Lompat dari pentas elak terkena semburan arak
SYDNEY: Arak menyebabkan ahli sukan Muslim berdepan masalah untuk meraikan kemenangan dalam pertandingan antarabangsa seperti yang dilalui oleh pemain kriket Australia, Ahad lalu.
Pemain kelahiran Islamabad, Pakistan, Usman Khawaja, melompat dari pentas apabila rakan sepasukannya membuka penutup botol champagne untuk menyembur arak bagi meraikan kemenangan 4-0 Australia terhadap England dalam Siri Ashes.
Klip video memaparkan Usman, melompat dari pentas di Hobart’s Bellerive Oval untuk mengelakkan terkena semburan champagne menjadi viral di media sosial.
Namun, Usman bernasib baik kerana kapten pasukannya, Pat Cummins, yang menyaksikan tindakan itu, segera meminta rakan sepasukan lain meletakkan botol arak di tepi dan memanggilnya kembali ke pentas dengan menggunakan gerak isyarat tangannya.
Usman yang bermain dalam dua perlawanan terakhir siri lima perlawanan ujian, kembali ke pentas dan berlutut di sisi Cummins ketika anggota pasukan itu bersorak riang di hadapan kamera.
Tindakan Cummins memastikan Usman, pemain kriket Muslim pertama Australia, tidak terkena arak ketika meraikan kemenangan itu.
“Anggota pasukan kami datang dari pelbagai latar belakang. Perbezaan ini perlu diraikan. Anda mahu memastikan setiap orang selesa menjadi sebahagian pasukan ini.
“Mereka (anggota pasukan) sangat menakjubkan di ruang itu. Mereka selalu memerhatikan antara satu sama lain. Kami benar-benar sebuah kumpulan yang rapat,” kata Cummins.
Cummins berpandangan bahawa antara faktor menyebabkan mereka mengenepikan botol arak itu kerana sikap saling menghormati dan menyayangi antara satu sama lain serta mahu memastikan setiap anggota pasukan diabadikan dalam foto.
Usman yang bermain buat kali pertama perlawanan ujiannya dalam tempoh lebih 2 tahun, memukul ratusan kali setiap kali gilirannya dalam perlawanan keempat di Sydney.
Memulakan giliran di Hobart, pemain kidal itu membuat 6 dan 11 jaringan, serta muncul sebagai penjaring kelima tertinggi dalam lima perlawanan siri ujian itu.
Usman menjadikan Twitter sebagai platform untuk mengucapkan terima kasih kepada Cummins kerana memberikan gerak isyarat supaya kembali ke pentas.
“Saya menghargai tindakan rakan sepasukan yang sanggup menghentikan meraikan kemenangan dengan champagne supaya dapat bersama mereka. Nilai ini dalam sukan sangat penting. Saya berpendapat kami sedang bergerak ke arah yang betul,” katanya.
Tindakan Cummins memberi gerak isyarat dipuji peminat, termasuk mantan pemain kriket England, Isa Guha yang berkata: “pemimpin yang baik sentiasa melihat pasukan secara keseluruhan dan menghormati setiap orang secara saksama.”
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Terlompat dari pentas kerana najis arak punya hal. Tanda-tanda mereka ada iman dan Islam. Allahu akbar!
Terlompat dari pentas kerana najis arak punya hal..
𝗝𝗮𝘄𝗮𝗽𝗮𝗻 𝗗𝗿 𝗠𝗔𝗭𝗔: Terima kasih kepada yang bertanya. Harap saudara fahami perkara-perkara berikut yang saya jelaskan;
1. Isu alkohol najis ataupun tidak bertitik tolak dari perbincangan klasik para ulama silam apakah arak itu najis ataupun tidak. Oleh kerana alkohol jenis ethanol atau ethylacohol atau disebut juga grain alcohol merupakan bahan asasi arak yang menjadikan punca sesuatu minuman memabukkan, maka alkohol itulah asas arak atau khamr. Maka, alkohol berada bawah perbincangan arak najis atau tidak.
2. Para sarjana telah sepakat tanpa kecuali (ijmak) bahawa arak itu haram diminum dengan nas-nas syarak yang qat’i (putus tanpa tafsiran lain). Perbincangan najis atau tidak arak tidak berkaitan dengan pengharaman meminum arak. Ia berkaitan apakah bahan itu bersih atau najis jika terkena tubuh atau pakaian kita atau barang kegunaan kita.
3. Perbezaan pandangan itu timbul disebabkan beberapa perkara, antaranya kaedah asas bahawa sesuatu bahan itu bersih sehingga terbukti najis. Maka, untuk membukti arak najis, ia memerlukan nas syarak kerana bahan asal arak biasanya daripada bahan-bahan yang bersih seperti buah-buahan. Dari sinilah berlakunya khilaf dalam kalangan fuqaha (ahli fekah). Ada golongan yang mendatangkan nas yang menunjukkan ia najis, dan ada pula yang menafikan penghujahan tersebut.
4. Pendapat jumhur (majoriti) fuqaha menyatakan arak itu najis. Asas pegangan mereka dalam hal ini ialah firman ALLAH dalam Surah al-Maidah ayat 90:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
(maksudnya): “Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, berhala, dan batang-batang anak panah untuk menilik nasib, adalah (semuanya) rijs dari perbuatan syaitan. Maka, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya”.
Perkataan (رجس) rijs dalam ayat tadi telah ditafsirkan oleh majoriti ulama sebagai najis. Maka dengan itu arak dihukum najis, jika terkena pada pakaian maka tidak sah solat. Pendapat ini dipegang oleh majoriti ulama dalam empat mazhab utama khususnya di zaman klasik dahulu.
5. Pendapat kedua menyatakan bahawa arak tidak najis. Ia haram diminum tapi tidak najis. Pendapat ini dipegang oleh al-Imam al-Rabi’ah bin Abi ‘Abd al-Rahman (meninggal 136H) guru al-Imam Malik, al-Imam al-Laith bin Sa’ad (meninggal 174H) dan anak murid al-Imam al-Syafi’i yang terkenal iaitu al-Imam al-Muzani (meninggal 264H). Bahkan kebanyakan tokoh-tokoh ulama mutakhirin seperti al-San’ani (meninggal 1182H), al-Imam al-Syaukani (meninggal 1250H), al-Imam Sadiq Hasan Khan (meninggal 1307H) dan ramai lagi berpendapat tidak najis. Demikian ramai tokoh-tokoh ulama di zaman ini yang berpendapat tidak najis seperti al-Syeikh Rashid Rida (meninggal 1354H), al-Syeikh Ahmad Syakir (meninggal 1377), al-Syeikh Muhammad Tahir ibn ‘Asyur (meninggal 1394H), al-Syeikh Muhammad Salih ibn al-Uthaimin (meninggal 1421H), al-Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi dan ramai lagi.
6. Antara hujah mereka ialah kaedah (الأصل في الأشياء الطهارة) iaitu hukum asal bagi setiap benda adalah bersih. Maka, selagi tiada dalil yang menunjukkan najis maka kekal atas sifat asal. Adapun dalil ayat 90 Surah al-Maidah itu, tidak diterima kerana perkataan rijs tidak semestinya bermaksud najis hakiki (hissi). Ia boleh bermaksud kotor dari segi nilai (maknawi). Untuk mendekatkan faham, dalam Bahasa Melayu kita sebut ‘najis dadah’ bukan bahan itu najis tetapi nilainya najis.
7. Mereka juga berhujah dengan ayat tersebut yang menyatakan “Sesungguhnya arak, judi, berhala, dan batang-batang anak panah untuk menilik nasib, adalah (semuanya) rijs dari perbuatan syaitan”. Jika arak najis maka judi, batu berhala, anak panah untuk menenung nasib juga najis hissi (hakiki). Tiada siapa yang menyatakan batu berhala, atau wang atau bahan judi, atau anak panah semua itu najis yang membatalkan solat. Lebih jelas lagi, ayat tersebut menyebut “...dari perbuatan syaitan” ertinya maknawinya jijik, bukan hakikatnya ia najis.
8. al-Imam al-Nawawi (676H) dalam al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab ketika menyebut penghujahan jumhur yang menyatakan arak najis, beliau sendiri menolak hujah menggunakan ayat 90 Surah al-Maidah tersebut sebagai alasan arak najis. Kata al-Nawawi: “Tidak zahir dari ayat tersebut dalil yang jelas kerana perkataan al-rijs di sisi ahli bahasa ialah القذر (cemar) dan itu tidak semestinya najis. Demikian juga perintah agar menjauhi arak, itupun tidak semestinya disebabkan ia najis”. (2/564. Beirut: Dar al-Fikr)
9. Kata al-Imam al-Syaukani: “Tiada dalil sah yang boleh diterima untuk dipegang berkaitan kenajisan minuman yang memabukkan (arak)” (al-Syaukani: al-Sail al-Jarar, 1/25. Beirut: Dar Ibn Hazm). Sementara al-Imam Ibn ‘Asyur dalam tafsirnya -ketika menafsirkan ayat 90 Surah al-Maidah berkaitan arak tersebut- berkata: “Pemerhatian terhadap ayat menunjukkan bahawa arak bukanlah najis al-‘ain (pada zat). Hala tuju ayat itu jauh dari maksud kenajisan pada zatnya, sebaliknya hanya yang dimaksudkan ia jijik pada maknawi. Justeru itulah Allah menyifatkannya sebagai amalan syaitan. Kemudian Allah menerangkan selepas ayat itu dengan firmanNYA: “Sesungguhnya syaitan ingin mengujudkan permusuhan antara kamu”. Demikian juga, kerana najis itu berasaskan kepada kejijikan dan kekotoran, sedangkan arak tidak begitu”.(Ibn ‘Asyur, al-Tahrir wa al-Tanwir, 7/26. Tunisia: al-Dar al-Tunusiyyah li al-Nasyr).
10. Kita perlu faham bahawa bukan semua bahan yang haram itu najis. Emas dan sutera haram dipakai oleh lelaki tapi tidak najis. Racun, buah dan daun yang memabukkan haram dimakan tapi tidak najis. Ertinya, haram tidak semestinya najis, namun setiap yang najis pastinya haram. Kata al-Imam al-San’ani : “Sebenarnya, bahawasanya hukum asal sesuatu bahan itu adalah bersih. Sesungguhnya pengharaman tidak semesti menjadikannya najis. Kanabis haram tapi bersih. Demikian juga dadah dan racun yang membunuh (hukumnya haram tapi) tiada dalil kenajisannya. Adapun najis semestinya diharamkan. Maka, setiap yang najis itu diharamkan dan bukan sebaliknya”. (al-San’ani, Subul al-Salam, 1/55. Beirut: Dar al-Ma’rifah).
11. Dengan menerima pendapat yang menyatakan arak tidak najis, maka banyak instutusi dan badan fatwa mengeluarkan pandangan memboleh penggunaan alcohol terutamanya untuk tujuan penggunaan perubatan. Antaranya, Islamic Organization for Medical Sciences Kuwait (المنظمة الإسلامية للعلوم الطبية بالكويت) yang bersidang pada 22-24 Zulhijjah 1415H bersamaan dengan 22-24 Mei 1995M memutuskan antaranya: “Bahan alkohol tidak najis di sisi syarak berdasarkan apa yang telah diputuskan iaitu ‘hukum asal sesuatu bahan adalah bersih, sama ada alkohol itu sepenuhnya atau campuran dengan air. Ini berasaskan tarjih pendapat yang menyatakan kenajisan arak dan semua bahan memabukkan ialah kenajisan maknawi (nilai) bukan hissi (zat bahan). Berasaskan ini, maka tidak menjadi kesalahan syarak menggunakan alkohol untuk tujuan perubatan seperti anticeptic dan disinfectant untuk kulit, luka dan alatan. Juga untuk tujuan wangian (cologne water) yang mana alkohol digunakan sebagai pelarut bagi teras bahan wangian, atau menggunakan krim yang ada alkohol”.
12. Saya berpendapat, jika para ulama silam yang menyatakan arak itu najis hidup di zaman ini dan melihat kepentingan alkohol untuk manusia yang bukan bertujuan sebagai minuman yang memabukkan, mungkin mereka akan memberikan fatwa yang berbeza.
13. Berdasarkan apa yang dibahaskan di atas, maka 𝒌𝒆𝒔𝒊𝒎𝒑𝒖𝒍𝒂𝒏𝒏𝒚𝒂 pada pandangan kebanyakan ulama di zaman moden ini, alkohol tidak najis dan boleh digunakan untuk tujuan selain dari minuman memabukkan. Jika seseorang enggan menggunakannya atas alasan berpegang pada pendapat klasik majoriti ulama dahulu, maka itu adalah pilihan untuk dirinya. Adalah haknya untuk mengamalkan pendapat tersebut. Ini dengan syarat dia tidak membebankan pihak lain yang menganggap bahan itu boleh digunakan terutama apabila dia bertugas di tempat yang menggunakan bahan tersebut untuk awam.
Puak liberal sesat lagi menyesatkan menghalalkan arak dll dengan mendakwa konon itu adalah hak kebebasan peribadi.
ReplyDeleteSebab itulah puak liberal boleh bersekongkol dengan puak kafir berjuang menegakkan industri dosa besar dan mempertikai ajaran Islam.
Golongan jahiliah pula berkata mereka bebas minum arak kerana dosa itu antara mereka dan tuhan sahaja. Itulah manusia bodoh sombong yang percaya neraka itu tempat berkelah.
ReplyDeletePuak liberal ni lebih peka bab harta spt rasuah. Bab aqidah spt arak sikit tak sentuh sebab nak jaga hati parti legasi komunis. Bab jawi pun pengikut liberal tak mahu bersama melayu sebagaimana dap dan mca menentang jawi.
ReplyDelete