Mutakhir ini kita melihat umat Islam semakin berminat mengambil berat berkenaan isu-isu politik. Pada asasnya, keperluan dalam mengetahui dan memahami politik semasa adalah satu tanggungjawab yang sewajarnya diambil berat bagi mereka yang mengaku sayang akan tanah tumpah darahnya. Pada hari ini kita amat memerlukan sebuah kefahaman yang sebenarnya bersumberkan kepada rujukan al-Quran dan al-Sunnah berkenaan dengan politik dalam Islam.
Hasil gambaran dan lakonan mereka yang berpolitik dengan cara yang tidak beretika dan tidak menurut lunas-lunas syarak menyebabkan sebahagian pemikir-pemikir Islam menganggap politik amat kotor dan hina seperti kata Badiuzzaman Said al-Nursi[1]: “Aku berlindung daripada syaitan dan siyasah.”
Walaupun begitu, Syeikh al-Islam yang terakhir bagi khalifah Uthmaniyyah, Syeikh Mustafa Sabri[2] menganggap wajib dan perlu bagi umat Islam memahami politik dan menempatkan diri di persadanya jika berkelayakan dan mempunyai sifat-sifat kepimpinan. Ini kerana ia termasuk dalam urusan menegakkan syariat dan Daulah Islamiyyah sebagaimana Baginda SAW mengasaskan Negara Islam Madinah.
Justeru itu, bertitik tolak dari itu, suka untuk kami memberi pencerahan serta penjelasan berkaitan politik berdasarkan kepada ajaran agama Islam yang kami tajukkan artikel ini dengan tajuk “Politik di dalam Islam.” Semoga penjelasan ini membuka minda kita serta memberi kefahaman secara menyeluruh perihal politik mengikut landasan syariat Islam yang sebenar. Amin.
Definisi Politik
Politik dalam Kamus Dewan ditakrifkan kepada beberapa takrif:
Pertama: Ia merupakan ilmu, ilmu (pengetahuan) berkenaan cara pemerintahan (dasar-dasar pemerintahan dan lain-lain), ilmu siyasah dan ilmu kenegaraan.
Kedua: Segala sesuatu berkenaan pemerintahan sesebuah negara atau hubungannya dengan negara lain.
Ketiga: Kelicikan, muslihat, tipu muslihat. Berpolitik pula ditakrifkan sebagai mengambil bahagian dalam politik, menjalankan (mengamalkan) politik.
Mempolitikkan pula ditakrifkan sebagai memasukkan ke dalam urusan politik, menjadikan sebagai urusan politik, menjadikan (sesuatu) kelihatan ada kaitannya dengan politik. (Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat, hlm. 1223)
Perkataan politik berasal daripada kata akar polis dari Bahasa Greek, yang bererti negara, kota, dan kemajuan. Istilah politik dipopularkan oleh Plato dalam bukunya Politea dan Aristotle dalam bukunya Politicia. Politik merupakan istilah yang digunakan untuk membincangkan konsep pengaturan masyarakat.
Dalam bahasa arab, politik juga dikenali sebagai siasah daripada perkataan (سَاسَ يَسُوْسُ سِيَاسَةً) yang memberi maksud cara mengurus tadbir dan memerintah, mengurus atau mengatur perkara mengikut syariat Islam. Antara perkataan yang hampir seerti dengannya ialah:
- Al-Khilafah (الخلافة)
- Al-Imamah (الإمامة)
- Al-Siyadah (السيادة)
- Al-Riyasah (الرياسة)
- Al-Qiyadah (القيادة)[3]
Berdasarkan disiplin ilmu-ilmu Islam, perbahasan politik dibincangkan di bawah bidang fiqh dan bukan di bawah perbahasan aqidah. Justeru, politik Islam sering dikenali sebagai al-Siyasah al-Syar’iyyah, Fiqh al-Siyasah al-Syar’iyyah, al-Ahkam al-Sultaniyyah, dan lain-lain lagi.
Keperluan Kepada Kepimpinan
Kami memulakan artikel ini juga dengan sabda Nabi SAW:
كَانَتْ بَنُو إِسْرَائِيلَ تَسُوسُهُمُ الأَنْبِيَاءُ كُلَّمَا هَلَكَ نَبِيٌّ خَلَفَهُ نَبِيُّ, وَإِنَّهُ لَا نَبِيَ بَعْدِي وَسَتَكُونُ خُلَفَاءُ تَكْثُر
Maksudnya: “Adalah bagi Bani Israil, mereka diuruskan urusannya oleh para nabi (tasusuhumul anbiya). Ketika seorang nabi wafat, nabi yang lain datang menggantinya. Tidak ada nabi setelahku, namun akan ada ramai para khilafah.”
Riwayat Bukhari (3455) dan Muslim (1842)
Imam Nawawi menyebut dalam syarahnya terhadap Sahih Muslim antara lain berkata: “Bani Israil yang dipimpin oleh para nabi apabila wafatnya seorang nabi, akan diganti dengan nabi yang lain, yang menguruskan urusan mereka, bagi segala maslahah untuk mereka”. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 12/231)
Jawatan pemerintah tertinggi sangat penting untuk merealisasikan kewujudan sebenar umat Islam. Oleh itu, pemerintah mesti diwujudkan dan dilantik untuk memimpin umat Islam kerana sebab-sebab berikut:
- Antara tanggungjawab terbesar yang diperintahkan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya yang muslim adalah supaya mereka bersatu dengan cara berpegang kepada agama Allah SWT dan tidak berpecah atau bertelagah sesama sendiri. Kedudukan pemerintah di kalangan semua individu umat pula adalah umpama paksi pada sesuatu bulatan. Dialah yang akan merealisasikan perpaduan dan menjaga keutuhan mereka melalui kepimpinannya. Jawatan tersebut amat perlu demi kestabilan undang-undang dan keharmoniaan keadaan. Ia turut dirasai oleh spesis haiwan dan ternakan.
- Sebahagian besar pelaksanaan hukum-hakam dalam syariat Islam tertakluk kepada kuasa pemerintah. Hukum-hakam itu tidak mungkin dapat dilaksanakan kecuali melalui kuasa dan arahan pemerintah, seperti menghakimi kes-kes mahkamah, melantik para penjaga, mengisytiharkan halangan (al-hajr) dan perang, memeterai perdamaian dan sebagainya. Oleh itu, bagi membolehkan hukum-hakam syarak dilaksanakan sepenuhnya dengan cara yang betul dan diterima oleh Allah SWT, mestilah ada pemerintah yang akan melaksanakan hukum-hakam itu dan memantau perlaksanaannya.
