Friday, January 21, 2022

Caci Agama & hina Nabi dihukum mati.. Wajar.

 

Gambar hiasan. - Foto REUTERS

ISLAMABAD: Seorang wanita Islam dihukum mati oleh mahkamah Pakistan kerana didapati bersalah menghantar teks berunsur cacian dan karikatur Nabi Muhammad menerusi WhatsApp.

Mencaci agama adalah kesalahan serius di Pakistan yang majoriti penduduknya beragama Islam, dengan undang-undang menetapkan hukuman mati, namun ia tidak pernah dilaksanakan di negara itu.

Aneeqa Ateeq, 26, ditahan pada Mei 2020 atas dakwaan memuat turun 'bahan berunsur cacian terhadap agama' sebagai status WhatsApp, menurut dokumen dikeluarkan mahkamah.

Apabila seorang kawan menggesa supaya menukarnya, Aneeqa sebaliknya menghantar bahan berkenaan kepada rakannya itu.

Memandangkan karikatur Nabi Muhammad adalah dilarang dalam Islam, mahkamah di Rawalpindi menjatuhkan hukuman gantung sampai mati selain penjara selama 20 tahun terhadapnya.

Hampir 80 individu dipenjarakan di Pakistan atas tuduhan mencaci agama, separuh daripadanya menjalani hukuman seumur hidup atau hukuman mati, mengikut Suruhanjaya Amerika Syarikat (AS) mengenai Kebebasan Beragama.

Walaupun kes lazimnya membabitkan sesama individu beragama Islam, aktivis memberi amaran bahawa kumpulan minoriti beragama lain terutama Kristian, sering menjadi mangsa.

Ini kerana tuduhan mencaci atau menghina agama sering diperalatkan untuk membalas dendam atau menyelesaikan masalah peribadi.

Disember lalu, seorang pengurus kilang warga Sri Lanka dipukul sehingga mati sebelum dibakar oleh sekumpulan perusuh, selepas dituduh mencaci agama. - AFP

Di Malaysia, sila lihat Irshad Al-Fatawa siri ke 297:

ADAKAH PENGHINA RASULULLAH SAW HALAL DARAHNYA?

Soalan:

Assalamualaikum wbt, ust berkenaan isu penghinaan terhadap Rasulullah SAW dan Ummul Mukminin Sayyidatina Aisyah R.Anha yang kita cintai. Saya ingin bertanya; adakah halal darah mereka bagi kita orang Islam? Minta penjelasan. Kami sangat memerlukan jawapan daripada ulama dapat merancang tindakan yang patut kami ambil. Jazaakallahu khairan atas jawapan ustaz.

Jawapan:

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah SWT. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Mukadimah

Isu penghinaan kepada Rasulullah SAW dan Ummul Mukminin Aisyah R.Anha adalah satu perkara yang sangat serius dan tidak boleh dibawa main-main. Firman Allah SAW:

وَمِنْهُمُ الَّذِينَ يُؤْذُونَ النَّبِيَّ وَيَقُولُونَ هُوَ أُذُنٌ ۚ قُلْ أُذُنُ خَيْرٍ لَّكُمْ يُؤْمِنُ بِالل وَيُؤْمِنُ لِلْمُؤْمِنِينَ وَرَحْمَةٌ لِّلَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ ۚ وَالَّذِينَ يُؤْذُونَ رَسُولَ اللَّهِ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌMaksudnya: “Dan di antara mereka (yang

 munafik itu) ada orang-orang yang menyak

 Nabi sambil mereka berkata: "Bahawa dia (Nabi Muhammad) orang yang suka mendengar (dan percaya pada apa yang didengarnya)". Katakanlah: "Dia mendengar (dan percaya) apa yang baik bagi kamu, ia beriman kepada Allah dan percaya kepada orang mukmin, dan ia pula menjadi rahmat bagi orang-orang yang beriman di antara kamu". Dan orang-orang yang menyakiti Rasulullah itu, bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”

(Surah al-Taubah, 61)

Syeikh al-Maraghi berkata dalam tafsirnya: “Menyakiti Rasulullah SAW selepas kewafatannya, sama seperti menyakitinya semasa hayatnya. Keimanan kepada Baginda akan menghalang orang mukmin daripada melakukan perbuatan yang akan menyakiti Baginda. Ini adalah dosa dan kederhakaan yang paling besar.”

