DHAKA: Pihak berkuasa Bangladesh mengambil tindakan menutup lebih 2,000 pasar haram yang dikendalikan pelarian Rohingya di Cox's Bazar.
Lapor Arab News, pasukan penguat kuasa terpaksa menutup beberapa kedai atas pelbagai sebab termasuk perniagaan produk haram yang dijalankan di kawasan itu.
Pada masa sama, kumpulan penjenayah turut menggunakan premis perniagaan berkenaan bagi tujuan pengedaran dadah dan bahan larangan lain.
Pesuruhjaya Bantuan dan Penghantaran Pulang Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Shamasud Douza, berkata pelarian Rohingya tidak dibenarkan menjalankan sebarang kegiatan perniagaan di kawasan kem pelarian.
"Kedai haram dirobohkan dari masa ke masa sejak 2018 kerana kita juga memerlukan lebih banyak ruang kosong bagi menampung pelarian baru.
"Kini kerja-kerja pembaikan sedang dijalankan di kawasan tanah kosong bagi membina penempatan baharu dan pusat rawatan pelarian Rohingya," katanya.
Disebabkan itu, pelarian Rohingya mengeluh mereka kehilangan sumber pendapatan dan sumber keperluan harian di kem pelarian berkenaan.
Awal Disember tahun lalu kira-kira 1,000 kedai milik pelarian Rohingya dimusnahkan, namun kebanyakannya dibina dan beroperasi kembali, sekali gus mendorong pihak berkuasa merobohkannya lagi.
Bangladesh menerima kemasukan lebih 1.1 juta pelarian Rohingya dari Myanmar akibat tindakan zalim pihak tentera sejak 2017 dan jumlah itu dijangka semakin meningkat berikutan tidak banyak negara lain yang mahu menerima mereka.
Kini terdapat sekitar 34 kem pelarian Rohingya di seluruh Bangladesh, dengan kerajaan cuba memindahkan mereka ke penempatan baharu di pulau buatan manusia, Bhashan Char, di Teluk Benggala.
Bagaimanapun, penghantaran ke kem pelarian di Teluk Bengala dibantah kerana kawasan itu terdedah kepada bahaya ancaman cuaca termasuk taufan dan banjir.
Bangladesh setakat ini mengaturkan penempatan semula kepada hampir 19,000 Rohingya di Bhashan Char. - AGENSI
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Walaupun di sana terdapat operasi pembunuhan, penghijrahan dan pengusiran, sesungguhnya orang Islam adalah saudara kita seakidah.
Firman Allah: ﴿إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ ﴾ [الحجرات: 10]
“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara”. (Surah Al-Hujurat: 10)
Firman Allah:
﴿وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ﴾ [التوبة: 71]
“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain…”. (Surah At-Taubah: 71)
Sabda Rasulullah S.A.W.:
المسلم أخو المسلم لا يظلمه ولا يسلمه (رواه الشيخان وأبو داود)
“Orang Islam adalah saudara orang Islam yang lain. Dia tidak akan menzaliminya dan tidak akan membiarkannya”. (Riwayat As-Syaikhan dan Abu Daud)
Sabda Baginda S.A.W.:
مثل المؤمنين في توادهم وتراحمهم وتعاطفهم مثل الجسد إذا اشتكى منه عضو تداعى له سائر الجسد بالسهر والحمى. (رواه مسلم)
“Perumpamaan orang-orang mukmin dalam berkasih sayang, berlemah lembut dan berbelas kasihan sesama mereka adalah seumpama satu jasad. Apabila satu anggota mengadu sakit, maka seluruh jasad akan merasainya dengan berjaga malam dan demam”. (Riwayat Muslim)
Sabda Rasulullah S.A.W.:
المؤمن للمؤمن كالبنيان يشد بعضه بعضًا. (متفق عليه)
“Orang mukmin dengan mukmin yang lain seperti satu bangunan yang memperkuatkan antara satu sama lain”. (Muttafaq ‘Alaih)
Sabda Nabi S.A.W.:
وكونوا عباد الله إخوانا (رواه مسلم)
“Jadilah hamba-hamba Allah yang bersaudara”. (Riwayat Muslim)
Mereka mempunyai hak persaudaraan ke atas kaum muslimin kerana orang-orang mukmin seumpama satu jasad.
Sesungguhnya ikatan iman lebih kukuh daripada ikatan keturunan dan kenegaraan. Walaupun pada zaman ini adanya kejahilan bagi orang yang tidak beroleh keuntungan daripada Islam, maka setiap kita hendaklah menjadi penolong dan penyelamat bagi mereka.
Adapun isu ini adalah antara sisa-sisa penjajahan yang mesti diselesaikan dari peta dunia. Tetapi kita juga perlu menghadapi dunia Islam yang bersaing di antara negara-negara dan kerajaan-kerajaannya.
Harap maklum.
No comments:
Post a Comment