- Dalam syariat Islam, terdapat satu kategori hukum yang disebut sebagai hukum-hakam imamah (pemerintahan) atau hukum-hakam siyasah syar'iyyah (politik Islam). Hukum-hakam dalam kategori ini bersifat fleksibel dan syara’ tidak memutuskannya secara terperinci. Sebaliknya hukum hakam dalam kategori ini diserahkan kepada pendapat dan ijtihad pemerintah berdasarkan kepentingan dan keadaan umat Islam. Contohnya, sebahagian besar hukum hakam berkaitan sistem pengurusan kewangan, gerakan ketenteraan dan pengurusan tawanan. Jika tiada pemerintah yang berkemampuan dan berwibawa untuk menduduki jawatan ini, sudah tentu segala hukum-hakam ini akan terus tergantung tanpa dapat dilaksanakan.
- Umat Islam sentiasa terdedah kepada kemunculan kumpulan pelampau di kalangan mereka yang menimbulkan ketidakstabilan dalam masyarakat Islam. Mereka didorong oleh hawa nafsu atau fahaman-fahaman sesat yang berselindung di sebalik nama agama atau pemulihan masyarakat.
Dalil Kewajipan Melantik Pemimpin
Sabda Baginda Nabi SAW:
لاَ يَحِلُّ لِثَلَاثَةٍ يَكُوْنُوْنَ بِفَلَاةٍ مِنَ الْأَرْضِ إِلَّا أَمَّرُوا أَحَدَهُمْ
Maksudnya: “Tidak harus bagi tiga orang yang berada di tengah-tengah bumi yang lapang (bermusafir), melainkan mereka mesti melantik salah seorang mereka sebagai pemimpin.”
Riwayat Ahmad (2/177) dan Abu Daud (2608, 2609)
Ibn Taimiyah berkata: “Kalaulah diwajibkan memilih salah seorang sebagai pemimpin dalam jemaah yang paling sedikit (tiga orang) dan dalam kumpulan yang paling kecil, maka ini adalah peringatan tentang kewajipan tersebut bagi kumpulan yang lebih ramai.” (Lihat Kitab al-Hisbah, hlm. 11)
Telah ijmak para ulama tentang kewajipan melantik imam (pemimpin) sepertimana kata Imam al-Nawawi rahimahullah: “Telah ijmak para ulama bahawa wajib atas orang Islam melantik khalifah.” (Lihat al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 12/205)
Ibn Khaldun berkata: “Melantik pemimpin adalah wajib dan kewajipan tersebut dapat diketahui dalam syarak dengan ijmak para sahabat dan tabiin kerana para sahabat Rasulullah SAW ketika wafatnya Baginda, mereka bersegera memberi taat setia kepada Abu Bakar RA dan menyerahkan kepadanya urusan mereka. Demikianlah pada setiap zaman dan perkara ini telah tetap sebagai ijmak yang menunjukkan kewajipan melantik pemimpin.” (Lihat al-Muqaddimah, hlm. 191)
Imam al-Ghazali[4] berkata:
الدِّينُ أُسٌّ والسُّلْطَانُ حَارِسٌ وَمَا أُسَّ لَهُ فَمَهْدُومٌ وَمَا لَا حَارِسَ لَهُ فَضَائِعٌ
Maksudnya: “Agama itu adalah asasnya sedangkan pemerintah sebagai pengawalnya. Apa yang tidak ada asasnya, nescaya boleh membawa keruntuhan dan apa yang tidak ada pengawalnya akan menjadi hilang.” (Rujuk al-Iqtisad fi al-I’tiqad, hlm. 128)
Imam Mawardi[5] pula menyebut:
الإمَامَةُ مَوضُوعَة لِخلَافَةِ النُّبُوَّةِ فِي حِرَاسَةِ الدِّينِ وَسِيَاسَةُ الدُّنْيَا بِه
Maksudnya: “Imamah atau pemimpin utama adalah menjadi pengganti kenabian dalam mengawal agama dan bersiyasah dunia dengan agama.” (Lihat al-Ahkam al-Sultaniyyah, hlm. 5)
Imam al-Haramain al-Juwaini[6] juga pernah berkata:
الإمَامَةُ رياسَةٌ تَامَّةٌ وزعامَةٌ تَتَعَلَّق بِالْخَاصَّةِ وَالعَامَّةِ فِي مهماتِ الدِّين وَالدُّنْيَا
Maksudnya: “Pemimpin utama adalah pemerintah yang sempurna dan kepimpinan berkaitan dengan khusus dan umum pada semua kepentingan agama dan dunia.” (Lihat Ghiyath al-Umam fi al-Tayas al-Zulam, hlm. 15)
Kewajipan melantik pemimpin juga dibuktikan dengan satu kaedah Syarak iaitu:
مَا لَا يَتِمُّ اَلْوَاجِبْ إِلَّا بِهِ ، فَهُوَ وَاجِبٌ
Maksudnya: “Perkara yang tidak akan sempurna suatu kewajipan melainkan dengannya, maka ia adalah wajib.”[7]
Dalam menetapkan perkara ini, Saidina Ali bin Abi Talib RA berkata: “Manusia mesti mempunyai pemerintahan sama ada yang baik atau jahat.” Lalu ditanya kepada beliau: “Wahai Amirul Mukminin, yang baik telah sedia kami ketahui. Bagaimana pula dengan yang jahat itu?” Beliau menjawab: “Dengannya dapat dijalankan hudud, dengannya jalan-jalan juga akan aman, dengannya juga dapat berjihad menentang musuh dan dengannya juga dapat dibahagikan harta rampasan.” (Lihat Minhaj al-Sunnah, 1/548)
Imam Ahmad berkata: “Fitnah (berleluasa) apabila tiada pemimpin yang mengendalikan urusan manusia.” (Lihat al-Khallah, al-Sunnah 1/81, Kata muhaqqiq: Sanadnya Sahih)
Menolak Tohmahan Terhadap Sistem Politik Islam
Di sini dinyatakan sebahagian daripada salah faham terhadap politik dalam Islam.
- Sistem pemerintahan tiada dalam Islam
Ada sebahagian tokoh Islam telah mengemukakan pendapat yang songsang dan menafikan sistem politik Islam dengan pelbagai hujahan yang amat lemah dan telah disanggah oleh sekian ramai para ulama.
Orang yang pertama menolak sistem politik Islam secara total dan cuba membuktikan bahawa syariat Islam adalah syariat yang bersifat spiritual semata-mata, yang datang untuk mengatur hubungan antara manusia dan Tuhan-Nya sahaja, tiada hubungan antara hukum dan politik, tugas Nabi Muhammad SAW tiada kaitan dengan pemerintahan serta perlaksanaannya dan tidak melebihi batasan penyampaian (dakwah), membawa berita gembira dan memberi amaran ialah Ali Abdul Raziq melalui bukunya “Islam dan Dasar Pemerintahan” yang dicetak pada awal April tahun 1925. Beliau mendapat tentangan yang hebat kerana ia bertentangan dengan dasar-dasar Islam, sebaliknya secocok dengan tujuan penjajahan Barat ketika itu.
Kemudian muncul pula Khalid Muhammad Khalid yang mengikut jejak Ali Abdul Raziq dalam meolak sistem politik Islam dalam bukunya “Dari Sini Kita Bermula”, tetapi kemudian dia menarik semula pendapatnya yang salah itu beberapa tahun kemudian dalam bukunya Negara dalam Islam. Walaupun begitu dikatakan Syeikh Muhammad al-Ghazali telah menolak buku tersebut dengan penghujahan yang begitu kuat.
Ali Abdul Raziq juga telah mengisytiharkan penarikan semula pendapatnya dalam majalah Risalah Islam dalam keluaran Mei 1951. Kedua-dua buku ini telah dijawab oleh sebahagian besar ulama. (Lihat Kitab al-Azhar Radd Hai’at Kibar al-Ulama ala Kitab al-Islam wa Usul al-Hukm)
- Fahaman pemisahan politik dengan agama
Pemisahan politik dari Islam mula berlaku apabila kenyataan “biarkan urusan politik bagi maharaja dan urusan agama bagi Allah” diperkenalkan dalam masyarakat Kristian pada zaman kegelapan di Barat. Pemisahan ini dinamakan sekularisme.
Dunia barat memisahkan politik dari agama Kristian ketika itu sebagai protes terhadap penguasaan melampau pihak gereja dalam kedudukan harian masyarakat feudal. Apabila masyarakat Islam dijajah dan diresapi dengan pengaruh Barat serta merebaknya fahaman kebendaan, fikiran mereka mulai diracuni oleh fahaman sekular tersebut. Islam melarang keras umatnya berpegang kepada fahaman tersebut kerana bagi Islam, politik adalah suatu perkara yang perlu bagi menegakkan agama sebagai satu cara hidup yang sempurna.
Syarat dan Ciri Pemimpin Utama
Bagi individu yang menduduki jawatan pemerintah tertinggi, mereka mestilah memiliki sifat-sifat berikut:
- Islam: Tidak sah melantik orang bukan Islam sebagai pemerintah. Ini kerana urusan pemerintahan adalah salah satu hukum syarak yang berkaitan dengan pentadbiran hal ehwal umat Islam. Oleh itu, ia tidak boleh diserahkan kepada orang yang tidak meyakini hukum-hakam ini.
- Matang: Oleh itu, tidak sah melantik kanak-kanak, orang bodoh dan yang seumpama dengan mereka sebagai pemerintah, walaupun mereka dikelilingi oleh para penasihat. Nabi SAW bersabda:
تَعَوَّذُوا بِاللَّهِ مِن إِمَارَةِ الصِّبْيَانِ
Maksudnya: “Pohonlah perlindungan Allah daripada diperintah oleh kanak-kanak.”
Riwayat Imam Ahmad (2/326)
- Bersifat adil: Orang yang bersifat adil ialah orang yang tidak melakukan dosa besar seperti membunuh, berzina dan memakan riba. Dia juga tidak berterusan melakukan dosa kecil. Oleh itu pelantikan orang fasik adalah tidak sah. Orang fasik ialah orang yang tidak memenuhi syarat-syarat adil.[8] Bacalah sejarah Umar bin al-Khattab yang sanggup menghukum Muhammad bin Amru Ibn al-‘As (Anak gabenor Mesir) ketika mana beliau berlumba kuda dengan seorang qibti dan beliau kalah yang menyebabkan beliau menampar muka qibti tersebut seraya mendakwa, “aku anak orang yang mulia dan bangsawan”. Saidina Umar memanggil mereka berdua ke Kota Madinah dan melaksanakan hukuman kepada anak gabenor tersebut, seraya berkata: “Sejak bila kamu memperhambakan manusia sedangkan ibu-ibu mereka melahirkan mereka dalam keadaan merdeka dan bebas.” (Lihat Futuh Misr wa al-Maghrib oleh Ibn Abd al-Hakam, hlm. 195)
- Mempunyai pengetahuan tentang hukum agama dan dalilnya. Pemerintah mestilah mengetahui hukum-hakam syarak dan dalil-dalilnya. Pengetahuan ini akan membolehkannya berijtihad ketika perlu. Ini kerana dalam syariat Islam terdapat banyak kes yang berlaku selepas kewafatan Rasulullah SAW dan hanya pemerintah Islam yang dapat memutuskan hukumnya. Benarlah kata Sayidina Umar R.A:
تَفَقَّهُوْا قَبْلَ اَنْ تُسَوّدُوْا
Maksudnya: “Hendaklah kamu belajar dan mendalami ilmu sebelum kamu diangkat menjadi ketua atau pemimpin.”
Riwayat Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (5/284)
dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (1669)
Imam al-Bukhari menambah dengan katanya:
وَبَعْدَ أَنْ تُسَوَّدُوا ، وَقَدْ تَعَلَّمَ أَصْحَابُ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي كِبَرِ سِنِّهِمْ
Maksudnya: “Dan juga setelah kamu diangkat menjadi ketua dan pemimpin. Sungguh, para Sahabat Nabi SAW tetap belajar di usia tua mereka." (Lihat Sahih al-Bukhari, hlm. 52)
- Bijaksana dan berkefahaman menyeluruh. Sifat ini membolehkan seseorang pemerintah mampu mentadbir dan menjaga keselamatan negara dan rakyat daripada sebarang ancaman. Kebijaksanaan ini hanya dapat dikesan dan dinilai oleh mereka yang berpengalaman, ahli syura dan mereka yang pernah menjalankan tugas-tugas ini.
- Ini kerana pemimpin yang bersabar sahaja dapat menyelesaikan masalah ummah dan layak menjadi ketua, benarlah firman Allah SWT:
وَجَعَلْنَا مِنْهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا لَمَّا صَبَرُوا ۖ وَكَانُوا بِآيَاتِنَا يُوقِنُونَ
Maksudnya: Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum agama kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan kami.
(Surah al-Sajdah: 24)
Ibn Kathir berkata: Iaitu tatkala mereka sabar dalam melaksanakan perintah-perintah Allah dan dalam menjauhkan larangan-larangan-Nya, membenarkan para Rasul-Nya dan mengikuti risalah yang diberikan kepada mereka, nescaya mereka menjadi pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk kepada kebenaran dengan perintah kami, mengajak kepada kebaikan, memerintahkan yang makruf dan melarang kemungkaran. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/430)
- Melaksanakan Syariah Islamiyah
Kami nukilkan pendapat Syeikh Fathi Yakan dalam bukunya Apa Ertinya Saya Menganut Islam yang berkata: Beramal untuk Islam adalah wajib dari sudut hukum kerana tidak berjalannya syariat Allah di atas muka bumi dan penguasaan sistem dan undang-undang ciptaan manusia ke atas masyarakat manusia hari ini mewajibkan umat Islam dan mengembalikan cara hidup Islam. Umat Islam juga wajib bekerja supaya manusia tunduk mengabdikan diri kepada Allah dari sudut keyakinan, akhlak dan sistem hidup mereka berdasarkan dalil dari al-Quran yang menyebut:
فَلَا وَرَبِّكَ لَا يُؤْمِنُونَ حَتَّىٰ يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لَا يَجِدُوا فِي أَنفُسِهِمْ حَرَجًا مِّمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوا تَسْلِيمًا
Maksudnya: “Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, Kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap putusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya”.
(Surah al-Nisa’: 65)
Apabila menegakkan masyarakat Islam dan melaksanakan hukum-hakam yang diturunkan oleh Allah itu hukumnya wajib, maka kerja-kerja yang membawa kepada kewujudan masyarakat Islam dan terlaksanakanya hukum Allah turut menjadi wajib.
Selain dari itu banyak kewajipan-kewajipan syariah yang pelaksanaan dan amalan bergantung kepada adanya Khalifah (Imam) sedangkan perlantikan khalifah itu sendiri sangat bergantung kepada wujudnya kekuasaan Islam. Oleh itu seluruh undang-undang yang berhubung dengan sistem-sistem Islam sama ada dalam bidang kemasyarakatan, ekonomi, siasah, malahan semua undang-undang yang berhubung dengan hukum, kanun keseksaan, damai, peperangan, jihad, genjatan senjata, perjanjian damai, muamalah, kemasyarakatan, ekonomi, semuanya ini dan lain-lain lagi adalah antara bidang-bidang Syariat Islam yang tidak mungkin terlaksana kecuali melalui sebuah negara yang teguh di atas dasar-dasar Islam.
Sahifah Madinah Sebagai Asas Perlembagaan
Kami sengaja mengemukakan isu perlembagaan Madinah supaya ianya difahami oleh umat Islam khususnya bagi mereka yang berkecimpung dalam bidang politik dan kepimpinan.
Apabila Rasulullah SAW berhijrah ke Kota Madinah, baginda SAW telah melakarkan sebuah piagam atau mithaq Madinah. Penggubalan ini sebagai lambang masyarakat madani dan bertamadun. Ia merupakan perlembagaan yang pertama dicatatkan secara lengkap dalam sejarah. Ia dirangka oleh nabi dengan petunjuk wahyu. Ia mengandungi sepuluh bab yang terdiri daripada 47 fasal, 23 daripada fasal tersebut adalah mengenai orang-orang Islam dan 24 lagi mengenai orang-orang yahudi.
Wahyu adalah undang-undang tertinggi bagi Negara Islam Madinah. Nabi Muhammad SAW diakui sebagai ketua Negara yang mesti dipatuhi dan dihormati. Tidak boleh bermusuhan diantara sesama Islam dan tidak boleh membantu orang bukan Islam membunuh orang Islam. Orang-orang Islam mestilah menganggap orang-orang Islam yang lain sebagai saudara mereka. Kebebasan beragama diberi kepada orang bukan Islam. Orang Yahudi boleh meneruskan amalan agama dan adat resam mereka. Mereka akan menerima layanan yang saksama tetapi mereka bertanggungjawab keatas keselamatan Madinah. Keadilan adalah diberi kepada semua pihak. Dalam sesetengah kes, ketua suku diberi hak untuk menyelesaikan masalah dalam suku mereka. Tetapi beberapa kes jenayah perlu dirujuk kepada nabi. Semua penduduk Madinah tanpa mengira agama dan bangsa adalah bertanggungjawab mempertahankan Madinah walaupun ia diancam oleh kaum sendiri.
- Kepentingan Perlembagaan Madinah
Perlembagaan ini menjadi bukti bahawa Islam adalah agama dan politik. Dengan adanya perlembagaan ini dan tertubuhnya Negara Islam Madinah, maka lengkaplah Islam sebagai Ad-Din. Hal ini jelas menunjukkan bahawa nabi bukan sahaja seorang nabi dan rasul, tetapi seorang pemimpin yang unggul. Negara Islam yang ditegakkan oleh nabi merupakan Negara contoh dan usaha ini kemudiannya diperkukuhkan oleh sahabat nabi sehingga Madinah mungcul sebagai kuasa terulung di dunia.
Perlembagaan ini telah Berjaya menyatukan Madinah yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan kaum. Ia telah mengatur hubungan antara mereka supaya mereka hidup dalam keadaan hormat menghormati dan bertanggungjawab. Oleh itu, mereka dapat hidup dalam suasana aman dan semua gejala buruk dapat dihapuskan.
Wasiat Pemimpin Dan Nasihat Ulama Berkenaan Kepimpinan
Kita dapati terlalu banyak mereka yang mewasiatkan kepada orang bawahan mereka untuk melaksanakan segala perintah Allah dan mentaati kepada mereka selama mana mentaati perintah Allah. Di sini kami mengemukakan dua bahagian:
Pertama: Wasiat Pemimpin
Antara nasihat mereka ialah:
Rasulullah SAW bersabda:
عَلَى الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ، فِيمَا أَحَبَّ وَكَرِهَ، مَا لَمْ يُؤْمَرْ بِمَعْصِيَةٍ، فَإِذَا أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ فَلاَ سَمْعَ وَلاَ طَاعَةَ
Maksudnya: “Setiap orang Islam wajib mendengar dan mentaati dalam perkara yang dia sukai dan perkara yang dia benci, kecuali dia diperintah melakukan maksiat. Maka dia tidak boleh mendengar atau mentaati.”
Riwayat al-Bukhari (6725) Muslim (1839)
Imam al-Nawawi berkata: “Para ulama telah berijma’ bahawa wajib mentaati pemerintah dalam perkara yang bukan maksiat, dan haram mentaatinya dalam perkara maksiat.” (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim, 12/224)
- Ucapan sulung Khalifah Abu Bakar RA
Antara lain apabila beliau dilantik menjadi khalifah, beliau berkata: “Hai manusia. Sesungguhnya aku dilantik pemimpin di kalangan kamu dan aku bukanlah orang yang terbaik. Jika aku mentaati Allah, maka taatilah aku. Sebaliknya jika sekiranya aku derhaka, maka tiada ketaatan bagimu.”
Sheikh Muhammad al-Ghazali berkata, ucapan ini menggambarkan betapa tawaduknya Abu Bakar RA dan akan melemahkan golongan yang angkuh dan sombong.
