Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin
PAGOH: Semua calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan meneruskan tradisi menandatangani akujanji dan mengangkat sumpah menolak segala perbuatan rasuah serta salah guna kuasa seperti dilaksanakan ketika PRN Melaka sebelum ini.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, semua 56 calon PN juga akan melafazkan ikrar bagi memikul tanggungjawab serta amanah untuk membentuk sebuah kerajaan negeri yang bersih.
"Malah setiap calon terpilih juga sudah menjalani dan melepasi proses tapisan yang ketat bagi memastikan mereka bersih daripada sebarang salah laku, bebas daripada kes mahkamah seperti rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa," katanya melalui kenyataan di Facebook.
Sebelum ini, semua 28 calon PN yang bertanding pada PRN Melaka pada 20 November lalu, turut menandatangani akujanji menentang rasuah.
Bagi PRN Johor yang bakal berlangsung 12 Mac ini, PN meletakkan calonnya di semua 56 DUN di negeri itu.
Pada masa sama, Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU, berkata dengan kelebihan yang ada pada semua calon PN itu, pihaknya menyeru seluruh pengundi Johor supaya dapat menyokong dan mengundi calon dari gabungan parti itu pada 12 Mac nanti.
Ini kerana, katanya, calon yang dipilih mewakili PN adalah mereka yang berkelayakan, berkelulusan, berpengalaman, berakhlak dan berhemah tinggi serta memenuhi kriteria yang diperlukan untuk menjadi seorang wakil rakyat.
"Justeru inilah peluang keemasan bagi bangsa Johor untuk menubuhkan sebuah kerajaan negeri yang bersih, berintegriti, bertanggungjawab dan prihatin rakyat.
"Malah dengan keazaman tinggi untuk berkhidmat kepada bangsa Johor, saya percaya pasukan PN mampu merencana dan memacu pembangunan negeri ini menjadi sebuah negeri yang maju, di mana kemakmurannya dapat dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat tanpa ada seorang pun yang tertinggal atau terpinggir," katanya.
DUN Johor dibubarkan pada 22 Januari lalu selepas Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani dokumen watikah pembubarannya bagi memberi laluan untuk PRN diadakan.
Satu perkembangan yg positif. Bagi calon yang tiada akujanji, bererti sudah siap sedia untuk melakukan rasuah bila menang nanti.
ReplyDelete