Monday, January 03, 2022

Pelaburan Patuh Syariah di Bursa Saham Malaysia.

 


BAYAN LINNAS SIRI KE-228: PELABURAN PATUH SYARIAH DI BURSA MALAYSIA

bayan228

Mukadimah

Alhamdulillah bersyukur kehadrat Allah SWT dengan kurniaan nikmat Iman dan Islam. Selawat dan Salam ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW serta keluarga, sahabat-sahabat Baginda SAW, serta seluruh kaum Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah SWT sekalian. Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Nabi SAW telah bersabda:

الْمُؤْمِنُ القَوِيُّ، خَيْرٌ وَأَحَبُّ إلى اللهِ مِنَ المُؤْمِنِ الضَّعِيفِ، وفي كُلٍّ خَيْرٌ احْرِصْ علَى ما يَنْفَعُكَ، وَاسْتَعِنْ باللَّهِ وَلَا تَعْجَزْ

Maksudnya“Orang mukmin yang kuat (segalanya) itu, lebih baik dan lebih dikasihi Allah daripada mukmin yang lemah sedang setiap (mukmin) itu semuanya baik. Utamakanlah (berusahalah) terhadap perkara yang menjamin kemanfaatanmu dan sentiasa bermohon pertolongan Allah tanpa rasa lemah semangat.”

Riwayat Muslim (2664) dan Ibn Majah (4168)

Perkataan “Qawiy” dalam hadith di atas merupakan lafaz umum yang membawa maksud semua perkara yang membawa kepada kekuatan. Hal ini bertepatan dengan satu kaedah fiqh berikut:

الْعِبْرَةُ بِعُمُومِ الْلفظِ لاَ بِخُصُوصِ السببِ

Maksudnya: “Pengajaran diambil dengan umum lafaz bukan sebab yang khusus.”

(Lihat al-Asybah wa al-Nazhair, al-Subki, 2/134)

Allah SWT amat menyukai dalam kalangan hamba-hambaNya yang kuat berbanding yang lemah. Kuat tersebut merangkumi pelbagai aspek kehidupan manusia yang boleh membawa kepada meninggikan syiar agama itu sendiri. Antaranya ialah, kekayaan individu muslim. Kekayaan yang dimiliki oleh seorang muslim akan menjadikan mereka mempunyai kekuatan serta kemampuan dari sudut ekonomi dalam memartabatkan agama Islam. Ini termasuk dalam perkara-perkara yang disukai oleh Allah SWT.

Setiap orang Islam mestilah menanam cita-cita untuk menjadi seorang yang kaya. Keinginan terhadap perkara tersebut perlulah diselari dengan tekad dan kesungguhan dalam mengangkat taraf ekonomi kehidupan seharian ke tahap yang lebih baik. Sememangnya telah terbukti bahawa individu yang mempunyai harta kekayaan disulami dengan takwa kepada Allah SWT akan menghasilkan seorang muslim yang cukup hebat disisi Allah SWT. Justeru itu, pada kesempatan kali ini, kami kemukan di sini satu Bayan Linnas yang kami tajukkan sebagai Pelaburan Patuh Syariah di Bursa Malaysia-i.

Semoga penjelasan yang bakal diberikan ini membuka minda kita semua untuk mempelajari ilmu dunia pelaburan sebagai usaha dalam menghadapi Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0).

Pengenalan Bursa Malaysia

Bursa Malaysia adalah sebuah syarikat pemegang bursa yang ditubuhkan pada 1973 dan disenaraikan pada 2005. Hari ini, Bursa Malaysia merupakan antara bursa terbesar di ASEAN, yang menjadi tuan rumah kepada lebih daripada 900 syarikat marangkumi 20 sektor dan merentasi 49 aktiviti ekonomi. Bursa Malaysia dilengkapi dengan rangkaian perkhidmatan bursa saham termasuklah penyenaraian (‘listing’), perdagangan (‘trading’), penjelasan (‘clearing’), penyelesaian (‘settlement’) dan depositori (‘depository’).[1]

Bursa Malaysia menawarkan pelbagai instrumen yang tersenarai di tiga (3) papan dagangan saham iaitu Pasaran Utama (“Main Board”) untuk syarikat terkemuka dengan modal besar, Pasaran ACE (“ACE Market”) untuk syarikat baru yang terdiri daripada pelbagai saiz, dan Pasaran LEAP (“LEAP Market”) untuk syarikat perusahaan kecil dan sederhana.[2]

Bursa Malaysia sebagai sebuah pasaran modal dan destinasi penjanaan dana, dagangan dan pelaburan menawarkan pelbagai jenis produk yang komprehensif untuk para pelabur sama ada institusi mahupun runcit. Jenis-jenis produk dagangan dan pelaburan termasuklah saham, dana dagangan bursa (‘Exchange Traded Fund’ atau “ETF”), amanah pelaburan hartanah (‘Real Estate Investment Trust’ atau “REIT”), indeks, waran, bon dan sukuk dagangan bursa (‘Exchange Traded Bonds and Sukuk’ atau “ETBS”), produk patuh Syariah, produk pasaran derivatif, bon dan juga luar pesisir serta menyediakan pelbagai jenis pilihan pelaburan global.[3]

Kepentingan Menuntut Ilmu Pelaburan

Dalam suatu buletin yang dikeluarkan oleh berita Awani, dunia saham telah menyaksikan berlakunya “pasaran bull” terpanjang yang pernah direkodkan dalam sejarah Amerika Syarikat sejak Perang Dunia Kedua. Seperti contoh, pasaran S&P 500 mengalami peningkatan sebanyak 350% dalam tempoh ini. Namun, ramai yang terlepas peluang untuk mencipta kekayaan luar biasa sepanjang tempoh tersebut disebabkan kekurangan ilmu dan pengetahuan mengenai pelaburan.

Dalam buletin yang sama, terdapat satu kajian yang dijalankan oleh Bank Barclays di United Kingdom menunjukkan bahawa antara punca utama dan juga halangan terbesar bagi golongan muda masa kini untuk melabur adalah kekurangan ilmu pelaburan. Akibat daripada kekurangan ilmu pelaburan yang betul, ramai orang tersungkur kerana terpedaya dengan pelbagai skim yang menjanjikan bulan dan bintang seperti pulangan tetap setiap bulan.

Ilmu pelaburan adalah suatu ilmu yang penting untuk dipelajari bagi seseorang yang ingin menceburkan diri dalam bidang pelaburan sama ada pelaburan emas, saham dan sebagainya. Melalui ilmu pelaburan ini, pelbagai teknik, langkah, rahsia dan cara dapat diketahui oleh seseorang pelabur sebelum melaburkan duit mereka dalam dunia pelaburan yang mempunyai risiko dan juga turun naiknya. Tersilap langkah dalam permainan pelaburan ini boleh mendatangkan kerugian yang besar malah sehingga jutaan ringgit.

Majoriti pakar pelaburan di Malaysia turut memberikan nasihat dan juga peringatan agar mempelajari ilmu pelaburan setidaknya asas dalam ilmu pelaburan supaya para pelabur tidak tersalah langkah dalam melabur wang mereka di samping dapat merebut peluang melabur duit ataupun saham pada syarikat yang berpotensi tinggi dan sebagainya. Ini antara apa yang dikatakan oleh pakar-pakar pelaburan seperti Tuan Haji Mohd Asri Ahmad, Warren Buffet dan ramai lagi. Disebabkan itu, adanya usaha-usaha yang dilakukan oleh pakar pelaburan dengan mewujudkan kelas, seminar, laman web, perkongsian melalui media sosial dan pelbagai lagi medium digunakan bagi mendidik orang awam dalam memahami dan juga mengetahui selok-belok dunia pelaburan.

Terdapat banyak impak negatif yang boleh terhasil dari seseorang individu yang melabur saham atau melaburkan duit mereka tanpa sebarang ilmu mahupun asas dalam pelaburan. Begitulah pentingnya ilmu pengetahuan sebelum melakukan sesuatu pekerjaan ataupun perkara. Perkara ini juga turut menjadi asas dalam agama Islam iaitu hendaklah melakukan sesuatu perbuatan itu dengan ilmu.

Imam al-Bukhari meletakkan satu bab khas iaitu العلم قبل القول والعمل (Ilmu sebelum kata-kata dan perbuatan), di dalam kitabnya, yakni dia menyatakan bahawa pentingnya ilmu sebelum melakukan sesuatu perkara. [Lihat Shahih al-Bukhari, 1/24]. Dalil beliau adalah pada firman Allah SWT:

فَاعْلَمْ أَنَّهُ لَا إِلَـٰهَ إِلَّا اللَّـهُ وَاسْتَغْفِرْ لِذَنبِكَ وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِۗ وَاللَّـهُ يَعْلَمُ مُتَقَلَّبَكُمْ وَمَثْوَاكُمْ

Maksudnya“Oleh itu, maka tetapkanlah pengetahuanmu dan keyakinanmu (wahai Muhammad) bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, dan mintalah ampun kepadaNya bagi salah silap yang engkau lakukan, dan bagi dosa-dosa orang-orang yang beriman - lelaki dan perempuan; dan (ingatlah), Allah mengetahui akan keadaan gerak-geri kamu (di dunia) dan keadaan penetapan kamu (di akhirat).”

Surah Muhammad (19)

Imam al-Bukhari berkata bahawa dalam ayat ini, Allah SWT memulakan ayat dengan ilmu, فاعلم sebelum kata-kata iaitu lafaz “lailahaillah” dan sebelum perbuatan iaitu pada lafaz واستغفر لذنبك, dan tidak akan dimulakan yang utama melainkan dengan yang utama. Ini bermakna bahawa martabat ilmu adalah lebih hadapan berbanding martabat amal (perbuatan) di samping ia juga merupakan syarat sah bagi kata-kata dan perbuatan.

Imam al-Qurtubi menukilkan di dalam tafsirnya, bahawa Sufyan bin Uyaynah berkata ketika ditanya berkenaan keistimewaan ilmu: “Adakah kamu tidak mendengar akan firmanNya (ayat ini), maka disuruh melakukan setelah ada ilmu. Perkara ini boleh terlihat jelas dalam firman-firman Allah yang lain seperti ayat 20-21 surah al-Hadid, ayat 28 surah al-Anfal, ayat 14 surah al-Taghabun, ayat 41 surah al-Anfal dan lain-lain lagi. Kesemuanya menunjukkan bahawa perlunya atau pentingnya ilmu sebelum amal. [Lihat Tafsir al-Qurtubi, 16/242]

Syeikh Soleh Fauzan ketika membicarakan berkenaan bahayanya ilmu tanpa amal dan juga amal tanpa ilmu, beliau berkata bahawasanya ilmu dan amal mestilah bergerak selari. Ini kerana, ilmu adalah wasilah yakni cara atau jalan bagi perbuatan. Katanya lagi:

العمل بدون العلم غلط

Maksudnya“Amal tanpa ilmu adalah suatu kesilapan.”

Seterusnya, beliau mengaitkan kalam ini dengan dua ayat terakhir surah al-Fatihah, iaitu melalui firman Allah SWT:

اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ ﴿٦﴾ صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ ﴿٧﴾

Maksudnya“Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.”

Surah al-Fatihah (6-7)

Beliau berkata, bahawa setiap individu Muslim sememangnya membaca ayat ini di dalam setiap solat fardhu, yakni memohon petunjuk bagi jalan yang lurus iaitu jalan orang-orang yang diberikan kenikmatan oleh Allah SWT iaitu orang yang menghimpunkan ilmu yang bermanfaat bersama-sama dengan amal soleh. Dan dijauhkan dari jalan orang-orang yang Allah murkai atas sebab mempunyai ilmu tetapi mereka tidak mengamalkannya, di antara mereka adalah orang-orang Yahudi. Dan akhir, dijauhkan juga jalan orang-orang yang sesat atas sebab mereka tidak mempunyai ilmu lalu beribadat kepadaNya dalam keadaan jahil seperti pelaku-pelaku bid’ah dan juga orang nasrani. [Lihat Syarh Thalathatu al-Usul li Soleh Fauzan, hlm. 25]

Demikian juga, Allah SWT menurunkan wahyu yang pertamaNya kepada Nabi Muhammad SAW melalui Jibrail A.S iaitu dalam surah al-‘Alaq, Allah SWT berfirman:

اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ ﴿١﴾ خَلَقَ الْإِنسَانَ مِنْ عَلَقٍ ﴿٢﴾ اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ ﴿٣﴾ الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ ﴿٤﴾ عَلَّمَ الْإِنسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ ﴿٥﴾

Maksudnya“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, - Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, - Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.”

Surah al-‘Alaq (1-5)

Dr Wahbah al-Zuhaili menyatakan di dalam tafsirnya, bahawa antara maksud bagi ayat ini juga adalah Allah SWT menyuruh RasulNya supaya menjadi seorang pembaca dengan kekuasaan Allah yang menciptakanNya. [Lihat Tafsir al-Munir, 30/316]

Oleh yang demikian, berdasarkan penjelasan-penjelasan serta dalil yang telah diberikan, sungguh jelas di sini bahawa mempelajari ilmu sebelum melakukan sesuatu perkara adalah penting.

Melabur dalam Pelaburan Patuh Syariah

Pada dasarnya, hukum melabur saham adalah harus, namun ia mestilah disandarkan dengan beberapa dawabith yakni syarat antaranya adalah mestilah melabur dalam pelaburan patuh Syariah oleh kerana pelaburan yang tidak patuh Syariah berpotensi besar mengandungi unsur riba, gharar (ketidakpastian) dan sebagainya yang wajib bagi seseorang individu Muslim menjauhkan diri daripadanya.

Allah SWT telah berfirman di dalam al-Quran:

وَأَحَلَّ اللَّـهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَاۚ

Maksudnya“Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”

Surah al-Baqarah (275)

Dalam ayat ini, Allah SWT telah menyatakan larangan bagi orang Islam untuk beramal dengan perbuatan riba. Dan Allah SWT juga menjanjikan balasan serta azab yang pedih bagi mereka yang melanggarinya.

Begitu juga hukumnya bagi pelaburan dalam bank konvensional iaitu haram hukumnya kerana pelaburan tersebut tidak dibangunkan mengikut konsep pelaburan Islam dan turut melabur di dalam sektor-sektor tidak patuh Syariah yang melibatkan perjudian, riba dan juga gharar.

Oleh yang demikian, wajib bagi setiap individu muslim untuk melaburkan wang mereka di dalam pelaburan yang patuh Syariah, agar tidak tergolong dalam golongan mereka yang dijanjikan azab pedih lagi menyeksakan oleh Allah SWT di akhirat kelak. Seperti sedia maklum, Bursa Malaysia mempunyai pelbagai produk pelaburan patuh Syariah dan pada 5 September 2016, Bursa Malaysia telah melancarkan platform pelaburan patuh Syariah sepenuhnya yang pertama di dunia bagi menawarkan perkhidmatan kepada pelabur yang ingin berurus niaga dalam produk patuh Syariah menerusi perkhidmatan berlandaskan Syariah, di mana para pelabur tidak hanya melabur dalam produk pelaburan patuh Syariah tetapi juga dengan cara yang patuh Syariah sepenuhnya. Maka, tiada lagi alasan untuk tidak melabur secara patuh Syariah secara menyeluruh.

Kami ada mengeluarkan satu artikel khas berkenaan cara melabur patuh Syariah di Bursa Malaysia.[4] Kami nyatakan dalam artikel tersebut antara cara yang boleh dilakukan dalam memastikan para pelabur melabur dalam kaunter-kaunter yang patuh Syariah adalah seperti berikut:

Pertama: Menggunakan akaun dagangan patuh Syariah menerusi broker saham yang menawarkan perkhidmatan pembrokeran secara patuh Syariah (Broker Islam). Pelabur-pelabur memerlukan akaun Central Depository System (CDS) dan akaun dagangan bagi membolehkan mereka memulakan langkah jual beli saham di Bursa Malaysia. Akaun ini boleh dibuka menerusi broker saham yang berdaftar. Setiap pelabur diberi pilihan sama ada untuk membuka akaun dagangan konvensional atau akaun dagangan patuh Syariahuntuk berurus niaga dalam pasaran saham. Justeru, pastikan pelabur memilih untuk membuka akaun dagangan patuh Syariah kerana segala aktiviti dagangan dan pelaburan saham akan melalui platform Bursa Malaysia-i, iaitu saluran yang diasingkan daripada saluran konvensional bagi memastikan transaksi yang dijalankan adalah patuh Syariah secara sepenuhnya.

Kedua: Berjual beli saham patuh Syariah melalui platform Bursa Malaysia-i dapat memastikan hanya transaksi pembelian kaunter saham patuh Syariah dibenarkan. Ini sekaligus memberi kemudahan buat para pelabur bagi memastikan urusan dagangan dan pelaburan mereka bebas daripada pelaburan tidak patuh Syariah. Para pelabur boleh mengenal pasti status kaunter saham melalui penyata akaun CDS, di mana kaunter patuh Syariah ditanda dengan kod penunjuk [SP] yang bermaksud “Sekuriti Patuh Syariah”.

Ketiga: Kami cadangkan agar mempelajari dengan mendalam realiti pelaburan yang berlaku di Bursa Malaysia melalui mereka yang benar-benar ahli ikhtisas dan berkeahlian. Pada saat yang sama, mempelajari dengan lebih mendalam permasalahan muamalat dalam Islam. Ia amat penting agar sentiasa selari dengan kehendak Syariah dan tidak menyeleweng atau tersasar yang dibimbangi membawa kepada tidak patuh Syariah. Benarlah nasihat Saidina Umar ibn al-Khattab R.A:

لاْ يَبِعْ فِيْ سُوْقِنَا إِلا مَنْ قَدْ تَفَقَّهَ فِي الدِّيْنِ

Maksudnya“Jangan seseorang berjual beli di pasar kami kecuali mereka yang faqih dalam agama.”

Riwayat al-Tirmizi (487)

Galakan kepada Umat Islam Terhadap Pelaburan

Umat Islam amat digalakkan untuk melibatkan diri dengan kegiatan ekonomi demi menampung keperluan diri dan ahli keluarga serta meningkatkan taraf kehidupan masyarakat. Begitu banyak ayat al-Quran dan juga hadith-hadith Nabi Muhammad SAW yang berkait dengan kegiatan ekonomi atau transaksi muamalat. Seperti contoh, firman Allah SWT:

فَإِذَا قُضِيَتِ الصَّلَاةُ فَانتَشِرُوا فِي الْأَرْضِ وَابْتَغُوا مِن فَضْلِ اللَّـهِ وَاذْكُرُوا اللَّـهَ كَثِيرًا لَّعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya“Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).”

Surah al-Jumu’ah (10)

Demikian juga firman Allah SWT:

وَآخَرُونَ يَضْرِبُونَ فِي الْأَرْضِ يَبْتَغُونَ مِن فَضْلِ اللَّـهِ

Maksudnya“Dan yang lainnya orang-orang yang musafir di muka bumi untuk mencari rezeki dari limpah kurnia Allah.”

Surah al-Muzammil (20)

Firman Allah SWT juga:

وَالَّذِينَ يَكْنِزُونَ الذَّهَبَ وَالْفِضَّةَ وَلَا يُنفِقُونَهَا فِي سَبِيلِ اللَّـهِ فَبَشِّرْهُم بِعَذَابٍ أَلِيمٍ

Maksudnya“Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”

Surah al-Taubah (34)

Dalam kesemua ayat ini, dengan jelas Allah SWT menyuruh manusia agar bertebaran mencari rezeki yang halal di muka bumi Allah SWT dengan berlandaskan kepada syariat yang telah ditetapkan. Begitu juga Islam melarang manusia menyimpan harta mereka tanpa dibelanjakannya atau dikeluarkannya pada jalan yang betul.

Selain itu, dalam satu hadith Mursal yang diriwayatkan oleh Yusuf bin Mahak al-Makki bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:

ابتغوا في مالِ اليتيمِ، أو في مالِ اليتامى لا تُذهِبُها أو لا تَستَهْلِكُها الصدقةُ

Maksudnya: “Carilah kelebihan (perniagakanlah) dalam harta anak yatim atau harta anak-anak yatim supaya ia tidak hilang atau dibinasakan oleh sadaqah (zakat).”

Riwayat al-Baihaqi (10983) [Lihat al-Sunan al-Kubra li al-Baihaqi, 6/4]

Maksud dari hadith ini menyarankan agar harta anak yatim diambil untuk diperniagakan membuktikan bahawa perniagaan adalah salah satu cabang pelaburan dan aktiviti yang digalakkan oleh Islam. Justeru hadith ini jelas membuktikan tentang keharusan aktiviti pelaburan di dalam Islam.

Bukan itu sahaja, Maqasid Syariah Islam yang lima turut menekankan aspek kepentingan menjaga harta, dan di dalam aspek tersebut, disebut juga berkenaan penjagaan harta termasuklah dengan cara perkembangan harta yakni pelaburan dan sebagainya. [Lihat Maqasid al-Syariah al-Islamiyyah, hlm.32]

Pelaburan atau الاستثمار sesungguhnya merupakan satu aktiviti yang digalakkan oleh Islam kerana ia adalah nadi kepada kemajuan umat. Pelaburan memberi banyak faedah kepada pengguna dana pelaburan secara khusus dan juga masyarakat secara umum. Di samping itu, ia juga memberi keuntungan kepada para pelabur itu sendiri, sama ada sebagai individu atau organisasi seperti syarikat dan perbadanan. Terlalu banyak kelebihan pelaburan sepertimana dinyatakan pakar-pakar pelabur terhadap seseorang individu, masyarakat dan juga negara.

Tuntasnya, kami nyatakan di sini bahawa Islam amat menggalakkan umatnya untuk melaburkan wang mereka, agar dapat membantu meningkatkan ekonomi diri sendiri, keluarga dan juga masyarakat serta negara amnya. Namun, galakan di sini hendaklah dilakukan dan dilaksanakan atas landasan dan juga dasar syariat yang telah ditetapkan oleh Islam melalui al-Quran, sunnah Nabi dan juga pelbagai sumber hukum yang lain.

Konsep Halal Dan Haram Dalam Pelaburan

Islam merupakan agama yang syumul dengan meliputi segenap aspek kehidupan termasuklah urusan jual-beli, perdagangan dan pelaburan. Justeru itu, al-Quran yang diturunkan sebagai wahyu kepada umat manusia melalui utusan agung, Nabi Muhammad SAW telah menerangkan asas dan prinsip utama dalam setiap perkara. Firman Allah SWT:

وَنَزَّلْنَا عَلَيْكَ الْكِتَابَ تِبْيَانًا لِّكُلِّ شَيْءٍ وَهُدًى وَرَحْمَةً وَبُشْرَىٰ لِلْمُسْلِمِينَ

Maksudnya: Dan Kami turunkan kepadamu Al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita yang mengembirakan, bagi orang-orang Islam.”

Surah al-Nahl (89)

Islam telah meletakkan satu konsep halal dan haram yang jelas dalam segala bentuk akad jual-beli. Antaranya ialah Islam menetapkan bahawa jual-beli tersebut hendaklah diredhai oleh kedua-dua pihak yang terlibat. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu.”

Surah al-Nisa’ (29)

Islam amat menitik beratkan kualiti dalam kehidupan seseorang muslim. Oleh itu, kita dapat lihat Islam menyuruh umatnya untuk sentiasa mencari sumber rezeki daripada sumber yang halal lagi baik. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ وَاشْكُرُوا لِلَّـهِ إِن كُنتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya.”

Surah al-Baqarah (172)

Begitu juga dalam firman Allah SWT yang lain, terdapat gambaran bahawa walaupun berada dalam keadaan yang dianggap susah dan sempit, umat Islam masih juga dituntut untuk mencari sumber rezeki yang halal dan terbaik. Hal ini seperti yang dizahirkan di dalam kisah Ashab al-Kahfi, iaitu dalam ayat 19:

فَابْعَثُوا أَحَدَكُم بِوَرِقِكُمْ هَـٰذِهِ إِلَى الْمَدِينَةِ فَلْيَنظُرْ أَيُّهَا أَزْكَىٰ طَعَامًا فَلْيَأْتِكُم بِرِزْقٍ مِّنْهُ وَلْيَتَلَطَّفْ وَلَا يُشْعِرَنَّ بِكُمْ أَحَدًا

Maksudnya: Sekarang utuslah salah seorang dari kamu, membawa wang perak kamu ini ke bandar; kemudian biarlah dia mencari dan memilih mana-mana jenis makanan yang lebih baik lagi halal (yang dijual di situ); kemudian hendaklah ia membawa untuk kamu sedikit habuan daripadanya; dan hendaklah ia berlemah-lembut dengan bersungguh-sungguh (semasa di bandar); dan janganlah dia melakukan sesuatu yang menyebabkan sesiapapun menyedari akan hal kamu.”

Surah al-Kahfi (19)

Imam al-Tabari dalam mentafsirkan ayat ini menyebutkan bahawa mereka meminta untuk mencari makanan yang halal lagi baik kerana mereka telah mengasingkan diri daripada kaum mereka yang menyembah berhala, maka tidak halal bagi mereka untuk memakan sembelihan kaum mereka itu. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 8/204).

Selain itu juga, Islam mengharamkan mendapatkan harta dengan cara yang salah dan tidak baik seperti yang mempunyai unsur-unsur riba, penindasan, ketidakadilan, penipuan (gharar) dan seumpamanya. Sebaliknya, Islam menggalakkan dan menyuburkan perkara-perkara yang mewujudkan kemaslahatan dan manfaat kepada umat manusia keseluruhan. Hal ini dapat dilihat apabila Islam mewajibkan umatnya untuk membayar zakat, mengalakkan mereka memberi sedekah, berwaqaf dan memberi sumbangan apa yang termampu. Firman Allah SWT:

يَمْحَقُ اللَّـهُ الرِّبَا وَيُرْبِي الصَّدَقَاتِ ۗ وَاللَّـهُ لَا يُحِبُّ كُلَّ كَفَّارٍ أَثِيمٍ

Maksudnya: Allah susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba dan Ia pula mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya. Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang kekal terus dalam kekufuran, dan selalu melakukan dosa.”

Surah al-Baqarah (276)

Justeru itu, jika sekiranya sudah terdapat dan tersedia sumber-sumber yang halal lagi baik, maka tidak perlu lagi untuk mengalih pandangan kepada sumber yang kurang baik, apatah lagi kepada sumber-sumber yang haram. Firman Allah SWT:

قَالَ أَتَسْتَبْدِلُونَ الَّذِي هُوَ أَدْنَىٰ بِالَّذِي هُوَ خَيْرٌ

Maksudnya: "Adakah kamu mahu menukar sesuatu yang kurang baik dengan meninggalkan yang lebih baik?”

Surah al-Baqarah (61)

Konsep asas berkaitan halal dan haram ini menjadi panduan dan rujukan dalam apa jua perkara yang melibatkannya, termasuklah di dalam pelaburan saham. Oleh yang demikian, adalah menjadi kewajipan semua umat Islam untuk berurus niaga dengan sumber-sumber yang halal lagi baik. Jika sekiranya ia sudah sedia ada dan terdapat, maka tidak perlu lagi kepada sumber-sumber yang haram.  Syariat yang diturunkan oleh Allah SWT ini seharusnya dijadikan landasan yang tidak sewajarnya kita keluar daripadanya menyebabkan kita terpesong dari ajaran Islam.

KONSEP UNTUNG RUGI DARIPADA PERSPEKTIF ISLAM

Sepertimana tujuan perniagaan yang lain, Islam juga turut mementingkan untuk mendapat perolehan keuntungan yang tertinggi (profit-oriented). Walaubagaimanapun, Islam berbeza dari sudut prinsip dan matlamat utamanya (ultimate goal). Matlamat yang lebih utama dalam perniagaan bagi seseorang yang beriman adalah untuk mendapat keredhaan Allah SWT. Adapun keuntungan tersebut adalah sebagai satu wasilah dan cara untuk mencari rezeki Allah SWT dengan tidak menjadikannya sebagai halangan daripada beribadah dan mengingati-Nya. Firman Allah SWT:

رِجَالٌ لَّا تُلْهِيهِمْ تِجَارَةٌ وَلَا بَيْعٌ عَن ذِكْرِ اللَّـهِ وَإِقَامِ الصَّلَاةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ ۙ يَخَافُونَ يَوْمًا تَتَقَلَّبُ فِيهِ الْقُلُوبُ وَالْأَبْصَارُ

Maksudnya: (Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.”

Surah al-Nur (37)

Hal ini juga dapat dilihat bahawa Allah SWT memerintahkan supaya orang yang beriman meninggalkan perniagaan mereka apabila diseru untuk mendirikan solat Jumaat. Ini menunjukkan bahawa walaupun seseorang boleh mendapat keuntungan yang lebih jika tetap meneruskan perniagaan, namun seruan Allah SWT dan keredhaan-Nya adalah lebih utama untuk dicapai. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّـهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).”

Surah al-Jumu’ah (9)

Disamping itu juga, dalam apa jua proses perniagaan dan pelaburan, pihak yang terlibat di dalamnya pasti akan berhadapan dengan risiko kerugian. Tiada perniagaan yang sah yang hanya menjanjikan keuntungan sepenuhnya tanpa sebarang risiko untuk rugi. Hal ini berdasarkan kepada satu kaedah fiqh yang masyhur:

الغُنم بالغُرم

Maksudnya: Perolehan keuntungan adalah dengan menghadapi risiko kerugian.”

Begitu juga dalam satu hadith bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الخراج بالضمان

Maksudnya: “Keuntungan (hasil pelaburan) mesti dengan menghadapi risiko dan jaminan (barang jaminan adalah selamat, bermakna tiada keuntungan yang dijanjikan).”

Riwayat Ibn Hibban (4928)

Disamping itu juga, Islam mencela golongan-golongan kaya yang memonopoli  kekayaan sesama mereka tanpa diagihkan, sedangkan terdapat golongan di bawah mereka dalam keadaan kemiskinan dan kesempitan. Allah SWT berfirman:

كَيْ لَا يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ الْأَغْنِيَاءِ مِنكُمْ

Maksudnya: “Supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu.”

Surah al-Hasyr (7)

Oleh sebab itu, Islam telah mensyariatkan ibadah zakat dan sedekah bagi memastikan bahawa keuntungan perniagaan yang diperoleh oleh golongan yang kaya tetap mengalir kepada golongan yang memerlukan dan tidak dimonopoli oleh mereka sahaja. Firman Allah SWT:

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْ ۗ وَاللَّـهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

Surah al-Taubah (103)

Penutup

Kesimpulannya, setiap umat Islam perlu berusaha dalam membina kekayaan dunia bagi menjamin kehidupan di dunia tanpa melupakan bekalan untuk akhirat mereka. Ini kerana kekayaan dunia juga boleh dijadikan sebagai satu modal dan saham untuk kehidupan akhirat bagi mereka yang bijak menggunakannya. Ini berdasarkan kepada satu kata-kata Imam al-Syafie’:

من أراد الدنيا فعليه بالعلم، ومن أراد الآخرة فعليه بالعلم

Maksudnya: “Barangsiapa yang menginginkan dunia maka hendaklah dengan ilmu, barangsiapa yang menginginkan akhirat, maka hendaklah dengan ilmu, barangsiapa yang menginginkan keduanya, maka hendaklah dengan ilmu.” [Lihat Manaqib al-Syafie’, 2/139]

Ilmu berkaitan pelaburan adalah ilmu yang telah bertapak di Malaysia sejak dulu lagi. Namun begitu, angka dan statistik menunjukkan masih teramat kurang penglibatan dari kalangan rakyat Malaysia khususnya orang Islam dalam bidang tersebut. Perkara ini amatlah merugikan kerana bidang tersebut adalah satu ‘lubuk kekayaan’ yang telah dibuktikan sendiri oleh pemain-pemain pelaburan dunia seperti Warren Buffett dan lain-lain. Justeru, ilmu bidang pelaburan perlu dipelajari oleh orang Islam bagi mengangkat ekonomi umat Islam pada tahap yang lebih tinggi.  Tanpa ilmu pelaburan yang betul akan menjadikan mereka ketinggalan dan merugikan daripada pelbagai aspek.

Semoga penjelasan yang diberikan ini memberi gambaran dan pencerahan kepada kita semua untuk terus meningkatkan taraf ekomoni umat Islam kepada yang lebih baik. Kami sudahi dengan sepotong doa:

اَللَّهُمَّ يَا غَنِيُّ يَا حَمِيْدُ يَا مُبْدِئُ يَا مُعِيْدُ يَا رَحِيْمُ يَا وَدُوْدُ أَغْنِنِيْ بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ وَبِطَاعَتِكَ عَن مَعْصِيَتِك وبِفضْلك عمَّنْ سِواك

Maksudnya: “Ya Allah, Wahai Yang Maha Kaya, Wahai Yang Maha Terpuji, Wahai Yang Maha Memulai, Wahai Yang Maha Mengembalikan Kehidupan, Wahai Yang Maha Penyayang, Wahai Yang Maha Mengasihani, kayakanlah kami dengan harta yang engkau halalkan jauh dari harta haram, dan dengan ketaatan padaMu dari bermaksiat padaMu, dan anugerah darimu bukan selain Engkau.

Rujukan:

[1] Lihat laman web Bursa Malaysia, https://www.bursamalaysia.com/

[2] Lihat laman web Bursa Malaysia, https://www.bursamalaysia.com/

[3] Lihat laman web Bursa Malaysia, https://www.bursamalaysia.com/

[4] Lihat artikel Al-Kafi #1087: Cara Melabur Patuh Syariah Di Bursa Saham Kuala Lumpur (Bskl), pada pautan berikut: https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3089-al-kafi-1087-cara-melabur-patuh-syariah-di-bursa-saham-kuala-lumpur-bskl

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails