Saturday, November 27, 2021

PRU Melaka, bakal lenyapkan PH? Termasuk DAP dalangnya..

 

Kemenangan BN di Melaka bakal lenyapkan PH? 
November 27, 2021

Pilihan raya umum negeri Melaka sudah pun selesai. Apa yang dijangkakan – kemenangan bagi BN – memang menjadi kenyataan.

Cuma pencapaian dua pertiga itu yang dilihat sebagai kejutan memandangkan andaian pertarungan sengit antara tiga gabungan politik besar, BN, PH dan PN akan hanya menghasilkan kemenangan tipis bagi BN.

Ramai juga yang telah membuat analisis keputusan PRN ini. Artikel ini akan cuba melihat beberapa sudut daripada analisis-analisis yang telah dibuat bagi mendapatkan gambaran lebih besar dan asas tentang pola pemilihan dan kemampuan atau kebolehan parti-parti bertanding untuk terus mendapat sokongan rakyat negeri tersebut.

Secara umum, kebanyakan daripada perbincangan tentang kemenangan BN dan kekalahan PH membandingkan prestasi parti-parti ini pada PRU ke-14 dengan PRN yang baru lalu, tanpa mengambil kira keadaan dan suasana pada 2018 dan sekarang.

Ketika PH menang PRU ke-14, wujud gelombang besar penolakan terhadap BN (dan Umno yang menjadi terasnya) atas sebab isu GST dan 1 MDB.

Kesan GST telah menyebabkan kos kehidupan menjadi tinggi akibat inflasi dan menimbulkan kemarahan rakyat. Masa itu juga semua parti pembangkang (termasuk Pas, walau tidak bersama dalam PH) bersatu dalam menentang tindakan-tindakan kerajaan BN yang menyusahkan rakyat.

Media sosial sarat dengan kemewahan pemimpin kerajaan dalam keadaan rakyat ditekan kos hidup yang tinggi. Gelombang yang dijana oleh kemarahan rakyat tersebut mampu menumbangkan kerajaan BN di Pantai Barat Semenanjung, dari Kedah sampai ke Johor.

Walaupun menang di Melaka, PH hanya mengatasi BN dengan dua kerusi membolehkannya membentuk kerajaan negeri.

Pencapaian 13 kerusi oleh Umno-BN di Melaka pada 2018 ketika gelombang menolak BN mencapai kemuncaknya, adalah sesuatu yang cukup baik menunjukkan kubu Umno di Melaka tidaklah terjejas sangat.

Seperkara yang perlu diperhatikan ialah sejauhmana PH setelah menang dalam PRU lepas membina kekuatannya tersendiri untuk terus relevan dan diterima rakyat?

Ini kerana sebagai gagasan yang baru mendapat mandat selepas menewaskan gergasi politik seperti BN, PH sepatutnya segera membina persepsi positif dalam kalangan rakyat terutama masyarakat Melayu.

Malangnya, PH gagal membina struktur dan kekuatannya termasuk membina imej yang positif dalam kalangan rakyat.
“Branding” PH boleh dikatakan hampir-hampir tiada. Sepanjang 22 bulan memerintah, lebih banyak aspek negatif yang dibaca mengenai PH oleh rakyat daripada pencapaian postitfnya.

Gambaran yang tersebar melalui media massa ialah PH tidak mesra Melayu dan Islam – hasil serangan tentera siber pihak musuh – dan ini tidak ditangkis secara berkesan, menyebabkan stigma negatif terus melekat padanya.

Apa tidaknya, Kementerian Penerangan yang sepatutnya dimanfaatkan untuk menjelaskan dasar dan tindakan kerajaan PH semacam lumpuh kerana diketuai menteri yang tidak memahami sentimen, budaya dan pemikiran majoriti penduduk negara iaitu orang Melayu.an dalam siri pilihan raya kecil bermula daripada Cameron Highlands sehingga Tanjung Piai di mana PH tewas dalam setiap PRK tersebut.

