Orang ramai mengambil bahagian dalam perarakan Paris pada 2018 untuk memberi penghormatan kepada Vanesa Campos. - Foto AFP
2 dipenjara 22 tahun bunuh pekerja seks transgender
PARIS: Mahkamah Perancis semalam menjatuhkan hukuman penjara 22 tahun kepada dua lelaki Mesir kerana membunuh seorang pelacur transgender dalam perbicaraan yang mendedahkan peningkatan keganasan terhadap pekerja seks di negara itu.
Vanesa Campos, 36, dari Peru, maut ditembak di dada pada Ogos 2018 di Bois de Boulogne, sebuah taman hutan di barat Paris yang menjadi zon pelacuran pada waktu malam.
Polis segera menyiasat sekumpulan lelaki yang berasal dari Mesir, yang mana menurut pendakwa tindakan dua pemuda itu adalah 'ekspedisi menghukum' terhadap Campos dan yang lain dan mengutuk rompakan dan serangan berulang terhadap pekerja seks dan pelanggan mereka oleh kumpulan bersenjata.
Mahkamah Paris mendapati Mahmoud Kadri, 24, dan Karim Ibrahim, 29, bersalah atas 'pembunuhan berkumpulan', namun, kedua-duanya menafikan tuduhan itu serta menyalahkan satu sama lain.
Terdahulu pada akhir perbicaraan yang bermula 11 Januari lalu, kedua-duanya menyatakan kesedihan atas apa yang berlaku.
"Saya mohon maaf atas segala yang berlaku. Saya minta maaf," kata Kadri yang berbahasa Arab itu melalui jurubahasa sambil menitiskan air mata.
Sebelum perbincangan bermula, Ibrahim memberitahu mahkamah dalam bahasa Perancis bahawa dia 'sangat menyesal untuk semua itu'.
Pihak pendakwaan Khamis lalu mengesyorkan supaya Kadri dijatuhi hukuman penjara 20 tahun.
Beliau menafikan dakwaan rakan tertuduhnya bahawa dia menembak dan membunuh Campos pada malam 16-17 Ogos 2018.
Pihak pendakwaan mengesyorkan 15 tahun penjara untuk Ibrahim, menuduhnya bersubahat dengan pembunuhan.
Hanya sebulan sebelum kematiannya, Campos adalah antara kumpulan yang mengupah pengawal untuk melindungi mereka semasa bekerja di taman hutan itu yang gelap tanpa lampu awam.
Penyerang bersenjatakan gas pemedih mata, dahan pokok, pisau, senapang dan pistol yang dicuri seminggu sebelum itu dari kereta polis ketika pegawai itu bersama seorang pekerja seks.
Enam lelaki lain, berusia 23 hingga 34 tahun, turut dijatuhkan hukuman.
Salah seorang daripada mereka dipenjara enam tahun kerana keganasan yang membawa kepada kematian yang tidak disengajakan.
Empat lagi menerima hukuman yang berbeza-beza sehingga enam tahun penjara kerana mengambil bahagian dalam serangan itu.
Tertuduh keenam dipenjarakan selama lima tahun kerana mencuri pistol itu.
Ibu dan kakak Campos, yang tinggal di Peru, adalah plaintif sivil dalam kes itu bersama enam bekas rakan sekerjanya, pengawal peribadi, persatuan advokasi transgender Acceptess-T dan kumpulan sokongan pelacur Mouvement du Nid.
Acceptess-T menyatakan peningkatan keganasan terhadap pekerja seks berpunca daripada undang-undang 2016 yang mengharamkan aktiviti 'membeli' seks di Perancis tetapi tidak menghalang 'penjualan' mengalihkan tanggungjawab jenayah kepada pelanggan yang boleh didenda jika ditangkap.
Sesetengah kumpulan menyatakan undang-undang itu membantu melindungi wanita daripada pemerdagangan dan eksploitasi dengan tidak menggalakkan pelacuran, ramai pekerja seks mengatakan ia telah menjadikan pekerjaan mereka lebih berbahaya dan kehilangan pendapatan mereka. - AFP
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Pembunuh tidak dibalas bunuh, dan yang dibunuh (keluarga) tiada dapat apa-apa ganjaran pertolongan dari undang-undang. Itulah undang-undang dunia antarabangsa yang jauh dari keadilan.
Kembalilah kepada keadilan Islam, sesuai dengan tabi'i kemanusiaan, jenis kumpulan 'agama dari langit' seperti Kristian dan Yahudi original.
No comments:
Post a Comment