- Ucapan sulung Khalifah Umar bin al-Khattab RA
Dalam ucapannya selepas menjadi khalifah antara lain menyebut: “Aku menerima ujian dan kamu semua memberi ujian kepada saya. Saya menggantikan kepimpinan untuk kamu semua selepas sahabat saya (Abu Bakar RA). Sesiapa yang hadir, maka kita akan memberi khabar gembira dengan jiwa raga kita dan sesiapa yang tidak hadir maka urusannya adalah tanggungjawab orang yang mempunyai kekuatan dan amanah. Sesiapa yang berbuat baik, maka kami tambah kebaikannya dan sesiapa yang berbuat jahat, kami akan menghukumnya. Semoga Allah memberi ampun kepada aku dan kamu semua.”
Umar RA terkenal kerana ketegasan dan kekuatannya. Beliau juga merasakan perkara itu, lalu beliau berdoa: “Ya Allah, aku ini sangat keras, lembutkanlah. Aku lemah, berilah kekuatan. Aku bakhil, berikanlah sifat murah kepadaku.”
Beliau juga berkata kepada sahabat-sahabatnya: “Jangan kamu menyangka aku ini keras seperti pada zaman Nabi Muhammad SAW. Ini kerana aku adalah pengawal ke atas Baginda SAW dan pada masa Abu Bakar pula, aku juga pengawal kepadanya. Sekarang ini, aku memimpin dan aku adalah orang yang paling lemah di hadapan kebenaran.”
Kedua: Nasihat Ulama
Daripada Abi Ruqayyah bin Aus al- Dariy R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
الدِينُ النَصِيحَةُ, قُلنَا: لِمَنْ؟ لِلَّهِ, وَلِكَتَابِهِ, وَلِرَسُولِهِ, وَلِأَئِمَّةِ المُسْلِمِينَ, وَعَامَّتِهِم
Maksudnya: “Agama itu merupakan nasihat. Kami bertanya: “Untuk siapa?” Sabda Baginda, “Bagi Allah, Kitab-Kitabnya, Rasul-Nya, pemimpin-pemimpin orang Islam dan Masyarakat semuanya.
Riwayat Muslim (55), Abu Daud (4994) dan Nasa’ie (7/ 156)
Pemimpin hendaklah mengerjakan apa yang telah dianjurkan supaya tidak dikeji orang atas perbuatannya sendiri sehingga tidak termasuk seperti yang telah difirmankan oleh Allah SWT:
أَتَأْمُرُونَ النَّاسَ بِالْبِرِّ وَتَنسَوْنَ أَنفُسَكُمْ وَأَنتُمْ تَتْلُونَ الْكِتَابَ ۚ أَفَلَا تَعْقِلُونَ
Maksudnya: “Mengapa kamu suruh orang lain (mengerjakan) kebaktian, sedang kamu melupakan diri (kewajiban) mu sendiri, padahal kamu membaca Al Kitab (Taurat)? Maka tidaklah kamu berpikir?”
Surah al-Baqarah (44)
Dinyatakan dalam kitab al-Durrat al Gharra’ oleh al-Khirbiti; “Seseorang sultan, pertamanya mestilah mengetahui kadar kekuasaannya dan memahami bahayanya. Sesungguhnya kekuasaan itu merupakan sebahagian daripada nikmat Allah SWT. Sesiapa yang menunaikan haknya, maka dia akan memperolehi kebahagiaan abadi yang tiada tandingannya. Tetapi barang siapa yang gagal melaksanakan haknya, dia akan memperoleh kesengsaraan yang tiada toloknya melainkan kekufuran kepada Allah SWT. Sekiranya demikian, maka tiada nikmat yang lebih tinggi daripada pemberian darjat sultan kepada seseorang hamba yang menjadikan satu saat daripada hidupnya seumpama keseluruhan hidup orang lain. Sesiapa yang tidak menyedari kebesaran nikmat tersebut akan menggunakannya dengan penuh kezaliman dan memuaskan hawa nafsunya. Mereka ini dibimbangi akan menjadi sebahagian daripada musuh Allah sebagaimana sabda Nabi SAW:
مَا مِنْ عَبْدٍ يَسْتَرْعِيهِ اللَّهُ رَعِيَّةً ، يَمُوتُ يَوْمَ يَمُوتُ وَهُوَ غَاشٌّ لِرَعِيَّتِهِ ، إِلاَّ حَرَّمَ اللَّهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ
Maksudnya: “Tiada di kalangan hamba yang diberikan kepimpinan untuk memimpin rakyatnya dan dia mati dalam keadaan menipu rakyatnya di bawah pimpinannya, melainkan Allah mengharamkan ke atasnya syurga.”
Riwayat Imam al-Bukhari (7150) dan Muslim (142)
Allah SWT befirman kepada Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS apabila berdepan dengan Firaun:
فَقُولَا لَهُ قَوْلًا لَّيِّنًا لَّعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَىٰ
Maksudnya: “Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, Mudah-mudahan ia ingat atau takut."
(Surah Taha: 44)
Allah SWT berfirman:
ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِ ۖ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ
Maksudnya: “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.”
(Surah al-Nahl: 125)
Kekerasan akan dibalas dengan kekerasan dan ia tidak akan memberi manfaat, malah yang disebaliknya akan berlaku. Ia akan memberi kesan yang lebih buruk kepada umat Islam.
Antara Contoh Nasihat Ulama
Di dalam kitab al-Bidayah wa al-Nihayah, jilid ke-12, Imam Ibn Kathir meriwayatkan bahawa Sultan Nuruddin Mahmud, salah seorang sultan Islam yang sentiasa melakukan qiyamullail pada malam hari dan berpuasa pada siang hari. Bahkan Imam Ibn Taimiyah pernah mengatakan tentang sultan ini; “Semoga Allah merahmati sultan yang satu ini.”
Sultan Nuruddin ini ditimpa oleh masa-masa kritis dan kelalaian, tatkala dia meminta kehadiran bala tenteranya di Damsyiq dan telah dilaksanakanlah pesta secara besar-besaran yang dihadiri oleh para amir (gabenor), para menteri, dan para panglima, serta khalayak ramai dan penduduk Damsyiq dalam suasana yang sangat ramai dan pesta yang sangat meriah. Ketika perayaan ini selesai, salah seorang ulama Islam yang bernama Ibn al-Wasiti masuk dengan pakaian sederhananya. Dia berdiri di hadapan sultan, lalu ia berkata: “Wahai sultan yang agung, dengarkanlah dengan baik terhadap janji Allah, Maha Raja Langit dan bumi.” Tiba-tiba orang ramai terdiam dan berhenti berpesta, mereka menunggu apa yang akan di ucapkan syeikh besar ini. Tuan syeikh itu berbicara kepada sultan ketika dia berada di atas singgahsana kerajaannya:
Wahai manusia yang tertipu, anggaplah dirimu,
Kini berada pada hari kiamat dan langit bergoncang,
Jika dikatakan: Nuruddin datang berserah diri,
Hati-hatilah engkau datang tanpa memiliki nur (cahaya).
Rakyat Cerminan Pemimpin
Hal ini sepertimana yang dinyatakan oleh Saidina Umar:
النَاسُ عَلَى دِينِ مُلُوكِهِمْ
Maksudnya: “Manusia adalah berdasarkan agama (cara hidup) pemimpinnya.”
Ucapan ini adalah menepati realiti kemasyarakatan dan inilah yang berlaku dalam kebanyakan kehidupan manusia. Justeru, dengan baiknya, pemimpin yang menjadi suri teladan, maka sudah barang tentu akan memberi kesan yang mendalam kepada masyarakat dan orang bawahannya.
Pernah terjadi, rakyat di zaman Umar bin Abdul Aziz begitu kuat taat dan Qiamullail. Ini kerana kesan daripada beliau sendiri yang cintakan Qiamullail. Justeru, sesungguhnya pemimpin benar-benar dapat mempengaruhi rakyat dan mereka begitu gembira melakukan amalan mengikut apa yang dilakukan oleh ketua mereka.
Dalam satu kisah seorang pengembara melalui kawasan lereng bukit dan mendapati banyak anjing yang menjaga kambing-kambing. Kemudian diberitahukan kepadanya, bukannya anjing tetapi serigala yang bermain dengan sekumpulan kambing. Lantas beliau berkata: “Alangkah ajaibnya dan ini sudah pasti menunjukkan yang pemerintah negeri ini seorang yang adil sehingga serigala merasa kenyang dengan rezekinya dan kambing merasa selamat walaupun berhampiran dengan serigala.”
Pada ketika itu, negara Islam diperintah oleh Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang sememangnya terkenal dengan keadilan dan kewibawaan beliau.
Perkara yang Wajib Dijauhi oleh Pemimpin
Antara perkara yang semestinya dijauhi ialah:
Ia bermaksud meletakkan sesuatu bukan pada tempat. Lebih parah daripada itu menzalimi dan menganiayai rakyat jelata dan orang bawahan mereka. Diriwayatkan bahawa Ibnu Taimiyyah pernah menyebut: Keadilan adalah asas kerajaan dan sesungguhnya Allah menegakkan negara yang adil sekalipun kafir dan tidak menegakkan negara yang zalim sekalipun Islam. Hal ini, dapat dilihat apabila negara barat yang cuba mengamalkan demokrasi tulen dapat menegakkan keadilan, boleh bertahan begitu lama. Sebaliknya, pemerintah yang zalim tumbang satu persatu kurang daripada 50 tahun seperti yang berlaku di negara-negara Arab pada masa kini.
Allah amat membenci pemimpin yang mengkhianati hak rakyat kerana sudah pasti berlaku kepincangan dan keadilan dalam pemerintahan. Golongan pengkhianat biasanya akan mengundang pelbagai natijah buruk dan tidak baik. Hal ini berlaku di dunia lagi dan kadang-kadang sebelum menuju ke usia tua. Biasanya pengkhianatan berlaku kerana sedikit kepentingan duniawi yang dirasakan miliknya dan dia berhak untuk memperolehi kerana peluang terbuka dengan luas. Sesungguhnya ancaman Allah serta amarannya kepada pemerintah yang khianat melalui lisan Rasul-Nya begitu tegas.
Perpatah arab menyebut sifat tamak adalah tidak kenyang dan sentiasa mahukan hak dan harta benda, sekalipun telah mendapat gaji yang besar dan lumayan. Termasuklah aktiviti perniagaan. Justeru, Umar Ibn Abdul Aziz menegah gabenor dan pegawai kerajaan daripada terlibat dengan aktiviti perniagaan.
Beliau menghantar surat kepada gabenornya dengan menegaskan bahawa pemimpin, gabenor atau pegawai kerajaan tidak boleh sama sekali melakukan sebarang aktiviti perniagaan. Ini kerana akiviti tersebut akan menyebabkan mereka sibuk dengan perniagaan dan akan berlakunya pilih kasih serta mendapat habuan daripada sumber yang kurang elok.
Beliau menganggap hal ini sebagai suatu tindakan yang paling besar dan jika dibiarkan akan boleh membawa kepada rosaknya pentadbiran dan pelbagai implikasi yang malang akan timbul. Hal ini diakui oleh Ibn Khaldun selepas lapan kurun melalui kenyataan yang benar dan hikmah yang tinggi nilainya, iaitu: “Sesungguhnya perniagaan daripada pemerintah boleh membawa mudharat terhadap rakyat dan menyukarkan berkenaan dengan hasil atau percukaian.” (Lihat Tarikh Ibn Khaldun, 1/346)
Sepuluh Asas Menjaga Kepentingan Rakyat
Dinyatakan di sini dari buku Sistem Politik Islam oleh Khalid Ali Muhammad Al-Anbary:
- Apabila sesuatu perkara berlaku kepada orang ramai, dia hendaklah menganggap dirinya sebagai rakyat dan pemerintah ialah orang lain. Setiap sesuatu yang tidak disukai untuk diri sendiri juga mesti dielakkan daripada orang lain.
- Jangan menganggap penantian seseorang yang memerlukan untuk mendapatkan pertolongan daripadanya sebagai satu kehinaan kerana Allah SWT telah memerintahkannya menyegerakan bantuan kepada yang memerlukan.
- Jangan menghabiskan waktunya untuk kepuasan syahwat dan mesti berusaha agar sebahagian besar waktunya adalah untuk mentadbir hal ehwal kerajaan serta rakyat.
- Berusaha sedaya upaya agar sesuatu perkara itu diperolehi dengan mudah dan penuh kemesraan. Rasulullah SAW telah berdoa untuk para umara’ dengan bersabda: “Ya Allah! Barang sesiapa yang dilantik menguruskan sesuatu perkara untuk umatku dan dia menyusahkan mereka maka engkau sukarkanlah urusan mereka tetapi sesiapa yang dilantik menguruskan sesuatu perkara untuk umat ku dan dia memudahkan mereka maka Engkau mudahkanlah urusannya.”
- Berusaha sekadar tenaga dan kemampuannya untuk memperolehi kepercayaan dan restu rakyat terhadapnya berteraskan nilai-nilai syarak.
- Jangan berusaha mendapat restu seseorang sehingga melanggar keredaan Allah SWT dan hendaklah mendahului tuntutan syarak terhadap kepentingan dirinya.
- Sekiranya rakyat memerlukan hukuman, maka hendaklah berlaku adil tetapi sekiranya mereka memohon simpati maka hendaklah mengampunkan mereka dan tidak mengingkari sekiranya berjanji kepada mereka.
- Berusaha merapati para ulama yang muttaqin (bertakwa) dan soleh untuk mendengar peringatan serta nasihat mereka.
- Bersungguh meninggalkan sifat bermegah, bongkak dan garang.
- Memastikan bukan sahaja dirinya tidak melakukan kezaliman tetapi juga perwakilan, anggota tenteranya serta semua yang dibawah pentadbirannya kerana kesan daripada kezaliman akan mempercepatkan keruntuhan sesebuah kerajaan.
- Kemudian beliau berkata: Para raja mestilah memuliakan serta didekati oleh para pemikir dan pentadbir yang beragama, menerima nasihat serta syafaat mereka melalui mesyuarat dan perbincangan bersama mereka kerana ia boleh mengukuhkan kedudukan negara.
Selagi mana sepuluh asas tersebut dipelihara dalam pemerintahan, maka kekuatan kerajaan, kemakmuran serta keamanan akan semakin bertambah dan menghasilkan kesan yang positif serta keadilan yang boleh menundukkan hati-hati manusia.
Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan
Pada kesempatan ini suka kami tegaskan bahawa politik baru memerlukan satu tajdid siyasi yang lebih munasabah, bertanggungjawab, amanah, dan utamanya tuntutan Allah.
Pernah suatu ketika Fatimah, isteri Umar bin Abdul Aziz ditanya apakah kelebihan Khalifah Umar bin Abdul Aziz? Dia menjawab: “Beliau bukanlah lebih kuat daripadamu bangkit di tengah malam dan banyak berpuasa tetapi sebenarnya dia lebih takut kepada Allah daripadamu.” Inilah yang kita cari, pemimpin yang takut kepada Allah, bukan takut kehilangan kuasa dan jawatan.
Sudah sampai masanya kita meninggalkan politik balas dendam, seperti anjuran Baginda SAW saat kota Mekah dibuka pada tahun 8H. Baginda SAW bertanya kepada mereka: “Apakah yang kamu sangka aku lakukan kepada kamu?” Jawab mereka: “Saudara yang mulia daripada anak saudara yang mulia.” Lantas Baginda bersabda: “Pergilah kamu semua dalam keadaan yang bebas.”
Inilah pemimpin yang berjiwa besar tanpa berasa hati dan dendam kesumat. Dan inilah sejarah yang patut ditulis dengan tinta emas, sikap dan sifat yang dipamerkan oleh manusia agung seperti Rasulullah SAW ini.
Para ulama yang benar-benar ikhlas tanpa melihat kepada kepentingan diri, sedikit habuan dunia untuk diperolehinya perlu ada dalam mengimbangi politik suci dan bersih. Sebagai contoh zaman salaf al-soleh terlalu ramai tokoh yang benar-benar ikhlas menasihatkan kepada pemerintah seperti yang dilakukan oleh Raja’ bin Haiwah, Abu Hazim al-A’raji, Ubaidillah bin Abdillah bin Utbah bin Mas’ud, Ata’ bin Abi Rabah, Tawus bin Kaisan dan ramai lagi.
Sudah sampai masanya pemilihan calon yang akan meneraju kepimpinan adalah dari kalangan yang benar-benar menepati syarat yang telah ditetapkan oleh Islam antaranya kuat, berilmu, dan beramanah. Inilah yang disebut oleh seorang anak perempuan kepada bapanya:
إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الْأَمِينُ
Maksudnya: “Sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah".
(Surah al-Qasas: 26)
Al-Maraghi berkata: “Tidak syak lagi, dakwaan wanita itu merupakan dakwaan yang padu dan mengandungi hikmah. Ini disebabkan kedua-dua sifat ini, iaitu kepercayaan dan kekuatan, jika ada pada setiap pekerja, maka dia akan mendapat keuntungan dan keberhasilan.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 10/5127)
Dalam istilah kontemporari, al-Amin juga boleh di rujuk sebagai integriti. Manakala al-Qawiy sebagai kompetensi. Dengan sifat profesional, seseorang itu akan mempunyai kepakaran dan keterampilan dalam melaksanakan peranan dan tanggungjawab dengan cekap dan berkesan dalam bidang-bidang pengurusan, pentadbiran, pendidikan, dan lain-lain.
Ketika itu, insha Allah akan tertegaklah negara yang diturunkan berkat oleh Allah dari langit dan bumi. Seterusnya ia layak mendapat gelaran ‘Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghafur.’
Penutup
Pernah suatu ketika rakyat Saidina Ali bertanya: Wahai Amirul Mukminin, kenapa zaman kamu tidak sepertimana zaman Umar R.A, di mana rakyat hidup dalam keadaan aman dan damai penuh ketaatan kepada Allah SWT?” Jawab Saidina Ali: “Zaman Umar, rakyatnya adalah seperti aku. Sedangkan zaman aku, rakyatnya seperti kamu.”
Hubungan rakyat dengan pemerintah adalah hubungan dua hala; kewajipan pemerintah ke atas rakyat adalah berlaku adil ke atas mereka dan memelihara hak-hak mereka, manakala rakyat pula wajib memberikan kerjasama yang baik dalam sama-sama membangunkan negara dengan mentaati peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.
Semoga kita semua beroleh kefahaman berkenaan dengan isu sistem politik dalam Islam dan kita dikurniakan ilmu dan kefahaman yang jelas dalam menjalan titah perintah-Nya sebagai khalifah di atas muka bumi ini. Amin.
Nota Hujung:
[1] Beliau ialah Badiuzzaman Said Nursi bin Mirza. Beliau dilahirkan pada tahun 1877 Masihi bersamaan 1294 Hijrah di sebuah kampung bernama Nurs, sebuah perkampungan kecil di daerah Khizan (Hizan) dalam wilayah Bitlis di Timur Turki. Beliau juga terkenal dengan panggilan ‘Said al-Nursi’ merujuk kepada tempat kelahirannya (desa Nurs). “Badiuzzaman” merujuk kepada panggilan atau gelaran terhormat yang diberikan oleh syeikh muktabar kepada beliau atas keupayaan luar biasa beliau dalam menghafal dan mengingati sesebuah buku dalam masa yang singkat, di samping kemahiran berfikir serta kekayaan ilmu yang ada pada diri beliau.
[2] Syeikh Mustafa Sabri dilahirkan pada tahun 1869 di bandar Tokat yang terletak di kawasan Anatolia Laut Hitam. Zaman kelahiran beliau adalah zaman yang menyaksikan Khilafah Othmaniyyah sedang merudum runtuh oleh seribu satu sebab yang ada pada masa itu. Pada tahun 1908, Syeikh Mustafa Sabri telah menjadi wakil rakyat bagi bandar Tokat di Meclis-i Mebusan iaitu Parlimen Kerajaan Othmaniyyah. Jawatan ini terhasil selepas kelantangan beliau menyuarakan pendapatnya di Majlis Tempatan Tokat, kampung halaman kelahiran beliau.
Apabila Parti Hürriyet ve İtilaf memperolehi kuasa pemerintahan pada tahun 1919, kerajaan telah dibentuk di bawah kepimpinan Damad Farid Pasha. Syeikh Mustafa Sabri telah dilantik pada tahun 1920 menjadi Syeikh al-Islam. Mustafa Sabri kemudiannya dikenali sebagai Syeikh al-Islam Mustafa Sabri Efendi (gelaran Efendi diberikan mengikut tradisi kerajaan Othmaniyyah kepada ilmuan agama).
Semasa Perdana Menteri ketika itu melawat Paris bagi menghadiri suatu perhimpunan di sana, Mustafa Sabri telah dilantik sebagai pemangku yang mempengerusikan kerajaan. Semasa inilah pertembungan pendapat dan perbezaan fahaman telah meruncing di antara Mustafa Sabri dengan menteri-menteri yang lain sehingga beliau mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Syeikh al-Islam dan kemudiannya menubuhkan partinya sendiri yang juga dikenali sebagai Parti Hürriyet ve Itilaf tetapi Mu’tadil iaitu yang sederhana dan adil. (Lihat Pedang Ummah di Ambang Jatuhnya Khilafah: Mustafa Sabri oleh Hasrizal Abdul Jamil)
[3] Menurut pendakwah terkenal masa kini, Dr Tariq Suwaidan, kepimpinan adalah kebolehan dalam menggerakkan orang lain ke arah matlamat (yang ditetapkan). Menurut beliau, terdapat lima cara utama untuk menggerakkan mereka, iaitu:
- Beri dorongan (seperti dengan kedudukan, wang, syurga dan sebagainya).
- Gunakan ancaman (seperti jika tidak melakukan sesuatu perkara ini, kamu akan didenda). Pekerja akan memberi respon terhadap ancaman.
- Gunakan teknik pengucapan yang baik.
- Kebolehan untuk mempengaruhi dan meyakinkan.
- Dengan menjadi contoh ikutan yang baik. (Lihat What Is Leadership? oleh Dr Tareq al-Suwaidan)
[4] Abu Hamid al-Ghazali yang juga dikenali sebagai Algazel di Dunia Barat, adalah salah seorang ilmuwan Islam. Beliau juga merupakan seorang wali Allah yang besar dan lebih dikenali umum sebagai seorang tokoh pemikir Islam serta disepakati oleh para ulama' sebagai al-mujaddid untuk kurunnya. Nama penuhnya Muhammad ibn Muhammad ibn Muhammad ibn Ahmad, dan nama gelaran nisbahnya al-Ghazali al-Tusi. Nama panggilannya (kunyah) pula Abu Hamid. Di antara nama-nama gelaran lain yang telah diberikan kepadanya ialah Hujjatul-Islam, Siraj al-Mujtahidin dan Zain al-'Abidin. (Lihat Wikipedia Ensiklopedia Bebas)
[5] Imam al-Mawardi dilahirkan di Basrah pada tahun 364 Hijrah. Beliau dibesarkan dalam keluarga yang sememangnya cinta kepada ilmu pengetahuan. Sejarah telah menunjukkan bahawa al-Mawardi pernah dilantik memegang jawatan kadi di beberapa buah negeri seperti di Kurat, di negeri Naisaburi sehingga beliau digelar Qadi al-Qudha. Al-Mawardi merupakan seorang ulama yang terulung dan faqih bermazhab Syafie. Beliau dianggap sebagai pemikir dan tokoh politik kenegaraan yang paling menonjol semasa pemerintahan kerajaan Abbasiyyah. Beliau juga alim dalam bidang tafsir, usul fiqh dan ilmu kemasyarakatan. Al-Subki telah menyifatkannya dalam Tabaqat al-Syafieyah al-Kubra sebagai seorang ulama yang telah mencapai tahap keilmuan yang tinggi, merupakan tokoh mazhab yang terkenal dan pakar dalam segala bidang ilmu.
[6] Nama beliau Abd al-Malik ibn Abi Muhammad Abdillah bin Yusuf bin Abdillah bin Yusuf bin Muhammad bin Hayyawiyyah al-Juwainiy dan kunniyah beliau adalah Abu Ma’aliy. Al-Juwainiy adalah nisbah kepada Juwain iaitu salah sebuah kampung yang terletak di Naisabur. Beliau telah lahir pada awal tahun 419 Hijrah sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Zahabi. Tambahan pula, beliau bermazhab al-Syafi’e dan beraqidah ahli sunnah. Adapun, antara gelaran beliau yang masyhur adalah al-Faqih al-Syafi’e, Dhiya’ al-Din dan beliau juga dikenali sebagai Imam al-Haramain iaitu imam dua tanah haram (Makkah dan Madinah). Ini kerana, beliau menetap di Haramain ketika keluar dari kampung halamannya ke al-Hijaz iaitu di Makkah dan Madinah selama empat tahun mengajar dan memberi fatwa. (Lihat Siyar a’lam al-Nubala’, 14/17)
Antara pujian yang diberikan kepada Imam al-Haramain ialah daripada Al-Qadhi Abu Said al-Tabari yang berkata: “Beliau adalah imam di Khurasan dan Iraq, disebabkan kelebihannya dan terkehadapannya dalam bermacam-macam jenis cabang ilmu.” Syeikh Abu Ishak al-Syirazi memujinya dengan menyebut: “Wahai pemberi manfaat terhadap orang-orang di timur dan barat. Telah mendapat manfaat daripada ilmumu generasi terawal dan kemudian.”
[7] Sebenarnya wajib tersebut tertawaqquf berdasarkan syarat, jika terhasilnya syarat maka wajiblah. Jika tidak, maka tiada suatu pun yang akan diwajibkan ke atas mukallaf seperti firman Alah SWT, yang mafhumnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadah Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu bagi sesiapa yang mampu sampai kepadanya.” Maka wujudnya haji disyaratkan dengan kemampuan iaitu cukup bekalan dan kenderaan yang menyampaikan ke Mekah dengan selamat. Siapa yang tertahqiq syarat tersebut maka wajiblah haji. Sebaliknya siapa yang tidak mampu, maka tidak wajib ke atasnya. Maka jadilah ia seperti mukaddimah atau permulaan kewajiban bukan sebagai kewajiban. (Lihat al-Bahr al-Muhit, 1/223)
[8] Dr. Khalid Ali Muhammad al-Anbari di dalam kitabnya Sistem Politik Islam berkata: Sesiapa yang tidak memiliki sifat tersebut akan jatuh ke dalam gaung kesesatan dan kejahilan serta mengikut hawa nafsu mereka dan ini akan memberi kesan terhadap perintah Allah SWT dan hamba-Nya. Ini kerana orang yang tidak bersifat adil dan wara’ tidak akan mempedulikan arahan al-Quran dan al-Sunnah. Begitu juga dia tidak akan menghiraukan urusan orang ramai kerana dia telah dilantik untuk menguruskan hal ehwal mereka, serta melaksanakan hukum amar ma’ruf dan nahi munkar kepada mereka. (Bayan Linnas)
Sila lihat siri PRN Melaka: