Friday, January 14, 2022

Henti polemik untuk mansuhkan Pendidikan Islam - Presiden i-Guru,

 

“Ancaman keruntuhan moral dan pemikiran liberalisasi boleh menghambat akidah dan keimanan generasi pelajar hari ini..."

KUALA LUMPUR: Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (i-Guru) menyifatkan isu pengajaran Pendidikan Islam di sekolah rendah telah diberikan pandangan yang menimbulkan polemik dan tanggapan negatif terhadap subjek tersebut.

Presiden i-Guru, Mohd Azizee Hasan berkata, penekanan kepada subjek Pendidikan Islam perlu diberi keutamaan kerana generasi hari ini terdedah dengan pelbagai risiko masalah disiplin dan kelunturan akhlak.

“Ancaman keruntuhan moral dan pemikiran liberalisasi boleh menghambat akidah dan keimanan generasi pelajar hari ini. i-Guru berpandangan bahawa kurikulum Pendidikan Islam sedia ada perlu diperkasakan di peringkat sekolah rendah lagi. 

“(Iaitu) dengan orientasi menekankan aspek amali dari teori dengan sekadar hafazan dan ingatan. Ini kerana waktu pengajaran yang sedia ada hanya enam masa yang memakan masa tiga jam seminggu tidak cukup untuk membina keperibadian dan jati diri murid.

“(Juga terhadap) pengukuhan nilai dalam memenuhi aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Aspek pembentukan watak perlu diberi tumpuan disamping pembangunan bakat murid,” ujar beliau.

Menurutnya, i-Guru juga mencadangkan satu jawatankuasa semakan semula kurikulum Pendidikan Islam ditubuhkan supaya ia dapat membina kualiti murid yang akan mendorongnya menguasai ilmu-ilmu dalam bidang lain terutama berdepan cabaran IR 4.0.

Juga tambahnya, ke arah mendepani era VUCA dengan olahan yang lebih dinamik dan berdaya saing serta kemahiran diperlukan untuk pasaran masa depan tanpa mengabaikan aspek keagamaan.

Jelas beliau, penekanan subjek tersebut sudah termaktub dalam Ordinan Pelajaran 1952 yang menggariskan hak murid Islam untuk mendapat pendidikan agama, malah diperkukuhkan semula dalam Ordinan Pelajaran 1957 di mana mewajibkan sekolah mempunyai bilangan 15 murid wajib diajar pelajaran agama.

“i-Guru menolak cadangan mengurang atau memansuhkan subjek Pendidikan Islam di sekolah rendah bahkan ia boleh menimbulkan persepsi negatif dan prejudis masyarakat terhadap Pendidikan Islam yang di ajar di sekolah-sekolah kebangsaan. 

“i-Guru bersetuju sekolah kebangsaan menjadi sekolah pilihan semua pihak dengan identiti berciri watan dan berteraskan Perlembagaan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 14/1/2022

No comments:

Post a Comment