Friday, January 14, 2022

‘Unboxing by husband’ tidak menepati syariat

 

Nik Nurasma Zulykha Nik Hassan

KUALA LUMPUR: Trend atau budaya baru yang sedang hangat di aplikasi Tik tok sekarang iaitu trend Unboxing by husband adalah tidak menepati syariat dan jauh sekali memelihara kehormatan diri.

Pengarah Ameerah Negeri Kelantan, Nik Nurasma Zulykha Nik Hassan berkata, budaya baru itu membawa unsur yang menghilangkan perasaan malu bagi pasangan lebih-lebih lagi yang baru berkahwin. 

Beliau memetik hadis Rasulullah SAW, riwayat Tirmizi yang bermaksud: Tiga golongan yang Allah SWT menetapkan atas diri-Nya untuk membantu mereka, orang yang berjihad pada jalan Allah, hamba yang mukatab yang ingin membayar harga tebusannya dan orang yang berkahwin dengan sebab mahu menjaga kehormatan dirinya.

Sebuah lagi hadis Rasulullah riwayat al-Baihaqi yang dipetik, bermaksud: Apabila seorang hamba itu berkahwin, maka sesungguhnya dia telah berusaha menyempurnakan sebahagian agamanya, oleh itu hendaklah dia bertaqwa kepada Allah pada sebahagian lagi yang berbaki.

“Hikmah sebenar pernikahan adalah untuk memelihara kehormatan diri daripada terjebak kepada perkara-perkara yang diharamkan dan ia merupakan antara tuntutan agama,” ujarnya dalam kenyataan, semalam.

Oleh itu, kata beliau Ameerah Negeri Kelantan menyeru agar pasangan yang baru berkahwin memulakan pernikahan dengan sunnah yang diajar oleh Baginda Nabi dan sentiasa menambah ilmu tentang keluarga.

“Semoga dengan itu Allah memberkati keluarga, bakal anak-anak dan generasi selepas ini,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 13/1/2022

No comments:

Post a Comment