Michael Veerapen (empat dari kiri) menyerahkan Malaysian Real Book kepada Noor Azmi pada majlis pelancaran di ibu negara, baru-baru ini.
HALAMAN HIBURAN
Malaysian Real Book kumpul karya muzik.
KUALA LUMPUR: Atas dasar cinta terhadap muzik dan mahu untaian indah pelbagai genre yang pernah dihasilkan malar segar dan terpelihara, komposer yang juga pemain piano tersohor, Michael Veerapen mencetuskan idea menghasilkan buku diberi judul Malaysian Real Book (MRB).
Michael yang juga pengarah projek MRB berkata, usaha mengumpul dan proses dokumentasi khazanah muzik Malaysia itu dihasilkan bersama jawatankuasa di bawah Malaysian Jazz Piano Festival (MJPF).
"Di Barat, pembikinan buku dikenali sebagai 'real book' sudah lama dilaksanakan. Selepas sekian lama, kami fikir sudah tiba masanya Malaysia ada buku sama demi mempamerkan kekayaan dan kepelbagaian muzik tempatan.
"Kita juga mahu menyerlahkan karya penggubah, pencipta lagu dan kumpulan muzik di Malaysia.
"Buku ini adalah antologi cetakan muzik yang mudah untuk dimainkan dan bermanfaat untuk menjadi rujukan pemuzik profesional, pendidik, pelajar serta penggemar muzik," katanya kepada BH Online.
Michael berkata, bagi memastikan buku yang dihasilkan berkualiti dan tidak berlaku perkara berbangkit pada kemudian hari, kerja penghasilannya dilakukan dengan hati-hati.
"Buku ini mengandungi 240 lagu lengkap dengan nota muzik serta lirik. Seramai 40 individu terbabit dalam pembikinan buku ini. Tenaga yang ramai diperlukan kerana selain membuat kajian mengenai genre lagu yang bakal dimuatkan, kumpulan ini juga menulis semula nota muzik serta lirik.
"Selain itu, kami perlu mendapatkan kebenaran setiap syarikat rakaman yang memegang hak cipta lagu. Untuk tujuan itu, kami bekerjasama dengan badan kutipan royalti berkaitan.
"Disebabkan itu, kami ambil masa yang agak lama iaitu hampir dua tahun untuk menyiapkan buku ini. Kami tidak mahu buku ini dihasilkan asal siap.
"Semua yang terbabit dalam projek ini adalah golongan profesional dan kami tidak mahu reputasi yang dibina selama ini tercalar," katanya pada pelancaran MRB di ibu negara, baru-baru ini.
Malaysian Real Book adalah antologi cetakan muzik yang mudah dimainkan dan bermanfaat untuk menjadi rujukan pemuzik profesional, pendidik, pelajar serta penggemar muzik. - NSTP/Eizairi Shamsuddin
Majlis pelancaran buku itu disempurnakan Pengerusi MyCreative Ventures Sdn Bhd, Noor Azmi Mat Said.
Untuk edisi pertama, MRB memuatkan hasil muzik beberapa genre yang disifatkan sebagai naskhah popular serta dekat dengan hati masyarakat.
"Sebanyak 240 lagu dari pelbagai genre dipilih jawatankuasa berdasarkan hasil kaji selidik serta temu bual dengan banyak pihak. Untuk edisi ini, keutamaan diberi kepada lagu klasik iaitu sebanyak 40 peratus.
"Dua puluh peratus lagi kami beri penghormatan kepada pemuzik legenda dalam genre jazz seperti Alfonso Soliano. Selebihnya adalah lagu rakyat serta pop kontemporari.
"Antara komposer tempatan yang hasil karyanya dimuatkan dalam buku ini adalah Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Datuk Johari Salleh, Fauzi Marzuki dan ramai lagi.
"Senarai lagu klasik yang kami pilih antaranya Jeritan Batinku, Getaran Jiwa, Geylang Si Paku Geylang serta lagu yang tidak asing buat peminat muzik iaitu Hijau dan Sinaran," katanya yang pernah berkhidmat sebagai pengarah muzik penghibur legenda, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad.
Mengharapkan MRB mendapat sambutan, Michael berkata, sokongan diberi secara tidak langsung mampu menjadi talian hayat untuk sesebuah lagu bertahan lama.
"Harapan saya, buku itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh sesiapa sahaja. Jika sambutan menggalakkan, kami bercadang untuk meneruskan edisi kedua.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada MyCreative Ventures Sdn Bhd yang sudi memberi dana serta individu lain dalam projek pembikinan MRB yang menelan belanja ratusan ribu ringgit ini," katanya.
Peminat muzik yang berminat untuk mendapatkan naskhah ini boleh melayari laman sesawang www.malaysianrealbook.com untuk memilikinya.
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Malaysian Real Book kumpul karya muzik. Ikut syariah, inya Allah
2 comments:
Khabarnya azam baki pegang fail rasuah kes trowong pulau pinang. Jadi galaklah presiden parti liberal ungkit ungkit sampai buat demonstrasi minta azam letak jawatan. Ada sebab rupanya tapi bukan sebab isu saham azam. Saham jadi kambing hitam. Benarlah , jika seorang fasiq bawa berita, siasatlah supaya tahu benar atau palsu.
Oooh. Nak cipta persepsi buruk buat azam. Supaya kredibiliti azam dipertikaikan dan seterusnya kredibiliti fail dipertikaikan. Bijak sangat bijak presiden liberal dalam aspek mencipta persepsi.
Post a Comment