Kos ambil amah cecah RM30,000
KUALA LUMPUR: Majikan yang mahu mendapatkan khidmat pembantu rumah rakyat asing dari Indonesia kini perlu menanggung kos lebih tinggi antara RM20,000 hingga RM30,000 sejak penularan pandemik COVID-19.
Ini berikutan majikan perlu menanggung pelbagai caj ditetapkan agensi yang mengurus kemasukan pembantu rumah, antaranya bayaran kepada perantara pencari pekerja di daerah terpencil, kos pengangkutan, latihan, penempatan dan penyediaan visa.
Beberapa agensi pekerjaan didapati mengenakan caj serta gaji yang berbeza, malah ada mengenakan caj tambahan berjumlah RM2,000 dengan mendakwa ia disebabkan kesukaran mendapatkan pembantu rumah berikutan sempadan negara masih ditutup.
Mereka turut mendakwa, kos berkenaan hanya meningkat sedikit iaitu RM3,000 berbanding sebelum wabak COVID-19.
Ini bagi menampung kos kuarantin selama 14 hari, membuat ujian saringan Polimerase-Transkripsi Terbalik (RT-PCR) pada hari pertama, ketiga, kelima dan ketujuh sebelum pembantu rumah diserahkan kepada majikan di negara ini.
Sebuah agensi yang dihubungi di ibu negara memberitahu, agensi itu boleh menguruskan kemasukan pembantu rumah dari Indonesia dengan memberikan sebut harga RM23,000.
Menurut wakil syarikat itu, bayaran paling tinggi ialah untuk kos pengurusan kemasukan iaitu sehingga RM18,500 yang meliputi bayaran kepada agensi pengantara di negara sumber, bayaran dokumentasi, kos tambang dan penempatan, latihan dan permit kerja.
"Ini termasuk kos atau caj tambahan bagi kelulusan khas sebanyak RM2,000 sekiranya sempadan negara masih ditutup.
"Anda (majikan) juga perlu membayar fi kuarantin RM2,350 (bagi pembantu rumah yang lengkap dua dos vaksinasi), merangkumi bayaran hotel dan pengangkutan dari lapangan terbang ke hotel sebanyak RM2,100 serta ujian PCR sebanyak RM250.
"Jika pembantu rumah ini baru menerima satu dos suntikan, fi kuarantin lebih tinggi iaitu RM3,025. Jadi, secara keseluruhannya, majikan perlu membayar antara RM22,850 hingga RM23,525 bagi seorang pekerja," katanya kepada BH, baru-baru ini.
Sebuah lagi agensi yang juga beroperasi di Lembah Klang pula mengenakan bayaran antara RM24,350 hingga RM25,025 bagi perkhidmatan sama dan kos berkenaan tidak termasuk bayaran gaji pendahuluan kepada amah terbabit.
Menurut jurucakap agensi berkenaan berkata, bermula bulan ini pihaknya mengenakan bayaran RM19,888 untuk menggajikan seorang pembantu rumah berbanding RM16,888 kira-kira dua tahun lalu.
"Bayaran ini merangkumi caj pengambilan sebanyak RM12,000, pemeriksaan kesihatan dengan FOMEMA (RM250), levi dan cukai setem (RM1,380), insurans (RM258), pendahuluan gaji untuk tiga bulan berjumlah RM3,000 dan kos kuarantin serta ujian PCR sebanyak RM3,000," katanya.
Mengulas isu kos pengambilan pembantu rumah rakyat asing ini, Presiden Persatuan Majikan Amah Malaysia (MAMA), Engku Ahmad Fauzi Engku Muhsein mengakui kos mengambil pekerja menggunakan agensi ketika ini terlalu tinggi dan membebankan majikan.
Beliau berkata, caj yang ditanggung majikan juga jauh lebih tinggi daripada kadar bayaran ditetapkan Jabatan Imigresen iaitu RM1,136 bagi pengambilan pembantu rumah asing kali pertama, merangkumi caj levi, visa mengikut negara, fi proses, bayaran pas, wang jaminan dan beberapa bayaran berkaitan.
Justeru, beliau berpendapat majikan seharusnya dibenar menguruskan sendiri pengambilan pekerja asing tanpa perlu menggunakan perkhidmatan agensi.
"Kos jika majikan mendapatkan sendiri amah adalah kurang daripada RM10,000 selepas dicampurkan semua prosedur wajib bagi pengambilan pekerja perkhidmatan domestik asing.
"Majikan hanya perlu menanggung kos pengangkutan, penginapan sekitar RM5,000 ke RM7,000, FOMEMA RM250, insurans RM250 dan levi RM1,000," katanya.
Pada 24 Januari lalu, Malaysia dan Indonesia bersetuju, kemasukan kumpulan pertama pekerja atau Perkhidmatan Domestik Indonesia (PDI) dilaksanakan seminggu selepas memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani pada 7 dan 8 Februari depan.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, berkata sebagai permulaan melalui projek rintis pengambilan sejumlah 10,000 PDI akan dilaksanakan selepas MoU berkenaan ditandatangani kedua-dua negara di Bali, Indonesia.
Malaysia dan Indonesia juga setuju struktur kos pengambilan akan dikaji setiap enam bulan bagi memastikan ia seiring dengan perkembangan semasa mengambil kira antaranya seperti kos penerbangan dan kuarantin.
Selain dari Indonesia, kerajaan membenarkan kemasukan pembantu rumah asing dari Thailand, Filipina, Sri Lanka, India, Vietnam dan Laos, manakala kemasukan dari Kemboja dibekukan sejak Januari 2012.
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Dengan kos ambil amah cecah RM30,000, semoga tidak ada lagi yang mengambil kesempatan untuk merogol pembantu rumah. Walaupun yang dituduh merogol itu adalah bekas ADUN parti DAP yang kononnya membela kaum wanita.
Apa lagi ada pemimpin parti itu sedang dikaitkan dengan tuduhan rasuah terowong libatkan kematian, dadah, hina agama dan lain-lain.
Sila tolak DAP dalam PRN Johor akan datang!
No comments:
Post a Comment