Stigma ini masih kekal pada PH sehingga sekarang kerana kelembapannya sendiri ditambah dengan tindakan atau kenyataan komponennya seperti DAP yang menyumbang kepada persepsi negatif yang telah dibina sejak 2018 lagi.

Harus diingat persepsi anti-DAP telah dibina sekian lama – dan sedikit sebanyak disumbang oleh DAP sendiri melalui tindak-tanduknya yang kurang bijak – justeru tanpa memberi solusi kepada persepsi ini dalam kalangan Melayu tradisional-konservatif, PH sukar maju ke hadapan.

PRN Melaka menunjukkan walaupun Umno terpalit dengan masalah integriti kepimpinannya, orang Melayu masih boleh mengundinya kerana kebimbangan yang wujud sekiranya “kuasa terlepas ke tangan bukan Melayu” – persepsi anti-DAP itu.

Ini ditambah dengan Bersatu tidak lagi menjadi komponennya. PH berdepan dengan masalah identiti – adakah ia “perjuangkan” hak orang Melayu atau terbawa dengan idealisme “demokratik liberal”nya?

Kenyataan terakhir ini menjelaskan keengganan Melayu tradisional-konservatif untuk memberi sokongan kepada gabungan tersebut.

Hanya kelompok Melayu bandar yang terdedah kepada isu-isu rasuah, salah guna kuasa dan mendambakan pemerintahan yang baik – good governance – masih kekal memberi sokongan.

Banyak juga diperkatakan tentang peratusan yang keluar mengundi. Yang ini memang jelas – penurunan mendadak ke 65.6 peratus itu pastinya ada memberi kesan kepada prestasi PH.

Apatah lagi di beberapa DUN, peratusan kemenangan bagi BN kecil dan dapat diatasi sekiranya yang keluar mengundi lebih tinggi dan saingan daripada PN juga kecil.

Seperti yang disebut ramai pengulas pengundi luar dan pengundi bukan Melayu yang menjadi penyokong kuat PH berkurangan, hasilnya di beberapa kerusi “marginal” PH tewas, jika diperhatikan kepada jumlah undi popular yang diterima antara PH dan BN yang tidaklah begitu jauh.

Satu lagi faktor ialah penerimaan dua orang wakil bekas Umno yang menjadi penyebab kejatuhan kerajaan yang lepas tidak dipersetujui pengundi Cina, dan diterjemahkan dalam peratusan yang tidak memberangsangkan itu.

Namun bagi saya keputusan PRN Melaka mencerminkan betapa politik identiti masih menebal dalam kalangan masyarakat.

Pengundi Melayu tradisional-konservatif masih kuat berpegang kepada identiti keMelayuan yang dilihat diwakili oleh Umno (BN) dan sebahagian kecil kepada PN.

PH tidak dilihat sebagai gabungan yang boleh menjaga isu-isu orang Melayu dan Islam antara lain kerana tidak mempunyai parti Melayu majoriti seperti Bersatu misalnya.

Dari awal PH banyak membawa isu-isu nasional bersifat kosmopolitan, mesra masyarakat sivil, anti-rasuah dan sebagainya. Bagi masyarakat tradisional yang sudah lama diasuh dengan politik penaungan, isu-isu ini tidak banyak memberi kesan kepada mereka. Barangkali cara mempakej dan memasarkan isu-isu ini masih tidak efektif dalam kalangan masyarakat terbanyak.

Keputusan PRN Melaka juga memberikan isyarat tentang keperluan menilai semula isu kepimpinan dalam PH.

Memang tidak dapat dinafikan betapa banyak pengorbanan yang telah dibuat oleh pengerusi PH bagi menjayakan gabungan itu.

Namun tidak pernah muncul sebegitu banyak suara-suara yang mendesak atau meminta beliau undur daripada jawatan tersebut sepertimana sekarang.

Bagi pengamat politik, suara-suara ini mempunyai isyarat bahawa PH memerlukan pemimpin baru mengemudinya. Ini bukan bererti Datuk Seri Anwar Ibrahim terkeluar daripada struktur kepimpinan. Cuma pertukaran kepada eksekutifnya sahaja. Di Singapura, konsep ini diamalkan selepas Lee Kuan Yew tidak lagi menjadi Perdana Menteri satu ketika dahulu.

Dengan perkembangan terkini dalam politik Malaysia, apakah BN yang sedang marak akan terus merangka strateginya untuk kembali menguasai kerajaan Persekutuan dengan sokongan yang lebih besar, dengan itu menjadikan PH terus kekal sebagi pembangkang?

Jawapannya ada pada kepimpinan PH. (Kerengga)

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Apakah benar kemenangan BN di Melaka bakal lenyapkan PH? Memang akan benar-benar begitu, kalau dibiarkan DAP terus mendominasi PH. Contohnya, lihat kenyataan pemimpin-pemimpin DAP amat lantang mengguriskan hati orang Melayu-Islam di negara ini.

Ini, kata hasut terbaru dari DAP, diangkat dari komen rakyat dalam blog ini..

Anonymous said...

Berdasarkan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tempoh hari, kemungkinan besar UMNO dan Bersatu tidak akan kembali bersama.

Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong berkata, meskipun trio UMNO iaitu Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohamad Hassan berusaha menyingkirkan Bersatu daripada gelanggang politik, PRN Melaka telah memberi talian hayat baharu buat Perikatan Nasional (PN).

Menurut Chin Tong, PN menerima 24 peratus undi di Melaka biarpun pengaruh PAS adalah terhad di negeri-negeri selatan Semenanjung.

“Dengan ini, negeri dan kawasan majoriti Melayu seperti Kedah, Terengganu, utara Perak dan timur Pahang yang mempunyai pengaruh PAS yang kuat, PN bakal menjadi pencabar sengit buat Umno,” katanya dalam satu kenyataan.

(Dulu pr18 dap berjaya mempengaruhi pas spy bergerak solo. Dap dan gabungan menang. Skrg strategi sama, lagakan umno bersatu dan pas. Oleh itu jangan fikirkan isu mikro, hanya utk parti. Yg penting makro utk umat bumiputera, melayu dan Islam. Oleh apa yg dap beri pandangan dari perspektif sebaliknya.)

Catatan Perjalanan: Aku Di Pulau Sebatik, M'sia-Indo.

 

Catatan Perjalanan Ibnu Hasyim
Aku Di Pulau Sebatik, Sebuah Pulau Ganjil Antara 2 Negara. 

HARI ini, rupanga Allah Taala telah hantarkan aku ke sebuah pulau. Namanya Pulau Sebatik. Lama sudah aku berhasrat untuk ke sini, tapi terbatal. Lihat catatan perjalanan kisahku dalam -E-Buku IH-51: Perjalanan Ke Kalimantan

Perjalanan ku dulu tersangkut di Kalimantan Barat, Indonesia, kisah perjalanan 21 siri, kutulis beberapa tahun lalu. Pulau Sebatik ini, pada saya adalah sebuah pulau  yang agak ganjil diperintah oleh dua buah kerajaan, kerajaan Indonesia dan kerajaan Malaysia. Kini saya berada di Sebatik yang bersebelahan Indonesia.

Ibnu Hasyim semasa dalam bot laju di perairan laut Indonesia, Kalimantan Utara.

.. telah mulai penuh di tepian Sungai Pancang, sungai kecil di belakang rumah-rumah kampung di patok perbatasan Desa Ajikuning, Kecamatan Sebatik Tengah, ...

Sebatik adalah sebuah pulau yang berada di bahagian utara provinsi Kalimantan Timur. Masyarakat di pulau ini dikenal unik kerana mempunyai dualisme kehidupan iaitu kehidupan Indonesia dan Malaysia. 

Bahkan terdapat rumah-rumah penduduk yang berada tepat diatas garis perbatasan sehingga jika dibelah rumah tersebut akan terbahagi dua, ruang tamu masuk wilayah Indonesia, ruang dapur masuk wilayah Malaysia.

Orang Sebatik juga mempunyai keistimewaan, yakni mereka bisa mengakses dua negara hanya dengan membayar sikit wang untuk mendapatkan pasport merah. Dengan pasport merah ini, mereka bebas keluar masuk wilayah Malaysia. 

Ketika keperluan, orang Sebatik lebih ramai dapat ditemukan di Tawau Malaysia daripada di Nunukan, Kalimantan Timur, tentu saja keberadaan pasport ini sangat menggembirakan. Dengan pasport tersebut, orang Sebatik dapat menjual hasil bumi ke Malaysia. Sebaliknya mereka bisa membeli segala keperluan di pasar-pasar tradisional Tawau, Malaysia, seperti baju, barang elektronik dan keperluan pokok lainnya.

Proses jual beli tersebut dilakukan dengan wang Malaysia, ringgit. Kerana keseharian mereka seperti itu, di warung-warung Sebatik juga jual beli menggunakan ringgit, meskipun Sebatik masuk wilayah Indonesia.

Keseluruhan Pulau Sebatik.

Keluasan keseluruhan Pulau Sebatik ialah 452.2 km persegi manakala keluasan Pulau Sebatik yang termasuk dalam wilayah Malaysia ialah 204.7 km persegi. Bagaimanapun jumlah penduduk di wilayah Malaysia hanya 25,000 sahaja berbanding dengan wilayah Indonesia seramai 80,000 orang, lebih 3 kali ganda.

Jarak Pulau Sebatik dari Tawau hanya 8 km sahaja dan dipisahkan oleh Telok Cowie. Perjalanan menaiki bot hanya mengambil masa 20 minit sahaja dari jeti Tawau ke jeti Kampung Sungai Tongkang. Telok Cowie, mengingatkan kita tentang satu tragedi kemalangan sebuah pesawat Caribou TUDM dalam tahun 1970 yang mengorbankan 11 orang tentera termasuk juruterbangnya.

Tetapi setelah saya tinjau-tinjau, kebanyakan suara rakyat Indonesia, agak rasa kecewa kerana Pulau Sebatik telah terpinggir dari arus pembangunan Indonesia. Mereka seperti dianaktirikan oleh kerajaan Indonesia. Rata-rata mereka memuji keprihatinan Kerajaan Malaysia mengenai pembangunan rakyatnya. 

Malah ekonomi rakyat Indonesia di Pulau Sebatik adalah bergantung berat ke arah Malaysia. Hasil mahsul pertanian dan perikanan mereka dijual ke Malaysia khususnya Tawau, dan mereka mendapat bekalan barang keperluan harian dari bandar Tawau. Malahan kata mereka harga barangan di Malaysia jauh lebih murah dari di Indonesia. Matawang RM diterima secara meluas di wilayah Indonesia itu.

Penduduk Indonesia banyak bertumpu di sempadan Malaysia. Walaupun terdapat batu penanda sempadan di sepanjang sempadan negara, ia tidak diberatkan. Ramai penduduk Indonesia mengusahakan tanah di Malaysia dengan cara sewaan. Katanya harga tanah di Indonesia kira-kira 10 juta Rupiah (sehektar, manakala di Malaysia mereka boleh menyewa hanya RM100 sahaja (Rp280,000) untuk ukuran tanah 9 x 17 meter.

Dari aspek pembangunan, diberitakan wujud perbezaan pembangunan prasarana yg amat ketara di antara dua wilayah. Malah ada sarjana Indionesia dalam kajian mereka telah melahirkan kebimbangan atau kekhuatiran jika kerajaan Indonesia terus menerus tidak mengambil berat ke atas pembangunan ekonomi di Pulau Sebatik. Mereka mungkin mahu menjadi sebahagian dari wilayah Malaysia kerana mahukan kehidupan yang lebih makmur.

Ibnu Hasyim, semasa berada di Pulau Sebatik, Indonesia..

