2. Nota: Isu telur dan Laissez-faire BAHAN politik
Hari ini kita berhadapan dengan isu ekonomi. Rantaian permasalahan yang bermula sejak PKP, masih belum selesai hingga saat ini.
Harga naik di seluruh dunia, dijadikan bahan oleh para pembangkang ketika itu, untuk berteori dan beridealisme.
Namun, apabila mereka menjadi kerajaan, masih lagi mengulangi pendekatan kerajaan sebelumnya yang pernah mereka jenakakan.
Harga telur
Naik harga.
Harga telur tidak stabil dikatakan berpunca daripada beberapa perkara. Ada yang mengatakan ia bermula dengan permintaan telur yang rendah ketika zaman PKP.
Lalu, para pengeluar telur (tauke) mengurangkan operasi pengeluarannya. Iaitu dengan tidak membeli anak ayam dari luar negara, yang digunakan untuk bertelur.
Kalau nak beli pun, perlu ambil masa 5 bulan untuk capai umur boleh bertelur. Jadi, makan masa di situ.
Dalam masa yang sama, anak ayam ini makan dedak yang diperbuat daripada jagung dan soya. Harga dedak ni pun mahal.
Dedak mahal.
Dulu, dah pernah panas sebentar isu harga dedak meningkat. Sebabnya, jagung dan soya diimport dari luar, dan negara pengeksport itu terpaksa naikkan harga.
https://www.facebook.com/100051781123067/posts/240355611033808/?d=n
Ada yang mengatakan bahawa alasan import dedak kerana kosnya lebih murah berbanding menghasilkan dedak tempatan (local production).
Justeru, apabila negara pengeluar dedak naik harga, maka peningkatan itu menjadi berganda dan berantai.
Ayam pun perlu dedak, anak ayam penelur pun perlu dedak. Maka, semua yang berkaitan dedak, naik harga (demand and supply).
Tauke sakit kepala.
Apabila dah naik harga, tauke sakit kepala, rakyat lagi sakit kepala. Namun, kerajaan bagi subsidi kepada tauke untuk tampung semua perkara itu.
Harga dedak difahamkan masih dan terus meningkat. Subsidi dah tak dapat tampung sakit kepala para tauke disebabkan kerugian katanya.
Rugi sebab apa? Harga dedak mahal, tapi telur tak boleh jual mahal di Malaysia, sebab kerajaan sekat (kawalan harga). Ya lah, kerajaan lalu dah bagi subsidi dah.
Bagaimana telur jadi tak cukup?
Kalau diikutkan, telur di Malaysia ni cukup saja untuk rakyat Malaysia. Tapi tauke telur, sakit kepala kerana harga dedak import tadi duk naik.
Lalu, tauke-tauke telur tadi, tanak rugi punya pasal, ambil jalan dengan eksport telur-telur itu ke luar negara.
Tindakan ini menjadikan, telur asalnya cukup, jadi tak cukup. Tauke ini dah la dapat subsidi. Tapi dalam bisnes, takkan nak rugi.
Import telur.
Kerajaan macam biasa, sayang kat tauke. Risau tauke-tauke telur ini ‘membungkus’, nanti isu telur semakin teruk.
Kalau kerajaan tak kawal harga, tauke akan jual mahal, dan rakyat lagi sakit kepala. Jadi, kerajaan sayang juga pada rakyat, sebab dah undi mereka.
Jadi, kerajaan hari ini ambil pendekatan untuk import telur luar. Katanya untuk stabilkan harga telur (demand and supply).
Apabila kecukupan telur mencapai 100 peratus, maka secara teorinya, harga telur akan turun dan stabil. Begitulah yang diamalkan.
Francois Quesnay (1694-1774)
Ok, dah selesai cerita mengenai telur dan dedak. Nanti di hujungnya saya akan ‘ungkit’ balik cadangan lama saya mengenai ‘local production’.
Dalam isu telur + dedak ini, saya teringat kisah Francois. Beliau hidup di zaman Raja Lois XV. Dunia Barat ketika itu sedang dilanda masalah ekonomi, antara puncanya ialah perang.
Ketika Raja bertanya kepada Francois mengenai peranan raja, Francois menasihatinya supaya biarkan sahaja ia ikut aturan semula jadi.
Ringkasnya, nasihat itu memberi kesan kepada Raja. Pada 1754, Raja isytihar bahawa semua sekatan terhadap perdagangan gandum, rai, dan jagung dihapuskan.
Jadi, sesiapa sahaja boleh berdagang ke mana mana sahaja. Namun, idea ini tak lama bertahan. Berlakunya masalah tanaman.
Masalah tanaman memberi kesan kepada pengeluaran. Lalu disebabkan demand and supply, harga barang pun meningkat. Pada 1770 perintah itu dibatalkan.
Laissez Faire
Apa itu Laissez Faire?
Laissez Faire adalah salah satu teori yang lahir dari konsep kebebasan kapitalisme. Iaitu semua perdagangan, mesti dibebaskan. Biarkan ia beroperasi secara semula jadi.
Jalurnya dari Liberalisme Klasik yang memperjuangkan konsep Negative Liberty. Iaitu kebebasan itu bermaksud bebas daripada apa sahaja.
Jadi, kerajaan yang amalkan Liberalisme Klasik ini tak letak undang-undang banyak-banyak. Ini kerana, undang-undang ni akan sekat kebebasan orang.
Jadi, rakyat perlu bebas daripada apa sahaja (negative liberty)
Turgot.
Anne Robert Jacques Turgot (1727-1781) selalu dikaitkan dengan kemunculan Laissez Faire.
Beliau boleh dikatakan pernah berkenalan dengan Adam Smith (1723-1790) yang merupakan pengasas Kapitalisme.
Zaman itu, banyak teori ekonomi yang diperdebatkan. Apatah lagi ketika itu ekonomi rakyat sedang meruncing.
Termasuk kebuluran, percukaian yang menggila, kemiskinan, para bangsawan pula membolot kekayaan dan macam macam lagi.
Penindasan.
Turgot menyaksikan penindasan terhadap para petani. Hidup miskin. Dikenakan cukai pula. Jadi, beliau terfikir nak bantu.
Golongan petani ketika itu ditekan oleh golongan bangsawan. Lalu, Turgot memperjuangkan supaya wujudnya perdagangan bebas.
Iaitu setiap orang (termasuk para petani) bebas berdagang tanpa perlu melalui para bangsawan. Asasnya seperti sama dengan pelaksanaan kerajaan zaman Francois tadi.
Percubaan.
Pada 1774, Turgot dilantik Menteri Kewangan Raja. Beliau memansuhkan semua sekatan ke atas industri bijirin yang dikawal ketat. Sebab nak bantu petani pasarkan hasil mereka.
Beliau juga membenarkan import dan eksport antara wilayah, agar beroperasi sebagai sistem perdagangan bebas.
Tapi, apabila hasil tuaian yang slow, ia menyebabkan pengeluarannya kurang, harga pun melonjak sampai siling (ceiling). Peniaga pun sorokkan bekalan. Ada yang eksport ke negara lain kerana untung lebih.
Jadi, bekalan makanan tempatan pun kurang. Ribuan rakyat Perancis kelaparan. Rusuhan berlaku selama beberapa bulan.
Pada pertengahan 1775, kerajaan ambil alih balik. Kerajaan kawal pasaran bijirin, termasuk eksport tadi.
Walaupun permulaannya nampak celaru, namun teori ini dikembangkan lagi oleh ahli ekonomi British seperti Smith dan David Ricardo pada zaman Revolusi Industri selepas itu.
Kuasa politik.
Banyak lagi sebenarnya yang diperjuangkan oleh Turgot ni. Cuma, hasil hubungannya dengan istana, menjadikan idea-ideanya ada yang diterima pakai.
Sudah pasti tindakan beliau menimbulkan sakit kepala para bangsawan. Para bangsawan sejak sekian lama mengamalkan monopoli.
Monopoli inilah yang menindas para petani. Contohnya rusuhan pada 1775, di Dijon mengenai isu harga roti. Sebagai tekanan kepada golongan bangsawan.
Mereka yang merusuh tu melaungkan ‘monopoli’ dan ‘kebuluran’. Hasil rusuhan ini, Turgot menasihatkan Raja supaya turunkan harga roti dan lain-lain.
Kritikan.
Ada ja orang yang mengkritik konsep Laissez Faire ni. Antaranya Jacques Necker (1732-1804) yang menulis artikel mempertahankan sekatan perdagangan bijirin.
Pada abad ke-20 muncul pula John Maynard Keynes, pengkritik terkemuka ekonomi Laissez Faire.
Beliau berhujah bahawa persoalan penyelesaian pasaran berbanding campur tangan kerajaan perlu diputuskan mengikut isu.
Para pengkritik konsep ini berhujah macam macam. Dari sudut moral, ketidak seimbangan ekonomi, kemiskinan dan lain-lain.
Berbalik kepada isu telur
Dilema.
Bagi saya, isu harga telur ini, saya melihat masing-masing terikat dengan teori-teori Barat yang bermacam-macam.
Ada yang nampak Laissez Faire tu penyelesaian. Ada yang nampak ia adalah masalah. Ada yang nampak, perlukan imbangan antara kerajaan dan tauke (ibarat bangsawan zaman dulu).
Masing-masing berdilema. Apa yang saya nampak, tindakan import telur tu pun adalah satu keputusan ‘dalam dilema’.
Kenapa berdilema? Kerana para tauke ni lah yang bayar cukai kepada kerajaan. Kerajaan dapat duit pun hasil cukai ni.
Rakyat pun nak kena jaga juga. Sebab nanti kalau rakyat marah, risau tak dapat undi. Bak kata mereka ‘suara rakyat suara keramat’.
Local Production.
Dalam dilema ini, saya nampak jalur puncanya ialah kebergantungan kita terhadap import. Khususnya import dedak.
Walaupun ada yang bagi alasan, import dedak ni lagi murah daripada kos penghasilan dedak tempatan, namun, kita perlu fikir masak masak.
Local production ni lah yang menjamin negara kita supaya tidak bergantung pada negara lain.
Petani dan penternak.
Yang menghasilkan local production ni ialah para petani dan penternak kita. Inilah golongan yang mesti dijaga baik-baik.
Jadi, hapuskanlah orang tengah yang ambil kesempatan terhadap peluh petani tu. Kartel kartel yang monopoli ini bukan petani dan penternak pun. Mereka ini orang tengah ja.
Ya, tak nafikan. Memang dah macam-macam usaha kerajaan untuk jaga golongan petani dan penternak ini. Cuma yang menjadi masalahnya ialah orang tengah tu ada kabel dengan politician.
Banyak lagi cabaran.
Sebenarnya masalah local production ini bukan orang tengah saja. Termasuk juga para tauke yang monopoli tanah (الحمى).
Termasuk juga politician yang duduk bagi tanah, projek dan monopoli kepada para tauke tertentu. Cuma hal ni agak panjang kalau nak tulis di sini.
Termasuk juga rangkaian oligarki yang sememangnya inginkan kepentingan perut mereka terjaga melalui para politikus.
Local Production dalam al-Quran.
Firman Allah S.W.T:
هُوَ أَنشَأَكُم مِّنَ الْأَرْضِ وَاسْتَعْمَرَكُمْ فِيهَا
“Dia lah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya.”
(Hud: 61)
As Saadi menghuraikan ayat ini bahawa antara bentuk memakmurkan bumi ialah dengan menghasilkan manfaat daripadanya
Di sini kita faham bahawa kita perlu memakmurkan bumi Malaysia yang disediakan kepada kita ni. Memanfaatkannya untuk menghasilkan local production.
Artikel berkaitan;
https://www.facebook.com/100051781123067/posts/304281137974588/?d=n
MUHAMMAD MUJAHID IR MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 26/12/2022
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Kisah Tabuk, Saudi diliputi salji.. M'sia, masalah telur, belum selesai..
Di Malaysia mana menteri telur ayam? Tak telur sebiji riuh sekampung?