Sekolah di Karnataka dibuka semula, pelajar Islam dipaksa tanggal hijab
BENGALURU: Kebanyakan sekolah di negeri selatan India, Karnataka, dibuka semula semalam, selepas seminggu ditutup berikutan bantahan meluas apabila pelajar Islam dilarang memasuki kelas kerana memakai hijab.
Bagaimanapun di hadapan jurukamera televisyen media, pentadbir sekolah memaksa pelajar, guru dan kakitangan Islam, menanggalkan hijab sebelum dibenarkan memasuki kawasan sekolah.
Klip video yang viral di media sosial menunjukkan pelajar yang memakai hijab pulang ke rumah sebagai membantah kerana dilarang memasuki sekolah.
Sesetengah ibu bapa meminta pelajar dibenarkan memakai hijab antara pintu pagar sekolah hingga berada dalam kelas, tetapi pihak sekolah tetap tidak membenarkan.
Pelajar di daerah Udupi, Ayesha Imthiaz, berkata pihak sekolah menghina mereka kerana diminta menanggalkan hijab sebelum memasuki sekolah.
Seorang pegawai Karnataka memberitahu media bahawa sesetengah pelajar memilih keluar dari bilik peperiksaan selepas pihak berkuasa tidak membenarkan mereka memakai hijab.
“Tujuh pelajar berhijab hendak menduduki peperiksaan, tetapi pegawai di situ tidak membenarkan mereka memakai hijab. Mereka tegas untuk tidak menanggalkan hijab… ibu bapa mereka dipanggil. Tujuh pelajar berkenaan kemudian meninggalkan dewan peperiksaan dan pulang ke rumah,” katanya.
Tindakan melarang memakai hijab dilihat sebagai usaha kerajaan India yang dikuasai parti nasionalis Hindu, Bharatiya Janata Party (BJP) untuk meminggirkan penduduk Islam sebagai golongan minoriti, terutama menjelang pilihan raya di beberapa negeri India.
Pihak berkuasa melarang perhimpunan membabitkan lebih lima orang pada jarak 200 meter dari institusi pendidikan dengan sekolah rendah dan sekolah menengah kini telah dibuka, manakala kolej masih ditutup.
Minggu lalu, mahkamah di Karnataka mengarahkan pelajar supaya tidak memakai sebarang pakaian berkaitan agama di sekolah hingga pemberitahuan selanjutnya. Arahan ini disifatkan sebagai menggantung hak Perlembagaan untuk mengamalkan agama dan kebebasan hati nurani.
Peguam kes ini, Devadatt Kamat, ketika perbicaraan di mahkamah secara dalam talian, semalam, berkata semua anak guamnya memakai hijab sejak hari pertama memasuki sekolah.
Katanya, mereka meminta kebenaran untuk terus memakai hijab mengikut warna pakaian seragam sekolah.
Minggu lalu, sesetengah sekolah tidak membenarkan pelajar memakai hijab dengan menjadikan arahan peraturan pakaian seragam sekolah sebagai alasan. Arahan pada 5 Februari lalu dikeluarkan oleh kerajaan negeri yang dikuasai BJP.
Tindakan itu dibantah oleh pelajar dan ibu bapa yang kemudian mengundang protes oleh kumpulan berhaluan kanan Hindu yang memakai selendang safron (warna kunyit).
BJP diketuai Perdana Menteri, Narendra Modi, meraih sokongan komuniti Hindu yang membentuk 80 peratus daripada 1.4 bilion penduduk India, manakala penduduk Islam seramai 200 juta.
Keadaan di Karnataka membimbangkan penduduk minoriti yang menjadi sasaran kerajaan nasionalis Hindu pimpinan Modi yang berkuasa sejak 2014.
Ini berikutan pelbagai tindakan perundangan yang menjadikan tindakan diskrimimasi terhadap penduduk minoriti, sah di sisi undang-undang. Human Rights Watch dalam laporan tahun lalu, membuat dakwaan ini yang dinafikan oleh Modi dan BJP.
Surat yang ditandatangani oleh kira-kira 2,000 orang, termasuk wartawan, aktivis, pengarang dan peguam, menyifatkan pengharaman hijab sebagai jenayah kebencian.
Tokoh antarabangsa terkemuka seperti penerima anugerah Nobel, Malala Yousafzai, dan pemain bola sepak Perancis, Paul Pogba, turut mengkritik pengharaman hijab di India. – TRTWorld
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Di Malaysia nasionalis Hindu ekstream, lihat 'kes pembunuhan pekerja bomba Malaysia Adib Adam', masih belum diselesaikan.
No comments:
Post a Comment