Kesimpulan: Mengapa jadi begitu?

1. Jarak ke Tawau Malaysia lebih dekat dari pada ke Nunukan, Indonesia. Untuk menuju ke Nunukan diperlukan waktu 1.5 jam berperahu, belum ongkos berperahu kesana. Ke Tawau hanya perlukankan jalan kaki 15 menit.

2. Menurut orang Sebatik, barang dagangan mereka di Tawau dihargai lebih mahal daripada Indonesia kerana nilai ringgit lebih tinggi daripada rupiah.

3. Di bidang pendidikan, orang Sebatik lebih suka menyekolahkan anaknya ke Malaysia daripada ke Indonesia, kerana biayanya lebih murah. Selain itu untuk anak sekolah dasar mereka mendapat seragam percuma atau gratis. Hal ini tentu saja menguntungkan masyarakat Sebatik yang secara ekonomi berpenghasilan rendah, khususnya para nelayan.

4. Mengenai kesihatan, orang Sebatik lebih suka berubat ke klinik-klinik yang ada di perbatasan milik Malaysia daripada ke puskesmas Indonesia. Menurut mereka klinik Malaysia alat lebih lengkap, lebih bersih dan dokternya selalu ada. Berkebalikan dengan puskesmas Indonesia yang selalu sepi dan ubatnya itu-itu saja.

5. Dalam realitinya nyata orang Sebatik suka membandingkan kemajuan Indonesia dan Malaysia, misalnya pada malam hari kota Tawau bermandikan cahaya letrik, berkebalikan dengan pulau Sebatik yang hanya dipasok listrik dua hari sekali. Realitas ini dipahami mereka sebagai ketidak pedulian pemerintah Indonesia terhadap mereka, kerana itu mereka lebih memilih ke Tawau yang lebih maju.

6. Orang Sebatik banyak mendapat kemudahan dari Tawau, misalnya air bersih dan prasaran jalan yang baik. Hal ini tentu saja memudahkan mobilitas mereka dalam beraktivitas, kerana itu wajar mereka lebih memilih Malaysia untuk berdagang atau yang lainnya.

Beragam kemudahan yang didapat orang Sebatik dari Malaysia diatas secara langsung menohok kita semua untuk menanyakan, apa yang harus kita berikan kepada mereka agar kebudayaan Sebatik tetap bertahan.

Kata mereka, itu tugas kita bersama....!!

Bersambung!






Ibnu Hasyim 

Jun 20 2016

Pulau Sebatik, Indonesia.



Sila lihat siri Indonesiakini..


E-Buku IH-51: Perjalanan Ke Kalimantan
E-Buku IH-51: Perjalanan Ke Kalimantan
Bab I
Bab 2
Bab 3
Bab 4

..Bersambung.



Dr Kamarul Zaman: DAP mahu hidupkan semangat Mei 69?

 

Nga mahu hidupkan semula semangat Mei 1969?

KUALA LUMPUR: Kenyataan pemimpin DAP, Nga Kor Ming supaya rakyat yang lahir selepas merdeka diberi status Bumiputera dilihat mungkin mahu menghidupkan semula semangat Mei 1969.

Ahli Akademik, Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, ucapan sama juga pernah dibuat oleh pemimpin DAP, Lim Kit Siang semasa menjadi calon Parlimen Bandar Melaka pada PRU3 menerusi satu surat terbuka.

“Kita mahu Cina, Inggeris dan Tamil menjadi bahasa-bahasa rasmi, supaya mereka boleh digunakan dalam ucapan-ucapan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, surat-menyurat kerajaan, notis-notis awam, dan lain-lain. 

“Kita mahu Perikatan berhenti memisahkan rakyat kepada ‘bumiputera’ kelas pertama dan ‘bukan-bumiputera’ kelas kedua,” ujar Kit Siang dipetik semula Dr Kamarul dari surat bertarikh 7 Mei 1969 itu.

Kata pensyarah di Universiti Utara Malaysia (UUM) itu, semua pihak tahu perkara yang berlaku selepas berakhirnya PRU3 tersebut dan mempersoalkan kemungkinan Nga Kor Ming mahu menghidupkan semula semangat tersebut – HARAKAHDAILY 25/11/2021

Lihat sebelum ini..

Siri Kalimantan: Kerjasama M'sia/Indo.

Royalti: Kelantan terkejut kenyataan Menteri Kewangan

 

'Selama tempoh hampir setengah abad perjanjian ditangani tidak ada pun bayaran tunai dibayar kepada kerajaan negeri Kelantan..'

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan melahirkan perasaan terkejut terhadap kenyataan Menteri Kewangan, di mana Petronas tidak akan membuat bayaran royalti tunai kepada mana-mana negeri di Semenanjung.

Tinbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, kenyataan Tengku Dato’ Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz itu cukup mengejutkan.

“Saya secara peribadi terkejut dengan kenyataan terbabit memandangkan kerajaan negeri mengharapkan bayaran royalti petroleum daripada kerajaan Persekutuan.

“Kita amat mengharapkan kerajaan Pusat memberi royalti petroleum kepada Kelantan selari dengan perjanjian 1975,” katanya ketika ditemui media selepas menyampaikan Kuliah Jumaat di Pejabat Perhubungan PAS Negeri di sini hari ini.

Pada jawapan di Parlimen pada 24 November lepas Tengku Zafrul berkata, tiada bayaran tunai (royalti) dibuat oleh Petronas, khususnya bagi pengeluaran petroleum kepada mana-mana negeri di Semenanjung Malaysia termasuk Kelantan.

Menurutnya keadaan itu disebabkan kedudukan medan pengeluaran petroleum yang beroperasi di luar perairan negeri Kelantan.

“Memandangkan lokasi medan petroleum berdekatan dengan perairan Kelantan, maka Kerajaan Persekutuan membuat pembayaran dalam bentuk wang ihsan,” katanya.

Sementara itu Presiden Pertubuhan R Kelantan (Royalti) Nazri Deraman berkata, seluruh rakyat Kelantan amat terkejut, marah dan kecewa dengan kenyataan tersebut.

Katanya atas dasar kepercayaan dan harapan terhadap Kerajaan Persekutuan perjanjian yang dinamakan Perjanjian Royalti ditandatangani pada 9 Mei 1975.

“Kelantan bersama seluruh negeri di Malaysia bersetuju menyerahkan hak pembangunan petroleum kepada Petronas dan sebagai balasan perjanjian tersebut memperuntukkan bayaran sebanyak 5 peratus daripada jumlah pengeluaran petroleum kepada Kelantan.

“Selama tempoh hampir setengah abad perjanjian ditangani tidak ada pun bayaran tunai dibayar kepada kerajaan negeri Kelantan.

“Petronas dan Kerajaan Persekutuan wajib menghormati perjanjian tersebut, katanya di ini.

Menurutnya juga pelbagai usaha dilakukan rakyat dan kerajaan Kelantan, namun hasilnya masih tidak ada berikutan sikap tidak profesional Kerajaan Persekutuan. – HARAKAHDAILY 26/11/2021

Insentif RM1,200 setahun penarik beca & Hiwalah. PP kaya boleh begitu?

 

1. Pengayuh beca diberi insentif RM1,200 setahun

KOTA BHARU: Kerajaan negeri akan memberi nafas baru kepada golongan pengayuh beca memandangkan pengangkutan tradisional tersebut menjadi salah satu tarikan pelancong.

Exco Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan, Mejar (B) Dato’ Md Anizam Ab Rahman berkata, pihaknya melalui Pusat Penerangan Pelancongan Negeri (TIC) melaksanakan pelbagai usaha ke arah itu.

Katanya sehingga sekarang terdapat seramai 27 pengayuh beca yang masih aktif di sekitar kawasan tarikan pelancongan di bandar Kota Bharu.

Bagaimanapun kata beliau kebanyakannya berumur lanjut, namun masih meneruskan pekerjaan terbabit demi kelangsungan hidup keluarga mereka.

“Kita akan cuba memberi nafas baru, kita sudah ada model dua buah beca dan kita akan tambah lagi dua beca.

“Kita bagi peluang kepada anak-anak muda dan generasi baru yang tidak pernah menaiki beca.

“Jadi saya mengsyorkan belia-belia kita yang berminat, usaha ini sudah bermula cuma kita ingin menguar-uarkan kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas majlis penyampaian bantuan sara hidup kepada kepada 27 penarik beca siri kedua di perkarangan pejabat Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) di sini semalam.

Sebanyak RM1,200 diberikan kepada setiap penarik beca yang berdaftar dan bayaran dilakukan sebanyak dua fasa. Fasa 1 dilakukan pada Mei lalu sebanyak RM600 bagi meringankan beban mereka.

Md Anizam juga berkata, bagi meringankan golongan tersebut kerajaan negeri memulakan inisiatif dengan mengubahsuai beca kepada enjin motor yang menggunakan tenaga elektrik daripada bateri.

“Selain itu sumbangan atau bayaran wang Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk insurans jika ada kemalangan dan sebagainya kepada pengayuh beca. Jadi kita harap dapat meringankan beban mereka.

“Meskipun sudah lanjut usia mereka masih gigih mencari rezeki. Kita sudah ubahsuai dengan bateri, jadi mereka tidak penat sangat,” katanya. HARAKAHDAILY 26/11/2021

2. Pelaksanaan Hiwalah menjamin hak wanita teraniaya

KERAJAAN, melalui Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) sentiasa menjunjung tinggi prinsip keadilan dan kepatuhan kepada hukum syara’ bagi membela dan memperkukuh institusi kekeluargaan.

Dalam melaksanakan perkara tersebut, kerajaan akan mengambil segala langkah yang perlu dalam memastikan setiap yang berhak, akan menerima haknya seperti yang termaktub dalam hukum syariah Islam.

Terkini, dalam memastikan hak nafkah dan mut’ah bekas isteri serta anak-anak tidak diabaikan oleh seorang bekas suami atau bapa, Mahkamah Syariah akan menguatkuasakan perintah Hiwalah, iaitu melaksanakan pemindahan wang atau hak milikan melalui akaun bank atau institusi kewangan bekas suami atau bapa yang culas dalam pemberian nafkah, untuk digunakan bagi melunaskan tuntutan nafkahnya. 

Bagi melaksanakan perkara ini, kerajaan telah meminda Jadual 11 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 dan Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002, dan telah mewartakannya pada 10 Febuari 2021.

Melalui pindaan tersebut, perintah Hiwalah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah di mana-mana peringkat boleh dilaksanakan oleh institusi kewangan, berdasarkan kepada peruntukan undang-undang berkuatkuasa.

Pelaksanaan Hiwalah ini bukanlah semata-mata untuk menghukum bekas suami atau bapa yang culas dalam melaksanakan tuntutan nafkah, sebaliknya merupakan suatu tindakan yang bersifat mendidik supaya bekas suami atau bapa tersebut tidak culas dan menunaikan tanggungjawabnya yang ditetapkan oleh syara’.

Tindakan itu juga bagi memastikan keadilan buat bekas isteri serta anak-anak yang terkesan akibat pelanggaran, atau kecuaian pembayaran nafkah ini supaya mereka dapat menerima hak mereka. 

Kerajaan akan terus melakukan inovasi dan penambahbaikan bagi memastikan keadilan buat semua pihak. Iltizam kami, supaya institusi kekeluargaan di Malaysia akan terus kukuh dan mampan demi pembangunan keluarga Malaysia yang lebih holistik, serta mampu mewujudkan keharmonian dalam komuniti, serta negara yang tercinta.

YB DATO’ USTAZ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 22/11/2021

SUMBERUSTAZ AHMAD MARZUK SHAARY

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails