KUALA LUMPUR: Semua Menteri di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob sudah menunjukkan prestasi yang ditetapkan, demikian kata Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Nik Abdullah.
Jelas beliau yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan, Perdana Menteri tentunya lebih tahu untuk menilai prestasi barisan Kabinet beliau dalam melaksanakan tugas di kementerian masing masing.
“Kita serah kepada PM (Perdana Menteri), dia lebih kenal (Menteri) dan apa hasrat PM. Dia lebih tahu, mungkin kita tengok sudut ini, tapi PM tengok sudut lain, KPI berlainan.
“PM lantik seseorang ada KPI dia nak, nak tukar atau tidak (itu) kuasa PM. Saya tengok secara umumnya menteri-menteri kita sudah laksanakan tugas dia,” kata beliau lapor Astro Awani.
Beliau sebaliknya meminta pihak yang mempersoalkan prestasi Menteri Kabinet supaya menyatakan kayu pengukur prestasi yang digunakan terhadap dakwaan tidak mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) ditetapkan.
Mohd Amar turut berkata, sukar menentukan pencapaian dalam tempoh singkat kerana pentadbiran kerajaan pimpinan Ismail Sabri baru sahaja bermula ditambah setiap perancangan kebiasaannya mengambil masa enam bulan hingga setahun untuk melihat hasilnya.
Justeru, tegas beliau, tidak adil untuk melihat sesuatu keberhasilan itu dalam tempoh masa singkat, selain pelbagai cabaran antaranya COVID-19, banjir dan lain-lain perlu diambil kira yang menyebabkan ruang untuk mereka berperanan sangat terhad. – HARAKAHDAILY 13/1/2022
No comments:
Post a Comment