Monday, February 14, 2022

AS, dulu penjajah sekarang perompak rakyat Afghan.

 

TINDAKAN Presiden Joe Biden menandatangani satu perintah eksekutif untuk membahagikan sebahagian daripada dana Bank Pusat Afghanistan yang dibekukan berjumlah USD7 bilion untuk diagihkan kepada keluarga mangsa peristiwa 9/11 adalah satu tindakan yang zalim dan tidak berperikemanusiaan.

Wang tersebut adalah milik rakyat Afghanistan dan rakyat Afghanistan langsung tidak ada kena mengena dengan peristiwa serangan 9/11. Malah berdasarkan siasatan dan bukti-bukti kukuh, tiada satu pun penyerang yang terbabit dalam peristiwa serangan 9/11 adalah berasal dari Afghanistan.

Saat ini majoriti rakyat Afganistan sedang berhadapan dengan krisis kemanusiaan dan ekonomi yang teruk, kekurangan bahan keperluan asas dan sebahagian rakyat Afgahnistan sedang berhadapan dengan kekurangan bekalan makanan serta krisis kebuluran.

Wang yang dibekukan tersebut sewajarnya dipulangkan kembali kepada rakyat Afghanistan yang sedang menderita saat ini di mana ia mampu membantu mereka dalam meneruskan kelangsungan hidup serta mengelakkan mereka daripada terjerumus ke dalam krisis kemanusiaan yang lebih buruk.

Jika alasan Taliban menguasai Kerajaan Afghanistan ketika ini digunakan untuk tidak memulangkan kembali wang tersebut, PBB melalui pelbagai agensinya seperti UNHCR, Persatuan Bulan Sabit Merah dan pelbagai organisasi lagi mampu melaksanakan tanggungjawab mengurus dan mengagihkan bantuan kewangan serta kemanusiaan kepada rakyat Afghanistan.

Malah Qatar mahupun Turki mampu melaksanakan tanggungjawab mengagihkan dana dan bantuan kemanusiaan menggunakan wang yang dibekukan tersebut demi untuk membantu rakyat Afghanistan yang sedang menderita akibat pelbagai krisis kemanusiaan yang dihadapi mereka ketika ini.

TIndakan tersebut seumpama “mencuri“ wang milik rakyat Afganistan di hadapan seluruh dunia tanpa ada rasa malu. Bagaimana pula dengan kematian ribuan rakyat Afghanistan yang tidak berdosa akibat serangan tentera Amerika Syarikat seperti serangan dron yang membunuh 10 orang rakyat Afghanistan termasuk 7 orang kanak-kanak beberapa bulan lepas, adakah ia tindakan bermoral?

Sewajarnya Amerika Syarikat yang perlu “membayar“ ganti rugi kepada rakyat Afghanistan kerana akibat tindakan ganas dan tidak berperikemanusiaan sepanjang penjajahannya lebih 20 tahun, Afghanistan hancur dan segala bentuk infrastruktur musnah, ratusan ribu rakyat Afghanistan terkorban dan menderita serta banyak krisis kemanusiaan berlaku sepanjang penjajahannya.

Segala bentuk keganasan dan penindasan perlu ditolak dengan tegas tetapi nasib rakyat Afghanistan yang tidak berdosa perlu dibela daripada dianiaya dan dizalimi oleh sikap dan perilaku kuasa imperialisme yang tidak bertanggungjawab yang hanya memikirkan kuasa hegemoninya semata-mata.

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat
ADUN Batu Buruk – HARAKAHDAILY 13/2/2022

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails