TEMERLOH: Dewan Muslimat PAS Negeri Pahang telah mengadakan ziarah mahabah dan menyantuni mangsa banjir dalam Misi Bantuan Pasca Banjir di Kampung Kelubi, Lanchang, di sini kelmarin dahulu.
Menerusi inisiatif ini, rombongan mengedarkan sumbangan seperti peralatan dapur memasak, kelengkapan tidur, set solat, set penyucian dan barangan makanan serta menyuntik semangat mangsa-mangsa banjir setempat.
Ketua Muslimat PAS Pahang, Ustazah Salamiah Mohd Nor memimpin misi ini diiringi Ketua Muslimat PAS Kawasan Temerloh, Ustazah Alawiyah Kasdan dan Pengerusi Lajnah Kebajikan Muslimat PAS Temerloh, Siti Zakiah Derani.
Menurut seorang penduduk, Mauji Md Diah, rumahnya dibina setinggi 20 kaki, namun semasa banjir air setinggi 18 kaki tinggi dan hampir mencecah atap rumahnya di mana para penduduk terpaksa berlindung di atas bukit berdekatan.
Menurutnya lagi, semasa banjir 4 tahun lalu telah memusnahkan surau di sini dan masalah tersebut telah disuarakan kepada pihak berwajib dan penduduk di janjikan pembinaan semula surau tersebut, namun penantian itu menghampakan.
Mereka juga mengadu, terdapat 14 rumah yang semuanya masih menggunakan air perigi digali hampir 45 tahun lalu dan tiada kemudahan jalan raya sempurna, turut tidak mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak berwajib.
Selain itu, terdapat dua rumah hanyut dibawa arus banjir dan sebuah rumah beralih dari tiang asal rumah di mana buat masa ini para penghuninya berlindung di dalam khemah sumbangan daripada NGO yang datang ke sini baru-baru ini.
“Kita berasa terkilan dan sedih walaupun Malaysia sudah merdeka lebih 65 tahun, masih ada rakyat yang belum menerima sumber air paip yang bersih dan kemudahan jalan raya yang baik.
“Dalam keadaan banjir seperti ini, tentulah air perigi menjadi kotor dan mereka sangat memerlukan air yang bersih. Saya akan suarakan isu ini kepada pihak berkenaan.
“Pihak berwajib perlu memastikan penduduk mendapat keperluan air paip yang bersih, membina jambatan konkrit yang kukuh dan selamat bagi menggantikan jambatan gantung yang sedia ada demi kebaikan ‘Keluarga Malaysia’ khususnya di DUN Lanchang,” kata Salamiah.
Alawiyah pula dalam pada itu menyeru lebih banyak agensi-agensi, NGO, kerajaan negeri dan mana-mana negeri yang ingin membantu terutama dari sudut kebajikan untuk menyediakan kemudahan air di kampung itu.
“Begitu juga dari sudut kemudahan jalan raya tiada dan masih menggunakan jambatan gantung yang hanya boleh dilalui motosikal untuk menyeberang ke jalan utama yang mana laluan pantas anak-anak ke sekolah dan penduduk keluar ke bandar.
“Kepada kerajaan negeri, jangan rugi untuk memberi hak kepada rakyat kerana mereka berhak dan berilah bantuan sesegera yang mungkin.
“Moga Allah permudahkan urusan kerajaan negeri Pahang, ambil cakna dan mengambil berat kepada rakyat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 17/1/2022
..
No comments:
Post a Comment