KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) diarah segera menyelesaikan isu kakitangan TH Hotel Kelana Jaya (THKJ) dilarang memakai songkok dan kopiah ketika bertugas. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad, menegaskan bahawa pemakaian songkok dan kopiah oleh kakitangan hotel ketika bertugas, tidak sepatutnya menjadi masalah.
Justeru, katanya, beliau sudah menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin, semalam, dan meminta perkara itu diselesaikan dengan segera.
"Tiada masalah sebenarnya (memakai songkok dan kopiah ketika bertugas) asalkan bersih, kemas, selamat, tertib, menutup aurat dan seragam. "Saya meminta CEO TH segera menyelesaikan isu ini," katanya dalam satu hantaran melalui Facebook beliau, semalam.
Beliau mengulas satu memorandum bertarikh 14 Januari lalu dikeluarkan pihak pengurusan THKJ, yang antara lain meminta semua kakitangan hotel itu untuk tidak memakai songkok atau kopiah ketika bertugas, kecuali sewaktu menunaikan solat.
Tabung Haji Hotel Kelana Jaya (THKJ) mengeluarkan memorandum pemakaian ketika bertugas.- Foto Facebook Idris Ahmad
Memorandum itu turut meminta kakitangan THKJ untuk berpakaian kemas, termasuk memakai kasut bertutup serta menjaga kebersihan diri ketika bertugas. Memorandum itu yang turut dikongsikan Idris melalui Facebook, ditandatangani oleh Pengurus Hotel THKJ, Mohamad Nazrul Nazib Nasihin.
Ketika mendapatkan penjelasan daripada Amrin berhubung memorandum terbabit, Idris berkata, beliau dimaklumkan bahawa ia dikeluarkan tanpa maklum balas daripada pihak pengurusan TH terlebih dahulu.
"Lepas balik dari solat isyak, saya mendapat maklumat mengenai memorandum THKJ. Terus hubungi CEO TH.
"Ini maklum balas CEO kepada saya. Memo dikeluarkan oleh Pengurus Hotel tanpa maklum balas (pengurusan TH)," katanya.
2. Kenyataan Menteri Agama isu viral remaja mencuri di masjid
KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad mengambil maklum terhadap isu tular mengenai pengurusan sebuah masjid memandikan seorang remaja yang mencuri di masjid baru-baru ini.
Katanya, ingin ditegaskan bahawa perbuatan mencuri atas apa alasan sekalipun adalah merupakan suatu perbuatan yang dilarang dalam Islam.
“Pesalah wajar dihakimi dengan seadil-adilnya,” ujarnya dalam kenyataan media, malam tadi.
Beliau menambah, perbuatan orang ramai termasuk pengurusan masjid yang mengambil sebarang bentuk hukuman sendiri terhadap orang yang disyaki adalah amat tidak wajar.
Katanya lagi, perkara seumpama itu sepatutnya diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya.
“Saya juga ingin menasihatkan orang ramai termasuk pihak pengurusan masjid agar tidak terjebak dengan sentimen tertentu atau cuba mengambil tindakan sendirian sehingga boleh menyebabkan kezaliman kepada orang yang disyaki,” ujar beliau.
Menurutnya, perbuatan merakam gambar orang yang disyaki bagi tujuan sebaran awam juga adalah merupakan suatu perkara yang amat tidak wajar.
“Masyarakat adalah diseru supaya sentiasa cakna terhadap anggota kejiranan dan sama-sama mengambil peranan dalam mencegah masalah sosial yang bertaku di sekeliling mengikut peranan masing-masing tanpa melampaui had.
“Semoga perkara ini menjadi pengajaran dan iktibar kepada kita semua dalam menyantuni masyarakat di sekeliling kita,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 15/1/2022
3. Hukuman remaja curi tabung masjid, diganti dengan khidmat masyarakat
Mahkamah Tinggi perintah Daniel Iskandar buat kerja masyarakat. - Foto BERNAMASHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini hari ini, mengenepikan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 terhadap remaja yang dimandikan seperti jenazah, atas kesalahan cubaan mencuri tabung masjid di Kuang, Rawang minggu lalu.
Hakim, Datuk Abd Halim Aman, membuat keputusan terbabit terhadap Daniel Iskandar, 19 dan menggantikan hukuman itu kepada khidmat masyarakat selama 120 jam bagi tempoh enam bulan. Mahkamah membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan.
Dalam kes itu, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Norhana Sahat, manakala pesalah muda itu diwakili peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali, Fahmi Abdul Moin, Azman Abdullah dan Ilyani Khszairy.
Turut peguam Haniff Khatri Abdulla, Muhammad Hariz Yusoff, Nur Fatin Syakinah Kamarudin, Ahmad Khalil Md Rofiee dan Muhammad Mustaqim Ahmad Huzaini bagi Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), manakala Megat Abdul Munir Megat Abdullah Rafaie sebagai peguam pemerhati bagi Masjid Al Islahiah, Kuang, Rawang.
Minggu lalu, media melaporkan seorang remaja yang tular selepas dimandikan seperti jenazah, dipenjara 10 hari dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang kerana cuba mencuri tabung masjid di Kuang, Rawang.
No comments:
Post a Comment