Disebabkan Sherry tercalon dalam lima kategori tahun ini, kami akan cuba sehabis baik dan bertawakal.

"Menang atau kalah, kami tetap bersama Sherry. Namun, kalau menang, itu sudah dianggap bonus buat kami... Insya-Allah," katanya.

Presiden Siti Nordiana FC, Mohd Zuhdi Zainul Abidin berkata, ahli kelab mengekalkan strategi memastikan kemaraan artis versatil itu seperti tahun sebelumnya.

"Berhubung soal perancangan dan strategi, tiada perubahan dibuat kali ini. Cuma, pada era pandemik, kami selalu mengadakan pertemuan virtual bersama peminat.

"Melalui cara itu, kita berkempen untuk meraih undi. Kaedah ini lebih mendekatkan ukhuwah antara peminat Siti Nordiana.

"Strategi kami bersandarkan kepada kekuatan dan semangat penyokong yang sentiasa gigih berusaha demi memastikan undian buat Siti Nordiana," katanya.

Mohd Zuhdi berkata, Siti Nordiana FC juga antara kelab peminat yang agresif dalam perang poster demi memastikan kejayaan artis pujaan.

"Memang kami antara FC yang bersemangat dalam perang poster. Terima kasih buat semua pasukan SitiNordiana FC atas usaha dan inisiatif diambil.

"Ada yang buat poster kreatif sendiri biarpun tiada kepakaran dalam bidang rekaan grafik," katanya.

Khai Bahar Empire melakukan gerak gempur undian awal menerusi pelbagai platform termasuk kumpulan WhatsApp dan Telegram.

Mohd Zuhdi berkata, kelab melancarkan tanda pagar #inilahmasanya sebagai laungan keramat dalam meraih sokongan terhadap Siti Nordiana yang berentap dalam kategori Penyanyi Wanita Popular dan Artis Versatil Popular.

"Bukan senang untuk mengekalkan kemenangan lalu. Namun, kami mesti cuba sedaya upaya. Selebihnya, kami berdoa dan bertawakal... Semua yang berlaku adalah atas izin-Nya," katanya.

Sementara itu, Presiden Khai Bahar Empire (KBE), Sarhan Ezani, berkata gerak gempur undian awal dilakukan dalam pelbagai platform termasuk kumpulan WhatsApp dan Telegram.

"Seperti tahun sebelumnya, sebagai strategi awal, kami cuba undi sebanyak mungkin untuk memastikan Khai berada dalam kelompok Top 5.

"Kami berkempen dan melakukan gerak gempur setiap hari. Kelab juga mula berkempen melalui poster sejak pencalonan dibuka.

"Poster ini bukan dari Ahli Jawatankuasa (AJK) FC sahaja, malah, ahli biasa ambil inisiatif sendiri mencipta poster untuk memeriahkan kempen ABPBH 34 di Instagram (IG), Facebook (FB) dan Twitter," katanya.

Sebelum ini, Khai pernah melakukan hatrik mengekalkan trofi Penyanyi Lelaki Popular sejak edisi ke-30 ABPBH sebelum dirampas Haqiem Rusli, tahun lalu.

Pada ABPBH 33, Khai menang kategori Artis Duo Popular bersama Siti Nordiana menerusi lagu Satukan Rasa.

Pada ABPBH 34, Khai menjadi calon awal kategori Penyanyi Lelaki Popular dan Artis Duo Popular bersama Aina Abdul untuk lagu Nafas Cinta.

Usaha dipergiatkan dilakukan DJ Lin Followers bagi memastikan penyampai radio Suria FM itu sekali lagi membawa pulang trofi Penyampai Radio Popular.

Bagi Presiden DJ Lin Followers, Tuan Auzan Tuan Kamaluddin, usaha dipergiatkan bagi memastikan penyampai radio Suria FM, DJ Lin sekali membawa pulang trofi Penyampai Radio Popular.

"Selepas mendapat tahu DJ Lin tercalon, berita gembira itu dikongsi bersama semua ahli jawatankuasa (AJK) DJ Lin Followers.

"Perkara ini turut dihebahkan kepada semua peminat DJ Lin melalui platform media sosial seperti IG, Twitter dan FB.

"Kami kemudian membuka kumpulan WhatsApp untuk membincangkan strategi undian berdasarkan syarat dan peraturan yang ditetapkan penganjur ABPBH 34," katanya.

Tuan Auzan berkata, kelab merangka strategi dengan menubuhkan dua pasukan di mana masing-masing mempunyai misi berbeza dalam memastikan undian secara optimum.

"Satu kumpulan memberi fokus kepada undian melalui peranti Xiaomi manakala satu kumpulan melakukan kerja-kerja undian percuma," katanya.

Tuan Auzan berkata, mereka bekerja keras bagi memastikan DJ Lin bolos calon Top 5.

"Kemenangan DJ Lin adalah kebahagiaan kami sebagai pengikut setia dan peminat tegar DJ Lin serta Suria Cinta.

"Semua peminat setia DJ Lin pasti bertungkus-lumus dan bekerja keras dalam memastikan rezeki, nasib serta tuah sekali lagi berpihak kepada DJ Lin.

"Sama-sama kita berdoa dan berusaha untuk memastikan DJ Lin sekali lagi berjaya dinobatkan sebagai Penyampai Radio Paling popular pada ABPBH 34.

"Jika hasrat kami menjadi realiti, ini adalah rezeki berganda buat DJ Lin selepas merangkul trofi Anugerah Penyampai Radio Paling Dipercayai di Malaysia untuk 2021 anjuran Majalah antarabangsa, Reader's Digest," katanya.

Miralegacy mengatur strategi agar Mira yang pernah merangkul trofi Bintang Paling Popular ABPBH 32 mara sebagai calon Top 5.

Sementara itu, Ketua Urus Tadbir Miralegacy, Ross Harun, berkata strategi diatur agar pelakon dan pengacara, Mira Filzah yang pernah merangkul trofi Bintang Paling Popular ABPBH 32 mara sebagai calon Top 5.

"Alhamdulillah, Miraclegacy teruja dan bersyukur atas empat pencalonan diterima Mira melalui penampilan dalam drama Bidadari Kiriman Tuhan dan Adellea Sofea kali ini.

"Sebaik mendapat tahu undian dibuka sejak 10 September lalu, kami tanpa berlengah mengerah tenaga untuk mengundi Mira melalui setiap saluran," katanya.

Bagaimanapun, Miralegacy tidak menaruh harapan tinggi untuk artis kesayangan membawa pulang trofi. Sebaliknya, menang atau kalah, mereka mahu terus menyokong Mira.

"Untuk ABPBH 34, Miraclegacy tidak meletakkan apa-apa harapan. Kami sangat memahami prinsip dan pegangan Mira iaitu apa juga anugerah atau pengiktirafan yang diperoleh, harus selari dengan kejayaan sesuatu produk atau drama yang dibintangi.

"Kami akan sentiasa memberikan sokongan padu demi kelancaran dan kejayaan karier Mira dalam industri seni seperti slogan Miraclegacy iaitu 'Together We Strong'," katanya.

Mira Filzah dicalonkan dalam kategori Pelakon TV Wanita Popular, Pengacara TV Popular, Artis Versatil Popular serta Gandingan Serasi Drama Popular menerusi dua drama iaitu Bidadari Kiriman Tuhan bersama Zul Ariffin dan Adella Sofea bersama Ungku Ismail.

Penaja utama ABPBH 34 adalah Xiaomi.

Undian peringkat pertama ABPBH 34 dibuka sejak 10 September lalu sehingga 3 Oktober depan.

Sebanyak 14 kategori utama dan enam kategori online dibuka. Bagaimanapun, dua kategori online, iaitu Artis TikTok Popular dan Anugerah FANtastik Popular akan dibuka, bulan depan.

Layari www.abpbh.com.my untuk mengundi artis pilihan anda.


Komen Weblog Ibnu Hasyim: Apakah manfaatnya kegiatan-kegiatan hiburan seperti ini untuk pembangunan negara dan agama di negara ini? Perlukah dilaksanakan hiburan menurut syariat? Boleh lihat Kelantan dan Terengganu..