Firman Allah SWT:

إِنَّ الَّذِينَ يُؤْذُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ لَعَنَهُمُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَأَعَدَّ لَهُمْ عَذَابًا مُّهِينًا

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang menyakiti (melakukan perkara yang tidak diredai) Allah dan RasulNya, Allah melaknatkan mereka di dunia dan di akhirat, dan menyediakan untuk mereka azab seksa yang menghina..”

(Surah al-Ahzab: 57)

Imam Ibn Katsir menyebut dalam tafsir: “Allah menjauhkan mereka daripada Rahmat-Nya di dunia dan di akhirat dan menjanjikan mereka di akhirat nanti azab yang menghinakan dan kekal di dalam azab itu selama-lamanya.”

Mempertahankan Rasulullah SAW Adalah Kesempurnan Iman

Justeru, setiap umat Islam wajib mencintai Rasulullah SAW kerana mencintai baginda adalah kesempurnaan iman. Anas bin Malik RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ثَلاَثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ حَلاَوَةَ الإِيمَانِ: أَنْ يَكُونَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا، وَأَنْ يُحِبَّ المَرْءَ لاَ يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ، وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ

Maksudnya: “Tiga perkara di mana sesiapa mempunyainya, maka dia akan merasai kemanisan iman: seseorang yang menjadikan Allah dan Rasul-Nya sebagai yang paling dicintainya, tidak mencintai seseorang melainkan keranaNya dan membenci untuk kembali kekufuran sepertimana dia tidak suka untuk dicampakkan ke dalam neraka.”

Riwayat Bukhari (16) dan Muslim (43)

Antara cara menunjukkan keimanan dan kecintaan ini, seperti mana yang dilakukan oleh para sahabat dan Salaf al-Soleh dengan mempertahankan baginda sekalipun dengan kekerasan. Daripada Saidina Umar al-Khattab, bahawa pada suatu hari, dihadapkan kepadanya seorang lelaki yang mencaci Nabi SAW. Maka Saidina Umar pun menjatuhkan hukuman bunuh ke atasnya. Kemudian Saidina Umar berkata:

مَنْ سَبَّ ٱللّٰهَ أَوْ سَبَّ أَحَدًا مِنَ ٱلأَنْبِيَآءِ فَاقْتُلُوْهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang mencaci Allah, atau mencaci seseorang daripada para Nabi, maka bunuhlah dia.”

Rujuk al-Saif al-Maslul ‘ala Man Sabba al-Rasul SAW (hlm. 124) oleh Imam Taqiyuddin al-Subki

Daripada Abd al-Hamid bin Abd al-Rahman bin Zaid bin al-Khattab, sesungguhnya beliau berada di Kufah mewakili Umar bin Abdul Aziz. Maka beliau telah menulis kepada Umar bin Abdul Aziz: “Aku mendapati seorang lelaki telah mencelamu di Kufah dan telah terbukti bahawa dia benar-benar telah mencelamu, maka aku ingin membunuhnya atau memotong kedua tangannya atau memotong lidahnya atau menyebatnya, akan tetapi aku terfikir untuk merujuk kepadamu terlebih dahulu berkenaan perkara ini.” Maka Umar bin Abdul Aziz menulis kembali kepada beliau: “Salam sejahtera ke atasmu, Demi Allah yang diriku berada di tangan-Nya, jika engkau membunuhnya maka aku akan membunuhmu disebabkan olehnya, jika engkau memotongnya maka aku akan memotongmu disebabkan olehnya, jika engkau menyebatnya maka aku akan menariknya daripada engkau. Apabila engkau menerima perutusanku ini maka keluarlah engkau dengannya ke al-Kunasah (tempat pembuangan sampah) mak engkau celalah dia sebagaimana dia mencelaku atau engkau memaafkannya kerana itu lebih aku suka. Ini kerana, tidak halal membunuh seorang muslim yang mencela salah seorang daripada manusia melainkan seseorang  itu mencela Rasulullah SAW.”

Lihat al-Muhalla  (14/434)

Kerajaan Berhak Menangkap dan Menghukum Pencela Rasulullah SAW

Ini menunjukkan betapa seriusnya kesalahan menghina Rasulullah SAW. Kesimpulannya, pihak pemerintah mempunyai hak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang menimbulkan fitnah dalam masyarakat dengan menghina Rasulullah SAW sehingga boleh merosakkan kerukunan masyarakat. Berkata para pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji (8/142) berkenaan tanggungjawab orang bukan Islam di dalam negara Islam: “Mereka hanya dibenarkan memperkatakan perkara yang baik tentang agama Islam. Jikalau mereka memburuk-burukkan al-Quran, Rasulullah SAW atau mencaci undang-undang Allah, mereka akan dihukum ta’zir.”

Hukuman ta`zir itu pada asalnya bermaksud ta`dib (mendidik) penjenayah dan masyarakat. Oleh itu, pihak pemerintah perlu menggunakan kuasa yang diberikan dalam Hukum Syarak ini dengan kebijaksanaan supaya kes-kes seperti ini tidak berulang lagi. Selain hukuman, perkara yang paling penting yang perlu dilakukan pemerintah dan umat Islam, ialah menyampaikan fakta yang sebenar tentang Rasulullah SAW dan menghilangkan syubhat tentang peribadi baginda. Boleh jadi mereka menghina dan mencaci kerana tidak pernah mengetahui ajaran sebenar Islam dan mendapat berita palsu. Memikirkan kesan atau natijah dari sesuatu pendekatan dakwah atau yang kita sebut sebagai Fiqh al-Ma’al dalam pendekatan hukuman dan dakwah adalah sangat penting. Antaranya, firman Allah SWT:

وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِن دُونِ اللَّـهِ فَيَسُبُّوا اللَّـهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan.”

(Surah al-An’am: 108)

Ibn Kathir berkata: “Allah melarang rasul-Nya dan orang yang beriman memaki tuhan kaum Musyrikin meskipun adanya maslahat. Ini kerana boleh menimbulkan mafsadah yang jauh lebih besar kerana mereka pasti memaki Tuhan orang yang beriman padahal Allah adalah Rabb yang tiada Tuhan selain Dia.”

Lihat Tafsir Ibn Kathir (3/272)

Nabi SAW bersabda:

لَا يَتَحَدَّثُ النَّاسُ أَنَّ مُحَمَّدًا يَقْتُلُ أَصْحَابَهُ

Maksudnya: “Supaya orang ramai tidak bercakap bahawa Muhammad membunuh sahabatnya sendiri.”

Riwayat al-Bukhari (4905)

Hadis ini berkenaan isu orang-orang munafik yang dikepalai oleh Abdullah bin Ubai yang berkata: “Demi Allah jika kami pulang ke kota Madinah, nescaya akan mengeluarkan orang yang mulia daripadanya orang-orang yang hina.” Ini menyebabkan Saidina Umar meminta izin Rasulullah SAW untuk memenggal leher si munafik ini. Lantas Nabi SAW bersabda dengan hadis ini.

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: “Ini kerana dibimbangi boleh membawa sebab pembunuhan kepada fitnah atau menjadikan orang ramai liar dan takut untuk memeluk Islam.” Lihat Fath al-Bari (3/392)

Kesimpulan

Oleh itu, dalam konteks Malaysia di mana kita memiliki sistem undang-undang untuk mengekang perlakuan menghina agama Islam, hendaklah kita melaporkan kepada pihak berkuasa apa-apa ucapan, perlakuan dan tindakan yang boleh ditafsirkan sebagai menghina Rasulullah SAW, supaya mereka diambil tindakan mengikut laras undang-undang. Tidak boleh kita mengambil tindakan sendiri untuk menghukum jika tidak mengikut tindakan undang-undang, apatahlagi dengan kekerasan, kerana boleh mendatangkan bahaya kepada imej Islam, umat Islam dan keharmonian negara, seperti yang disebut “boleh membawa sebab pembunuhan kepada fitnah atau menjadikan orang ramai liar dan takut untuk memeluk Islam.”

Semoga penjelasan ini memberikan panduan dan kefahaman kepada penanya.

Sekian.

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Kalau pencaci maki agama Islam dan penghina Nabi Muhammad SAW itu adalah orang bukan Islam yang masih belum menganut Islam, itu boleh diperjelaskan. Bahkan 'kafir zimmi' wajib dilindungi oleh kerajaan Islam.

Tetapi kalau orang itu sudah masuk Islam, mengakui kerasulan Nabi Muhammad SAW, tiba-tiba mencaci maki agama sendiri dan hina Nabi SAW, atau 'murtad', maka dia adalah musuh dalam selimut Islam. Dia adalah penggunting dalam lipatan, pembelot agama, maka wajar dihukum mati sebagai pengajaran kepada yang masih hidup.

Itulah Islam, bukan agama main-main!

2 comments:

Anonymous said...

Kat msia ada sekelompok suka sindir sindir golongan pak aji. Macamlah yg bukan pak aji perfect sangat.

Anonymous said...

Mula mula sindir pak aji. Lepas tu sindir agama. Lepas tu rosakkan agama.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails