Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain
JOHOR BAHRU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain menafikan sekeras-kerasnya tuduhan seorang wanita yang membuat laporan polis mendakwa diganggu secara seksual, semalam.
Rasman berkata, tuduhan berkenan bukan sahaja satu konspirasi politik malah fitnah serta cubaan untuk menjatuhkan maruah serta mencalarkan reputasi beliau selaku wakil rakyat.
"Pada jam 2 petang semalam (17 Januari), saya dimaklumkan bahawa terdapat satu laporan polis dibuat terhadap saya oleh seorang individu yang juga Ahli Jawatankuasa Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Kota Tinggi.
"Saya dengan ini menafikan dengan sekeras-kerasnya tuduhan dalam laporan itu. Ini adalah satu konspirasi politik, fitnah dan satu cubaan untuk menjatuhkan maruah serta mencalarkan reputasi saya selaku seorang wakil rakyat.
"Saya juga bersedia untuk memberikan kerjasama penuh sepanjang proses siasatan berjalan demi memastikan keadilan dapat ditegakkan.
"Saya juga berbincang dengan peguam saya untuk mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya terhadap mana-mana individu yang cuba mencemarkan nama serta imej saya seperti ini," katanya dalam kenyataan, tengah malam tadi.
Media sebelum ini melaporkan, polis menerima laporan daripada seorang wanita yang mendakwa diganggu secara seksual oleh seorang ADUN di Johor.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora, dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan dakwaan salah laku ADUN terbabit, terhadap wanita berumur 26 tahun itu di Balai Polis Kota Tinggi pada kira-kira 11.30 pagi.
Rasman turut menegaskan konspirasi politik seperti itu tidak akan sekali-kali melemahkan semangat beliau untuk terus berjuang dan menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepadanya melalui mandat rakyat.
"Semoga kebenaran akan dirungkai akhirnya serta perjuangan saya ini dimudahkan dan diredai oleh Allah SWT," katanya. (BH)
2 comments:
Biar polis buat siasatan kesahihan aduan ini dulu...YAB jangan gelabah. Kalau YAB memang tak buat jangan takut. Tapi belum pun siasatan lengkap YAB dah gelabah apa pasal????
Setuju. Mcm kes azam baki.
Post a Comment